Ketua Satu

October 29, 2013

Jarang saya bercakap soal kerja di dalam blog ini. Biasanya ia hanya berlegar persoalan dunia penulisan sahaja. namun apa salahnya sekali sekala berbicara soal kerja di sini.

Agak jarang saya berbicara tentang kepimpinan walaupun berada di bawah unit kepimpinan. Beberapa hari ini saya berpeluang untuk menziarahi beberapa buah sekolah di utara tanah air. Beberapa bulan terdahulu sempat pula mengunjungi dan bersembang panjang dengan beberapa orang ketua satu sekolah di negeri pantai timur.

Pemimpin nombor satu sebenarnya membentuk suasana organisasi. Ia tonggak yang menggerakkan pasukannya. Ia sangat jelas berdasarkan perbandingan. Bukan mahu membanding-bangkan kepimpinan yang pelbagai tetapi saya belajar untuk memimpin.

Dalam konteks sekolah, pengetua atau guru besar adalah tonggak kemenjadian pelajar. Ia suatu kepastian. Keupayaan membentuk budaya kecemerlangan akan menentukan hala tuju. Bercakap sahaaj tidak guna tetapi perlu menterjemahkan apa yang diungkapkan. Pemimpin yang berada di kerusi empuk nombor satu organisasi dengan misi yang jelas akan berjaya menterjemahkannya ke dalam bentuk kejayaan.

Manakala corak kepemimpinan pemimpin menjadi penentu sejauh mana pasukannya akan patuh dan tunduk hormat serta suka bekerja dengannya. Pemimpin autokrasi akan mudah menerima patuh tetapi belum tentu dihormati. Pemimpin turun padang akan lebih dihormati kerana sikap cakap serupa bikinnya. Pemimpin sebegitu  akan menerima respek dan mudah mempengaruhi khalayak.

Konflik bagi seorang pemimpin adalah untuk membina watak sebagai seorang ketua yang dihormati disamping menjiwai visi yang dimilikinya. Ia harus datang daripada hati setulus ikhlas.

 


HAMPIR HILANG

October 22, 2013

Saya hampir kehilangan. Hilang apa? Hilang ingatan terhadap kata laluan blog kesayangan saya ini. Tandanya pasti tuan puan sudah tahu. Itulah akibat sudah lama membiarkannya berhabuk.

Antara kekaguman saya terhadap seorang penulis adalah melihat bagaimana blognya sentiasa dikemaskini walaupun dalam keadaan sibuk. Sedikit tetapi konsisten.

Allah izinkan untuk saya bertanya kepadanya mengenai rahsia komitmennya terhadap blog. Rahsianya akan saya kongsikan nanti.

Memang benar, peristiwa dan pengalaman yang tidak ditulis akan hilang dimamah ufuk lupa. Justeru, pesan untuk diri ‘ tiada pilihan lain selain menulis’. Tulislah walaupun sedikit supaya ia berbekas nanti.

Ini komitmen saya, menulis walaupun sibuk. Menulis walaupun sedikit. Kerana apa? supaya ia kekal dalam lipatan sejarah.


Terbanglah..

September 21, 2013

Image

Tertera pada gambar di atas adalah Saudari Marini, Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau baru sahaja mendapat tiket gergasi untuk diterbangkan ke Kota London. Kota impian saya juga. Saudari Marini merupakan pemenang pertandingan yang dianjurkan oleh ITBM sempena Pesta Buku yang lalu.

Ironinya, saya hanya menepuk dahi kerana tidak menyertai pertandingan ini. Saya hadir di booth ITBM ketika pesta buku yang lalu. Malah tahu tentang pertandingan ini. Cuma silap sendiri tidak mahu mencuba.

Pada hari Saudari menerima Marini menerima tiket gergasi ke Kota London, saya pula menerima surat jemputan hadir ke majlis tersebut mewakili tuan Pengarah saya.

Oh! Pesanan untuk diri..”ingat sendiri”

Apapun tahniah diucapkan kepada Saudari Marini. Beliau merupakan antara pemenang Sayembara Penulisan Tazkirah anjuran Bahagian saya tahun ini. Syabas diucapkan. Semoga memperolehi pengalaman berguna di Kota London.

Saya? Masih sabar menanti, jika ada yang ingin sponsor untuk saya terbang ke sana.


Resensi Buku Semuanya Soal Hati Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

August 14, 2013

cvr soal hati.indd

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sentiasa tidak mengecewakan. Buku terbaru beliau pantas saya sambar setelah hanya melihat kaver dan tajuknya yang menarik.

Pantas pula saya telusuri mesej super di dalamnya. Antara kemahiran hebat Ustaz Pahrol adalah pemilihan dan penggunaan kata yang sangat indah dan jarang diguna orang. Ayat yang digunakan ringkas tetapi bisa memaku mata pada lembaran.
Antaranya:

“Tidak mengapa jika kakimu sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak mampu berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan.”

“Apabila saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. ”

“Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya.”

“Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut, sudah dibakar dalam relau mihnah Allah. Dan saat tulah kita layak menerima anugerah. Bingkisan ijazah daripada universiti mujahadah”

“Kita di sini untuk berpenat Di sana (akhirat) nanti barulah kita berehat.”

“Untuk memiliki hati emas, bayarlah dahulu harganya. Dunia diumpamakan tempat membayar. di akhirat nanti tempat bermain. Bayar di sini dan berseronoklah di sana.”

“Hati itu umpama magnet. Ia mempunyai daya tarikan. Apa yang dirasakan di dalamnya menentukan apa yang akan ditarik dari luarnya.”

Kehebatan tinta pena pemilik blog Genta-Rasa ini adalah pada perlambangan yang digunakannnya. Simboliknya cukup mendalam dan sangat menarik untuk diperhalusi.

Buku terbaru tulisan Ustaz Pahrol ini memfokuskan perihal hati. Mencari hati emas satu keperluan katanya. Bagaimana? Itulah letaknya mujahadah dalam melawan nafsu. Ingat mati selalu. Minta pertolongan Allah . Jika masih di takuk lama, minta sahaja hati yang baharu.

Sebetulnya, saya masih belum habis menghadam buku ini. Tetapi hati ini begitu kuat untuk berkongsi dengan khalayak tentang betapa ajaibnya kata yang digunakan oleh penulis ini.

Ia sangat sesuai untuk dijadikan buku teks membaiki hati yang sepi. Selamat membaca!.


sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunusr Islam) Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

August 6, 2013

poster sayembara penulisan cerpen kreatif


Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

July 19, 2013

Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H.

Ia terbuka kepada pegawai, guru dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Syarat pertandingan sayembara beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada link berikut:

http://www.bpi.edu.my/v1/index.php/component/content/article/2-uncategorised/249-sayembara-penulisan-kreatif

Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2013.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Urusetia Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia: Nombor telefon : 03-83217288 Email : sayembaracerpenislamkpm@gmail.com


Membaca Impian

May 18, 2013

Image

Ruzain Syukur,

Selamat Mengembara-Nisah Haron

Itu catatan daripada penulis buku Kembara Sastera Nisah Haron-United Kingdom dan Dublin. Saya kira sangat bertuah kerana berjaya menjejaki penulis ini ketika beliau melaksanakan bedah bukunya yang sangat unik ini di Pesta Buku Antarabangsa  2012 .

Ironinya, setahun sudah buku ini saya miliki, Mei 2013, ia berjaya saya khatamkan. Ia melalui beberapa proses yang panjang termasuk pernah ‘hilang’ daripada simpanan.

Sebetulnya saya peminat tegar buku-buku travelog. Apatah lagi buku-buku travelog perjalanan penulis ke kota London. Mengapa? Kerana saya juga punya impian yang sama, untuk menjejaki bumi London. Kalau boleh biarlah dengan tajaan penuh. Ditanggung penuh. Baru berbaloi! Ada yang mahu sponsor?

Buku Kembara Sastera Nisah Haron ini saya sifatkan sebagai catatan seorang pencinta buku. Masakan tidak, terlalu banyak diulang-ulang catatan menjejaki kedai buku dan muzium buku sepanjang pengembaraan solonya itu. Ia bukan pengembaraan mencari kasut dan jam import berjenama unggul dunia, tetapi sebuah perjalanan melunaskan impian menjejaki mekarnya kesusasteraan di bumi Inggeris.

Berbekalkan kamera, buku nota dan laptop disertai semangat yang dibayangi kecintaan terhadap buku dan sastera, Puan Nisah Haron berjaya menggarap keindahan kota yang dilawati. Sangat indah sekali kerana ia tidak membesarkan budaya barat yang kelihatan membarah, tetapi sangat konsisten mengupas keindahan ilmu dan buku serta keunikan toko buku yang dilawatinya.

Sangat menarik, catatan ikhlasnya diselitkan dengan frasa indah..di saat keseorangan , pastinya Allah dirasakan sangat rapat dan sumber utama untuk meminta pertolongan. Ia punya ibrah pelbagai khusus bagi yang berfikir. Berjalan, mengembara itu punya ruang dan peluang untuk mena’kul di balik hikmah kejadian manusia dan alam sekeliling. Lantas kembara sebegini langsung mendekatkan diri dengan pencipta.

Ia persoalan membuka minda. Walau kota  yang dilawati pernah melahirkan bangsa penjajah tanah Melayu, tetapi ia bukan suatu penghalang untuk ianya dilawati atas dasar mengutip butiran mutiara ilmu dan hikmah. Syabas Puan Nisah. Teruslah mengembara, catatlah ia agar menjadi penguat semangat buat pembaca mencapai cita.

Ia saya sifatkan sebagai karya yang tidak rugi untuk dibaca. Pada saya ia ibarat seperti membaca sebuah impian yang entahkan bila akan menjadi kenyataan. Selamat membaca buku ini.

Ruzain Syukur b Mansor

 


Angan ke impian?

April 1, 2013

Image

Saya akan tersenyum sendirian apabila melihat wajah ceria penulis muda di atas. Mereka ditaja untuk ke kota London. ITBM merealisasikan impian mereka. Itu pun bagi yang ada impian. Jika tidak, ia bagaikan tuah yang datang dengan tidak disangka-sangka. Mereka ke sana bukan untuk  bersiar-siar, tetapi dibimbing untuk meneroka dunia penulisan dan bakal menghasilkan buku masing-masing apabila pulang ke tanah air nanti. Bertuahnya badan!

Saya antara penulis yang seringkali juga terlepas program-program sebegini. Saya hanya mengetahui kewujudan MPR di kala usia sudah menjengah dewasa. Sudah lebih tahap umur penulis remaja.

Malah, terlepas pula peluang untuk menyertai segerompolan penulis muda ke kota London. Syarat kelayakan asas adalah berumur di bawah 30 tahun. Tidak mengapalah, kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai impian untuk menjejaki kota London suatu hari nanti (kalau boleh biarlah ditaja!)

Setiap angan-angan itu jika diulang-ulang di dalam minda menjadi doa. Setiap angan-angan jika diusahakan menjadi impian. Setiap impian diikuti dengan usaha ditambah dengan doa akan menjadi kenyataan. Daripada angan-angan akhirnya menjadi kenyataan.

Bila? Allah empunya perancangan. Aminkan saja. Mimpikan ia. Sampai tertunai hajat di hati.

Kepada penulis muda yang bertuah tersebut, saya nantikan hasil karya kalian. Syabas dan tahniah


menulis Idea untuk Bicara.. Meneroka bidang baru?

March 3, 2013

Menulis artikel di majalah sudah, menulis buku pun sudah.

2013, saya mengubah sedikit fokus. Menulis teks-teks ucapan yang akan dibacakan para pembesar pendidikan negara mungkin antara yang pernah menjadi salah satu impian suatu ketika dahulu.

Apabila kita berani membina impian, Allah akan membuka lorongnya apabila sampai masanya.

Benar, ia menjadi kenyataan. Rupanya menulis teks ucapan memerlukan ketajaman minda dan gaya berfikir luar biasa daripada biasa. Seninya berbeza.

Ada banyak perkara yang harus menjadi dasar sebelum menyediakan teks ucapan. Antaranya:

  1. Mengetahui latar belakang dan gaya berfikir tokoh tersebut.
  2. Mengetahui pola dan teks ucapan yang pernah disampaikan oleh tokoh tersebut.
  3. Mengetahui jumlah masa yang diberikan oleh penganjur terhadap panjang sesebuah teks.
  4. Mengetahui objektif majlis di mana teks itu akan disampaikan.
  5. Berunding dengan pegawai khas atau pegawai media tokoh berkenaan apabila draft pertama disiapkan.

Seninya sangat mahal. Di dalam teks yang disampaikan, mengandungi inspirasi dan suara seorang tokoh. Visi seorang pemimpin terangkum pada gaya dan lenggok kata teks yang lunak dibaca. 

Rahsianya? Ada pada senior dan pegawai berpengalaman. Tuntutlah ilmu daripada mereka. Selebihnya? Kebijakan membaca pemikiran dan kepintaran membaca visi seseorang pemimpin. Kuncinya ada pada diri mereka. Ilhamnya Allah yang beri.

Cuba dan terus mencuba. Menggarap ilham menjadi pemanis bicara. menyampaikan visi melalui kata rupanya antara seni yang tidak tertulis di dalam buku-buku teks.

Ruzain Syukur b Mansor


buku Tazkirah Kuliah Tiga Minit

February 5, 2013

buku Tazkirah Kuliah Tiga Minit

Sudah terbit! terbitan PEKDIS Pusat dan sedia menemui pembaca