Mengapa kajian pasaran penting?

March 25, 2012

Assalamualaikum
Salam penulisan.

Mengapa kajian pasaran juga penting untuk majalah?
Baru-baru ini saya dihubungi oleh editor majalah baru untuk remaja “Muslim Teen”. Ia terbitan Blue T Communication. InsyaAllah, saya diberi peluang mengisi kolum bijak belajar dalam majalah tersebut edisi April.

“Warnanya agak tenggelam” itu komen ikhlas apabila diminta oleh editor. Memandangkan ia adalah majalah baru, ia perlu jauh lebih menyerlah daripada majalah sedia ada. Membaca fikiran remaja agak sukar sebenarnya. Minat mereka cepat timbul dan cepat pula berubah.

Ini memungkinkan editor untuk melakukan kajian terhadap minat remaja. Isu dan topiknya biasanya agak santai. Menyampaikan maklumat harus secara tepat dan tidak meleret. Unsur kegemaran mereka juga perlu. Animasi perlu menarik. Ilustrasi perlu up to date.Warna warni illustrasi perlu mengambil kira kecenderungan gender. Lelaki dengan warna garang. Perempuan dengan warna lembut seperti pink. Jangan diwarnakan baju remaja lelaki dengan warna pink. Boleh menimbulkan salah anggapan nanti.

Kepada penulis artikel remaja, perlu lakukan sedikit kajian. Bercampurlah dengan anak remaja untuk mengetahui isu terkini. Bahasa mereka bagaimana? Isu menulis untuk kepuasan diri sudah lama berlalu. Untuk diterima editor, penulisan anda perlu ke arah adakah ianya bersesuaian dengan kehendak pembaca? Itu yang perlu difikirkan.

Moga bermanfaat dan selamat menulis.

Ruzain Syukur Mansor
Pengasas Akademi Penulis Bebas


MENULIS DARI HATI, IMPAKNYA MERUNTUN JIWA

March 25, 2012

“Ustaz, jom ke Majlis Pelancaran buku bekas pelajar kita” itu undangan seorang rakan guru.

Lantas, undangan dipenuhi. Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Nia Rissa diadakan gilang gemilang di Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam. Nia Rissa merupakan bekas pelajar SK Telok Menegon dan kini sedang bertungkus lumus membina menara kejayaan di SAMT Hishamuddin Kampung Jawa Klang. Penulis muda ini diuji beberapa kali dengan masalah kesihatan yang memaksanya menangguhkan pengajian buat beberapa ketika. Dengan kejayaan 5A dalam UPSR dan 8A PMR membuktikan Nia Rissa seorang yang tabah walau diuji dengan pelbagai dugaan.

Dalam kesibukan membina impian, bakat kurniaan Allah tidak dipersiakan. Garapan puisi lontaran idea anak muda remaja muslimah ini dijadikan azimat buat dirinya yang kini diuji. Betapa ujian baginya adalah ubat yang mujarab untuk diri.

Menjadikan tema ‘dugaan Allah’ sebagi tema utama, ternyata puisi Nia Rissa berjaya meruntun jiwa khalayak pendengar. Tulisannya lahir dari hati. Sangat ikhlas dan menyentuh jiwa. Bait perkataan diukir penuh hikmah dan cermat menggambarkan perasaan yang pelbagai hasil tarbiah ibu bapa dan guru.

Aku Redha.

Dengan kesucian Kalam-Mu ya Allah
Aku menghirup secangkir ketenangan
Pada setiap kalimah yang indah teratur
Dalam kalam yang tidak ditandingi
Walau dengan sejuta manusia cerdik

Aku pasrah dengan segala kehendak-Mu
Aku redha dengan setiap ketentuan-Mu
Kerana hidupku ini hanyalah
Satu pinjaman bagiku

…Petikan puisi bertajuk Aku Redha-Nia Rissa

Dalam diam, jiwa Nia Rissa harus mengundang pujian ramai. Betapa kekuatan dan ketabahan menjadi benteng yang kuat. Malah, tiada riak pun diwajahnya mengatakan bahawa dia adalah pesakit kanser. Syabas Nia.

Didoakan agar lahir Sasterawan Negara bertitik tolak daripada kejayaan membukukan antologi puisi yang pertama ini . Moga adik Nur Khairunnisa akan menjadi sebaik-baik wanita sama makna dengan namanya. Moga tabah ibu dan ayahnya. Moga tidak henti-henti doa guru-gurunya. Jadilah apapun, kerana di sisi-Mu ada Allah yang sudi memberikan pertolongan.