MENULIS ITU PUNYA RUANG ITU MOTIVASI

June 9, 2011

“Boleh tak ustaz terangkan prosedur untuk hantar manuskrip kepada penerbit buku serta syarat umum sebuah manuskrip buku yang diterima oleh penerbit. kalau tidak keberatan, boleh kah ustaz berikan ana contoh kertas cadangan penulisan buku.-Abu Imran”

Itu komen yang saya terima di ruangan komen blog akademipenulisbebas ini. Matlamat utama blog ini ditubuhkan pada tahun 2008 hanya sebagai ingin membukukan perjalanan suka dan duka seorang penulis bebas. Perkembangan demi perkembangan dicatatkan. Sedikit luahan hati juga menjadi rencah. Resensi buku menjadi perencah.

Namun tidak disangka entry pengalaman tersebut menjadi sumber motivasi kepada penulis baru yang ingin bergiat secara aktif di dalam dunia penulisan dakwah. Kalaulah saya punya sebuah buku untuk memandu perjalanan mereka alangkah indah dan mudahnya jalan ke puncak jaya. Ramai yang mendapat inspirasi daripada membaca entry di dalam blog ini. Ini akui mereka. Lantas menyedarkan saya bahawa menulis pun punya ruang untuk motivasi.

Setahun dua dahulu baru saya tersedar kemunculan Minggu Penulis Remaja (MPR). Apakan daya sudah melebihi tahap umur dibenarkan untuk menyertainya. Lantas berdikit-dikit membaca karya orang sambil mencuba menulis dengan kaedah dan gaya penulisan sendiri. Punya masa, mencuba pula berguru dengan Puan Ainon Sifu PTS di Melawati. Al-hamdulillah berkembang rasanya minda.

Sidang pengunjung, saya ini salah seorang penulis muda yang tidak banyak mengikuti kursus penulisan secara formal. Malu jadinya jika diminta untuk menjadi pembimbing. Tetapi pengalaman itu adalah guru terbaik. Saban hari menghadapi penolakan juga suatu pengalaman. Dikomen oleh editor itu juga pengalaman. Bertemu dengan teman penulis prolifik seperti Saudara Zamri Mohamad juga memberi inspirasi. Ringkasnya, jika anda mahu belajar menulis dan jadi penulis tidak semestinya sampai punya Ijazah dan Diploma dalam bidang Penulisan Kreatif. Pokoknya mesti berani mencuba. Banyak membaca.

Mesti rajin mengetuk pintu kotak email editor mana-mana majalah. Serlahkan kepada mereka gaya penulisanmu. Mana tahu ada yang berminat. Rezeki itu Allah yang tentukan. Bukan editor. Pedulikan apa kata orang. Apa yang penting perkenalkan diri dengan rendah diri. Hulurkan artikel yang menarik. Selebihnya, bersangka baiklah dengan mereka.

Harus ada konsistensi, jangan mudah meatah pada kritikan. Binalah imej diri.
Seorang sahabat pernah berkata ” ulama’ terdahulu dikenali bukan sahaja melalui ilmunya tetapi melalui penulisannya”

Mengapa tidak. Penulisan itulah warisan berharga yang ditinggalkan ulama’ terdahulu buat kita. Wariskanlah berjuta-juta harta kekayaan buat anak cucumu, nescaya akan habis juga dibelanjakan. Lantas? bagaimana jika ilmu dan buku sebagai warisan? Pasti tidak akan luput malah berkembang jika diamalkan kandungannya.

Lantas? jika motivasi yang anda inginkan untuk mula menulis. Saya sudi sediakan. Jika wang yang anda perlukan, silakan bertanya kepada pemilik toko penerbitan. Apapun, kita tidak akan tahu yang kita ini tahu selagi tidak mencuba. Silakan bertemu di persada penulisan. Membangun minda. Memperkasa ummah

Ruzain Syukur Mansor
Pengasas
Akademipenulisbebas


SYUKUR ALHAMDULILLAH

June 9, 2011

Assalamualaikum

Syukur Alhamdulillah.

Selalu saya sebut ketika berceramah “terima kasih kepada ayah yang menamakan saya Syukur”.

Ada benarnya, nama kita ini sebagai doa. “Syukur” panggil ayah. Itulah doa darinya bertahun-tahun. Ini mengingatkan saya kepada ingatan Allah:

” Jika kamu bersyukur nescaya aku tambah nikmat atasmu, jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”

“Teman-teman, hari ini keputusan peperiksaan sudah keluar, sila semak di laman web” itu bunyi sms seorang teman sekuliah di Universiti Malaya lewat petang semalam. Dengan tangan terketar-ketar jari mengetuk-ngetuk papan kekunci laptop.

Keputusannya? Alhamdulillah. Sangat berpuas hati. Syukur padamu. Dengan keadaan bekerja sambil belajar , ada banyak kekangan untuk mendapat keputusan sebegitu baik. Namun Allah melorongkan segalanya. Suatu semangat dan motivasi yang Allah kurniakan. Moga ia berterusan untuk semester akan datang.

Teman seperjuangan? Sheikh Ariffin, Jamit, Khusairi dan Wafiq (keduanya sudah bergelar warga kerja CITU UiTM) moga keputusannya juga begitu.

“Pengajian di peringkat sarjana biasa di atas inisiatif calon yang punya semangat dan keinginan untuk memajukan diri” itu kata seorang professor ketika pendaftaran kursus sarjana di Balai Ilmu Januari yang lalu. Memang tepat.

Selalu juga saya sebut di hadapan anak didik untuk memberi motivasi ” Ustaz sudah punya kerja, kereta, isteri..apa perlu lagi saya perlu susah-susah sambung belajar?”

Mereka sendiri yang menjawab ” nak tambah ilmu ustaz”.

Ya. Memberikan semangat dan motivasi kepada mereka bahawa menuntut ilmu ini tidak terhad hanya kepada mereka di usia kanak-kanak sahaja. Selagi ada daya dan kemampuan, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin.

Melihat teman-teman yang sangat gigih menuntut ilmu. Sheikh Hamidi di UKM yang juga JU j-QAF sangat menginsafkan. Kesibukan di sekolah, tugasan dengan PPD, JPS dan KPM pasti sangat menyesakkan. Tetapi redhalah dan insyaAllah Allah membantu. Begitu juga dengan Cikgu Azlina juga di UKM dengan anak kecil yang menuntut kasih sayang ibu. Namun semangat dan motivasi serta sokongan suami sentiasa di sisi.

Apapun, perjuangan belum berakhir, biar bersuusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Terima kasih ibu dan ayah yang sentiasa memberi sokongan. Isteri tercinta yang sentiasa menjadi pendorong yang setia. Teman-teman di sekolah juga begitu. Moga-moga Allah membalas segala jasa baik kalian.

Ketemu lagi. Bicara Motivasi Buat Diri!

Ruzain Syukur Mansor IGB 100059
Calon Sarjana Usuluddin
Dakawah dan Pembangunan Insan