BERTEMU GURU

January 28, 2012

Ini buku ustaz saya, Ustaz Azmi Ahmad terbitan Must Read. Beliau mengajar saya ketika di SMA Izzuddin Shah Ipoh Perak. Saya telah miliki dan siap resensinya sekali dalam blog ini. Setelah lama tidak berjumpa hari ini sangat bertuah sekali. Beliau sempat saya peluk. Malah makan bersama sambil menerima butiran mutiara nasihat darinya.

Beliau saya temui ketika sama-sama berbengkel di Wangsa Melawati tadi. Beliau adalah penulis MustRead terdahulunya.

Orangnya masih sama. Malah beliau masih mengingati nama saya. Malah teman-teman se batch masih melekat di ingatannya. Orang lama hebat kerana ilmunya. Beliau kini merupakan pensyarah di Kolej Islam Darul Ridzuan , Ipoh Perak.

Moga Ustaz Azmi Ahmad terus menulis dan berkarya sesuai dengan kepakarannya di bidang dakwah dan Bahasa Arab.

Ruzain Syukur Mansor


BERGURU DENGAN MENTOR

January 28, 2012

Setelah lama menanti, hari ini saya berjaya berguru dan melantik Tuan Zamri Mohamad sebagai mentor penulisan saya. Mengikuti Kursus Penulisan Buku Agama anjuran Mustread sangat mengujakan. Terima kasih orang kuat Must Read yang menyediakan wadah terbaik untuk mengembangkan sayap. Moga kita ada rezeki berkolaborasi nanti.

Dengan Tuan Zamri ini saya punya banyak sejarah. Facebok, sms, emel, sehinggalah detik berguru dengan beliau. Sangat hebat pengalaman penulis dan jurulatih penulisan muda ini.

Memang hidup kita ini perlukan mentor. Kita memerlukan contoh untuk diikuti. Apa yang docontohi? kejayaan mereka dan gaya mereka menguruskan sesuatu kejayaan. Lantas, belajar menulis ini juga perlu daripada gurunya.

Saya memilih mentor yang tepat. Selain beliau muda dan penuh dengan idea dan misi, tidak lokek pula berkongsi ilmu. Moga dengan adanya mentor ini memudahkan laluan mengurus penulisan. Malah saya pernah juga bergurukan guru penulisan yang jauh lebih garang. Tetapi kesan dari garangnya jurulatih itu menggerakkan minda untuk segera menulis.

Saya berbual dengan teman-teman. Blog akademipenulisbebas ini diwujudkan untuk berkongsi jatuh bangunnya seorang penulis bebas. Di bengkel penulisan seperti ini peluang untuk saya re-charge bateri minda yang sedikit lemah dengan semangat dan motivasi. Al-hamdulillah, tenaganya sangat luar biasa. Biasanya selepas berbengkel, blog akan cepat diisi dengan coretan motivasi dan semangat.

Akan ada lagi catatan bengkel nanti. Izinkan minda ini berehat dahulu sebelum datang idea baru nanti.

Ruzain Syukur Mansor


ARTIKEL PERTAMA 2012..

January 28, 2012

Al-hamdulillah, sebaik sampai daripada menghadiri kursus penulisan kendalian Tuan Zamri Muhammad, saya dihidangkan satu bungkusan daripada JAKIM. Saya pasti ia adalah majalah Cahaya.

Rupanya betul, artikel tulisan saya bertajuk Cintailah Alam Sekitar Kita: Dunia Semakin Nazak disiarkan di Majalah Cahaya JAKIM keluaran 2/2011. Tambah menarik ia adalah isu fokus yang dihighlight oleh editor. Ia artikel yang dihantar pada tahun lepas. Rezekinya ia tersiar tahun ini.

Baru sahaja bersembang-sembang dengan rakan -rakan penulis sewaktu berkursus bersama Tuan Zamri Mohammad beberapa jam sebelum menerima majalah tersebut.

Ia merupakan antara penyuntik semangat saya tahun ini. Sangat signifikan kerana ruang penulisan di JAKIM sudah saya perolehi sejak tahun 2008. Walaupun ia tidak sekerap mana namun saya membina pengalaman dan kredibiliti melaluinya.

“Seperti Tuan Ruzain, yang menulis dengan JAKIM sebelum ini” itu antara yang diucapkan sifu saya Tuan Zamri Mohammad siang tadi ketika berbengkel.

Itu tidak penting, apa yang lebih penting, tahun ini perancangan penulisan saya agak berbentuk serampang dua mata. Sambil menulis buku cuba-cuba juga menghantar artikel ke majalah. Dunia majalah membentuk jatidiri kepenulisan saya. Buku membentuk kesabaran. Kedua-duanya sama penting.

Apapun, ia permulaan yang baik untuk 2012. Moga ada sinarnya nanti

Ruzain Syukur Mansor