AKU MENULIS LAGI

December 26, 2008

Assalamualaikum..

Sebagai guru, cuti sekolah ini bagaikan tiada beza dengan waktu kerja.Alhamdulilah Allah gerakkan hati untuk menulis lagi.Kali ini lantaran permintaan Cikgu Azmi, rakan aktivis remaja JIM yang memintaku untuk menulis buku coretan pengalaman tentang membimbing remaja di masjid.Ianya suatu buku yang membantu aktivis remaja untuk merancang aktiviti remaj dan akhirnya dapat menubuhkan kelab remaja masjid.

Selalunya kita hanya buat program remaja di masjid, tetapi dengan terbitnya buku in nanti, satu lagi pakej bantuan diberi kepada pihak pengurusan masjid iaitu “PANDUAN MENGURUS KELAB REMAJA MASJID’

Menulis memerlukan fokus rupanya.Teringat aku sewaktu mengajar di Limkokwing universiti, ada raka yang mengambil masa hampir 5 tahun untuk menyiapkan tesis masternya .Akhirnya Ustaz tersebut mengambil unpaid leave selama sebulan untuk menyiapakn tesisnya.Sekembalinya dari bercuti panjang, dengan senyumnya dia menyapaku, katanya “rupa-rupanya menulis perlukan fokus”.fahamlah aku mengapa fokus dan tanpa gangguan luar mampu menyebabkan kita leka dengan penulisan.

Kini buku tersebut dalam peringkat akhir penulisan.Cuma perlukan perkongsian daripada rakan-rakan aktivis remaja.daripada hanya menulis artikel di majalah dan akhbar dunia penulis bebas mahu dikembangkan seluasnya demi melihat dakwah ISlamiah berkembang tanpa batasan.

Ketajaman idea amat diperlukan bagi seorang penulis.Buku panduan Mengurus Kelab Remaja Masjid …dlam pembikinan tidak banyak merujuk buku dan kitab lain sebagai pandua.Ia banyak berdasarkan pengalaman ku sejak di UIAM membimbing remaja dan melaksanakan program dakwah.Harap-harapnya ia bakal menjadi panduan kepada guru-guru, pendakwah, ajk masjid dan juga para aktivisĀ  remaja yang berminat dengan dakwah untuk golongan muda.

jadi, doakan kejayaan saya..impian bakal menjadi kenyataan, InsyaAllah.

Ruzain Syukur

akademipenulisbebas


1430.. RUANG MUHASABAH DIRI..ARTIKEL SAYA DISIARKAN DI MAJALAH MILLENNIA MUSLIM JANUARI 2009

December 26, 2008

TAJUK:2009..MUHASABAH DIRI
OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR
(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)
http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

2009…MUHASABAH DIRI

Tahun baru muncul lagi, kali ini 2009 diberi namanya.Hanya 11 tahun sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun 2020.Saya teringat ketika sewaktu saya berada di bangku sekolah rendah sekitar 1980 an, di mana guru Pendidikan Seni mengarahkan kami seisi kelas untuk melukis gambaran kehidupan rakyat Malaysia pada tahun 2000. Saya menggambarkan kehidupan serba moden dengan manusia hanya makan makanan lazat berbentuk kapsul.Perhubungan begitu canggih dengan manusia berkenderaankan pesawat terbang melata untuk ke tempat kerja.Robot pintar menjalankan tugasan pejabat dan banyak lagi imaginasi yang amat tidak terbatas.Namun, sehingga kini tahun 2009, imaginasi tersebut masih jauh untuk digapai.Masih penuh berliku jalan ke tahun 2020.

Namun ranjau sehebat itu walaupun tidak kesemuanya dapat dicapai, usaha ke arah itu kini sedang berjalan lancar.Apa yang penting di awal-awal tahun ini seharusnya kita memikirkan di manakah tahap pencapaian diri kita?Apa pula sumbangan peribadi untuk kemajuan negara?Apakah sasaran dan perancangan 2008 lalu dapat dipenuhi dengan jayanya?.Sesetengah kita memandang enteng tentang erti muhasabah diri.Saban tahun dilalui sama seperti tiada apa pun yang berlaku.Sedangkan kita melihat di sekeliling kita , kalau dahulu bujang kini sudah berkahwin.Dahulu hidup berdua kini punyai zuriat.Dulu rambut masih hitam pekat , kini uban mula menjalar memberi petanda umur yang sudah meningkat.Bagi yang tidak menyedari semua itu, mereka termasuk di dalam golongan yang tidak peka kepada perubahan.Sedangkan pakar psikologi sudah pun memulakan disiplin pengurusan perubahan sebagai suatu ilmu.Ini menunjukkan peri penting untuk kita bermuhasabah kepada setiap perubahan yang berlaku.

Seharusnya kita berteleku adakah sebahagian daripada sasaran kerjaya misalnya sudah dipenuhi?.Di dalam sistem perjawatan sektor kerajaan, apakah sasaran kerja tahunan sudah dapat dipenuhi seratus peratus?ataupun ianya hanya bermakna sebagai pelengkap kepada proses mendapatkan markah prestasi kerja tahunan?.Apa yang dicanang di dalam perancangan kerjaya merupakan janji yang harus ditunaikan.Lantas setiap janji itu amanah untuk diselesaikan.Setiap amanah nanti tentunya akan dipersoalkan nasibnya.Itulah perjalanan ketentuan andai dilihat sebagai seorang muslim.

Sebagai suami, adakah setahun yang lalu anda mampu untuk membawa perubahan positif terhadap isteri ?.Berapa ramai suami yang berjaya membuka pintu hati isteri untuk bertudung dan mementingkan aurat di dalam pergaulan?.Berapa ramai pula suami yang berjaya menanamkan rasa kecintaan isteri kepada majlis ilmu?.Segalanya amanah yang juga pasti dipersoalkan pelaksanaannya.Mungkin itu juga tujuan dijadikan tahun baru samada Masihi atau Hijrah, iaitu untuk umatNya menilai tentang amanah dan tanggungjawab diri.

Sebagai ibu dan bapa pula adakah tanggung jawab tersebut masih dipikul dengan rasa tanggungjawab?.Berjayakah anak tercinta melahirkan rasa kehambaan kepada Allah?, atau masih lalai dengan budaya hiburan terlampau.Berjayakah anda mendahului tugas guru di dalam membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak?, ataupun masih tegar meletakkan seratus peratus tanggungjawab kepada guru untuk membentuk mereka.Sejauh mana kualiti masa yang diberikan untuk menjenguk kamar hati anak-anak , melihat perkembangan minda dan emosi mereka.Sudah tertunaikah malah apakah cukup amalan ibadah yang menjadi amalan anak-anak?, atau mereka gembira kerana tiada yang mengambil tahu perihal bilangan solat fardhu yang ditunaikan sehari semalam.

Sebagai anak, lupakah anda tentang ayah dan ibu kini menambah bilangan umurnya?.Apakah cukup kita mendambakan diri memberikan kasih sayang untuk keduanya?.Tepuk dada tanyalah diri.Mereka bukan menginginkan harta semata malahan curahan kasih sayang yang nyata tiada nilaiannya jika ingin diberi nilai.Bagi yang ibu-bapanya sudah dijemput Allah, maka ingatlah sabda Rasulullah S.A.W. , bahawa doa anak soleh dirintih dan dipohon buat menemani mereka di sana.Apa cukupkah sudah iringan doa buat keduanya? Atau kita yang alpa untuk mengisahkannya?.Tiadalah berguna andai sehebat mana pun kita , segah sangat nama di puncak namun restu ayah dan ibu jauh dari sepatutnya.Lantas ingatlah tanggungjawab kita sebagai anak .

Buat saudaraku, bernafaslah setelah segenap diri dan jantungmu bergoncang hebat menjawab soalan yang dimajukan.Jawablah dengan ikhlas sebagai muhasabah diri.Pastinya debaran ketika menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir jauh lebih hebat dari memikirkan persoalan tanggungkawab sebagai seorang hamba yang pasti dijemputNya suatu hari nanti.Itulah kehidupan namanya yang harus dilalui dengan berani dan tabah sebelum bertemu denganNya untuk di hisab di hari perhitungan.