j-QAF dan KAFA

March 31, 2009

Assalamualaikum..

Lewat petang itu saya dihubungi oleh seorang editor majalah yang sememangnya amat komited dengan soal Pendidikan Islam.Saya kaguminya.

Di dalam perbincangan ringkas itu, beliau menyentuh usul pendidikan oleh seorang tokoh iaitu bagi menyatukan j-QAf dan KAFA sebagai suatu sistem Pendidikan Islam.

Berikut komen awal saya sebagai Pelaksana program j-QAF

PENDAHULUAN
Menyingkap sejarah, sememangnya kedua-dua sistem iaitu j-QAF dan KAFA itu menuju matlamat yang sama iaitu untuk memperkasakan Pendidikan Islam.

Cumanya sistem j-QAF berada di bawah kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia, manakala sistem KAFA dikendalikan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri.

KURIKULUM
Kalau mahu disatukan kedua-dua sistem ini, maka memang tidak dinafikan akan membentuk sistem Pendidikan Islam yang termantap sepanjang sejarah Pendidikan Islam  negara.

Ini kerana kurikulum j-QAF melibatkan Jawi, Al-Qur’an, Bahasa Arab, dan fardhu ain (Ulum Syar’iyyah, Aqidah, Akhlaq, ibadah, sirah selain Bestari Solat menjadi teras).

Kurikulum KAFA pula nampak lebih mengkhusus dengan penekanan kepada sirah, Fiqh, Tajwid, Khat, Al-Qur’an, akhlaq, Bahasa Arab,Tauhid..Bayangkanlah sekiranya kedua-dua sistem ini digabungkan.Alangkah harmoninya.

KOKURIKULUM
Dari segi kokurikulum, di dalam program j-QAF kita ada Kem Bestari Solat, kem Literasi Al-Qur’an, Majlis Tilawah Al-Qur’an dan Festival Nasyid, Kalam Jamaie’ Bahasa Arab, Kem Bina Juara, Kem Bahasa Arab dan sebagainya.

Sistem KAFA juga wujud aktiviti kokurikulum seperti Majlis Amal Islami dengan memberi peluang untuk murid bertanding di dalam Majlis Tilawah Al-Qur’an, Hafazan, Nasyid, Syarahan, Berkhutbah, Khat dan pelbagai pertandingan lagi..

PERJAWATAN
Cuma, dari segi perjawatan, mungkin ada perkara yang harus difikirkan.Sistem Pendidikan Kementerian Pelajaran mensyaratkan guru-guru Pendidikan untuk memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan.

Maka ruang untuk guru-guru KAFA untuk mendapatkan Diploma Pendidikan ini perlu dibuka seluas mungkin.Jika sudah ada ruang untuk Guru Sekolah Agama bantuan Kerajaan (SABK) mendapatkan Diploma Pendidikan, maka ruang yang sama perlu dibuka untuk guru-guru KAFA.

PENYELARASAN
Aspek penyelarasan mungkin juga menjadi isu.Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pendidikan Islam perlu mengadakan penyelarasan dari segi keselarasan kurikulum dengan Pihak Jabatan Agama Islam Negeri.Ini bagi mengelakkan kecelaruan sistem diantara j-QAF dan KAFA.

SEKOLAH INTEGRASI (AKADEMIK+AGAMA)

Cadangan lain ialah mewujudkan sekolah Integrasi bagi semua murid Islam.Satu sesi untuk Pendidikan akademik, satu sesi lagi difokuskan untuk pembelajaran pendidikan Islam.Bermakna murid berada di sekolah yang sama bermula 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.Ini merana Kurikulum akademik akan dilaksanakan oleh guru akademik di sesi permulaan, sesi Pendidikan Islam pula menjadi sesi kedua dikendalikan oleh Guru Pendidikan Islam melibatkan gabungan Guru j-QAF dan KAFA.

Sesi j-QAF dan KAFA itu disatukan menjadi suatu sistem Pendidikan Islam Baru.Tiada lagi istilah guru j-QAF dan Guru KAFA, semuanya telah ditransformasikan menjadi Guru Pendidikan Islam

Ini bermakna Sistem Pendidikan Islam Baru menggabungkan j-QAF dan KAFA.Guru j-QAF dan KAFA ini diselaraskan perjawatan mereka dari segi gaji dan gred.Tiada perbezaan diantara mereka.

Guru KAFA diserap terus menjadi Guru Pendidikan Islam Kementerian pelajaran Malaysia dengan peluang memperolehi Diploma pendidikan dibuka luas.

Malah, kemasukan guru-guru KAFA untuk menjadi sebahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru Pendidikan Islam j-QAF di sekolah-sekolah yang mempunyai limpahan murid.

Ini menuntut kerjasama dan penyelarasan daripada Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Negeri.Prosesnya sama sepertimana penyerapan sekolah agama menengah negeri kepada pihak Kementerian Pelajaran di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Persoalannya adakah pihak kerajaan sudah bersedia dengan segala kemudahan jika mahu menempatkan semua murid di bawah sistem Sekolah Integrasi?.Jumlah kelas yang diperlukan pasti berlipat kali ganda.

Bagaimana pula nasib penyelia KAFA dan kakitangan bukan akademik sekolah KAFA.Adakah wujud peluang untuk mereka terus menjalankan tugas di mana-mana institusi.Ataupun kakitangan pejabat tersebut turut diserap menjadi kakitangan bukan akademik sekolah kementerian pelajaran bagi menguruskan hal ehwal Pendidikan Islam.

 

Jika ada kemampuan dari segi kewangan serta berkemampuan untuk mewujudkan kemudahan infrastruktur, tiada salahnya Kurikulum baru Pendidikan Islam berteraskan sistem j-QAF dan KAFA ini digabungkan.Penyelarasan akan menjadi isu utama.

Kesanggupan pihak-pihak tertentu untuk membincangkan perkara ini pasti membuahkan hasil yang menarik.Jika tidak, teruskan dengan sistem yang ada kerana ianya tidak pun gagal setakat ini..

PANDANGAN DI ATAS MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN BUKANNYA PANDANGAN DARIPADA PIHAK AUTORITI..SEKADAR BERKONGSI MENCARI PERKEMBANGAN MINDA..

 

RUZAIN SYUKUR MANSOR

AKADEMI PENULIS BEBAS.

Advertisements

CABARAN MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN SIRI 1

March 28, 2009

Assalamualaikum..

Sememangnya sejak saya mula-mula menceburi dunia penulisan, topik berkenaan dengan guru dan pendidikan seringkali menjadi genre perbincangan.Mungkin juga oleh kerana saya seorang pendidik.Pastinya individu yang berada di dalam profesion dan menjiwainya pasti memikirkan bagaimanakah caranya untuk memartabatkan dunia kerjayanya.

Setelah hampir setahun di alam maya, berdasarkan blog stat, sokongan dan lawatan dari pelawat amat memberangsangkan yang nyata memerlukan curahan idea minda berkenaan isu memperkasakan dunia keguruan ini.

Andai ingin dilihat dari sudut cabaran, warga pendidik harus sedar bahawa cabaran itu datang daripada sikap dan mindanya.Apakah seorang guru itu berbangga menjadi seorang pendidik dan menggangap segala ilmu sudah penuh didadanya?.Ruang dan usaha menjadi guru yang sentiasa mahu melonjakkan kemampuan minda dan dirinya ke suatu tahap keilmuan yang lebih tinggi dilihat sebagai cabaran utama.Artikel saya pernah di siarkan di Majalah Pendidik berkenaan dengan Program Pengijazahan Guru (PGSR).Ia suatu wadah baru buat guru untuk mengenggam segulung ijazah.Namun apakah sesudah menggenggam skrol maka anda sudah berada di puncak ilmu?.Adakalanya saya sendiri berasa teruja apabila melihat mahasiswa sarjana dan Phd yang sudah bergelar datuk dan nenek.Kesungguhan mereka mencabar anak dan cucu-cucu mereka wajar dilihat sebagai contoh dan tauladan.Begitu juga seorang guru, ruang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran terbuka luas.Latihan Dalam Perkhidmatan yang kini menjadi agenda utama pihak pentadbir perlu disambut dengan kesungguhan, walaupun terpaksa mengorbankan ‘cuti sabtu’ kerana berkursus dan sebagainya.

Dunia pendidikan alaf baru memberikan impak kepada kehidupan seorang guru.Menghadapi karenah disiplin pelajar, kes-kes buli yang semakin menakutkan, anak didik yang melawan guru dan sebagainya.Ini tidak termasuk dengan bebanan kerja yang pelbagai.Apatah lagi menghadapi rungutan keluh kesah ibu-dan bapa yang memeningkan.Kekuatan guru alaf baru masakini bukan sahaja terletak pada daya keintelektualan sahaja.Kekuatan yang harus menunjangi seorang guru yang hebat adalah keupayaannya mengawal emosi.Kemampuannya mengawal dan mengendalikan emosi inilah menjadi penguat semangat untuk seseorang itu kebal dengan segala tekanan dan halangan.Beberapa kes guru bertindak keterlaluan sedikit sebanyak berpunca daripada keadaan tertegang dan tekanan yang amat sangat.Namun kebijaksanaan mengawal emosi ini seharusnya menjadi pendinding diri selain keimanan daripada bertindak di luar batasan kewarasan seorang insan bergelar pendidik.

Justeru, dalam usaha memertabatkan profession perguruan ini, marilah kita melihat kepada dua cabaran ini iaitu cabaran menambah ilmu dan kepakaran.Keduanya cabaran untuk mengendalikan emosi.Banyak lagi cabaran yang dilalui dan akan saya kongsikan dalam siri perkongsian yang akan datang.Usaha memantapkan diri dengan nilai tambah akan menjadikan diri guru itu seolah internet bergerak menyumbang informasi terkini di luar daripada apa yang terkandung di dalam Rancangan Pengajaran Harian, Rancangan Pengajaran Tahunan, serta buku teks sekolah.Manakala, kesabaran dan kebijaksanaan seorang guru mengawal emosinya akan menjadikan diri anda dihormati sebagai seorang insan berhemah dan berperibadi tinggi..Percayalah..

 

Semoga bertemu lagi

Ruzain Syukur Mansor


MENANTI PENUH DEBARAN…

March 8, 2009

Assalamualaikum…

….” ada, dalam proses edit.Kita plan terbit by Pesta Buku April nanti”…begitulah petikan SMS editor kepada penulis berkenaan perkembangan manuskrip buku A To Z :Tips Urus Kelab Remaja Masjid yang lalu.

 

Sesungguhnya hubungan yang baik di antara penulis dan editor merupakan kunci kejayaan kepada proses penerbitan sesebuah buku.Sikap saling membantu dari segi penjanaan idea serta berbaik sangkan pula menjadi faktor penyokong usaha murni tersebut.

 

Sementara sasaran masa yang diletakkan harus rasional dengan kemampuan editor untuk .Jangan sesekali memaksa editor mempercepatkan proses penerbitan buku.Fahami dan berilah dorongan untuk mereka menjalankan tugas.Berikan penghargaan selayaknya buat pengorbanan mereka menghasilkan penerbitan buku yang berkualiti.

 

Bagi seorang penulis yang menanti bukunya penerbit, perbanyakkan doa untuk dipermudahkan segala urusan.Moga penat lelah kalian akan hilang setelah menatap cover buku anda buat kali pertama nanti.

 

Terima kasih

Ruzain Syukur mansor