SELAMAT HARI RAYA..MAAF ZAHIR DAN BATIN

September 8, 2010

Saya Ruzain Syukur b Mansor mengucapkan selamat hari raya , maaf zahir dan batin kepada semua teman-teman tamu yang sudi berkunjung ke blog akademipenulis bebas ini.

Maafkan saya jika ada kandungan blog ini mengguris hati tuan-tuan dan puan-puan.Saya akn bercuti selama hampir dua minggu di Perak dan insyaAllah bertemu nanti.

Ruzain Syukur Mansor


SELAMAT BERGRADUASI

September 8, 2010

Selamat Bergraduasi!
Jemputan untuk menghadiri Majlis Graduasi bagi Graduan yang telah melepasi segala ujian yang ditempuh sepanjang di dalam Universiti Ramadhan.

Memasuki Universiti Ramadhan yang sebulan sahaja tempohnya dilihat mudah sahaja pada pandangan mata kasar. Tetapi nampak mudah jika benar-benar ditelusuri dengan mata hati. Perkara menjaga hati bukan suatu yang mudah. Apatah lagi memelihara mata dan pandangan. Menjaga telinga dari melihat perkara pelik-pelik. Ini termasuk perihal menjaga perut yang menjadi saksi kepada kegelojohan ketika berbuka puasa.

Lantas di Universiti Ramadhan kita diuji hebat. Dugaan datang dan pergi. Malah panas membahang saban hari di bulan Ramadhan tahun ini anggapkanlah sebagai membakar dosa. Ada yang rebah tanpa sempat berubah. Ada yang putus asa dengan dugaan. Baru sebulan menjalani latihan. Ini perihal istiqomah dan konsisten dalam ibadah. Menempuh latihan dan tarbiah di Universiti Ramadhan ini bukan perkara enteng.

Melaksanakan tugasan bak assignment di Universiti Ramadhan ini benar-benar menguji. Berpuasa sahaja tidak cukup. Tugasan membaca Al-Qur’an sudahkah terlaksana. Bertarawih cukupkah setiap malam. Bersedekah bagaimana?. Itu kan tugasan mini yang menampung amalan puasa.

Saat berada di ambang graduasi ini amat menginsafkan kita. Alhamdulillah, saban hari merebut pahala di Masjid Negeri Shah Alam memperlihatkan saya berbondong-bondong jemaah memenuhi setiap inci ruang solat mengerjakan solat Tarawih. Ini menghapuskan teori penceramah-penceramah bahawa sof-sof di masjid akan menyusut di akhir-akhir Ramadhan. Ini tidak lagi relevan.

Umat di sekitar Shah Alam ini masih bernafsu untuk menyemarakkan malam-malam terakhir Ramadhan. Mungkin biah atau suasana yang diterapkan oleh pentadbir negeri adalah biah solehah. Tiada lagi hiburan terlampau. Masjid dipenuhi oleh majlis-majlis ilmu. Forum dan pengajian agama berada di mana-mana. Di pasar ada majlis ilmu malah dimana-mana ada ruang majlis ilmu. Mungkin ia pemangkin akan kesedaran beragama yang tinggi. Bersyukurlah orang-orang Selangor mendapat pentadbir negeri yang sedar akan ilmu dan menjadikan masjid sebagai tonggak menyebarkan ilmu.

Moga-moga tarbiah di Bulan Ramadhan ini menyediakan kita ini sebagai graduan yang tidak melupakan tentang istiqomah dalam beribadah. Moga-moga latihan yang kita perolehi sepanjang Ramadhan itulah kelak berpanjangan sampai Ramadhan tahun hadapan.

Ruzain Syukur b Mansor


TIP BERURUSAN DENGAN EDITOR PEROLEHAN MANUSKRIP 2

September 8, 2010

Entry ini merupakan sambungan kepada entry sebelum. Kali ini setelah saya menemui editor perolehan buk sebuah syarikat penerbitan buku di……………. (biarlah rahsia dahulu buat masa ini). Alhamdulillah nampaknya lancar, moga-moga diterima untuk diterbitkan.

Berikut tip-tip tambahan bagi sahabat-sahabat penulis amatur seperti saya. Bagi penulis mapan yang sudah dikenali ramai editor, serah saja manuskrip, bulan hadapan pasti terus menjadi buku.

1. Mula menulis atau berbincang dengan editor sebelum menulis?
Ada yang selesa untuk terus menulis. Siap manuskrip baru bertemu editor. Banyak risikonya. Setiap penerbit mempunyai dasar penerbitannya yang perlu diketahui oleh penulis. Jika tidak memenuhi kehendak mereka, jawablah kelabu asaplah jadinya. Jadi sebaik-baiknya, berbincang dengan editor sebelum menulis. Bentangkan kertas cadangan buku.

2.Fahami format manuskrip.
Ini amat penting dan memudahkan urusan penyerahan manuskrip. Berhubunglah dengan editor sebelum menulis. Format penulisan yang perlu diambil kira bagi sesebuah manuskrip adalah seperti berikut:

-Jumlah muka surat
-Bilangan patah perkataan (ada penerbit lebih mementingkan word count berbanding bilangan muka surat
-Jenis dan saiz font yang digunakan
-Spacing (single, atau double spacing)
-Gaya bahasa

3.Bacalah buku-buku yang telah diterbitkan oleh penerbit tersebut.
Bacalah buku-buku yang mempunyai genre yang sama dengan apa yang ingin anda tulis. Jika genre motivasi, dapatkan buku-buku daripada penerbit tersebut untuk melihat bagaimana gaya persembahan bahasa dan olahan kandungan.

Gaya bahasa mungkin berbeza di kalangan penulis berbeza. tetapi lihatlah mana-mana titk persamaan yang mungkin boleh diterapkan.

4.Wujudkan hubungan yang baik dengan editor
Bersangka baiklah dengan editor.Mereka juga manusia. Permudahkan urusan mereka. Minimukan sebarang kesalahan tatabahasa. Bermanis muka dengan mereka. Wujudkan suasana positif. Jangan terlalu memaksa mereka.

5.Bertanyalah tentang peluang-peluang penulisan.
Menulis berdasarkan ruang yang ingin diteroka adalah lebih bagus. Ini kerana kita memudahkan penerbit mendapatkan manuskrip berdasarkan bidang baru yang ingin diterokai.
Contohnya ada syarikat penerbitan bidang buku-buku novel dan masakan kini mula menerokai bidang pasaran buku-buku agama adan motivasi. Lantas bantulah mereka untuk memenuhi sasaran tersebut.

Jadi, selamat menulis manuskrip buku yang bagus-bagus dan memenuhi citarasa penerbit. Menulis ini bukan hanya melibatkan penulis seorang sahaja. Buku yang bagus adalah hasil kerjasama penulis, editor, pereka grafik dan pegawai pemasaran. Jadi jagalah hati mereka.
Selamat menulis

Ruzain Syukur b Mansor