AKU & ABAH

June 6, 2011

Membaca blog http://norsabariahmansor.blogspot.com memberikan semangat untuk saya kembali menulis. Adakalanya kita ini tidak sedar yang kita ini berbakat. Syabas adik Sabariah yang sentiasa rajin menulis catatan hidup di UiTM Merbok. Teruskan dik. Tetapi menulis blog sajakah? Bila mahu mula tulis novel?

Apatah lagi melihat kepetahan anak buah (Syafik) membaca buku Tip 5A UPSR sangat mengujakan. Seorang lagi bakal penulis dalam keluarga Hj Mansor akan muncul tidak lama lagi.

Bercakap tentang membaca, rupa-rupanya usaha abah membeli majalah Mastika setiap bulan ketika saya masih kecil-kecil dulu berjaya memupuk minat membaca.

Lantas, apabila ada sedikit kuasa membeli, kedai buku antara premis jualan yang dituju hari pertama gaji masuk ke dalam kantung akaun. Membeli buku-buku terbaru di pasaran menjadi amalan memperkasakan minda. Benarlah dikatakan sarjana tentang Bibliohisme-Kegilaan membaca.

Memang ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ada kenangan menarik antara saya dan ayah. Kedua-duanya hampir lupa isteri sedang menanti di luar kedai buku . Khusyuk berjam-jam lamanya dari sebuah kedai buku ke kedai yang lain.

Membaca dan terus menulis. Memang penulis biasanya amat sinonim dengan amalan membaca. Tip Untuk menjadi penulis? Membaca dan terus membaca. Lantas, kesempatan mempersembahkan buku terbaru Dakwah dan Teknologi Maklumat kepada ayahanda tercinta baru-baru ini merupakan suatu kepuasan yang maksimum. Ayah tersenyum bangga. Ibu tumpang gembira. Mempotretkan nama Hj Mansor Hasbollah dan Hjh Sariyah Shahmiran dalam prakata kedua-dua buku saya sebelum ini membuatkan senyuman panjang mereka yang sangat bermakna.

Menulis artikel majalah sudah, menulis buku pun sudah. Menulis di jurnal pun sudah. Apa yang masih dinanti. Menanti buku Aduhai Remaja terbitan syarikat penerbitan………….? (penerbit masih dirahsiakan) diterbitkan November ini. Itu suatu lagi karya yang memuatkan nama ayah dan bonda. Kerana merekalah sumber inspirasi yang sentiasa memberikan semangat kepada saya untuk menulis.
Terima kasih mak. Terima kasih abah.

Ruzain Syukur Mansor
Penulis buku:
Tip Urus Kelab Remaja Masjid
Dakwah & Teknologi Maklumat


ARTIKEL SUDAH, BUKU PUN SUDAH, KINI JURNAL?

June 6, 2011

Assalamualaikum.
Al-hamdulillah, berjaya juga keluar daripada kepompong blog tanpa entri. Rindu sebenarnya ingin menulis tetapi masa dan kekangan kerja yang tidak boleh dikompromi sangat-sangat mendesak.

“Berilah 1001 alasan sekalipun. Hendak 1000 daya, tak mahu 1001 dalih” itu sempat dititipkan oleh Ustaz Fazli Manaf, sahabat yang juga Jurulatih Pembangunan Diri yang kini sedang meningkat naik.

Artikel majalah sudah, menulis buku pun sudah. 2010-2011 tahun buku. Di balik kekeringan idea dan artikel yang disiarkan di media mahupun majalah, ada satu tawaran yang diberikan oleh editor Jurnal Persatuan Pustakawan Malaysia yang sangat menarik. Peluang menulis di Jurnal PPM. Peluang yang ditawarkan oleh Dr Nor Rezan, Ketua Pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya bingkas di sambut kemas.

“Sudah terima Jurnal PPM yang saya kirim tempohari?” tanya Dr Nor Rezan ketika bertemu di Perpustakaan Universiti Malaya awal Mei.

Akhirnya, Jurnal PPM edisi 2010 sampai ke tangan saya awal pada awal Jun ini. Artikel Blog dan Media Baru kini menembusi Jurnal PPM 2010 . Alhamdulillah. Ia suatu kepuasan yang sangat bermakna. Percubaan pertama yang memberikan impak kepada semangat dan motivasi penulisan. Bagi para ahli akademik, penulisan artikel ilmiah di dalam mana-mana Jurnal tempatan mahupun antarabangsa pasti memberikan kredit di samping memberi peluang mencantikkan CV.

Namun demikian, penulisan artikel ilmiah di dalam jurnal mempunyai disiplin dan format tersendiri. Ia perlu berlandaskan kajian terperinci. Mengapa? Kerana tulisan di dalam jurnal akan menjadi rujukan yang berautoriti dan tinggi nilainya. Malah mungkin menjadi rujukan kepada thesis dan makalah ilmiah para sarjana. Maka ia perlu melalui proses penulisan dan penelitian pakar. Bagi yang berminat, rujukan di bidang kajian tersebut amat penting.

Sememangnya apabila sudah terlibat dengan dunia akademik dan penyelidikan, penulisan di jurnal seharusnya menjadi antara tumpuan. Moga percubaan pertama ini akan disusuli dengan beberapa peluang seterusnya. Menulis terus memperkasa minda. Sampai masanya, bukan setakat membaca karya orang tetapi membaca artikel sendiri.

Ruzain Syukur