TAMPIL COOL SEJAK REMAJA

February 15, 2012

“Tampil Cool Sejak Remaja”

Ia nada kegembiraan. Lewat petang, saya menerima e-mail daripada editor buku ketiga saya itu. Daripada tajuk sementara “Misi jadi Luar Biasa” ia berubah menjadi “Tampil Cool Sejak Remaja”. terus terang saya katakan ia tidak pernah muncul dalam fikiran. Maksudnya betapa tajamnya idea para editor dan copy writer dalam memberikan brand kepada buku tersebut.

“Ia bakal terbit dalam bulan Mac atau April” itu balasan editor kepada saya.

Jika benar, alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah. Pesta Buku 2010, terbit dengan Tip Urus Kelab Remaja Masjid. Pesta Buku 2011 terbit dengan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat. Pesta Buku 2012 bakal pula terbit dengan buku Tampil Cool Sejak Remaja.

Ia bukan juga suatu proses yang singkat. Lain penerbit lain gaya persembahannya. Saya merasakan produk kali ini akan tampil dengan pakej berbaloi. Apatah lagi memahami kegemaran remaja ini suatu proses yang agak sukar. Minatnya terlalu cepat berubah dan sukar dibaca. Lantas, menulis buku mengenai remaja terlalu banyak cabarannya. Bahasa kena tepat kepada sasaran. Tidak pula menggunakan bahasa membebel. Memuji sekali sekala. Yang penting adalah menyediakan tip ringkas yang berguna kepada mereka.

Jadi, saya harus terus bersabar menanti buah tangan yang ketiga saya itu. InsyaAllah jika diberi kebenaran oleh editorial, buku terbaru ini akan mendapat endorsement atau sedikit testimoni daripada salah seorang penulis yang sangat bijak memberi inspirasi. Saya nantikan dengan penuh sabar.

Sabar rupanya teman yang setia bagi seorang penulis. tetapi sabar kali ini insyaAllah berbaloi-baloi. sama-sama nantikan ya!

Ruzain Syukur Mansor
bakal terbit dengan buku “Tampil Cool Sejak remaja terbitan PTS Millenia Sdn Bhd”


CATATAN SARJANA: LULUS TETAPI BELUM LULUS

February 15, 2012

Jangan beralih! Ini benar-benar berlaku.

Lulus tetapi belum lulus.

Bagi calon sarjana, lulus bahagian kerja kursus, belum bermakna lulus dan sah bergelar sarjana. cabaran sebenar baru sahaja bermula. cabaran menyusun komitmen diri.

Pagi tadi saya saya sempat meninjau keputusan akhir bagi matapelajaran Kaedah Pengajian Usuluddin, subjek terakhir bagi mod kerja kursus sebelum memulakan penulisan. Alhamdulillah, berjaya juga akhirnya.

Sesudah itu memberanikan diri untuk mendaftar diri sebagai calon penyelidikan. Tajuk masih belum dihantar. Penyelia pula akan dirujuk tidak berapa lama lagi. Risau juga memandangkan literature masih belum mantap.

Jangan lagi menoleh ke belakang. Kenangan mengusahakan tugasan dan menjawab kertas peperiksaan sudah menjadi sejarah. Apa yang perlu di hadapan adalah kemahiran menjadi bacaan dan kajian serta pemerhatian sebagai suatu penyelidikan yang bermutu tinggi. Malah menyumbang sesuatu kepada corpus ilmu.

Kemahiran utama adalah kemahiran mengurus komitmen. Sesudah itu kemahiran mengenalpasti masalah utama yang ingin dikaji. Lantas strategi disusun untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat. Akhirnya maklumat dicanai sebaiknya untuk tujuan penulisan hasil kajian.

Melihat kepada teman-teman yang sudah memulakan rentak, rasanya saya tidak mahu ketinggalan. Impian bergelar sarjana nampaknya hanya bagaikan di seberang lautan. Kayuhan menuju seberang tidaklah sesusah mahu memulakan rentak.

Moga-moga Allah berikan keringanan dan semangat yang dicari-cari. InsyaAllah , jika kita mahu Allah tunjuk jalan yang harus dituju. Amin

Ruzain Syukur Mansor
IGB 100059