MENULIS MEDAN MELUAH RASA

November 3, 2010

Sesekali menatap blog teman-teman penulis separuh masa sepi tanpa update. Bagi penulis blog daripada kalnagn pendidik, akhir-akhir tahun begini bagaikan tidak cukup masa 24 jam melangsaikan tugasan.

“Dah dua hari tak tidur ni..” kata seorang sahabat ketika bersama menyiapkan data murid untuk dihantar siang tadi.

Daripada data murid, peluang berkursus, komitmen sebagai jurulatih pembangunan diri, persediaan majlis graduasi memerlukan daya ketahanan yang tinggi.

Impaknya?

Blog sepi tanpa berita walaupun hati meronta ingin menulis. Itu hakikat kehidupan seorang penulis separuh masa seperti saya. Malah ramai lagi yang sependapat. Itu hakikat yang perlu di tanggung oleh penulis separuh masa.

Banyak kali diulang dalam blog ini ” orang yang paling bijak mengurus masa adalah orang yang paling sibuk” . Kata-kata yang saya pegang supaya dapat mengurus kerja dengan baik dan dapat mengelakkan diri daripada sindrom suka mengeluh.

Menulis ini suatu pilihan bukannya paksaan. Kecualilah penulis yang menjadikan penulisan sebagai mata pencariannya. Mahu tidak mahu menulis itu satu keperluan.

Maka benarlah, ubat dan penawar bagi kesibukan adalah menghadapinya. Masalah tidak akan selesai jika kita melarikan diri daripada menghadapinya. Kedua, luahkan apa yang terbuku. Justeru, menulis itu juga meluahkan apa yang tersimpan di kalbu. Walaupun menulis di dalam kesibuan itu akan melahirkan penulisan yang menzahirkan kecelaruan minda (cubalah faham-fahamkan ayat tersebut).