BUKU SOAL JAWAB MOTIVASI REMAJA-DALAM PEMBIKINAN

December 8, 2011

Alhamdulillah.
Allah masih berikan idea dan peluang untuk menulis. Penulis ini bagaikan ikan yang menunggu umpan. Umpan dihulur..kita ngap saja!.

Terima kasih juga kepada editor sebuah syarikat penerbitan tersohor di Shah Alam yang mengilhamkan saya untuk menulis buku soal jawab motivasi remaja.

Berdasarkan kajian pasaran dan permintaan ramai, buku menjawab konflik remaja sangat diperlukan pembaca. Ini pasaran laut biru dunia penulisan remaja. Di saat remaja membaca novel dan buku fiksyen, wujud lompong kosong. Gelodak jiwa mereka harus diselesaikan.

Saya memilih untuk menjawab persoalan ringkas mengenai konflik jiwa remaja. ia juga akan menjawab persoalan remaja dan rakan, cinta, ibu bapa, guru dan dunia siber.

Gaya jawapan agak santai dengan sedikit elemen motivasi, kartun dan pengisian jiwa. Alhamdulillah di saat bergelut dengan tugasan sarjana , masih sempat saya garap suatu peluang dakwah yang sangat mudah untuk ditulis.

Dalam banyak-banyak penulisan, pengalaman menulis buku soal jawab remaja ini terasa sungguh menyeronokkan. Sangat melekat di jiwa mungkin apabila yang dikupas adalah isu hati, jiwa dan perasaan.

KOnflik dan masalah remaja yang dijawab itu juga sebenarnya dilihat sangat rapat memandangkan jiwa pendidik dan jurulatih pembangunan diri memudahkan akses kepada 1001 masalah dan konflik remaja.

Ya, Allah, moga dipermudahkan. Jika menjadi realiti , ia adalah buku ke 4, dan yang ke 3 berkenaan dengan remaja setelah buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid serta Misi Jadi Luar Biasa.

Formulanya mudah, menulis dari hati ke hati kerana Allah Taala

Ruzain Syukur Mansor

Advertisement

BUKU ILMIAH MASIH ADA TEMPATNYA

December 8, 2011

“Biarlah buku-buku popular dengan konsepnya yang tersendiri. Biarkan juga kami dengan buku-buku ilmiah ini. Ianya masih perlu” itu sempat diluahkan oleh seorang pegawai penerbit buku-buku ilmiah sebuah universiti awam. Saya sempat bersembang panjang dengannya ketika melilau mencari buku di Pesta Buku Akademik di Universiti Malaya.

Tidak dinafikan buku-buku popular terpaksa menulis apa yang diingini khalayak. Begitu juga konsep kaver dan lay-outnya. Harus berubah mengikut selera pembaca bukan mengikut kemahuan penulis semata. Tetapi itu tidak mungkin diaplikasikan kepada penerbitan buku-buku ilmiah. Pasarannya kecil. Jadi harus terus relevan. Ini soal pengembangan ilmu bukan soal duit.

Saya bertemu jawapan mengapa buku-buku ilmiah dijual dengan harga yang tinggi.

“Buku ilmiah dicetak mengikut konsep Print On Demand. Jadi dicetak dengan jumlah yang sedikit. 3000 mungkin. Jadi oleh itu kos cetakannya agak tinggi. Jadi harganya harus tinggi” tambah pegawai tersebut.

Kebanyakan buku-buku akademik yang laku keras adalah buku yang menjadi buku teks dan rujukan kuliah pensyarah dan pelajarnya. Yang lain, terpaksa dijual walaupun pasarannya agak lembab. Itu dikira pengakuan jujur. Golongan penulis buku ilmiah dan penerbitnya dalah golongan yang jujur dan amanah pada ilmu. Syabas diucapkan.

Apapun, pasaran buku ilmiah akan juga menjadi ruang pengembangan ilmu. Jangan hanya disimpan thesis di dalam rak dan almari. Tukar disertasi menjadi buku. Itu antara peluang menambah banyak bilangan buku dan kajian akademik ke pasaran umum.