RESENSI BUKU PANDUAN MENULIS NOVEL TEKNIK SURAH YUSUF

January 1, 2012

Saya menulis resensi buku Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf karya Puan Ainon Mohd ini dengan perasaan yang pelbagai. beliau merupakan sifu PTS dan mengasaskan sendiri kaedah ini berdasarkan kajian beliau sendiri. Buku ini saya baca sebagai persediaan untuk menulis novel remaja dakwah. Ia sedang diusahakan.

Membacanya seolah-olah membaca sebuah manual. Sangat praktikal bagi menghasilkan novel Islami yang disukai ramai dan Syariah Compliant. Ia juga adaptasi daripada penceritaan yang indah melalui kisah Nabi Yusuf alaihissalam. Terpulanglah kepada pembacanya. Apa yang penting ia suatu kaedah. tidak lebih daripada itu. Dibaca sebagai bukan kitab tafsir sebagaimana andaian sesetengah pihak. Bagi pengkritik yang negatif, mereka melihat teknik ini menghasilkan karya picisan , lihat catatan di http://pbaru.blogspot.com/2011/12/comic-relief-dalam-teknik-surah-yusuf.html

Puan Ainon tidak pula menjawab kritikan keras penulis blog tersebut. Tetapi jika saya diberi pilihan untuk menjawab kritikan tersebut, akan saya katakan, sekurang-kurangnya Puan Ainon sudah menjalankan inisiatifnya, Tuan bagaimana? sudah adakah mana-mana kaedah menulis novel yang tuan pernah cadangkan? jangan hanya pandai mengkritik, tetapi diri sendiri masih tidak buat apa-apa.

Agak sukar mencari titik keserasian dalam mencetuskan kaedah terbaik menghasilkan novel Islami yang baik malah tidak melanggar syariah. Puan Ainon dalam buku ini mencadangkan ciri-ciri berikut:

-Mengandungi kisah-kisah benar yang indah
-Tiada babak dating dan pergaulan bebas lelaki & perempuan bukan mahram
-Banyak dialog
-Banyak watak
-Tempoh penceritaan yang panjang
-Bahasa Melayu Tinggi
-Tiada babak asmara
-Tiada gambaran tubuh watak
-Watak utamanya berjaya.

Dan banyak lagi. Anda perlu dapatkan buku ini di pasaran dan jangan lupa untuk menghadiri kursus penulisan anjuran Puan Ainon Mohd untuk maklumat lanjut.

Tidak syak lagi, ia sebuah manual penulisan novel yang menggarap kaedah dan teknik penulisan yang mudah serta praktikal. Aspek teknikal penulisan novel seperti plot, tema, gaya penulisan digarap dengan baik.

Bukan untuk mengampu, secara ikhlas saya katakan bahawa ini antara buku yang boleh manjadi panduan untuk menulis novel yang kelak boleh difilemkan. Mengapa difilemkan? Supaya nilai-nilai murni di dalam novel dapat disebarluaskan. Sambil menulis , boleh juga berdakwah.

Jadi, dapatkan di pasaran. Karya Puan Ainon Mohd terbitan rumah penerbitannya sendiri PTS Publication & Distributors ini lahir dariapda kajian mendalam dan didasari minat suka untuk berkongsi ilmu. Tema daripada pembaca menjadi penulis ini terbukti melahirkan karya yang indah dan evergreen.

Diulas oleh: Ruzain Syukur b Mansor


Apa khabar 2012?

January 1, 2012

2011 selamat melabuhkan tirai. 2012 baru saja muncul.

Akademipenulisbebas mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada saudara saudari sidang pembaca yang dihormati. Terima kasih kerana sudi menjadi peneman di kala suka dan duka.

Bagi blog ini, catatan dan komen di site stat menjadi saksi samada ia memberikan sumbangan atau tidak. Dalam banyak-banyak entry, catatan mengenai panduan temuduga guru j-QAF mendapat komen dan lawatan tertinggi. Pernah pada 5 Disember 2011, catatan ini dilawati sebanyak 251 kali dalam satu hari. Moga-moga ia menjadi pencetus semangat teman-teman untuk menceburi dunia pendidikan.

Menarik juga apabila menerima komen daripada para ‘pengunjung’. Saya bersifat terbuka. Penulis harus menerima kritikan dengan positif. Ini antara komen terbaik yang pernah saya terima baru-baru ini:

“Saya pelik enta ni….mungkin macmni cara enta meluahkan isi hati (melalui tulisan)..maksud saya enta macam suka expose “sesuatu yang enta rasa hebat/mencabar ” pada diri enta dengan niat yang baik. bolehkan ada ramai pengikut melalui tulisan trvelog macam ni…??? atau enta kena submit or tulis satu perkara yang popular…baru enta ada pengikut… (iklas; ex uia ijat)”

Saya terkedu juga buat beberapa hari. Tetapi apabila mengenangkan sebaliknya, saya harus ucapkan terima kasih kepada pengunjung tersebut. Rasanya ianya suatu komen yang ikhlas.

Setiap pemilik blog memiliki objektif penulisannya tersendiri. Blog itu diasaskan atas sebab dan prinsip tersendiri. Ia mungkin disukai ramai atau sebaliknya. Saya memilih untuk mengekalkan catatan travelog penulisan kerana ianya diwujudkan memang untuk dijadikan wadah catatan kisah suka duka seorang penulis bebas. Mohon dijauhkan hati ini daripada sifat ujub dan takabbur. Tiada langsung soal expose diri atau sebaliknya. Blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan milik Prof Kamil mempunyai ramai pengikut walaupun hanya membentangkan kisah travelog biasa-biasa tetapi sangat menyentuh hati.

Penulis bebas seperti saya tiada ruang penerbitan yang luas kerana tidak memiliki rumah penerbitan sendiri. Lantas blog serba kekurangan ini menjadi tapak untuk menghimpun suka duka seorang penulis. Ruang ini suatu ruang bebas tetapi penuh kawalan. Al-hamdulillah setakat ini ianya bukan wadah untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak. Hakikat sebenarnya kehidupan kita ini harus ditulis. Ini skrip kehidupan yang adakalanya memberikan motivasi di kala hati berduka lara. Alangkah ruginya andainya catatan sisi hitam putih hidup kita ini tidak ditulis. Akhirnya ia hilang entah ke mana. Jadi kesimpulan bagi perenggan ini : lebih baik ada daripada tiada. Persoalan orang suka, alhamdulillah, ada yang tidak suka pun terima kasih diucapkan.

Ini juga bukan samada punya pengikut atau tidak. Setakat ini blog akademipenulisbebas tidak bersifat komersil. 1 klik 1 sen. Ia dipertahankan setakat ini bukan untuk mencari keuntungan. Jadi persoalan ada pengikut atau tidak bukanlah suatu isu yang besar. Dikata orang menulis atas sebab kepuasan. Samada dibaca atau tidak, bukanlah isu pokoknya. Berlainan dengan menulis buku. Buku yang kita tulis untuk diterbitkan penerbit harus ‘mampu’ dibeli pembaca. Penerbit akan sakit mata jika buku yang kita tulis tidak laku di pasaran. Menulis di blog dan buku punya perbezaan.

Lantas, apa khabar 2012? Dikata ramai orang, tahun ini antara tahun yang sangat kompetitif dengan hamburan pelbagai isu. Moga blog akademipenulisbebas ini bertambah matang selaras dengan kematangan penulisnya. Moga isunya lebih menyeluruh dan mampu menyumbang sesuatu kepada korpus ilmu. Namun gaya santai akan dikekalkan. Ini bukan suatu blog ilmiah. Jika ilmiah, medannya bukan di sini. Medannya di dalam jurnal.

Terima kasih semua. terima kasih diri. terima kasih Allah atas cuarahan idea daripadaMu.

Ruzain Syukur Mansor