GURU JUTAWAN AKHIRAT-SEINDAH NAMANYA

March 7, 2012

Guru Jutawan Akhirat memang tajuk buku yang unik. Ia garapan sahabat-sahabat saya Panel Penulis Sektor Pendidikan Islam , Jabatan Pelajaran Selangor.

Dalam kata pengantarnya tertulis indah kata-kata ini:

” Buku ini bicara hati daripada guru kepada guru. Ditulis oleh guru kepada guru. Mengajak untuk kita merasa bahagia sebagai seorang guru , tenang dengan himpitan tugas, amanah dengan kerja, bertanggungjawab terhadap anak didik”.

Ia dicanai dengan begitu rapi. Pengalaman merasai kehangatannya ketika pemurnian akhir di Port Dickson sebelum buku ini lahir menemui pembacanya sangat mengujakan. Melihat betapa kegigihan penulisnya mencerna idea sangat menginsafkan. Ini bagi menyediakan khalayak teman seperjuangan suatu wadah motivasi yang sangat membangkitkan semangat.

Hanya guru yang lebih memahami profesion perguruan. Alangkah beruntungnya pasangan guru, samada suami atau isteri seorang guru yang tumpang sekaki mendengar segala macam keluhan dan peristiwa yang mewarnai kehidupan insan bernama guru. Tetapi hakikatnya hanya mendengar sahaja masih lebih jauh daripada memahami jerih payah profesion seorang guru. Suatu profesion yang dianggap unik dan istimewa, diingati orang walaupun sudah hanya bertemankan batu nisan di pusara . Bertuahnya menjadi guru.

“Ustaz, saya mencari buku yang boleh mengelakkan burn-out di kalangan guru” itu getus seorang teman guru tadi. Seorang guru muda yang sangat berinspirasi. Tetapi semangat tanpa penghargaan tidak cukup untuk mengekalkan semangat membara sama seperti bulan-bulan pertama ketika bergelar guru dahulu.

“SEtiap kesukaran harus ditukar menjadi peluang. Bacalah buku-buku jejak Guru Cemerlang menyusun strategi sebelum bergelar seorang GC. Mereka insan yang terpilih telah berjaya menukar suatu masalah di sekolah menjadi peluang untuk memajukan diri” ikhlas dari saya.

Dalam kata pengantar buku Guru Jutawan Akhirat jelas dengan kata-kata motivasi ini:

” Guru, katakanlah dengan berani dan yakin ” aku ingin masuk syurga dengan tiket seorang guru”

Itu antara laungan keramat yang harus dijadikan azimat bagi seorang guru. Ini bertepatan pula dengan catatan pada blurb buku ini yang menyatakan bahawa:

“Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74% jutawan di dunia adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita untuk menjadi seseorang yang berkuasa, guru bukan medannya. Jika bercita-cita menjadi jutawan di akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul”

Berikut dikongsikan beberapa bingkisan motivasi yang dicoretkan khusus untuk bakal Jutawan Akhirat:

” Sekali kita menjadi guru, selamanya akan dipanggil cikgu”

” Marilah kita menjadi guru yang pertama . Pertama dalam mengajar. Pertama menyentuh hati pelajar. Pertama di hati pelajar. Pertama menyeru kebaikan dan pertama dalam membuat kebaikan.”

” Ayuh kita semua bercita-cita menjadi sorang guru yang memiliki 5M: mudarris, muallim, muaddib, murabbi lagi mursyid”

Moga bingkisan mendidik jiwa seperti buku Guru Jutawan Akhirat menjadi penguat semangat dalam melalui ranjau bergelar guru yang diredhai Allah. Sekali bergelar cikgu, selamanya tetap menjadi guru!

Ruzain Syukur Mansor


MOTIVASI DIRI: TERIMA KASIHLAH KEPADA ANGIN YANG MENENTANG

March 7, 2012

OLEH RUZAIN SYUKUR B MANSOR

Lihatlah kepada layang-layang yang terbang jauh di udara. Siapa sangka kertas senipis itu boleh terbang setinggi itu. Malah, hanya dipandu dengan tali yang halus. Sangat halus. Layang-layang yang terbang gah di udara tadi mungkin akan terjunam apabila talinya putus. Keegoannya yang tinggi di udara akan secara tiba-tiba akan tergugat hanya kerana talinya tidak mampu mengawalnya lagi. Putus kerana sifatnya halus.

Apakah peranan angin dalam misi penerbangan tersebut? Ya, layang-layang tersebut terbang kerana angin yang menentang arus memberi tekanan yang hebat. Makin lama, semakin tinggi menerjah udara. Hebat bagaikan tiada tandingan. Asalnya lemah tetapi kuat setelah menghadapi rintangan angin yang sangat kuat.

Makin kuat angin yang menentangnya, makin tinggi naik layang-layang itu ke udara. Justeru, angin yang menentanglah sumber kekuatannya.Sama ada kita sedar atau tidak,  hidup kita ini melalui pelbagai proses. Gagal dan berjaya itu suatu proses kematangan.

Adakala kita ini dipuji dan adakalanya kita dikritik.

Adakalanya kita dikritik hebat oleh rakan-rakan dan majikan.
         
“ Saya tidak yakin dengan kemampuan kamu”
          “ Tugasan kamu tidak dilakukan dengan sempurna”
          “ Kamu tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya”

Jadi, apa pilihan yang ada pada kita. Melenting? Pasti pada mulanya kita berasa terhina dan marah kerana sindiran tersebut. Tetapi sedarkah kita bahawa sindiran dan kritikan tersebut sebenarnya telah membongkar kelemahan dan kekurangan kita. Kekurangan itulah harus dibaiki. Lantas, apabila kekurangan dan kelemahan itu dibaiki kita bakal menjadi seorang yang hebat.

Maka, kita harus mengucapkan terima kasih kepada orang yang mengkritik . Sama seperti kes layang-layang yang terbang kerana angin yang merintangi usahanya naik ke puncak. Layang-layang tersebut harus berterima kasih kepada angin yang menentangnya. Jika tiada angin yang menentang mana mungkin ia boleh berjaya menghasilkan  tekanan untuk naik ke atas.

            Tip terima kasih      
1. Ucapkan terima kasih kepada rakan atau majikan  yang mengkritik diri anda.
2. Analisa kelemahan diri melalui kritikan mereka dan bina semangat baru.
3. Perbaiki kesilapan lalu dan cuba lakukan penambahbaikan.
4. Berlapang dada dengan semua orang.
5. Jadilah pendengar yang setia.
6. Sudi untuk mendengar kritikan orang.

“Berterima kasihlah kepada angin yang menentang, kerana tanpanya layang-layang takkan naik ke udara”
“Berterima kasihlah kepada pengkritik, kerana tanpanya kita mungkin akan terus sombong dan tidak menyedari apakah kekurangan dan kesilapan diri”

Sumber cerita: Tn Hj Zailan b Wagiman
              Ketua Sektor
              Sektor Psikologi dan Kaunseling                        
Jabatan Pelajaran Selangor