RESENSI BUKU PHD KECIL TAPI SIGNIFIKAN

December 24, 2011

“Ketika ini ada lebih kurang 100 email yang belum dibalas mengenai permintaan mendapatkan buku ini” itu petikan daripada blog prof Kamil, penulis buku di atas.

Saya sudah khatam buku ini. Dengan RM20, buku ini terbang ke kotak email (dibaca sebagai e-book). terima kasih Prof.

Seorang sifu penulisan pernah berkata “apabila kita sangt suka kepada sesebuah buku itu, akan tercernalah hormon yang akan menyebabkan kita akan sangat leka membacanya.”

Saya fikir ia terjadi apabila saya membaca buku PhD Kecil Tapi Signifikan. Buku ini puas saya cari hatta ke penerbitnya sendiri di UiTM tetapi hampa. Alhamdulillah, Prof Kamil menawarkan dalam bentuk e-book dengan harga yang sangat berbaloi-baloi. Ia adalah buku genre travelog hasil pengamatan dan pengalaman. Ia suatu cetusan hati dan penat lelah mendapatkan PhD. Pengalaman Prof Kamil dan rakan-rakan pantas dikumpul untuk dihadam pembaca.

Saya lihat begini, kita melihat faktor yang besar untuk berjaya seperti kewangan, penyelia, kerja kursus, dan sebagainya. Tetapi Prof Kamil melihat perkara yang kecil dan remeh sebenarnya yang membantu proses itu. Kerja keras, ketekunan, kesabaran, terima kasih dan seumpamanya yang akan menadi taruhan para calon sarjana atau PhD.

Buku ini bagaikan suatu manual hati untuk para calon sarjana mahupun PhD. Kepintaran memahami dasar universiti dan kebijakan menyiapkan thesis itu suatu kelebihan. Untuk itu rasanya kredit harus diberikan kepada penyelia yang membantu. Ia faktor yang paling besar.

Selebihnya, mendapatkan sarjana atau PhD adalah suatu cabaran dalaman. Tiada siapa yang mengawal dan membantu kecuali diri sendiri. Lantas, ini persoalan kekuatan diri, terutamanya calon yang bekerja seperti saya. Buku ini akan saya jadikan benchmark untuk menyiapkan disertasi dalam tempoh setahun dari sekarang. Sama seperti tindakan saya menggantung gambar sifu dakwah, Prof Aziz Md Zin di dinding, sebagai penyuntik semangat untuk diri.

Ini resensi lain daripada yang lain. Ini resensi untuk diri. Buku yang sangan bermanfaat. Terima kasih Prof.

Ruzain Syukur Mansor