DOA PERPISAHAN..

November 19, 2009


Saya menulis di dalam keadaan emosi yang pelbagai.Surat penempatan semula ke sekolah baru di suatu daerah yang tidak jauh dari kediaman beberapa kali di tatap.Itu kepastian.Bukannya Cobaan lagi.

Esok hari terakhir bertemu anak-anak didik di SK Sawah Sempadan yang dihuni sejak 2007.Raut anak kecil sedikit hiba apabila menerima berita akan berpisah dengan gurunya.Memang begitu resam hidup.Akan lebih terasa di saat akhir-akhir pemergian.Satu demi satu nostalgia bersama anak didik menerjah kotak minda.Ada suka, ada duka, ada tawa, ada segalanya.Rupanya saat mengisi borang pertukaran tidak sama rasanya dengan saat menghadapi saat-saat perpisahan dengan anak murid dan rakan-rakan setugas.Peringatan untuk masa hadapan.

Header Blog Akademipenulisbebas ini berlatar belakang kan kawasan sawah padi pada jam 7.15 pagi di Sawah Sempadan.Ia sengaja di letakkan.Ia sebagai penghargaan kepada bumi Sawah Sempadan yang banyak menginspirasikan minda ini untuk menulis dan berkarya.Lokasi itu berhampiran dengan tempat saya bertugas sehingga akhir November 2009 ini sebelum melapor diri ke SK Telok Menegon 1 Disember 2009 . Ada satu cerpen saya yang tersiar di Majalah e-Siswa pada 2007 rasanya yang saya inspirasikan dek kepayahan dan keazaman anak Sawah Sempadan.Wataknya hidup kerana berlatar belakangkan kehidupan yang jelas di depan mata saya.Cerpen itu saya siapkan pada jam 1.59 pagi dengan linangan air mata yang tidak dapat di tahan.Terima Kasih Cikgu tajuknya.

Jarang saya bercerita tentang kisah peribadi di blog ini memandangkan kewujudan asalnya bermatlamatkan travelog dakwah kreatif.Tetapi liku ini memberikan saya seribu satu emosi yang bercampur gaul.Bumi indah ini akan saya tinggalkan buat sementara waktu.Akan saya ziarahi bila-bila masa dek kerinduan yang pasti hadir.Ini bumi pelbagai kisah dan cerita.Perjalanan dari kediaman ke bumi ini sejak tahun 2007 memberikan saya pelbagai idea untuk menulis.Itu pengalaman hidup.Coretannya boleh agaknya menjadi 100 helai mukasurat buku travelog kehidupan jika mahu di bukukan.

Tapi ini kehidupan.Ada misi yang perlu di teruskan.Patah tumbuh hilang berganti.Yang pastinya, Allah sediakan hikmah di sebalik perpisahan ini.Menanti di sana madu’ yang ternanti-nanti tunjuk ajar dan panduan.

Moga-moga hijrah ini memberikan sesuatu medan baru untuk berdakwah.Medan baru bermakna suasana baru.Suasana baru bermakna keadaan baru pasti hadir dengan sasaran berbeza.

Ya Allah, Bagimu segala perancangan buatku.BagiMu segala jawapan bagi segala persoalan.Padamu ‘Hikmah’ di sebalik segalanya.Padamu aku berserah.Amin .Wahai Tuhan sekalian Alam.

Ruzain Syukur Mansor
10.45 p.m.