DOA PERPISAHAN..

November 19, 2009


Saya menulis di dalam keadaan emosi yang pelbagai.Surat penempatan semula ke sekolah baru di suatu daerah yang tidak jauh dari kediaman beberapa kali di tatap.Itu kepastian.Bukannya Cobaan lagi.

Esok hari terakhir bertemu anak-anak didik di SK Sawah Sempadan yang dihuni sejak 2007.Raut anak kecil sedikit hiba apabila menerima berita akan berpisah dengan gurunya.Memang begitu resam hidup.Akan lebih terasa di saat akhir-akhir pemergian.Satu demi satu nostalgia bersama anak didik menerjah kotak minda.Ada suka, ada duka, ada tawa, ada segalanya.Rupanya saat mengisi borang pertukaran tidak sama rasanya dengan saat menghadapi saat-saat perpisahan dengan anak murid dan rakan-rakan setugas.Peringatan untuk masa hadapan.

Header Blog Akademipenulisbebas ini berlatar belakang kan kawasan sawah padi pada jam 7.15 pagi di Sawah Sempadan.Ia sengaja di letakkan.Ia sebagai penghargaan kepada bumi Sawah Sempadan yang banyak menginspirasikan minda ini untuk menulis dan berkarya.Lokasi itu berhampiran dengan tempat saya bertugas sehingga akhir November 2009 ini sebelum melapor diri ke SK Telok Menegon 1 Disember 2009 . Ada satu cerpen saya yang tersiar di Majalah e-Siswa pada 2007 rasanya yang saya inspirasikan dek kepayahan dan keazaman anak Sawah Sempadan.Wataknya hidup kerana berlatar belakangkan kehidupan yang jelas di depan mata saya.Cerpen itu saya siapkan pada jam 1.59 pagi dengan linangan air mata yang tidak dapat di tahan.Terima Kasih Cikgu tajuknya.

Jarang saya bercerita tentang kisah peribadi di blog ini memandangkan kewujudan asalnya bermatlamatkan travelog dakwah kreatif.Tetapi liku ini memberikan saya seribu satu emosi yang bercampur gaul.Bumi indah ini akan saya tinggalkan buat sementara waktu.Akan saya ziarahi bila-bila masa dek kerinduan yang pasti hadir.Ini bumi pelbagai kisah dan cerita.Perjalanan dari kediaman ke bumi ini sejak tahun 2007 memberikan saya pelbagai idea untuk menulis.Itu pengalaman hidup.Coretannya boleh agaknya menjadi 100 helai mukasurat buku travelog kehidupan jika mahu di bukukan.

Tapi ini kehidupan.Ada misi yang perlu di teruskan.Patah tumbuh hilang berganti.Yang pastinya, Allah sediakan hikmah di sebalik perpisahan ini.Menanti di sana madu’ yang ternanti-nanti tunjuk ajar dan panduan.

Moga-moga hijrah ini memberikan sesuatu medan baru untuk berdakwah.Medan baru bermakna suasana baru.Suasana baru bermakna keadaan baru pasti hadir dengan sasaran berbeza.

Ya Allah, Bagimu segala perancangan buatku.BagiMu segala jawapan bagi segala persoalan.Padamu ‘Hikmah’ di sebalik segalanya.Padamu aku berserah.Amin .Wahai Tuhan sekalian Alam.

Ruzain Syukur Mansor
10.45 p.m.


PANGGILAN HAJI

November 8, 2009

“Abah cadang nak pergi umrah 2013.Nak ikut?”, tanya abah baru-baru ini.

“Kenapa tidak”, jawab ku merangkap azam untuk turut ke sana.

Menunaikan haji mahupun umrah sememangnya memerlukan pengorbanan, keazaman, komitmen yang tinggi.Keazaman yang tidak sedikit.Justeru, pemergian sanak saudara ke Makkah mengerjakan ibadah haji sememangnya disertai dengan doa moga-moga saya turut sama dijemput Allah ke sana.

Buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman karya Prof Kamil UiTM Johor , terus menjadi bahan bacaan saya.Syukran Prof.Suatu dorongan motivasi untuk ke sana.Karya insan kerdil yang hebat dengan penulisan yang menginspirasikan.

Buat para jamaah haji yang akan berangkat ke tanah suci mengerjakan haji, ditipkan doa buat kalian agar dikurniakan haji yang mabrur.Moga perjalanan ibadah suci kalian di sana mendapat keberkatan dan kerahmatan dariNYA.

Amin Ya Rabbal Alamin.

 

 


RISIKO MENULIS DI INTERNET BAGI PENULIS BEBAS YANG BERKERJAYA

November 8, 2009

Assalamualaikum.

Mungkin tajuk entry saya kali ini sedikit menggerunkan.Tiada siapa yang menjangkakan sebarang risiko apabila kita menulis di media baru .Baik menulis di blog sendiri, blog rakan atau meletakkan artikel yang diterbitkan di media cetak  di blog peribadi.Apatah lagi jika kenyataan itu di kongsi di laman sosial seperti facebook.

Lebih-lebih lagi penulis bebas yang masih bertugas dengan sesebuah organisasi.Walaupun kenyataannya bersifat peribadi,  tetapi adakalanya kita tidak dapat lari daripada kebertanggungjawaban kepada organisasi di mana kita bernaung.

Contohnya , andainya anda seorang guru.Anda bebas untuk bersuara dan menulis di atas kapasiti pandangan peribadi.Tetapi anda seharusnya berhati-hati lebih lagi apabila memberikan komen mahupun kritik keras terutamanya mengenai sesuatu dasar pendidikan.Niat anda pastinya di atas kapasiti pandangan peribadi.Tetapi kenyataan tersebut mungkin di petik oleh blogger yang lain dan di ulas dengan konteks  yang berbeza berbanding kenyataan anda yang asal.Ini bukan untuk bersalah sangka dengan dengan blogger yang lain.Masing-masing menunjukkan komitmen yang baik untuk berkarya dan bersuara.

Oleh sebab itu, penglibatan saya sebagai penulis bebas, menulis di majalah dan akhbar telah mendapat kebenaran daripada Pengarah di Jabatan tempat saya bertugas.Ia kebenaran bertulis dengan surat rasmi bagi tujuan penulisan dakwah kreatif di media.Namun, di letakkan sedikit peringatan di hujung surat tersebut , sebarang pandangan merupakan pandangan peribadi dan tidak menggambarkan kenyataan pihak  jabatan.

Ada blogger yang bertanggungjawab dengan meminta izin untuk mengambil artikel di blog kita untuk tujuan diletakkan di blog peribadinya.Dengan cara ini , kita sendiri dapat memastikan apakah tujuan artikel tersebut di kongsi.Tetapi ada blogger yang bersifat ambil artikel dari blog kita, letak di blognya serta menambah tafsiran yang  berlawanan dengan makna asal penulisan tersebut.

Apa yang dirisaukan bagi penulis yang bernaung dengan sesuatu organisasi kerjaya (penulis bebas) , ia mungkin menimbulkan salah faham dengan majikannya.

Oleh sebab itu, saya nasihatkan kepada sidang penulis bebas, blogger, terutamanya yang masih bertugas di mana-mana organisasi untuk sentiasa perihatin terhadap ‘perjalanan’ artikel dan penulisan anda di internet.Selang beberapa minggu, sila taipkan nama anda atau nama blog anda di paparan carian ‘yahoo’ atau ‘google’.Nama anda atau kenyataan anda melalui blog mungkin akan muncul sekiranya kenyataan tersebut di masukkan ke dalam blog rakan-rakan atau blogger yang berminat dengan artikel tersebut.

Pastikan ianya masih di tafsir sama dengan niat anda sewaktu mula-mula menulis artikel tersebut.

Perkara ini berlaku kepada diri saya baru-baru ini.Kenyataan saya di laman blog seorang tokoh penulisan tanah air di salah petik oleh seorang blogger di blog kendaliannya.Nampak gayanya ia sebagai di jadikan modal untuk kepentingan diri dan perjuangannya.Niat asal komen tersebut yang bersifat peribadi telah dijadikan sebagai suatu kenyataan yang disalah tafsir lari daripada tafsiran asal.

Entry kali ini bersifat untuk mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan tentang risiko yang kita sendiri tidak tahu bahananya di kemudian hari.Ada kenyataan seorang pegawai agama baru-baru ini yang bersifat peribadi, tetapi ditafsirkan sebagai pandangan jabatan di tempat dia bertugas.Walaupun jabatan yang menaunginya menafikan ianya adalah kenyataan jabatan dan merupakan pandangan peribadi pegaawai itu semata-mata.

Tetapi itu adalah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis bebas yang ‘makan gaji’ dengan sesebuah organisasi.Imej organisasi juga perlu di ambil kira sebelum menulis tentang sesuatu isu.Sentiasa berwaspada dengan penulisan anda.

 

RUZAIN SYUKUR MANSOR

Pandangan di atas merupakan pandangan peribadi penulis seamta-mata.Penulis boleh dihubungi melalui e-mail ruzainsyukur_mansor@yahoo.com


KOLUMNIS:ERA BARU SEORANG PENULIS BEBAS

November 1, 2009

Sudah agak lama saya tidak memberikan sebarang berita terbaru di dalam blog akademi penulis bebas ini.Cabaran kerjaya begitu hebat sekali di akhir-akhir tahun begini.Program-program j-QAF  seperti Kem Literasi Al-Qur’an Perdana , Kem Bina Juara, Kem Bestari Solat Perdana peringkat Daerah Kuala Selangor yang kini masih berjalan sehingga minggu-minggu terakhir persekolahan 2009.Ini tidak termasuk tugasan rutin seorang pendidik seperti data, peperiksaan, markah, Hari Kecemerlangan Murid yang sememangnya menjadi kewajipan untuk diselesaikan.

Dek kesibukan itu jugalah, blog ini tidak menerima entry terbaru hampir empat minggu, malah hampir tiada artikel pun tersiar di akhbar perdana sebulan dua ini.Kecuali ada satu artikel terbaru di majalah Cahaya JAKIM bulan ini.Ditambah dengan munculnya penulis baru yang artikelnya turut tersiar di majalah JAKIM, Saiful Bakhtiar Mansor, abang kandung saya sendiri.Itu mungkin berkat cabaran dan motivasi yang pernah saya lontarkan kepada beliau baru-baru ini.Penulisan nyata memerlukan semangat dan dorongan.Nampaknya saya perlu berebut kolum di majalah Cahaya Jakim dengan abang saya sendiri.Itu persaingan yang baik dan sihat.Sekurang-kurangnya saya berjaya untuk menggerakkan seorang lagi penulis untuk terus berkarya dan mula berdakwah dengan pena.

Baru-baru ini juga saya mula memasuki satu fasa baru bagi seorang penulis bebas.Menjadi kolumnis untuk Portal Berita Online www.malaysiaharmoni.com 

Ingin saya petik tulisan editor web portal ini, Saudara A Ralim Md Yassim:

Malaysia Harmoni muncul sebagai sebuah portal berita semasa yang menjadi satu lagi saluran maklumat rakyat Malaysia. Dasar utama Malaysia Harmoni ialah Islam. Dan dengan menjunjung tinggi prinsip menerapkan kebaikan sambil mengikis keburukan dalam masyarakat, Malaysia Harmoni akan mencuba sedaya upaya mewarnai kehidupan ini agar indah di mata dan damai di hati.

Malaysia Harmoni bersikap objektif serta menawarkan pendirian dan pertimbangan secara profesional. Oleh itu, kami tidak akan sengaja mempromosikan pandangan mana-mana kelompok tertentu dalam isu-isu yang kontroversi tentang polisi awam, politik atau industri melainkan hanya kerana kebenaran yang ada.

Dua artikel saya sudah disiarkan artikel di Portal Malaysia Harmoni ketika ini bertajuk: Perlukah Pengguna e-mail beretika dan Ada Apa dengan Dakwah Remaja.

Menjadi penulis jemputan ataupun kolumnis merupakan cabaran dan peluang baru untuk saya.Editor pasti ada sebab tersendiri mengapa memilih seseorang penulis memenuhi kolum di majalah mahupun runagan tertentu.Cabarannya pasti untuk terus konsisten dan istiqomah membekalkan artikel-artikel bermanfaat untuk terus mengisi kolum yang disediakan.Jadi, menjadi kolumnis di mana-mana majalah mahupun portal berhubungkait dengan komitmen.Apatah lagi ia bersifat online memerlukan berita dan artikel yang segar , pantas bergerak dan dikemaskini.Ini cabaran secara kolektif di antara kolumnis dan editor walaupun tiada perjanjian bertulis mengenainya.

Di dalam perjumpaan dengan Bos sebuah syarikat penerbitan majalah Islami baru-baru ini saya belajar tentang penerbitan cerita bersiri di majalah tersebut.Rupa-rupanya ready stock artikel ataupun cerita perlu disediakan secukupnya (dalam jumlah yang banyak)  sebelum sesuatu cerita bersiri ingin diterbitkan.Ini bagi mengelakkan cerita bersiri tersebut tiba-tiba kehilangan kesinambungan kerana kehabisan stock sambungan cerita.

Kehidupan di dalam bidang kewartawanan dan penulisan  ini banyak mengajar seorang penulis untuk berfikir jauh ke hadapan mendahului zamannya.Saya pernah bercerita di dalam entry-entry sebelum ini di mana ada editor dan  penulis majalah yang menyediakan bahan majalahnya dua bulan awal daripada isu bulanan.Contohnya kandungan  majalah untuk Bulan Jun iaitu edisi hari guru telah pun dimulakan proses penulisannya pada bulan April.Ini bagi menyediakan mereka menghadapi proses edit, mereka bentuk cover dan lay-out sehinggalah percetakan yang memerlukan masa dan komitmen tertentu.

Justeru, kadangkala saya merasakan kerjaya sebagai guru ini memang memerlukan kita bersedia seawalnya.Mendahului zaman sifatnya.Pengajaran harian berdasarkan Rancangan Pengajaran Tahunan disediakan di awal tahun.Ditambah dengan Sasaran Kerja Tahunannya.Rancangan pengajaran esok hari yang juga perlu difikirkan sebelum hari berikutnya.Itu pun adakalanya terlepas tempoh masa yang ditetapkan.Namun, kerjaya di bidang kewartawanan dan penulisan jauh menuntut pengorbanan dan persediaan awal.Istilah “dateline” merupakan suatu kalimah keramat bagi wartawan dan editor.Disiplin yang tinggi menyelesaikan tugasan penulisan mengikut masa adalah perkara yang amat penting bagi mereka.Itu antara perkara yang biasa dibincangkan apabila saya berhubung dengan insan-insan di bidang kewartawanan.

Atas dasar itulah, saya melihat peluang untuk menjadi kolumnis itu suatu peluang dan amanah yang perlu di sambut dengan penuh  rasa tanggungjawab.Penulis sambilan yang disiarkan artikelnya di majalah, akhbar mahupun portal berita online selain bersifat membuka minda khalayak melalui penulisannya, juga membantu tugasan editor.

Moga hubungan baik diantara editor-penulis ini akan terus subur.Moga penulisan dakwah samada di dada-dada akhbar mahupun majalah ataupun di portal berita maya ini akan terus ke hadapan ke arah mewujudkan masyarakat berminda Islami.

Ruzain Syukur Mansor