KERJAYA SEBAGAI GURU j-QAF

Assalamualaikum..

Pada awal kewujudan Blog akademipenulisbebas ini, saya hanya bercadang untuk memuatkan suka duka dan pengalaman hidup sebagai penulis bebas.Ketika itu saya sudah pun bergelar seorang guru.Namun ada satu entry saya yang berkenaan dengan cabaran dan usaha mempertabatkan profesion perguruan yang sentiasa di baca oleh rakan-rakan guru.Ada yang menjadikannya sebagai rujukan untuk tugasan maktab dan sebagainya.Saya terharu.Menyedari tentang para pelawat blog ini yang kebanyakannya daripada kalangan rakan-rakan guru, isu-isu pendidikan juga turut saya kupas.

Saya teringat ketika dihubungi oleh editor Majalah Millenia Muslim, Encik Zul, yang ingin saya menulis berkenaan beberapa isu pendidikan.Contohnya isu penggabungan j-QAF dan KAFA.Malah, hubungan baik saya dengan editor tersebut memberikan saya peluang untuk berkarya di Majalah Millenia Muslim kendalian Encik Zul.Terbaru artikel Berdakwah di Sekolah yang disiarkan pada keluaran Ogos Millenia Muslim.Sebelum itu, pernah juga dimuatkan artikel saya menyentuh bagaimana program j-QAF dapat membangun modal insan.

Malah, beberapa rakan guru j-QAF yang turut sama memasukkan link (pautan) blog saya ini di dalam blog mereka.Antaranya:

http://j-qafsktelokmenegon.blogspot.com/ (Ustaz Hamidi & ustazah Saliza)

http://mendidik.blogspot.com/ (Ustaz Nazri )

http://lankemahang.blogspot  (Ustaz Roslan-Lan Kemahang)

Saya terharu dengan penerimaan kalian.Merujuk kepada blog stat pengunjung kini, ramai juga pengunjung yang bertamu setelah klik pautan melalui blog-blog hebat diatas.Syukran kerana sudi berkongsi info.Walaupun Lan di Sarawak, Ustaz Hamidi yang hanya bertemu ketika kursus pemantapan, Ustaz Nazri hanya saya kenal di alam maya.Tetapi penulisan menemukan kita.Semoga usaha kalian berdakwah melalui media akan diberkati Allah.

Justeru, bagi menghargai jasa guru-guru j-QAF, malah memberikan pendedahan kepada umum tentang kerjaya sebagai guru j-QAF, berikut saya muatkan artikel berkenaan perkara tersebut.Sila berikan komen kalian untuk kebaikan bersama.

P4102107

KERJAYA SEBAGAI GURU J-QAF

OLEH :

RUZAIN SYUKUR B MANSOR

B.A. (HONS) Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

Guru j-QAF SK Sawah Sempadan Tanjung Karang

 

Sepuluh tahun dahulu kita tidak pernah terfikir tentang suatu sistem pembelajaran j-QAF yang kini meniti di bibir ibu-bapa, para pentadbir, guru-guru serta ahli masyarakat.Namun andai situasi semasa dijadikan sebagai bahan analisis, kita melihat bagaimana ibu-bapa mula mencarikan anak-anak mereka buku-buku berkenaan dengan j-QAF, malah ada yang sibuk mencari guru-guru tuisyen yang boleh mengajar anak-anaknya dirumah khusus sebagai sesi tambahan untuk permata hati mereka menguasai apa yang dipelajarai melalui program j-QAF.

 Begitulah sedikit sebanyak impak pelaksanaan program j-QAF di Malaysia.Ianya mencetuskan kesedaran di kalangan masyarakat tentang keperluan untuk memperkayakan anak-anak mereka tentang ilmu-ilmu Al-Qur’an ,jawi bahasa arab dan fardhu ain.

 

Namun begitu tentu ada yang tertanya-tanya perihal dan keadaan kehidupan guru-guru j-QAF, malah mahasiswa Pengajian Islam di tahun akhir sudah mula sibuk mencari informasi tentang keperluan dan keadaan sebenar individu yang bergelar guru j-QAF.Penulisan ini akan cuba menyingkap tentang siapakah guru j-QAF dari segi kelayakan, bidang tugas , amanah , serta peluang peningkatan diri mereka.

Kelayakan

Graduan yang sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda pengajian Islam atau Bahasa Arab daripada universiti tempatan dan luar negara layak untuk memohon jawatan guru j-QAF.Graduan Pengajian Islam daripada universiti luar negara harus memiliki surat pengesahan ijazah daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) .

 Temuduga

Proses temuduga mengikut sistem sedia ada, calon akan dinilai melalui ujian bertulis bagi menilai sahsiah dan peribadi.Andainya melepasi tapisan ini,  calon akan diuji untuk temuduga kali kedua secara perbincangan berkumpulan mengenai isu-isu semasa, ujian bertulis mengenai esei bahasa arab serta temuduga secara berhadapan dengan panel penemuduga Kementerian Pelajaran  Malaysia.Sewaktu temuduga inilah kemampuan akademik , keagamaan, kebolehan berbahasa arab serta sahsiah calon akan dinilai .

Latihan

Latihan bagi pelatih j-QAF akan dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru melalui Institut Pendidikan Guru selama lapan belas bulan secara Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Latihan Perguruan Berasaskan sekolah (KPLI LPBS j-QAF ) .Mereka akan ditempatkan terus di sekolah-sekolah dan menghadiri kursus ketika cuti sekolah berlangsung.

Sifat yang perlu ada pada seorang guru j-QAF

  1. Sukakan kanak-kanak

Sifat terpenting yang perlu ada di dalam sanubari guru-guru j-QAF ialah suka kepada kanak-kanak.Ini kerana mereka akan ditempatkan untuk mengajar murid-murid tahun satu hingga enam dan tidak dapat lari dari tugas mengasuh dan membimbing anak-anak kecil yang begitu membara keinginan untuk menimba ilmunya. Golongan ini agak aktif sesuai dengan perkembangan dirinya

  1. Penyabar

Sesuatu yang amat penting guru j-QAF perlu memiliki sifat sabar yang tinggi.Ini kerana mereka akan berhadapan dengan seribu satu kerenah kanak-kanak yang pelbagai personaliti dan pembawakan.Ada yang digelar ’hyper aktif’, sedikit nakal, pendiam, degil, pemalu tidak kurang juga yang mempunyai masalah pembelajaran.Namun sebagai kanak-kanak usia sedemikian, adalah normal mereka memiliki peribadi tersebut , Cuma terserahlah kepada guru-guru tersebut untuk membentuk peribadi mereka sehingga menjadi anak-anak soleh dan soleh

2.Perihatin

Setiap anak-anak di peringkat sekolah rendah terutamanya di tahun satu dan dua akan menunjukkan perubahan tingkah laku berdasarkan emosi dan persekitaran yang berbeza.Sebagai seorang guru j-QAF mereka harus cepat memahami dan mengesan serta perihatin terhadap sebarang perubahan yang berlaku ke atas emosi dan tingkah laku anak murid untuk tindakan yang sepatutnya.

3.Kreatif dan berinovasi

Perubahan keadaan persekitaran di mana anak-anak terdedah dengan keadaan yang pelbagai memerlukan guru j-QAF yang kreatif dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.Penggunaan bahan dan kaedah pengajaran yang sama akan menyebabkan kanak-kanak akan berasa cepat bosan dan akhirnya tidak berminat untuk belajar.Gunakan kreativiti anda menggunakan pelbagai sumber dan kaedah seperti teknologi maklumat, internet, akhbar di dalam darjah untuk melaksanakan pengajaran yang menyeronokkan.

4.Bijak  menarik minat

Guru j-QAF harus memahami keperluan dan psikologi kanak-kanak untuk menjadi guru yang cemerlang.  Mereka harus memahami bahawa kanak-kanak suka kepada nyanyian, warna-warni, bunyi serta sumber yang pelbagai.Oleh itu guru j-QAF harus menerapkan unsur-unsur ini supaya pengajaran yang dirancang berjalan seiring dengan keperluan kanak-kanak yang memerlukan rangsangan deria.

 Bidang Tugas dan Tanggungjawab Guru j-QAF

 Kurikulum

Guru j-QAF harus melaksanakan sepenuhnya model-model P&P j-QAF iaitu Model Pemulihan Jawi, Enam Bulan Khatam Al-Qur’an, Tasmi’ Al-Qur’an, Bahasa Arab Komunikasi dan model fardhu ain seperti Kem Bestari Solat.Selain  itu mereka perlu menjalankan sesi pengajaran Al-Qur’an , jawi dan Ulum Syariyyah bagi membantu guru-guru Pendidikan Islam sedia ada.

 

Tanggungjawab lain

Memandangkan guru-guru j-QAF merupakan sebahagian daripada warga akademik sekolah, maka mereka perlu melaksanakan tugas-tugas kokurikulum seperti menjadi pembantu pembimbing kelab dan persatuan atau kelab beruniform, melatih peserta-peserta pertandingan nasyid, tilawah Al-Qur’an dan hafazan bagi menyertai pertandingan yang di anjurkan oleh pihak Pejabat  Pelajaran Daerah dan sebagainya.

Bersama masyarakat

Guru j-QAF harus terlibat dengan program-program kemasyarakatan sebagai sumbangan kepada masyarakat.Guru j-QAF yang baik adalah mereka yang sentiasa dekat dengan program keilmuan di masjid-masjid dan surau serta aktif di dalam program ramah mesra bersama komuniti setempat

Peluang Peningkatan kerjaya

Setelah mendapat pengesahan jawatan , guru j-QAF atau jawatan hakikinya iaitu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) akan mendapat ruang peningkatan kerjaya sama seperti PPPS yang lain.Namun demikkian ianya perlu melepasi syarat ikhtisas yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

 Di bidang Perkhidmatan Perguruan , mereka ini berpeluang untuk menjadi pensyarah institut pendidikan guru setelah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Di bidang pentadbiran pendidikan , kini wujud beberapa jawatan yang dilihat menguruskan pentadbiran dan hal ehwal program dan guru j-QAF seperti Penolong Pengarah j-QAF di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya di Sektor Pendidikan Islam dan Moral.Jawatan seperti di atas sebenarnya mungkin membuka peluang guru-guru j-QAF untuk mengembangkan kerjaya di peringkat pentadbiran pendidikan suatu hari nanti, namun ianya bergantung kepada keperluan dan keadaan.

 Yang lebih penting adalah tanggung jawab sebagai guru sendiri di sekolah mempunyai peluang pengembangan kerjaya di mana kini sudah wujud jawatan guru cemerlang dan pengetua cemerlang bagi insan pendidik yang menunjukkan kebolehan dan prestasi yang membanggakan.Penghargaan seperti ini membuktikan bahawa kerjaya sebagai guru ini bukan lagi dilihat sebagai kerjaya kelas kedua.Malahan , kita melihat ribuan permohonan dihantar kepada pihak Kementerian Pelajaran bagi mengisi kekosongan jawatan guru-guru berijazah melalui kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang ditawarkan setiap tahun.

 Namun demikian, tanyalah kepada guru-guru j-QAF yang sudah menjawat jawatan ini, mereka mengakui bahawa tugas dan amanah ini merupakan suatu tanggungjawab yang begitu besar  nilainya iaitu untuk melahirkan insan yang benar-benar memahami dan mengamalkan ilmu-ilmu Islam serta kental imannya buat menghadapi pancaroba duniawi yang tidak terkira hebatnya terutama bagi anak-anak muda masakini.andai kerjaya ini lah yang dipilih berjanjilah kepada diri sendiri untuk sama –sama menaikkan martabat Islam melalui pendidikan dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk melahirkan modal insan yang beriman, bertaqwa dan beramal.

 

Pastikan….j-QAF tanpa gagal , Tanpa j-QAF gagal….

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan kini bertugas sebagai Guru j-QAF di SK Sawah Sempadan Tg karang

Sebarang perkongsian boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog     www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

9 Responses to KERJAYA SEBAGAI GURU j-QAF

  1. najib says:

    salam..leh x bgtau ble ag open j-qaf??aritu sy dh terlepas..nk sgt jd guru..hm..

  2. adawiyah says:

    terima kasih ia amat bermakna untuk saya… saya da dapat selesaikan tugasan kerja individu…

  3. rina says:

    berapa tangga gaji jqaf…jqaf ni kira lulusan diploma pendidikan ke?

  4. zarina says:

    salam…sy nak tanya, temuduga individu dlm bhs arab ke…?

Leave a comment