MENULIS BUKAN HANYA UNTUK KEPUASAN

September 23, 2010


MENULIS BUKAN HANYA UNTUK KEPUASAN

Seorang sifu penulisan menulis di dalam akaun facebooknya baru-baru ini:

“Zaman menulis hanya kerana kepuasan sudah berlalu.Penulis juga harus memikirkan persoalan buku yang ditulisnya, adakah laku di pasaran.
Penerbit melaburkan beribu-ribu ringgit untuk buku yang ingin diterbitkan. Terpaksa meminjam dana daripada bank-bank komersil. Lantas buku yang ingin ditulis harus juga difikirkan apakah boleh dijual dan memenuhi citarasa pembaca.”

Kenyataan di atas tidaklah relevan kepada penulis yang menerbitkan bukunya sendiri. Ia juga tidaklah relevan kepada penerbit yang kaya raya dan sentiasa mempunyai pulangan modal yang berjuta-juta setiap bulan. Tetapi ia menjadi relevan kepada penerbit kecil yang banyak bergantung kepada hasil jualan buku.

Lantas, adakalanya penulis perlu memikirkan aspek kebolehjualan buku yang ingin ditulisnya. Ada beberapa soalan yang harus difikirkan sebelum berjumpa dengan pihak penerbit iaitu:

•Adakah buku yang ingin ditulis kelak akan dibaca orang?
•Adakah buku yang ingin anda tulis mempunyai pasaran yang luas?
•Kemanakah agaknya buku anda itu akan dipasarkan selain daripada dijual di kedai-kedai buku?
•Adakah anda sekurang-kurangnya mampu membantu penerbit untuk memasarkan buku yang ingin anda tulis itu?

Kebanyakan penulis-penulis yang bukunya laris terjual di pasaran adalah individu yang rajin memasarkan bukunya sendiri. Mereka rajin membantu penerbit memasarkan mahupun mempromosikan buku yang ditulis. Mereka mungkin penceramah yang rajin mengadakan sesi-sesi bedah buku. Mereka membawa bersama-sama buku tulisan mereka dan menjualnya kepada pembaca di akhir ceramah.

Ataupun mereka itu penulis yang rajin membuka kaunter-kaunter jualan buku di ekspo, pameran dan sebagainya. Maknanya mempunyai perancangan pemasaran buku tersendiri.

Kedua-dua jenis penulis ini akan menggembirakan penerbit. Ini kerana penulis membantu untuk menghabiskan buku tulisan mereka daripada simpanan di stor penerbit.

Itulah sebabnya bukan mudah untuk meyakinkan pihak penerbit untuk menerbitkan buku-buku terutamanya penulis muda. Risikonya besar. Penerbit berhadapan dengan risiko buku tidak terjual kerana kurangnya nilai komersil. Dalam bahasa yang mudah, buku yang ditulis kurang diminati pembaca.

Lantas, itulah sebabnya kertas cadangan itu amat penting. Kertas cadangan buku merupakan ibu kepada buku yang ingin dilahirkan. Ada penerbit yang meletakkan syarat bahawa sesebuah buku tidak boleh mula ditulis selagi kertas cadangan buku tersebut belum diluluskan oleh editor. Maksudnya, buku mula ditulis setelah semua aspek dan isi kandungan serta pelan pemasaran dipersetujui oleh penerbit.

Akhirnya, kedua-dua pihak nanti (penulis dan penerbit) tidak bermasam-masam muka. Ini kerana kedua-dua pihak saling bantu membantu dalam memasarkan buku. Penulis juga mempunyai tanggungjawab dari segi moralnya untuk membantu penerbit menjual buku yang ditulis. Penerbit pastinya mempunyai strategi melalui pengedar atau medan promosi buku.


MENULIS JANGAN SYOK SENDIRI

September 23, 2010


MENULIS.. JANGAN SYOK SENDIRI

Ramadhan 1431 Hijrah mencetuskan beberapa kegembiraan kepada saya. Kegembiraan pertama kerana masih berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Kegembiraan kedua kerana manuskrip Aduhai Remaja dapat juga disiapkan. Terus menemui penerbit, Al-Hamdulillah.

Sempat saya titipkan kepada Cikgu Azmi, mentor dakwah saya “ cikgu, mohon cikgu bacakan manuskrip Aduhai Remaja saya itu. Moga-moga dijauhkan saya ini daripada sifat syok sendiri.”

Setelah siap sahaja manuskrip Aduhai Remaja, sempat pula ia diserahkan kepada beberapa orang pembaca. Teman atau saudara. Apa yang pasti , mereka yang dipilih untuk ‘menikmati’ buah tangan saya itu adalah individu yang suka membaca. Setelah membaca, sempat pula memberikan komen kepada kandungan mansukrip tersebut.

Proses menyerahkan manuskrip untuk bacaan orang lain amat penting. Ia penting supaya kita mendapatkan maklum balas. Ini termasuk kesalahan bahasa mahupun fakta yang kita sendiri terlepas pandang. Membaca karya sendiri berkali-kali membuatkan mata menjadi seolah tepu. Sukar untuk melihat kesalahan sendiri. Ada frasa ayat mahupun fakta yang kita rasakan benar di mata sendiri. Tetapi mungkin fakta yang sama dirasakan tidak bersesuaian di mata orang lain. Itulah sebabnya pentingnya manuskrip kita itu diserahkan kepada individu yang lain untuk bacaan dan ulasan.

Jangan silap!. Mereka bukan editor yang anda lantik. Tetapi lebih kepada individu yang memberikan komen dan maklumbalas. Editor buku yang ingin diterbitkan oleh penerbit akan ditentukan oleh syarikat penerbitan itu sendiri. Jadi, ada komen pembaca manuskrip yang diletakkan di ruangan belakang buku sebagai testimoni.

“Suatu karya yang segar dan menepati citarasa pembaca.
Cetusan rasa yang ikhlas dan menarik. Tahniah kepada penulis.”
Aida Muhammad, Pengurus Sumber Manusia.

Itu mungkin contoh testimoni pembaca yang dimuatkan ke dalam buku seorang penulis. Ia sebagai menghargai usaha pembaca tersebut yang sudi membaca manuskrip buku tersebut.

Selain itu , testimoni pembaca yang dimuatkan ke dalam sesebuah buku boleh dijadikan sebagai daya penarik. Namun , pastikanlah testimoni pembaca itu merupakan suatu yang ikhlas dan tidak direka-reka. Ini supaya pembaca tidak terasa tertipu setelah membaca keseluruhan buku.

Apa yang paling penting, proses menyerahkan manuskrip untuk bacaan pembaca terpilih dilakukan bagi mengelakkan penulis syok sendiri. Penulis yang syok sendiri mungkin berasa bahawa manuskripnya itu amat bagus. Tetapi rupanya ‘bermasalah’ apabila berhadapan dengan semakan editor. Ini kerana manuskrip tersebut dibaca tanpa semakan dan bacaan pembaca yang lain. Diserahkan kepada editor tanpa mendapatkan komen dan maklumbalas orang lain.

Produk yang baik pastinya dihasilkan setelah melalui proses pengujian yang berulang-ulang kali. Jika berlaku kesilapan, akan diperbetulkan. Barulah dipasarkan. Begitulah juga proses menulis buku. Dapatkanlah maklumbalas daripada teman, ataupun tokoh di bidang yang anda ingin tulis. Jika buku berkenaan tentang motivasi, dapatkanlah pandangan dan maklumbalas daripada pakar motivasi. Jika berkenaan pendidikan, dapatkanlah maklumbalas daripada pakar di bidang pendidikan. Jangan lupa, ucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi membaca manuskrip anda. Alangkah bagusnya jika komen dan maklumbalas mereka itu diletakkan sebagai testimoni pembaca di dalam buku anda itu nanti.