Tajuknya ringkas. Mengisi masa lapang sebelum berbuka dengan melayari blog ‘Kehidupan Ringkas Tapi Signfikan’ Prof Kamil Ibrahim sangat mengujakan. Beliau seorang Profesor akaun di UiTM yang bijak menulis tentang perjalanan hidup. Beliau memilih untuk berhijrah ke Madinah. Saya tahu ia suatu keputusan yang merupakan impian beliau.
Membaca tulisan-tulisan ringkas Prof Kamil membuatkan hati terasa tenang.Ringkas tetapi menusuk ke dalam hati. Saya emailkan suatu ungkapan kepadanya tadi ‘prof melihat perkara biasa dan menulisnya dari susut pandang luar biasa’. Santai tetapi memberi impak.
Moga-moga hijrahnya beliau memberikan suatu sudut pandangan yang baru. Pengalaman yang ditulis sememangnya sangat memberi makna. Itu sebabnya perjalanan hidup itu perlu ditulis. Transformasi diri dengan nada mencetus keinsafan dan pengajaran kepada yang lain harus ditulis. Itulah sebabnya buku Travelog Dakwah dan Travelog Haji Prof Kamil laku bagaikan goreng pisang panas di pasaran. Saya mahu jadi begitu Prof.! Doakan saya.
Saya katakan begini, menjadi Profesor dalam usia yang muda antara kejayaan yang paling hebat dalam mengubah kehidupan Prof Kamil. Memegang PhD dalam usia muda membuka mindanya tentang ajaibnya solat malam. Suatu yang harus difikirkan oleh semua. Apabila Allah ingin memberikan , DIA memberikan yang terbaik. Hikmah yang terbaik untuk diri.
Saya? Masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Prof yang bijak menulis ini. Masih saya terkial-kial dalam misi menyiapkan disertasi M.A di Universiti Malaya. Masih tercari persoalan kajian yang kuat. Mungkin boleh berguru dengan Prof Kamil secara di dalam talian nanti. Berkat pencerahan idea dari Madinah.
Persoalannya, adakalanya hijrah ini memberikan suatu transformasi kepada diri. Adakalanya peluang itu duduknya menyorok tidak mahu dipandang. Tetapi harus dipandang dan diusahakan apabila ia mula menampakkan diri. Jangan dilepaskan. Kejar sampai jangan sampai terlepas. Hijrah yang mana? Allah lebih mengetahui.
Saya mendoakan Prof Kamil ini terus memberikan inspirasi terbaik buat tatapan ummah. Sesungguhnya hijrah dirinya memberikan hikmah ‘pertemuannya’ dengan saya. Masih belum mampu bertemu secara berdepan tetapi hanya melalui email. Moga dapat bertemu nanti Prof.InsyaAllah ada jalannya nanti
Ruzain Syukur Mansor