POWER FRIDAY@ MASJID JUMHURIAH

December 4, 2010

Saya masih ingat antara butiran temuramah saya bersama Pak Utih (Shafiai Uda), aktivis JIM yang aktif mengendalikan latihan remaja masjid di Singapura suatu ketika dahulu. Sebahagian butiran temubual tersebuat dimuatkan di dalam buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid tulisan saya dan Cikgu Azmi.

Antara resipi kejayaan program remaja masjid di Singapura menurut Pak Utih adalah :

1. Iklan program yang menarik
2. Nama program yang catchy
3. Pengisian program ringkas tapi menarik
4. Penggunaan blog yang menarik untuk tujuan promosi
5. Jemput tokoh remaja @ belia top yang boleh menjadi contoh mengendalikan program
6. Latihan untuk penggerak remaja masjid
7. Kerjasama daripada AJK masjid.

Baru-baru ini telah berlangsung dua siri motivasi dakwah remaja masjid Power Friday@Masjid Jumhuriah Taman Dato’ Harun Petaling Jaya. Ia inisiatif Mentor dakwah saya Cikgu Azmi Musa serta beberapa aktivis dakwah serta kerjasama mantap AJK Pemuda masjid tersebut. Ia nampaknya mendapat kerjasama pihak pentadbiran masjid.

Program nampaknya ringkas, 2-4 pm selepas solat Jumaat menyasarkan golongan remaja setempat. Bermula dengan baik untuk slot Talk Show kumpulan nasyid kontemporari Frenz dan Khalid Soff One. Ia disusuli dengan sesi motivasi pada minggu kedua oleh seorang peguam muda lulusan UIAM Saudara Razlan. Ada sesi LDK, pembentangan, smart solat dan lain-lain sesi yang ringkas.

Nampaknya setakat ini, Program Power Friday memberikan nafas baru kepada program remaja masjid. Dengan jenama program yang baru. Promo iklan menggunakan design menarik serta perkongsian dari penceramah muda menarik ,maka Jumaat bagi warga muda di Jumhuriah adalah jumaat yang hebat serta imarah dengan program bermanfaat.

Moga usaha dakwah remaja masjid ini akan diberi nafas baru serta penjenamaan semula agar kekal up to date dan mengikut perkembangan zaman remaja

Ruzain Syukur Mansor


MARI MENYUBUR BAKAT DAN MINAT

December 4, 2010

Bulan Disember adalah bulan yang cukup sinonim dengan kesibukan bagi individu yangg berkerjaya dengan organisasi. Bekerja dengan orang terutamanya dunia pentadbiran. Menghadapi audit, ISO, laporan tahunan serta perancangan tahun hadapan. Nasib baik saya seorang cikgu. Kesibukan di atas selesai pada bulan November. Disember adalah ruang muhasabah dan peluang, maklumlah cuti sekolah. Duduk lepak di rumah?. Oh tiada istilah cuti bagi seorang penulis bebas dan penggemar dunia latihan seperti saya.

Seorang jurulatih penulisan memberitahu saya bahawa antara penulisan yang baik adalah apabila penulis itu menulis sesuatu yang tidak dapat dicapainya atas sebab halangan tertentu. Contohnya seorang guru, yang sibuk dengan dunia pendidikan mungkin amat berminat dengan fotografi. Mungkin ingin jadi wartawan dan mengembara jika berpeluang tetapi tersekat atas keperluan kerjaya yang tidak mengizinkan. Jadi, individu tersebut boleh meluahkan keinginannya yang tersekat itu melalui penghasilan buku. Pasti laku keras buku tulisannya itu.

Bagi saya, bulan-bulan cuti ini adalah bulan peluang. Peluang untuk menyubur bakat. Tn Fauzul memberitahu, organisasi yang menyekat bakat, lama-kelamaan bakat itu akan pergi. Ini bulan untuk menyubur minat di bidang latihan dan penulisan. Suatu bakat yang berjaya membina diri saya secara tidak sedar. Memberi ceramah motivasi kepada remaja dan belia memberikan saya keyakinan untuk berdiri di hadapan khalayak. Dapat pula memahami permasalahan remaja yang menyesakkan dada. Penting sebagai pendakwah untuk menyediakan solusi. Saya beroleh kepuasan maksimum.

Sewaktu sidang persekolahan berjalan, peluang untuk menghadiri kursus dan seminar memang banyak. Apatah lagi, tugasan selaku Jurulatih Kokurikulum Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor telah memberikan peluang saya mendapat ilmu dan kemahiran sebagai seorang jurulatih. Tetapi isunya cukup besar. Meninggalkan sekolah untuk 2-3 hari bermakna mengundang tiket relief kepada rakan-rakan. Ada kelas yang perlu diganti, malah ada murid yang perlu ditinggalkan walaupun atas tiket tugasan jabatan. Tidak patuh arahan mungkin mengundang konflik lain. Hadir kursus, ada insan yang terpaksan menanggung tugasan yang ditinggalkan.

Disember kini mula menmpakkan diri. Di kala ini ada orang yang mula menanam azam baru. Pada saya ini bukan permasalahan azam baru, tetapi adakah sudah tertunai azam tahun ini. Saya berehat daripada menulis artikel pada tahun 2010 kerana ingin memfokuskan keapda penulisan buku. Alhamdulillah, Buku pertama Tip Urus Kelab Remaja Masjid berjaya diterbitkan. Buku kedua Dakwah dan Teknologi Maklumat kini memasuki fasa bacaan Pruf kedua. Manuskrip buku ke 3 Aduhai Remaja masih di dalam penilaian penerbit.

Buku ke 3 Aduhai Remaja meniti banyak persoalan. Andainya berjaya diterbitkan, merupakan suatu cabaran besar kerana diterbitkan oleh penerbit besar dan terpaksa melalui proses pemasaran yang tidak kurang hebatnya. Itu peranan penulis membantu penerbit memasarkan buku. Tetapi jika tiada rezeki, bukanlah maksudnya penamat kepada segalanya. Alhamdulillah, masih mampu membangun potensi dan bakat walaupun tugasan asasi yang terlalu banyak untuk diselesaikan.

Apapun, kerjaya bukan penyekat bakat dan minat. Bukan tidak berminat dengan profesyen, tetapi individu yang kekal konsisten dengan minat tanpa mengganggu kerjaya, bakal muncul hebat dengan visi dan misi membangun potensi diri.

Moga membangun potensi ini menjadi disiplin yang mengangkat martabat diri ke suatu arah membanggakan. Membangun potensi menanamkan kepuasan dalam diri. Moga-moga terus menyubur bakat dan minat.


MEMBINA BLURB..TIDAK SEMUDAH MEMBACANYA?

December 4, 2010

“Blurb..susah sikit ustaz, biasanya, saya tulis beberapa contoh dan editor akan pilih”, itu sms daripada seorang rakan penulis apabila saya memohon sedikit tip menulis blurb buku untuk buku terbaru saya.

Memang diakui sedikit sukar untuk menyediakan sedikit ‘ringkasan buku’ yang biasa kita baca pada kulit belakang sesebuah buku. Ianya menjadi perkara yang amat penting untuk sesebuah buku. Untuk itu jugalah saya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan blurb buku terbaru Dakwah dan Teknologi Maklumat sepertimana diminta editor JAKIM baru-baru ini.

Apa itu blurb?

Menurut Wikipedia “A blurb is a short summary or some words of praise accompanying a creative work, without giving away any details that is usually referring to the words on the back of the book”.

Bahasa mudahnya, sedikit rumusan keseluruhan buku yang ditulis pada kulit belakang sesebuah buku. Dengan mudahnya ia mungkin sejumlah 120 patah perkataan tetapi menggambarkan keseluruhan buku secara ringkas. Tidak juga rumusan, sebab mana mungkin dengan 150 patah perkataan menggambar keseluruhan 150 mukasurat buku tersebut.

Ataupun, blurb ini adalah konotosasi komen yang akan dibaca oleh si ‘pembeli buku’ sebelum mengambil keputusan untuk membeli buku tersebut.

Blurb itu sendiri membawa makna yang pelbagai. Itulah sebabnya kita lihat pelbagai bentuk blurb ditulis oleh penulis. Ada penulis meletakkan beberapa komen beberapa tokoh yang telah membaca manuskrip buku tersebut sebagai testimoni.

Apapun, saya kongsikan beberapa idea untuk menghasilkan blurb yang baik (dibaca sebagai idea):

SATU
Sediakan ‘daya penarik’ dan ceritakan mengapakah pembaca perlu membaca buku tersebut

DUA
Sediakan petikan pendek mungkin tidak melebihi 200 atau terpulang kepada penulis. Ingat, blurb ini sebagai suatu petikan untuk mewakili keseluruhan buku

TIGA
Tuliskan perkara yang penting sahaja. Pastikan tidak panjang meleret. Biar padat, menarik dan hebat!

EMPAT
Mungkin dimasukkan kata-kata beberapa pembaca manuskrip tersebut. Tetapi ingat, jangan jadi hipokrit. Memberikan ulasan yang baik-baik, tetapi bukunya tidaklah sepertimana komen yang diberi.

LIMA
Pilihan: Boleh dimasukkan sedikit biodata ringkas. Penting juga kerana percayalah, kredibiliti penulis juga antara perkara yang dinilai oleh seorang pembaca sebelum membeli sesebuah buku.

Apapun, berbincangkah dengan pihak penerbit, tentang bagaimanakah pilihan menghasilkan blurb yang terbaik. Lain penerbit mungkin lain gaya penulisan blurbnya.

RUZAIN SYUKUR MANSOR