APA BENAR MENULIS ITU TERAPI?

April 24, 2011

Apa benar menulis itu terapi? Membaca al-Qur’an itu jua sebenarnya ubat jiwa yang resah. Saya nyatakan kepada peserta Program Remaja Masjid ar-Rahimin siang tadi, bahawa zikir itu menenangkan. Malah, solat dan membaca al-Qur’an juga menenangkan.

Tetapi, seorang penulis sifatnya expressive (maaf jika tersalah menggunakan istilah tersebut). Hakikatnya begitu. Minda penulis yang tersimpan segala macam idea harus diluahkan samada pada blog atau kertasnya. Memendam sesuatu di dalam hati dan minda bagaikan menyimpan bom jangka yang bakal meletup pada bila-bila masa.

Kesibukan tugasan harian juga adakalanya begitu menghimpit. Itu harus saya akui. Jika tidak dikawal akan terus mengganggu minda. Apa yang ditulis akan pula nanti menggambarkan jiwa yang berceramuk. Tidak jelas.

Di dalam memulihkan semangat, sempat saya telusuri blog Pn Ainon sifu Universiti PTS yang rajin menulis tentang peluang dan ruang penulisan. Kesibukan tugasan kerjaya dan menghadapi peperiksaan akhir sarjana memerlukan fokus yang luar biasa. Kurang masa menulis. Kemudian, blog Prof Kamil UiTM yang sarat dengan mesej dakwah turut menjadi inspirasi. Sempat dijengah sepintas lalu. Kisah motivasi santainya memberikan sedikit semangat untuk saya. Buku pasca Travelog dakwah dan Hajinya sentiasa diulang beberapa kali. Sukar sekali mencari penulis dakwah santai sehebat beliau. Apatah lagi seorang Profesor Akaun yang mampu menterjemahkan kisah kehidupan harian dengan cukup bersahaja tetapi memberi kesan.

“Ada cubaan membunuh diri di sekolah saya ustaz, pelajar bukan Islam” luah seorang peserta kumpulan LDK saya ketika berprogram di Masjid ar-Rahimin Klang siang tadi.

“Ya, mungkin sebab di dalam hatinya tiada siapa lagi. Ingat, walau sesukar mana pun kita diuji, kita masih punya Alllah untuk mengadu” tambah saya.

Ya, mengapa mudah mengungkap tetapi sukar untuk dipraktikkan? Moga saya tidak tergolong daripada golongan yang hanya mampu berkata-kata tetapi tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dikata. Biar ungkapan ini menjadi semangat “sesukar manapun cubaan dan dugaan, Allah masih ada bersama kita”. Biar sehebat manapun dugaan itu, ingatlah ia sebagai hanya medan ujian buatmu. Agar terus tabah dan bijak mengurus hidup. Kata-kata ini harus menjadi ingatan “orang yang paling sibuk adalah orang yang paling cekap mengurus masa”.


DEMAM PESTA BUKU 2011

April 24, 2011

Pesta buku datang lagi. Pesta yang sifatnya sebagai hari Raya bagi penulis. Saya tidak terkecuali. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 paling manis setakat ini. Siapa sangka, karya sulung Tip Urus Kelab Remaja Masjid dilancarkan di pentas utama Pesta Buku PWTC. Bagaikan semalam ia berlalu. Impaknya sudah dirasai oleh beberapa buah masjid di sekitar lembah Klang.

Tahun 2011, buku kedua (Dakwah dan Teknologi Maklumat) siap dicetak sehari dua sebelum Pesta Buku PWTC. Walaubagaimanapun, jualannya terpaksa ditangguhkan dahulu di atas sebab teknikal. Sabar ya!.

Namun, sehingga hari ke 3, saya masih tidak mampu menjengah PWTC untuk merasai kehangatan Pesta Buku kali ini. Hati yang meronta tidak tertahan melihat buku teman-teman penulis diperaga dan dilancarkan. Tahun-tahun yang lalu PWTC saya kunjungi 2-3 kali sepanjang tempoh Pesta Buku berlangsung. Itu lumrah. Bertemu dengan penerbit mahupun penulis. Mencari peluang atau buat penguat semangat. Bayangan buku buku baru sudah terbayang-bayang untuk dimiliki. Apapun niat itu terpaksa ditangguhkan buat seketika demi suatu misi yang jauh lebih penting, Ada ujian akhir pengajian Sarjana di Universiti Malaya yang harus diselesaikan 25 dan 26 April ini.

Apapun, moga kemeriahan Pesta Buku kali ini akan memberikan erti yang bermakna kepada semua pihak.

Ruzain


CATATAN BUKU BARU: DAKWAH DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

April 24, 2011

Sehari setelah mendapat 10 buah buku hadiah daripada JAKIM, cover buku ini terus dimuat naik ke facebook untuk mendapat maklum balas teman-teman. Ada yang mengatakan ia tajuk yang segar dan sesuai untuk dibaca masyarakat awam. “Kulitnya kurang menyerlah” pula komen seorang teman.

Perjalanan daripada Shah Alam ke Putrajaya bertemu dengan editor buku kedua saya ini pada 22 April yang lalu dirasakan begitu jauh. Jauhnya bagaikan mengikuti laluan yang tidak pernah dilalui. Apatah lagi dengan perut yang mula berkeroncong. Maklumlah hanya sempat dialas dengan bubur sahaja sewaktu di sekolah.

Segalanya berubah apabila editor menghulurkan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat (edisi hadiah untuk penulis) kepada saya. Subhanallah. Hilang segala lapar dan mengantuk. Kulit buku ditatap penuh minat. Penulisannya amat mengambil masa yang panjang. Akhirnya terbit juga walaupun melalui proses suntingan yang sangat teliti.

Buku Dakwah dan Teknologi Maklumat ini sebagai suatu panduan untuk pendakwah dan masyarakat umum untuk berdakwah menggunakan ICT. Penggunaan media yang tepat dan kontemporari sifatnya mampu menarik minat sasaran. Itu apa yang saya pelajari bersama Prof Dr Ab Aziz Md Zin ketika kuliah Isu-Isu Fiqh dakwah di Universiti Malaya.

Apapun, moga-moga lahirnya buku ini memberikan idea baru kepada peminat dunia dakwah. 2010 1 buku, 2011 buku baru. Bukan untuk berbangga, tetapi dalam misi meninggalkan ummah dengan warisan ilmu untuk dibaca.

Terima kasih kepada bahagian Penerbitan JAKIM Putrajaya terutamanya Ustazah Nik Norliza sebagai editor yang berkredibiliti. Juga kepada teman dan saudara yang sudi memberikan buah fikiran terbaik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ayah dan Bonda, Isteri, abang dan kakak serta adinda ku sekelian yang banyak memberikan sumber inspirasi untuk diri ini terus berkarya. Moga bermanfaat untuk semua.

Ruzain Syukur Mansor
Penulis buku Tip Urus Kelab Remaja masjid
Penulis buku Dakwah dan Teknologi Maklumat