JEJAK PENULIS JUTAWAN

October 26, 2011

Ini perkiraan ringkas. Jika jualan buku seseorang penulis berjumlah RM 1 juta, maka penulis berkemungkinan dibayar royalti sebanyak RM 100, 000 setahun . Jika jumlah royalti tersebut diperolehi secara konsisten dengan jumlah yang sama selama 10 tahun , maka jumlah royaltinya menjangkau RM 1 juta. Wow! Penulis tersebut sudah bergelar PENULIS JUTAWAN!

Selang beberapa jam mendengar celoteh Pak Latip, bakal penulis jutawan Malaysia, saya terus pula menelusuri blog beliau di http://abdullatip.blogspot.com . Ada banyak rahsia untuk muncul penulis jutawan didedahkan.

Dengan rezeki yang Allah kurniakan, Pak Latip dapat mengembara ke beberapa buah negara untuk mendapat nilai sumber ilmu yang sangat tinggi. Beliau ke Turki malah ke London mencari sumber ilmu. Akhirnya buku yang ditulis dirasakan sangat rapat di hati pembaca. Mengapa? Sumber penulisan diperolehi daripada penceritaan insan-insan yang rapat dengan tokoh yang ingin ditulis. Mewawancara para anak murid, tokoh ilmuwan di tempat kelahiran tokoh sejarah yang ingin ditulis menjadikan penulisan Pak Latip sungguh bermutu.

Kedua, penulis jutawan sangat fokus. Genrenya sangat berfokus. Jenama dibina. Bukunya bukan 1, tetapi mungkin 1 setiap bulan. 12 buah setahun. Atau mungkin lebih dari itu.

Ketiga, penulis bijak memasarkan karya. Melalui sesi bedah buku, penulis meningkatkan jenama. Pesta buku, rajin turun bertemu PEMINAT. Ceramah, motivasi di TV dan radio. resensi buku sana dan sini. Siri bedah buku lebih meluas di Indonesia. Namun, budaya bedah buku di Malaysia kini mula berkembang.

Keempat, penulis jutawan bijak menggunakan rangkaian teknologi. Facebook suatu ruang promosi buku. Jual buku secara on-line harus dimanfaatkan. Di mana ada pasaran di situ karya disebar.

Kelima, anugerah? Saya belum bertemu kajian yang menunjukkan prestij penulis akan meningkat setelah muncul pemenang sesebuah pertandingan atau anugerah penulisan. Tetapi realitinya begitu. Penulis prolifik pastinya berkredibiliti dan diakui kepakarannya apabila menerima sebarang anugerah. Apatah lagi sekiranya anugerah tersebut adalah prestijnya tinggi. Lantas, pasti jualan terhadap buku-buku tulisannya akan melonjak.

Apapun, ini adalah berdasarkan pemerhatian saya terhadap senario penulisan tanah air. Jika trend ini sentiasa konsisten, tidak mustahil ramai penulis jutawan akan dihasilkan. Ada banyak faktor harus difikirkan. Antaranya faktor pembaca, bahan yang dihasilkan dan kemampuan penerbit. Teruskan menanti..lahirnya PENULIS JUTAWAN DI MALAYSIA


BICARA BUKU PAK LATIP DI PESTA BUKU ISLAM 2011

October 26, 2011

Inilah antara penulis yang menerima royalti yang sangat tinggi tahun ini. Pak Latip merupakan penulis buku-buku novel sejarah tokoh-tokoh Islam. Pagi ini saya sempat mengikuti bicara buku melibatkan tokoh penulis yang disukai kanak-kanak dan dewasa ini. Buku-buku baru beliau diperaga. Dikhabarkan beliau baru sahaja pulang dari Turki untuk mencari bahan untuk novel mengenai tokoh mujaddid-Badiuzzaman.

Menulis buku seperti Mustafa Kamal at-Taturk agak sulit baginya. Ini kerana menurut Pak Latip, tokoh tersebut punya beberapa sisi negatif yang sedikit mengganggu fikiran.

“Ada buku yang hanya ditulis dalam masa sebulan. Buku-buku seperti Imam Syafie ditulis dalam keadaan yang menyenangkan” tambah beliau lagi. Betapa prolifiknya Pak Latip.

Suatu ketika dahulu, buku-buku sejarah hanya digemari oleh penggemar sejarah sahaja. Tetapi dengan gaya penulisan novel sentuhan method surah Yusof menambah nilai kepada karya sejarah.

“Ketika mula-mula menulis menggunakan gaya ini, memang ada cabaran. Ada yang tidak bersetuju dengan dialog-dialog yang diadaptasi daripada karya sejarah” tambah Pak Latip lagi.

Saya akui. Malah ketika saya membedah suatu artikel sirah baru-baru ini ada yang bertanya “betulkah dialog ini pernah diungkapkan oleh tokoh tersebut?”.

Di akhir sesi, amat mengejutkan tatkala seorang anak kecil bangun bertanya kepada pak Latip mencadangkan beliau menulis tentang beberapa tokoh. Kanak-kanak itu berumur 11 tahun dan sudah banyak membaca karya sejarah tulisan pak Latip. Kata-katanya teratur. Rupa-rupanya membaca tulisan yang berbahasa melayu tinggi sangat memberi impak yang positif kepada kemahiran berbahasa.

Saya sangat berpuas hati. Merasai buah fikiran seorang tokoh yang berkaliber di bidang ini. Bagi penulis baru seperti saya, tidak salah mencuba genre yang baru. Penulisan tokoh sejarah. Namun, saya harus belajar dengan lebih mendalam lagi. Tetapi sebenarnya….Saya belum berani!


EKSPO BUKU ISLAM 2011@KL SENTRAL

October 26, 2011


KONSISTEN

October 26, 2011

“Setiap hari saya telusuri blog Prof Kamil” getus seorang teman. Beliau akan berangkat menuju ke kota suci menunaikan haji. Di tangannya adalah catatan Travelog Haji Profesor akaun tersebut.

Saya juga begitu. Kerana apa? Bagi penulis, bagaikan dapat merasakan denyut emosi penulis yang lain. Profesor Kamil (Travelog Haji) bertufas sebelum ini di UiTM yang sangat berprestij dan ianya di bumi sendiri. Berhijrah ke Madinah pastinya memberikan 1001 cabaran. Tulisan prof nampaknya bagaikan luahan emosi akibat karenah pentadbiran yang sangat hebat. Lantas, tulisannya sangat konsisten. Setiap hari satu entry. Malahlah lautan pengunjung ke blog Kehidupan Ringkas Tetapi Signifikan melonjak sangat luar biasa. Benarlah di kata orang “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”. Tapi bagi saya, kalau yang hujan emas itu di negeri orang baik saja saya ke sana.

Rupanya, di dalam oven tekanan itu, idea menulis akan meluap-luap. Tetapi ini hanya teraplikasi kepada penulis-penulis yang luar biasa. Saya antara penulis yang sangat tidak suka menulis ketika menulis. Ada bahayanya. Kerana yang timbul di skrin nanti adalah luahan amarah yang mungkin menyakitkan hati.

Lantas, saya menganggap Prof Kamil antara penulis prolifik yang mampu saja menulis di dalam apa keadaan sekalipun. Hebat memang hebat. Langsung tidak terkesan dengan sebarang tekanan. Tulisannya tetap konsisten. Memberi makna kepada sesuatu. Melihat sesuatu dengan pandangan hati. Melihat masalah untuk mencari jalan penyelesaian. benarlah kata seorang sifu ” jika ada masalah face it, don’t facebook”.

Ini perihal konsisten. Konsisten dalam menulis. Konsisten kepada pengikut. Jangan nanti ditegur rakan “blog anda bersawang”. Bersawang kerana apa? Tiada entry berbulan-bulan.

Ruzain Syukur Mansor