Artikel akademipenulisbebas.wordpress.com dalam sorotan literatur jurnal terbitan Us-China education Review.

December 28, 2013

Image

Blog akademipenulisbebas ini sudah mencapai objektif ia diwujudkan. Kali ini salah satu artikelnya yang bertajuk “Peranan Guru Pendidikan Islam” telah dijadikan rujukan sebuah artikel jurnal terbitan US-China Education Review bertajuk Positive Self Concept For Islamic Education Teachers As a Role Model. Penulisnya? Nurul Asiah Fatehah Muhamad (USIM), Mohd Isa Hamzah, Abd Halim Tamuri (UKM), et all.

Saya teringat salah satu komen sahabat terhadap penulisan di blog ini katanya saya menulis perkara-perkara seolah menunjuk kehebatan sendiri. Nasib baik saya tidak lemah semangat ketika itu. Untuk berlaku adil, blog akademipenulisbebas ini perlu dibaca secara keseluruhan. Ada artikel serius mengenai pendidikan dan dakwah. Sebahagiannya menembusi tembok kebal editor. Sebahagiannya mengutarakan kejayaan saya dalam bidang penulisan. Mengapa? Adakah ianya untuk tujuan mencari kebanggaan? Antara hasrat diwujudkan blog ini adalah  untuk berkongsi jatuh bangunnya seorang penulis bebas. Justeru, pasti pahit dan manisnya.

Seorang agamawan  pernah pada suatu ketika marah-marah kepada seorang penulis novel sirah terkenal negara kerana mendialogkan peristiwa perang dan kisah di zaman sahabat. Jawab penulis itu “sekurang-kurangnya saya buat sesuatu ..menulis kisah kisah tersebut. Apa pula usaha tuan?”

Ringkasnya, kita tulislah di media milik sendiri. Ada komen maksudnya orang prihatin terhadap karya kita. Yang jadi masalahnya kita hanya bising-bising tapi tidak buat apa-apa macam ayam kampung riuh sekampung. Justeru, setiap sumbangan penulisan kita pastikan kualitinya kerana mungkin ia menjadi sorotan atau rujukan para sarjana dalam membuat penyelidikan.


BORANG PENCALONAN JURULATIH PENULISAN KEBANGSAAN DALAM KALANGAN GURU PENDIDIKAN ISLAM/BAHASA ARAB BPI KPM

December 26, 2013

Pencalonan sudah dibuka. Silakan isi

https://docs.google.com/forms/d/1_ZKanszugmVpBjh95xVaqdE1SoWXmW4iIBTybmAoJ7Q/edit#


Artikel terbaharu saya dalam Majalah Cahaya JAKIM

December 26, 2013

Artikel terbaharu saya dalam Majalah Cahaya JAKIM

Artikel bertajuk Sahaja Aku Berhijrah saya dalam majalah Cahaya JAKIM


ULU YAM DI LIVERPOOL BUKTI IMPIAN ANGAN MENJADI KENYATAAN

December 26, 2013

Image

Ia mengundang air mata jantan seorang pembaca tegar. Saya bukan peminat novel-novel tangkap leleh. Tetapi saya pembaca tegar karya travelog. Apatah lagi ia travelog ke luar negara? mengapa? Saya juga ingin ke sana. Kalau boleh biarlah ia ditaja.

Buku ini saya beli setelah melihat kaver tan tajuknya yang super. Saya sudah dapat menangkap karya ini bakal menyentuh hati. Benar, ia memaksa hati seorang lelaki teresak-esak (nasib baik tidak dilihat orang). Apa yang ditulis daripada hati akan pasti menyentuh segenap jiwa.

Nazali Noor bukanlah penulis prolifik yang biasa kita baca karyanya. tetapi apa yang ditulis menyentuh sisi kehidupan anak kampung yang dilatih dengan erti kesusahan. Erti kesusahan rupanya membina kekuatan diri untuk mencapai cita.

Watak ayah, ibu, along dan angah digarap baik kerana ia kisah sebenar. Saya mencemburui Nazali kerana berjaya menjadikan kisah kasih dan sayang ibu, ayah, along dan angahnya sebagai modal menghiris hati dan jantung pembaca. Rupanya kasih dan sayang di waktu kecil menjadi coretan dan bingkisan indah mengungkap rasa rindu.

Kisah kehidupan Nazali di Ulu Yam sebagai budak kaki bangku  yang sering diejek rupanya tidak mematahkan langsung semangatnya untuk ke Liverpool. Saya tahu ia suratan takdir., tetapi hampir pasti 70% keinginan dirinya untuk ke sana mendorongnya untuk berjaya dalam kehidupan. Berjaya bergelar Graduan oversea..menjejak bumi Liverpool..berjaya membuktikan bahawa angan-angan boleh menjadi kenyataan.

Antara yang menarik turut disebut oleh penulis ini “tulislah setiap angan-angan dan impian di atas kertas. Nescaya suatuhari nanti ia akan dibelek semula untuk ditandai dengan lorekan bahawa ia telah dapat dicapai. Impian sudah menjadi kenyataan”

Saya harus akui. Ia memang sudah banyak mencorak kehidupan saya. banyak angan-angan yang sudah menjadi kenyataan. Apa yang boleh saya simpulkan daripada pembacaan terhadap buku ini ialah kita adalah apa yang kita fikirkan. Setiap angan-angan itu akan menjadi doa apabila diusahakan. Or else ..siapa tahu Allah akan kabulkan kerana ia sudah tersurat.

Justeru, binalah impian. Bajailah ia dengan usaha yang bersungguh. Siramialah ia dengan doa.


APABILA GAMBAR BERBICARA

December 8, 2013

Image

Ia sangat jarang berlaku di blog akademipenulisbebas ini. Sangat jarang apabila gambar diberi tanggungjawab untuk berbicara. Ia bermula 4 bulan yang lalu saat saya melunasi suatu urusan kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Melewati aras 1 Menara DBP menemukan saya dengan institusi yang bernama Kota Buku. Saya sangat kenal dengan antara big bosnya, Puan Norhayati yang dahulunya antara orang kuat Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Ia perancangan yang dipermudahkan Allah. 1 mesyuarat dan 3 kali bengkel. Ya, Bengkel Buku Bergambar Kanak-Kanak Berunsur Islam anjuran Kota Buku dan Bahagian Pendidikan Islam. Siapa ahli bengkelnya? Guru Pendidikan Islam..ustaz dan ustazah.

Image

Sangat bertuah kerana dapat  berguru dengan Pak Usop, karyawan dan pakar dalam bidang menghasilkan ilustrasi yang sangat menarik. Sangat bertuah juga apabila ustaz dan ustazah diberi peluang meneroka suatu bidang baru..sangat mencabar bagi yang jarang melukis.

 

Image

Kita tidak tahu yang kita ini tahu hanya selepas kita mencuba. Itu harus saya akui. Turun dan naik semangat para Daie Pena banyak dicetuskan oleh kiriman motivasi teman-teman di fb Daie Pena. Lakaran demi lakaran, jadi mahupun tidak, menerima komen daripada pembimbing menjadi rencah yang mematangkan.

Image

ia bukan lagi alasan. Ia bukan mencungkil kelemahan. Tetapi rupanya menyingkap kekuatan diri. Rupanya ada ruang dakwah di celah kesukaran para Daie Pena mengasah pena dan lukisannya. Rintihan penat dan lelah menjadi asam garam menuju cita bergelar penulis. Saya berani untuk mengatakan 30 Daie Pena yang dipilih merupakan penulis yang benar benar kuat fizikal dan mentalnya.

 

Image

Ia bermula dengan hanya melihat jauh ke hadapan. Khafizan merupakan graduan sarjana di UIAM dan kini mengejar impian bergelar seorang ilmuan PhD dalam bidang-bidang Pembangunan Pendidikan Islam Kanak-Kanak. Beliau GPI di Kuantan. Akhirnya idea awal berjaya ditukar menjadi kisah squirel yang disebut-sebut para pembimbing dan teman.

Image

Ia mungkinsekadar  suatu coretan idea, tetapi ia suatu lakaran idea yang mampu mencetak jutaan kegembiraan. Story board ataupun rentetan idea yang disusun akan mencetus gerak idea di atas kanvas.

 

Image

Kalau tidak kerana sabar dan kesungguhan, mana mungkin karya sebegini terpahat kemas di layar pameran. Ia tanda kepuasan. Ia bukti keikhlasan.

 

Image

Terlakar indah karya daie Pena. Sesudah melakar idea dalam manuskrip, ia pindah ke story board. Dummy memperkukuh idea. Akhirnya ditumpahkan rangkuman idea di atas kanvas. Diwarnai dengan penuh teliti.

Image

Ia terbukti dengan jelas. Bukan dibuat-buat tetapi dibuktikan sebagai tanda. bahawa ada sekelompok Guru Pendidikan Islam mempersembah karya buat dinilai sifu terkenal.

Image

Akhirnya, tiga siri kita bersama. 30 karya berjaya dihasilkan. Kota Buku merealisasikan impian daie Pena bergelar penulis. Apa yang lebih penting kita punya jawapan apabila ditanya Allah nanti tentang apa sumbanganmu pada ummat? Inilah sumbangan yang mungkin dikategorikan sebagai warisan ilmu yang berpanjangan.

Tahniah Daie Pena. Terima Kasih Perbadanan Kota Buku. Terima Kasih para pembimbing.

Hari ini kita menanam benih, esok lusa kita meraih hasil. Hari ini kita mencetak buku, esok lusa ia  memandaikan anak bangsa.

Ia antara program yang mencabar buat diri saya sejak mula berada di BPI. Tetapi ia mencapai KPI yang ditetapkan..membangunkan warga GPI jauh terbang ke persada antarabangsa insya-Allah. Maaf dihulur di atas kekurangan. Moga terus bergemerlapan wahai teman. Terbanglah dan capailah impian.

Ruzain Syukur b Mansor

Tok KetuaDaie Pena