December 7, 2009

TIP PENULISAN.

TULIS, SIMPAN, BACA SEMULA, TAMBAH APA YANG PERLU

Anda faham ke tajuk di atas tu?.Tulis, simpan, baca semula dan tambah apa yang perlu.Itu ilmu untuk mengedit dan menokok tambah pada penulisan.Tidak kiralah samada novel, cerpen, mahupun karya kreatif.Ia saya perolehi ketika mengikuti bengkel penulisan pertengahan tahun ini.

Begini, Kita tulis beberapa perenggan, berhenti setelah penat.Save fail tersebut.Simpan.Pergilah berehat seketika.Minum kopi, menonton TV, mahupun mendengar radio.Biar minda anda berehat buat seketika waktu.Setelah beberapa ketika, buka kembali fail mengandungi tulisan anda tadi, dan saya pasti anda mempunyai idea baru malah nampak akan kesalahan yang telah dilakukan pada teks asal tersebut.

Adakalanya menulis terlalu lama menjadikan minda kita ini tepu.Akibatnya kita seolah-olah ‘buta’ dan tidak nampak pada kesalahan yang dilakukan.Itu sebabnya anda perlu rehat seketika, dan lihat kembali penulisan tersebut.Ini memang saya praktikkan kepada penulisan manuskrip Aduhai Remaja ini.Adakalanya minda ini tidak dapat mengeluarkan pa-apa idea.Penat berfikir agaknya.Itu petanda perlu berehat dahulu.Segarkan minda.Sambung kembali.InsyaAllah pasti datang idea kembali.

Begitu juga penulisan di blog.Saya akui saya bukanlah penulis yang konsisten.Sebulan hanya mampu menulis dua-tiga entry.Kecuali ketika cuti sekolah, adakalanya sampai 8-9 entry sempat menjadi paparan.

Menulis melibatkan komitmen dan semangat yang tinggi.Blog bukan untuk dibangga-banggakan tetapi perlu diisi.Mungkin ada yang menajdikan penulisan kita itu sebagai penguat semangat malah motivasi.Anda perlu motivasi? cuba layari blog Prof kamil Uitm http://muhdkamil.net/kehidupan/  Beliau merupakan penulis Buku Travelog Dakwah dan Travelog Haji yang saya minati.Gaya penulisannya amat santai.Sukar sekali kita dapat mencari seorang Professor Perakaunan sepertinya yang boleh menulis dan berdakwah dalam keadaan santai.Untuk rekod, saya penggemar buku motivasi dakwah kontemporari.

Pertimbangkan juga blog www.saifulislam.com Ustaz Hasrizal sebetulnya super duper senior saya ketika di SMA Izzuddin suatu ketika dahulu.Saya mengagumi hasil tulisan dan dakwahnya.Keberaniannya jelas ketika masih di sekolah lagi.Yang penting corak penulisan santainya menjadi motivasi kepada saya.Memang dalam menulis kita perlu ada sedikit contoh dan panduan.Akhirnya kita serlahkan kekuatan diri.Jangan pula terikut-ikut sampai tiada jati diri

Cukup dahulu.Ia pendapat peribadi saya sahaja.Shukran

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-

 


December 5, 2009

ADUHAI REMAJA

Hujung tahun 2008, saya sempat menyiapkan 1 manuskrip buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid bersama Cikgu Azmi Musa.Diterbitkan oleh I Media sepatutnya.Sudah pun sampai ke peringkat DTP, lepas segala urusan edit, hampir di cetak tetapi ia masih belum berada di pasaran.Allah lebih mengetahui..

Itu ujian bagi penulis separuh masa seperti saya.Itu perkara biasa.Tahun 2009  juga alhamdulillah ditakdirkan saya mendapat di tempat di kolum IT dan dakwah majalah Cahaya JAKIM , hampir setiap keluaran.Al-hamdulillah.Itu ruang dakwah buat saya.Baru-baru ini, dengan tidak disangka-sangka dianugerahkan anugerah khas Tokoh Guru bidang penghasilan karya kreatif .Sumbangan Parlimen Tg Karang.Itu untuk motivasi, tidak lebih dari itu.

Jadi ada satu projek penulisan yang hampir setahun tertangguh.Cuti kali ini misi terakhir untuk menyudahkannya.Kali ini percubaan pertama menulis buku secara solo.Ada ruang yang dipertimbangkan oleh syarikat penerbitan KarnaDya Solution untuk buku motivasi dakwah.

ADUHAI REMAJA.

Itu tajuk pilihan saya.1 buku motivasi santai khusus membicarakan isu remaja.1 penulisan dakwah untuk remaja, aktivis remaja, ibu-bapa, guru dan sesiapa sahaja yang berminat untuk kembali melihat kepada perkara asas remaja.Berdakwah untuk remaja masakini merupakan cabaran besar.Justeru saya titipkan beberapa perkara penting tentang remaja yang perlu diketahui.

Untuk remaja? ia pasti sebagai panduan untuk menghadapi hari-hari mendatang menuju hari dewasa.Ada tips tentang diri, hubungan dengan ibu-bapa, dan tidak lupa hubungan dengan guru.jangan lupa tentang isu remaja..Remaja dan muzik, cinta, IT, impian, ibadat dan motivasi.Semuanya dikupas dengan gaya bahasa santai.

Saya ada kira-kira tiga minggu untuk menyudahkan manuskrip ADUHAI REMAJA.Jika ada rezeki kita sama-sama tunggu kemunculannya.Moga-moga Allah berikan bantuan untuk saya sudahkan penantian ini.Ini kisah impian hidup.Setiap insan mempunyai impian hidup.Dan saya mempunyai impian sekurang-kurangnya 1 buku terbit setiap tahun.InsyaAllah.Dimana ada impian di situ ada jalan.

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-


BEREHAT SEBENTAR UNTUK MUHASABAH DIRI..

December 1, 2009

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar, blog akademipenulisbebas kini sudah mencecah 10 000 hit.Kali pertama berblog dahulu, hati bertanya, ada ke pembaca yang sudi membaca blog saya ni?.Tetapi alhamdulillah, ianya diterima baik dengan komen-komen yang membina daripada rakan-rakan bloggers.

Ada guru, ada bloggers, ada rakan lama, buat kalian, terima kasih kerana terus mendorongku untuk terus berkarya.Peranan blogstat juga banyak mengajar saya mendapat respon mengenai siapakah pelayar entry-entry, dan entry yang manakah menjadi ikutan terbanyak para pelawat.

Itu penting bagi mengelakkan bloggers hanya syok sendiri.Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa antara carian terbanyak pelawat yang singgah ke blog saya berlegar dalam isu pendidikan, perguruan, penulisan bebas, j-QAF, artikel, majalah, guru, dakwah, berdakwah di sekolah dan sekategori dengannya.

Lantas, entry berkaitan dengannya akan terus mendapat tempat di blog ini.Adakalanya feedback rakan-rakan juga dijadikan bahan untuk menulis.

Tahun berganti tahun, azam mungkin berganti, umur pastinya meningkat, bagaimana pula dengan prestasi blog?.Apakah kandungannya semakin berkualiti?.Adakah sama sahaja macam tahun-tahun sebelumnya.Ia juga perlu muhasabah.Orang menilai apa yang kita tulis dan laporkan.Jadi, perbaiki mutu entry, satu peringatan untuk saya .

Apatah lagi apabila ada yang memohon bahan penulisan dan sebahagian entry dimasukkan senagai rujukan assignment mereka.Itu tanggungjawab sosial untuk memberikan buah fikiran dan disumbangkan untuk pembangunan minda.

Ini perihal muhasabah.Jangan hanya berblog untuk kepuasan sendiri.Jadinya nanti syok sendiri.Lebih baik guna diari sahaja!.Itu ingatan untuk diri sendiri.Moga-moga ada peningkatan.Yang baik dipersilakan komen.Yang kurang enak, lagi perlu anda komen.Terima kasih kerana sudi bertamu dan jangan lupa coretkan komen ya!

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-


DOA PERPISAHAN..

November 19, 2009


Saya menulis di dalam keadaan emosi yang pelbagai.Surat penempatan semula ke sekolah baru di suatu daerah yang tidak jauh dari kediaman beberapa kali di tatap.Itu kepastian.Bukannya Cobaan lagi.

Esok hari terakhir bertemu anak-anak didik di SK Sawah Sempadan yang dihuni sejak 2007.Raut anak kecil sedikit hiba apabila menerima berita akan berpisah dengan gurunya.Memang begitu resam hidup.Akan lebih terasa di saat akhir-akhir pemergian.Satu demi satu nostalgia bersama anak didik menerjah kotak minda.Ada suka, ada duka, ada tawa, ada segalanya.Rupanya saat mengisi borang pertukaran tidak sama rasanya dengan saat menghadapi saat-saat perpisahan dengan anak murid dan rakan-rakan setugas.Peringatan untuk masa hadapan.

Header Blog Akademipenulisbebas ini berlatar belakang kan kawasan sawah padi pada jam 7.15 pagi di Sawah Sempadan.Ia sengaja di letakkan.Ia sebagai penghargaan kepada bumi Sawah Sempadan yang banyak menginspirasikan minda ini untuk menulis dan berkarya.Lokasi itu berhampiran dengan tempat saya bertugas sehingga akhir November 2009 ini sebelum melapor diri ke SK Telok Menegon 1 Disember 2009 . Ada satu cerpen saya yang tersiar di Majalah e-Siswa pada 2007 rasanya yang saya inspirasikan dek kepayahan dan keazaman anak Sawah Sempadan.Wataknya hidup kerana berlatar belakangkan kehidupan yang jelas di depan mata saya.Cerpen itu saya siapkan pada jam 1.59 pagi dengan linangan air mata yang tidak dapat di tahan.Terima Kasih Cikgu tajuknya.

Jarang saya bercerita tentang kisah peribadi di blog ini memandangkan kewujudan asalnya bermatlamatkan travelog dakwah kreatif.Tetapi liku ini memberikan saya seribu satu emosi yang bercampur gaul.Bumi indah ini akan saya tinggalkan buat sementara waktu.Akan saya ziarahi bila-bila masa dek kerinduan yang pasti hadir.Ini bumi pelbagai kisah dan cerita.Perjalanan dari kediaman ke bumi ini sejak tahun 2007 memberikan saya pelbagai idea untuk menulis.Itu pengalaman hidup.Coretannya boleh agaknya menjadi 100 helai mukasurat buku travelog kehidupan jika mahu di bukukan.

Tapi ini kehidupan.Ada misi yang perlu di teruskan.Patah tumbuh hilang berganti.Yang pastinya, Allah sediakan hikmah di sebalik perpisahan ini.Menanti di sana madu’ yang ternanti-nanti tunjuk ajar dan panduan.

Moga-moga hijrah ini memberikan sesuatu medan baru untuk berdakwah.Medan baru bermakna suasana baru.Suasana baru bermakna keadaan baru pasti hadir dengan sasaran berbeza.

Ya Allah, Bagimu segala perancangan buatku.BagiMu segala jawapan bagi segala persoalan.Padamu ‘Hikmah’ di sebalik segalanya.Padamu aku berserah.Amin .Wahai Tuhan sekalian Alam.

Ruzain Syukur Mansor
10.45 p.m.


PANGGILAN HAJI

November 8, 2009

“Abah cadang nak pergi umrah 2013.Nak ikut?”, tanya abah baru-baru ini.

“Kenapa tidak”, jawab ku merangkap azam untuk turut ke sana.

Menunaikan haji mahupun umrah sememangnya memerlukan pengorbanan, keazaman, komitmen yang tinggi.Keazaman yang tidak sedikit.Justeru, pemergian sanak saudara ke Makkah mengerjakan ibadah haji sememangnya disertai dengan doa moga-moga saya turut sama dijemput Allah ke sana.

Buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman karya Prof Kamil UiTM Johor , terus menjadi bahan bacaan saya.Syukran Prof.Suatu dorongan motivasi untuk ke sana.Karya insan kerdil yang hebat dengan penulisan yang menginspirasikan.

Buat para jamaah haji yang akan berangkat ke tanah suci mengerjakan haji, ditipkan doa buat kalian agar dikurniakan haji yang mabrur.Moga perjalanan ibadah suci kalian di sana mendapat keberkatan dan kerahmatan dariNYA.

Amin Ya Rabbal Alamin.

 

 


RISIKO MENULIS DI INTERNET BAGI PENULIS BEBAS YANG BERKERJAYA

November 8, 2009

Assalamualaikum.

Mungkin tajuk entry saya kali ini sedikit menggerunkan.Tiada siapa yang menjangkakan sebarang risiko apabila kita menulis di media baru .Baik menulis di blog sendiri, blog rakan atau meletakkan artikel yang diterbitkan di media cetak  di blog peribadi.Apatah lagi jika kenyataan itu di kongsi di laman sosial seperti facebook.

Lebih-lebih lagi penulis bebas yang masih bertugas dengan sesebuah organisasi.Walaupun kenyataannya bersifat peribadi,  tetapi adakalanya kita tidak dapat lari daripada kebertanggungjawaban kepada organisasi di mana kita bernaung.

Contohnya , andainya anda seorang guru.Anda bebas untuk bersuara dan menulis di atas kapasiti pandangan peribadi.Tetapi anda seharusnya berhati-hati lebih lagi apabila memberikan komen mahupun kritik keras terutamanya mengenai sesuatu dasar pendidikan.Niat anda pastinya di atas kapasiti pandangan peribadi.Tetapi kenyataan tersebut mungkin di petik oleh blogger yang lain dan di ulas dengan konteks  yang berbeza berbanding kenyataan anda yang asal.Ini bukan untuk bersalah sangka dengan dengan blogger yang lain.Masing-masing menunjukkan komitmen yang baik untuk berkarya dan bersuara.

Oleh sebab itu, penglibatan saya sebagai penulis bebas, menulis di majalah dan akhbar telah mendapat kebenaran daripada Pengarah di Jabatan tempat saya bertugas.Ia kebenaran bertulis dengan surat rasmi bagi tujuan penulisan dakwah kreatif di media.Namun, di letakkan sedikit peringatan di hujung surat tersebut , sebarang pandangan merupakan pandangan peribadi dan tidak menggambarkan kenyataan pihak  jabatan.

Ada blogger yang bertanggungjawab dengan meminta izin untuk mengambil artikel di blog kita untuk tujuan diletakkan di blog peribadinya.Dengan cara ini , kita sendiri dapat memastikan apakah tujuan artikel tersebut di kongsi.Tetapi ada blogger yang bersifat ambil artikel dari blog kita, letak di blognya serta menambah tafsiran yang  berlawanan dengan makna asal penulisan tersebut.

Apa yang dirisaukan bagi penulis yang bernaung dengan sesuatu organisasi kerjaya (penulis bebas) , ia mungkin menimbulkan salah faham dengan majikannya.

Oleh sebab itu, saya nasihatkan kepada sidang penulis bebas, blogger, terutamanya yang masih bertugas di mana-mana organisasi untuk sentiasa perihatin terhadap ‘perjalanan’ artikel dan penulisan anda di internet.Selang beberapa minggu, sila taipkan nama anda atau nama blog anda di paparan carian ‘yahoo’ atau ‘google’.Nama anda atau kenyataan anda melalui blog mungkin akan muncul sekiranya kenyataan tersebut di masukkan ke dalam blog rakan-rakan atau blogger yang berminat dengan artikel tersebut.

Pastikan ianya masih di tafsir sama dengan niat anda sewaktu mula-mula menulis artikel tersebut.

Perkara ini berlaku kepada diri saya baru-baru ini.Kenyataan saya di laman blog seorang tokoh penulisan tanah air di salah petik oleh seorang blogger di blog kendaliannya.Nampak gayanya ia sebagai di jadikan modal untuk kepentingan diri dan perjuangannya.Niat asal komen tersebut yang bersifat peribadi telah dijadikan sebagai suatu kenyataan yang disalah tafsir lari daripada tafsiran asal.

Entry kali ini bersifat untuk mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan tentang risiko yang kita sendiri tidak tahu bahananya di kemudian hari.Ada kenyataan seorang pegawai agama baru-baru ini yang bersifat peribadi, tetapi ditafsirkan sebagai pandangan jabatan di tempat dia bertugas.Walaupun jabatan yang menaunginya menafikan ianya adalah kenyataan jabatan dan merupakan pandangan peribadi pegaawai itu semata-mata.

Tetapi itu adalah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis bebas yang ‘makan gaji’ dengan sesebuah organisasi.Imej organisasi juga perlu di ambil kira sebelum menulis tentang sesuatu isu.Sentiasa berwaspada dengan penulisan anda.

 

RUZAIN SYUKUR MANSOR

Pandangan di atas merupakan pandangan peribadi penulis seamta-mata.Penulis boleh dihubungi melalui e-mail ruzainsyukur_mansor@yahoo.com


KOLUMNIS:ERA BARU SEORANG PENULIS BEBAS

November 1, 2009

Sudah agak lama saya tidak memberikan sebarang berita terbaru di dalam blog akademi penulis bebas ini.Cabaran kerjaya begitu hebat sekali di akhir-akhir tahun begini.Program-program j-QAF  seperti Kem Literasi Al-Qur’an Perdana , Kem Bina Juara, Kem Bestari Solat Perdana peringkat Daerah Kuala Selangor yang kini masih berjalan sehingga minggu-minggu terakhir persekolahan 2009.Ini tidak termasuk tugasan rutin seorang pendidik seperti data, peperiksaan, markah, Hari Kecemerlangan Murid yang sememangnya menjadi kewajipan untuk diselesaikan.

Dek kesibukan itu jugalah, blog ini tidak menerima entry terbaru hampir empat minggu, malah hampir tiada artikel pun tersiar di akhbar perdana sebulan dua ini.Kecuali ada satu artikel terbaru di majalah Cahaya JAKIM bulan ini.Ditambah dengan munculnya penulis baru yang artikelnya turut tersiar di majalah JAKIM, Saiful Bakhtiar Mansor, abang kandung saya sendiri.Itu mungkin berkat cabaran dan motivasi yang pernah saya lontarkan kepada beliau baru-baru ini.Penulisan nyata memerlukan semangat dan dorongan.Nampaknya saya perlu berebut kolum di majalah Cahaya Jakim dengan abang saya sendiri.Itu persaingan yang baik dan sihat.Sekurang-kurangnya saya berjaya untuk menggerakkan seorang lagi penulis untuk terus berkarya dan mula berdakwah dengan pena.

Baru-baru ini juga saya mula memasuki satu fasa baru bagi seorang penulis bebas.Menjadi kolumnis untuk Portal Berita Online www.malaysiaharmoni.com 

Ingin saya petik tulisan editor web portal ini, Saudara A Ralim Md Yassim:

Malaysia Harmoni muncul sebagai sebuah portal berita semasa yang menjadi satu lagi saluran maklumat rakyat Malaysia. Dasar utama Malaysia Harmoni ialah Islam. Dan dengan menjunjung tinggi prinsip menerapkan kebaikan sambil mengikis keburukan dalam masyarakat, Malaysia Harmoni akan mencuba sedaya upaya mewarnai kehidupan ini agar indah di mata dan damai di hati.

Malaysia Harmoni bersikap objektif serta menawarkan pendirian dan pertimbangan secara profesional. Oleh itu, kami tidak akan sengaja mempromosikan pandangan mana-mana kelompok tertentu dalam isu-isu yang kontroversi tentang polisi awam, politik atau industri melainkan hanya kerana kebenaran yang ada.

Dua artikel saya sudah disiarkan artikel di Portal Malaysia Harmoni ketika ini bertajuk: Perlukah Pengguna e-mail beretika dan Ada Apa dengan Dakwah Remaja.

Menjadi penulis jemputan ataupun kolumnis merupakan cabaran dan peluang baru untuk saya.Editor pasti ada sebab tersendiri mengapa memilih seseorang penulis memenuhi kolum di majalah mahupun runagan tertentu.Cabarannya pasti untuk terus konsisten dan istiqomah membekalkan artikel-artikel bermanfaat untuk terus mengisi kolum yang disediakan.Jadi, menjadi kolumnis di mana-mana majalah mahupun portal berhubungkait dengan komitmen.Apatah lagi ia bersifat online memerlukan berita dan artikel yang segar , pantas bergerak dan dikemaskini.Ini cabaran secara kolektif di antara kolumnis dan editor walaupun tiada perjanjian bertulis mengenainya.

Di dalam perjumpaan dengan Bos sebuah syarikat penerbitan majalah Islami baru-baru ini saya belajar tentang penerbitan cerita bersiri di majalah tersebut.Rupa-rupanya ready stock artikel ataupun cerita perlu disediakan secukupnya (dalam jumlah yang banyak)  sebelum sesuatu cerita bersiri ingin diterbitkan.Ini bagi mengelakkan cerita bersiri tersebut tiba-tiba kehilangan kesinambungan kerana kehabisan stock sambungan cerita.

Kehidupan di dalam bidang kewartawanan dan penulisan  ini banyak mengajar seorang penulis untuk berfikir jauh ke hadapan mendahului zamannya.Saya pernah bercerita di dalam entry-entry sebelum ini di mana ada editor dan  penulis majalah yang menyediakan bahan majalahnya dua bulan awal daripada isu bulanan.Contohnya kandungan  majalah untuk Bulan Jun iaitu edisi hari guru telah pun dimulakan proses penulisannya pada bulan April.Ini bagi menyediakan mereka menghadapi proses edit, mereka bentuk cover dan lay-out sehinggalah percetakan yang memerlukan masa dan komitmen tertentu.

Justeru, kadangkala saya merasakan kerjaya sebagai guru ini memang memerlukan kita bersedia seawalnya.Mendahului zaman sifatnya.Pengajaran harian berdasarkan Rancangan Pengajaran Tahunan disediakan di awal tahun.Ditambah dengan Sasaran Kerja Tahunannya.Rancangan pengajaran esok hari yang juga perlu difikirkan sebelum hari berikutnya.Itu pun adakalanya terlepas tempoh masa yang ditetapkan.Namun, kerjaya di bidang kewartawanan dan penulisan jauh menuntut pengorbanan dan persediaan awal.Istilah “dateline” merupakan suatu kalimah keramat bagi wartawan dan editor.Disiplin yang tinggi menyelesaikan tugasan penulisan mengikut masa adalah perkara yang amat penting bagi mereka.Itu antara perkara yang biasa dibincangkan apabila saya berhubung dengan insan-insan di bidang kewartawanan.

Atas dasar itulah, saya melihat peluang untuk menjadi kolumnis itu suatu peluang dan amanah yang perlu di sambut dengan penuh  rasa tanggungjawab.Penulis sambilan yang disiarkan artikelnya di majalah, akhbar mahupun portal berita online selain bersifat membuka minda khalayak melalui penulisannya, juga membantu tugasan editor.

Moga hubungan baik diantara editor-penulis ini akan terus subur.Moga penulisan dakwah samada di dada-dada akhbar mahupun majalah ataupun di portal berita maya ini akan terus ke hadapan ke arah mewujudkan masyarakat berminda Islami.

Ruzain Syukur Mansor


September 27, 2009

September 26, 2009

SUKARNYA MENGAJAR ADAB

“Ingat, jaga adab dan perilaku ketika berhari raya..Belajar menghargai pemberian orang.Ucapkan terima kasih,”

Itu antara nasihat yang sempat saya titipkan kepada anak murid ketika sesi tazkirah Majlis di Ambang Aidilfitri dua hari sebelum 1 Syawal.

Menerapkan adab sopan kepada anak-anak didik merupakan antara cabaran seorang guru.Banyak kali dipesankan , hormat orang tua, berjimat cermat, jangan meninggikan suara, jangan membazir malah sampai berbuih mulut memberi ingatan.

Kesannya? kita lihat bila tiba Aidilfitri.Gerun rasanya melihat anak-anak sepantas kilat membuka sampul angpow di depan tuan rumah.

“Dua ringgit je?, makcik sebelah tu bagi lima ringgit!”,

Kata-kata anak kecil yang biasanya disambut dengan gelak tawa tanda terhibur dengan usikan si anak.Namun jauh di sudut hati si tuan rumah hanya Allah sahaja yang tahu.

“Anak siapa lah budak ni..”

“Ustaznya di sekolah tak ajar adab ke?”

Pasti pedih telinga ustaz dan ustazah kalau mendengarlah komen yang datang dari lubuk hati si tuan rumah.

Berlaku di depan mata saya baru-baru ini ketika seorang anak berumur lebih kurang 9 tahun mengungkapkan kata-kata berikut kepada ayah di hadapannya:

“Lu cakap baik-baik dengan gua!”

Subhanallah! hati berdetik bercampur marah.Saya tahu itu dialog yang sentiasa meniti di bibir pelakon-pelakon drama melayu di televisyen.Watak anak marahkan ibu, anak menengking ayahnya kini ‘dilakonkan’ secara live di depan mata saya sendiri.Salah siapa? itu penangan drama melayu kita.Anak bangga dapat menengking ayahnya.Ayah hanya tersenyum..”alah, budak-budak”, katanya.Kalau anak murid saya begitu ..taulah saya ‘mengajarnya’ atas keceluparan mulutnya itu.

“Ingat, apa yang ustaz cakapkan ini terutamanya tentang adab, jangan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.Jangan pula nanti masuk telinga kanan, tak sempat keluar telinga kiri, keluar ikut telinga kanan juga!”,

sinis bunyinya pesanan saya di hujung tazkirah.

Ketawa anak didik mendengarnya.Tapi itulah hakikatnya apabila ilmu yang didengari hanya masuk ke kepala tidak meresap ke dalam hati dan jantung sehingga ke seluruh pembuluh darah .Begitulah akibatnya sekiranya ilmu hanya berkesan untuk menjawab peperiksaan tidak untuk diamalkan.

“Alangkah baiknya jika segala ilmu di sekolah tu dijadikan drama dan lagu ! baru budak cepat ingat!”,

Itu kata-kata biras saya sewaktu melihat anak-anak saudaranya lebih menghafal dialog Sudin dalam filem Bujang Lapok berbanding hafalan rukun imannya yang lintang pukang.Ada kebenarannya.Tapi  masakan 24 jam belajar di sekolah hanya menyanyi dan berlakon semata-mata?.Walaupun diakui ia antara kaedah pengajaran yang berkesan.

Lantas beberapa sitausi yang sempat saya telusuri di aidilfitri ini sepatutnya membuka mata semua insan, tak kira guru mahupun ibu-bapa.Adab sepatutnya bermula di rumah.

“Din, dah solat belum?, waktu asar dah nak habis ni?”, pantas si ayah mengingatkan anaknya.Tetapi sudahkah si ayah tersebut menunaikan solatnya juga di awal waktu?.Mengajar adab mesti dengan contoh dan tauladan.Baru senang dijadikan pedoman!

“Salam dengan orang tua, mesti cium kedua tangannya”, itu ingatan ibu kepada anaknya.Tetapi adakah itu juga amalannya terhadap orang tuanya?.

Tidak mustahil apa yang kita lakukan terhadap ayah dan ibu kita mungkin juga dilakukan oleh anak-anak kita terhadap kita suatu hari nanti.Ini juga perihal adab.Adab terhadap ibu dan bapa.

Amat  nyata, bahawa  mengajar adab kepada anak-anak ini bukan perkara enteng.Bukan juga hanya tugas warga pendidik.Ibu-bapa jangan lepas tangan.Anak-anak sendiri ingatlah pesanan orang dewasa tentang adab.Mengajar adab perlu dengan seninya.Tidak sama seperti mengajar Matematik dan sains.Cukup sekadar dapat menyelesaikan masalah.Mengajar adab dengan matlamat menyediakan pemimpin akan datang.Yang kaya dengan budi bahasa.Hebat tutur katanya.Hormat akan orang tua.Ingat akan asal-usulnya.

Moga-moga mengajar adab menjadi suatu yang dianggap penting.Amat-amat penting terutama buat anak-anak kita.

 

Ruzain Syukur Mansor

 


NASIHAT RAMADHAN

September 5, 2009

Unit Radio Sekolah?

“Ustaz, kalau boleh ustaz gerakkan unit radio sekolah tentu bagus.Pagi-pagi kita dengarkan murid-murid kita lagu-lagu motivasi dan nasyid mendidik jiwa”.

Itu arahan boss saya suatu ketika dahulu.Alhamdulillah, dua minggu sebelum Ramadhan pagi-pagi di Sawah Sempadan bergema dengan lagu-lagu dan nasyid penuh bermakna.pagi-pagi di Ramadhan ini di selang selikan dengan Bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan nasyid Ramadhan.

Ini nasyid kegemaran saya.Liriknya mengasyikkan penuh memujuk dengan senikata yang ringkas.Penuh bermakna.Sesuai untuk murid-murid.

Nasihat Ramadhan.

Bulan Ramadhan bulan bertuah

Bulan ibadah bulan mujahadah

Bulan rahmah bulan maghfirah

Bulan Al-Qur’an dan Lailatulqadar

 

Besarkan Ramadhan dengan puasa

Di waktu malamnya tambahkan ibadah

Bacalah Al-Qur’an banyakkanlah sedekah

Terawih kerjakanlah walaupun sunnah

 

Pelihara mata jagalah telinga

Kawallah lidah dari yang sia-sia

Fikirkanlah yang mendatangkan faedah

Hubungkanlah hatimu dengan Allah

 

Zikir salawat doa panjangkan

Pahala  Ramadhan dipanjang-panjangkan