PESAN UNTUK DIRI..

December 24, 2010

Abah ada berpesan baru-baru ini:

“Tinggalkan dunia, sebelum tinggalkan dunia”

Saya merenung dengan pandangan kosong. Terkedu dan faham apa yang tersirat.

“Ambil dunia sekadar yang perlu-perlu sahaja. Tinggalkan yang lain” tambah abah lagi.

Tepat sekali. Ia suatu ingatan abah buat saya. Mungkin ada benarnya. Mengejar dunia menyebabkab 24 jam itu bagaikan tidak cukup untuk dimanfaatkan.

“Jangan fikir apa yang masyarakat sumbangkan, tetap fikrkan apakah sumbanganmu buat masyarakat”.

Apa sumbanganku buat masyarakat? Menulis di majalah buat ingatan minda? Hanya 1 artikel. Egonya. Sibuk untuk diri sendiri. Malasnya. Dimana kecintaanmu kepada masyarakatmu? Dimana perananmu untuk berdamping dengan masyarakat? Ya Allah, kerdil dan bersalahnya aku kepada komunitiku.

Kalau di sekolah, berapa ramai anak didikmu yang berjaya mengenal alif, ba dan ta tanpa gagal? Berapa ramaikah antara muridmu sudah pandai membaca al-Qur’an tanpa silap? Berapa ramai pula yang boleh membaca dan menulis jawi dengan baik? Terduduk dan terus terduduk.

Tuan Iswandi dari Mindef ketika ceramahnya bertajuk AKRAB dalam perkhidmatan Awam di Masjid negeri berkata “sebagai penjawat awam , gaji kita dibayar oleh dana pembayar cukai, jadi sejauh mana kita menjaga tugas dan tanggungjawab kita?”

Bagaimana jika terambil dan tercuri masa kerja contohnya dengan bersembang-sembang dengan teman dan sebagainya?

Saya? Sepanjang 2010 yang susah sekali sebulan penuh di sekolah. Ada sahaja surat panggilan hadir ke Jabatan Pelajaran atau Pejabat Pelajaran daerah samada berkursus dan mengendalikan kursus. Bagaimana ya? Walaupun itu atas tiket tugas rasmi, bagaimana pula dengan anak didik yang ditinggalkan. Subhanallah. Astagfirullah. Maafkan ustaz wahai anak didikku, maafkan saya wahai teman-teman sekerja kerana banyak menyusahkan kalian.

Bila mengetuk kesalahan diri memang idea itu bagaikan tersekat di kotak minda. Gelap. Tidak semudah melihat kesalahan orang. Tetapi, itulah hakikatnya.

Adakalanya kita rasa kita menjalankan tugas dengan baik. Tetapi adakah ia mendapat hasil yang baik. Tujuan catatan refleksi di akhir pengajaran seorang guru adalah untuk menilai keberkesanan pengajarannya? Adakah refleksi ini benar-benar asli, lahir dari dalam lubuk hati yang ikhlas atau berkarat?

Semakin lama, entry ini ditulis, semakin sesak rasanya dada. Ini penulisan sendiri untuk diri saya sendiri. Saban hari diulit dengan kejayaan demi kejayaan. Lancar buku sana, hantar manuskrip ke sana dan kemari. Dijemput orang berceramah. Tetapi adakah sudah selesai segala keperluan diri dan keluarga? Bagaimana ibu dan ayah di kampung? Sempatkah diziarahi? Maafkan saya ibu..terleka kadang-kadang anakmu ini.benar kata abah “tinggalkan dunia sebelum tinggalkan dunia”

Cukuplah hati, cukuplah, jangan bicara lagi. Semakin kau berbicara, semakin terlihat kekhilafanku. terima kasih kerana berbicara. Beriku ruang untuk menebus kesilapan itu. Panjangkan umurku ya Allah untuk kutebus segala dosa itu.

Ruzain

Advertisement

syahdu apabila dihargai

December 24, 2010


Martinelli Hashim :Ruzain, Naim, Noryzal wajib hadir…. akan jadi kenangan seumur hidup insyaAllah.

Itu catatan ringkas Puan Martinell Hashim dalam akaun facebook censervian. Beliau mentor saya di bidang khidmat masyarakat ketika di UIAM. Beliau kini masih kekal hebat dengan dunia khidmat masyarakat di UIAM. membimbing anak-anak muda supaya cintakan komunitinya.

Jemputan untuk menghadiri CENSERVE Humanitarian Night 2010 oleh mentor saya itu saya renung dalam-dalam. Mengapa dikatakan ‘wajib datang?’. Pastinya ada yang istimewa.

Saya gagahi juga untuk ke Taman Ilmu dan Budi itu walaupun badan keletihan berkongsi minda dengan remaja ketika program Power Friday@Masjid Jumhuriah selepas solat Jumaat tadi.

Sempat saya capai Buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid (TUKRM) saya itu yang tinggal stok terakhir di tangan. Ada rezeki , ia menjadi milik Puan Nelli. Dan sempat saya berikan kepad Puan Nelli sebagai hadiah.

Ketika khusyuk melihat paparan multimedia, tiba-tiba muncul muka saya diraikan sebagai alumni CENSERVE..lengkap dengan gambar memegang buku TUKRM. Ada sedikit catatan, “seorang guru dan aktivis serta penulis buku….”. Amat terharu melihat penghargaan itu. Patutlah bersungguh-sungguh Puan Nelli ajak hadir ke majlis. Rupanya ada sedikit bingkisan sebagai hadiah kenang-kenangan.

Kenangan diperkenalkan kepada Rektor UIAM, Prof Dr Syed Arabi Idid sebagai salah seorang daripada alumni Censerve, merupakan suatu kenangan yang sangat indah. Itu saat yang tidak pernah saya perolehi ketika menuntut di kampus UIAM sepanjang 2000-2003, terima kasih Puan Nelli..patutlah ada tagline “akan jadi kenangan seumur hidup insyaAllah” pada jemputannya terdahulu.

Buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid menyebut tentang penglibatan saya yang bermula dengan menyantuni anak-anak qariah masjid As-Syarif Gombak. Bergabung dengan teman-teman di bawah payung SENDI As-SYARIF , Centre for Community Services (censerve) merupakan saat saya mula mengenali erti menyantuni masyarakat. Konteks dakwah juga. Lantas, malam tadi merupakan suatu imbauan kenangan yang cukup menarik.

Sejarah dan penulisan itu tidak dapat dipisahkan. Suatu sejarah perlu ditulis. Bukan hanya untuk kenangan, tetapi untuk dibaca orang. Saya amat berharap, ada ruang untuk buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid ini akan dibaca oleh warga penggerak Censerve. InsyaAllah, akan ada stok tambahan untuk menjadi rujukan supaya selain Misi, steadfast, sendi, akhi, titian asli, semuanya ada buku panduan. Akan disusahakan nanti insyaAllah. Moga ada ruang.

Ruzain syukur Mansor
Alumni Sendi As-Syarif Gombak
Censerve 2000-2003


Keseronokan membimbing mentee

December 24, 2010

Segalanya berlaku sungguh pantas. Beberapa minggu lepas, saya bersama dengan salah seorang anak didik c.Azmi Musa, Saudara fahmi mengendalikan program Friday Power untuk remaja masjid Jumhuriah Petaling Jaya.

Fahmi merupakan seorang aktivis dakwah remaja yang sangat kreatif. Daripada pembantu faci, sehinggalah kini bertaraf jurulatih. Sangat inovatif terutamanya dalam melaksanakan sesi permainan untuk latihan.

Lantas, saya ajukan idea kepadanya kenapa tidak ditulis segaa modul permainan yang selama ini hanya bermain di dalam mindanya. Alangkah baik jika ianya disusun dan dijadikan buku. Mudah dibawa kemana-mana malah mampu dikongsi jurulatih yang lain.

Idea itu lantas disambut baik oleh Fahmi. Modul disusun dengan baik, saya garap dengan panduan menulis buku. Rupanya membimbing orang menulis ini sangat menyeronokkan. Menulis buku secara bersuet ini pula sangat berkesan kerana mampu menjana idea yang pelbagai. Kreatif dan kritis.

Tidak sampai sebulan, rangka 70% buku 30 Permainan Untuk Jurulatih mampu dijana. Alhamdulillah, petang tadi, sempat pula saya membentangkan cadangan buku tersebut kepada sebuah penerbit besar di Batu Cave. Sangat bersemangat mentee saya itu. Idea orang muda memang perlu diraikan.

Sebulan kami harus menunggu. Menunggu dengan sebuah harapan yang tinggi. Mahu melihat usaha mentor-mentee penulisan saya ini berhassil. Terima kasih Cik Puan Editor kerana sudi mendengar dan berkongsi idea

Ya Allah permudahkan.

Ruzain