ARTIKEL MODAL INSAN 1 YANG DISIARKAN DI HARIAN METRO

Minda: Modal insan kelas pertama

Oleh Ruzain Syukur Mansor (Guru Siswazah Pendidikan Islam dan graduan Pengajian Ilmu Wahyu UIAM)
ruzainsyukur_mansor@yahoo.com

KEPERLUAN mewujudkan tenaga sumber manusia berdaya saing adalah usaha yang perlu diberi perhatian di abad ini. Baik di sektor swasta mahupun awam, pembentukan modal insan berkualiti mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama dan bertaraf dunia.

Memperkatakan modal insan, ia begitu relevan untuk dibincangkan. Modal merujuk kepada sesuatu yang menjadi bahan keperluan untuk menggapai sesuatu. Modal dalam perniagaan misalnya diperlukan bagi menjana keuntungan dan membangunkan syarikat. Tetapi modal bagi membangun insan bukannya berbentuk material tetapi kemampuan, kualiti diri, ilmu dan kemahiran yang wujud dalam diri individu.

Kita melihat agenda Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006-2010 amat mementingkan modal insan bertaraf kelas pertama. Sejumlah 21 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan RM33.4 bilion diumumkan Perdana Menteri khusus untuk memacu institusi pendidikan dan latihan dalam usaha memperkasa modal insan berteraskan ilmu pengetahuan.

Sementara Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menetapkan Teras Membangunkan Modal Insan sebagai tunjang utama pelaksanaannya. Ia bertujuan untuk memastikan bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan.

Di samping itu diharapkan pelajar dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat, komunikasi, kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai nilai yang tinggi serta mampu untuk menjadi pemimpin dalam keluarga dan masyarakat.

Ternyata perancangan dan dasar memihak kepada usaha menjana modal insan bertaraf antarabangsa. Namun apakah ramuan menjadikan modal insan bertaraf dunia? Adakah acuan sistem Barat menjadi taruhan?

Menurut Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir, pakar Muamalat di Jabatan Muamalat di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, pembangunan modal insan berteraskan kefahaman Barat tidak mementingkan aspek kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras utama. Konsep modal insan Islam pula berteraskan kepada pegangan aqidah yang utuh.

Elemen itu pula diikat dengan keindahan syariat Islam sebagai panduan lantas dipandu oleh akhlak yang baik. Gabungan unsur aqidah, syariah dan akhlak akan melahirkan modal insan berkualiti yang dapat menghindarkan mereka daripada terbabit dengan salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain lagi.

Proses melahirkan modal insan kelas pertama harus didasari oleh perancangan strategik dan berkesan. Program latihan pembangunan sumber manusia harus membangunkan potensi insan lantas menjadikannya sebagai seorang pekerja yang berkebolehan menggunakan segala sumber untuk dijana menjadi sesuatu bermanfaat kepada organisasi dan negara.

Program kemahiran harus mengambil kira keperluan organisasi dengan kapasiti untuk memaksimumkan produktiviti. Ia harus merangkumi aspek latihan ICT, teknologi, komunikasi, pengurusan, motivasi, kepimpinan dengan tidak meminggirkan penerapan nilai dan kerohanian di dalam setiap program yang dianjurkan.

Selain itu, aspek pembangunan kerjaya modal insan juga tidak harus dilupakan. Modal insan berkualiti harus mampu untuk melonjakkan diri ke suatu tahap perkembangan dalam sesebuah organisasi.

Andainya seorang pekerja bermula dengan kerjaya dalam bidang pengeluaran, seharusnya mereka mempunyai ruang untuk meningkatkan akademik ke tahap diploma ataupun ijazah hingga dapat menguruskan sasaran pengeluaran.

Dalam bidang pentadbiran misalnya, biarlah individu itu bermula dengan mentadbir sesuatu unit, namun mempunyai akses kepada program latihan dan perkembangan kerjaya sehingga melayakkan mereka untuk mentadbir sebuah jabatan besar.

Maka proses itu tidak seharusnya diletakkan di bahu pengurus jabatan latihan saja. Titik tolak ke arah pembentukan modal insan kelas pertama bermula dari dalam diri seseorang pekerja itu sendiri.

Tanyalah diri sendiri sejauh mana diri mahu dilonjakkan menuju puncak kecemerlangan.

Kemajuan sesuatu sistem latihan dan perkembangan kerjaya sesuatu organisasi itu tidak dapat berjalan seandainya individu sumber manusia itu sendiri tiada usaha untuk melonjakkan dirinya sebagai modal insan terpilih dan berkualiti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 28 other followers

%d bloggers like this: