ARTIKEL TERBARU DI UTUSAN MALAYSIA

Insan cemerlang pekerja gemilang

Oleh RUZAIN SYUKUR MANSOR

 

Keperluan mewujudkan tenaga sumber manusia yang berdaya saing merupakan usaha yang perlu diberi perhatian di abad ini. Baik di sektor swasta mahupun awam, pembentukan modal insan berkualiti mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama dan bertaraf dunia.Tidak mustahillah andainya penulis membayangkan mungkin unsur pembangunan dan kecemerlangan modal insan sebagai tema perayaan Hari Pekerja pada tahun ini.

Memperkatakan tentang modal insan, ia merupakan unsur yang begitu relevan untuk dibincangkan menjelang sambutan Hari Pekerja pada tahun ini. Modal merujuk kepada sesuatu yang menjadi bahan, keperluan untuk menggapai sesuatu.

Modal di dalam perniagaan misalnya diperlukan bagi menjana keuntungan dan membangunkan syarikat. Tetapi modal bagi membangun insan bukannya berbentuk material, tetapi kemampuan, kualiti diri, ilmu dan kemahiran yang wujud di dalam diri individu tersebut.

Kita melihat agenda Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006-2010 amat mementingkan modal insan bertaraf kelas pertama. Sejumlah 21 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM33.4 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri khusus untuk memacu institusi pendidikan dan latihan di dalam usaha memperkasa modal insan berteraskan ilmu pengetahuan.

Sementara Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menetapkan Teras Membangunkan Modal Insan sebagai tunjang utama pelaksanaannya.

Ia bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran yang tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu diharapkan para pelajar dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat, komunikasi , kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis , mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai nilai yang tinggi serta mampu untuk menjadi pemimpin di dalam keluarga dan masyarakat.

Ternyata perancangan dan dasar telah memihak kepada usaha menjana modal insan bertaraf antarabangsa. Namun apakah ramuan menjadikan modal insan bertaraf dunia? Adakah acuan sistem barat menjadi taruhan?

Menurut pakar Muamalat di Jabatan Muamalat di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam , Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir, pembangunan modal insan berteraskan kefahaman Barat tidak mementingkan aspek kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras utama.

Manakala konsep modal insan Islam berteraskan kepada pegangan akidah yang utuh. Ia akan membenihkan kekuatan dalaman yang akan menggerakkan apa juga usaha .

Elemen ini pula diikat dengan keindahan syariat Islam sebagai panduan, lantas dipandu oleh akhlak yang baik. Gabungan unsur akidah, syariah dan akhlaklah akan melahirkan modal insan yang berkualiti yang dapat menghindarkan mereka daripada terlibat dengan salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain lagi.

Proses melahirkan modal insan kelas pertama harus didasari perancangan strategik dan berkesan. Program latihan pembangunan sumber manusia harus membangunkan potensi insan lantas menjadikannya sebagai seorang pekerja yang berkebolehan menggunakan segala sumber yang ada untuk dijana menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada organisasi dan negara.

Manakala program kemahiran harus mengambil kira keperluan organisasi dengan kapasiti untuk memaksimumkan produktiviti. Ia harus merangkumi aspek latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan, motivasi, kepimpinan dengan tidak meminggirkan penerapan nilai dan kerohanian di dalam setiap program yang dianjurkan.

Selain itu, aspek pembangunan kerjaya modal insan juga tidak harus dilupakan. Modal insan berkualiti harus mampu untuk melonjakkan dirinya ke suatu tahap perkembangan di dalam sesebuah organisasi.

Andainya seorang pekerja bermula dengan kerjaya di bidang pengeluaran (production), seharusnya golongan ini mempunyai ruang untuk meningkatkan tahap akademik ke tahap diploma atau pun ijazah sehingga melayakkan mereka untuk meningkatkan diri ke tahap menguruskan sasaran pengeluaran.

Di bidang pentadbiran misalnya, biarlah individu itu bermula dengan mentadbir sesuatu unit, namun mempunyai akses kepada program latihan dan perkembangan kerjaya sehingga melayakkan mereka untuk mentadbir sebuah jabatan besar.

Maka proses ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pengurus jabatan latihan sahaja.

Titiktolak ke arah pembentukan modal insan kelas pertama bermula dari dalam diri seseorang pekerja itu sendiri. Tanyalah diri sendiri sejauh mana diri ini mahu dilonjakkan menuju puncak kecemerlangan.

Kemajuan sesuatu sistem latihan dan perkembangan kerjaya sesuatu organisasi itu tidak dapat berjalan seandainya individu sumber manusia itu sendiri tiada usaha untuk melonjakkan dirinya sebagai modal insan terpilih dan berkualiti. Semoga sambutan Hari Pekerja tahun ini memberikan sesuatu impak yang amat dirasai di dalam usaha melonjakkan modal insan dan sumber tenaga manusia ke suatu arah yang hebat dan berkualiti.

lPenulis ialah Guru Siswazah Pendidikan Islam lulusan Pengajian Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebarang komen dan perkongsian ilmu boleh ditulis ke ruzainsyukur_mansor@ yahoo.com atau layari akademipenulisbebas. wordpress.com

One Response to ARTIKEL TERBARU DI UTUSAN MALAYSIA

  1. Kig Her says:

    Hello to all, as I am actually eager of reading this weblog’s post to be updated daily. It carries good stuff.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: