Ketua Satu

October 29, 2013

Jarang saya bercakap soal kerja di dalam blog ini. Biasanya ia hanya berlegar persoalan dunia penulisan sahaja. namun apa salahnya sekali sekala berbicara soal kerja di sini.

Agak jarang saya berbicara tentang kepimpinan walaupun berada di bawah unit kepimpinan. Beberapa hari ini saya berpeluang untuk menziarahi beberapa buah sekolah di utara tanah air. Beberapa bulan terdahulu sempat pula mengunjungi dan bersembang panjang dengan beberapa orang ketua satu sekolah di negeri pantai timur.

Pemimpin nombor satu sebenarnya membentuk suasana organisasi. Ia tonggak yang menggerakkan pasukannya. Ia sangat jelas berdasarkan perbandingan. Bukan mahu membanding-bangkan kepimpinan yang pelbagai tetapi saya belajar untuk memimpin.

Dalam konteks sekolah, pengetua atau guru besar adalah tonggak kemenjadian pelajar. Ia suatu kepastian. Keupayaan membentuk budaya kecemerlangan akan menentukan hala tuju. Bercakap sahaaj tidak guna tetapi perlu menterjemahkan apa yang diungkapkan. Pemimpin yang berada di kerusi empuk nombor satu organisasi dengan misi yang jelas akan berjaya menterjemahkannya ke dalam bentuk kejayaan.

Manakala corak kepemimpinan pemimpin menjadi penentu sejauh mana pasukannya akan patuh dan tunduk hormat serta suka bekerja dengannya. Pemimpin autokrasi akan mudah menerima patuh tetapi belum tentu dihormati. Pemimpin turun padang akan lebih dihormati kerana sikap cakap serupa bikinnya. Pemimpin sebegitu  akan menerima respek dan mudah mempengaruhi khalayak.

Konflik bagi seorang pemimpin adalah untuk membina watak sebagai seorang ketua yang dihormati disamping menjiwai visi yang dimilikinya. Ia harus datang daripada hati setulus ikhlas.

 


HAMPIR HILANG

October 22, 2013

Saya hampir kehilangan. Hilang apa? Hilang ingatan terhadap kata laluan blog kesayangan saya ini. Tandanya pasti tuan puan sudah tahu. Itulah akibat sudah lama membiarkannya berhabuk.

Antara kekaguman saya terhadap seorang penulis adalah melihat bagaimana blognya sentiasa dikemaskini walaupun dalam keadaan sibuk. Sedikit tetapi konsisten.

Allah izinkan untuk saya bertanya kepadanya mengenai rahsia komitmennya terhadap blog. Rahsianya akan saya kongsikan nanti.

Memang benar, peristiwa dan pengalaman yang tidak ditulis akan hilang dimamah ufuk lupa. Justeru, pesan untuk diri ‘ tiada pilihan lain selain menulis’. Tulislah walaupun sedikit supaya ia berbekas nanti.

Ini komitmen saya, menulis walaupun sibuk. Menulis walaupun sedikit. Kerana apa? supaya ia kekal dalam lipatan sejarah.


Terbanglah..

September 21, 2013

Image

Tertera pada gambar di atas adalah Saudari Marini, Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau baru sahaja mendapat tiket gergasi untuk diterbangkan ke Kota London. Kota impian saya juga. Saudari Marini merupakan pemenang pertandingan yang dianjurkan oleh ITBM sempena Pesta Buku yang lalu.

Ironinya, saya hanya menepuk dahi kerana tidak menyertai pertandingan ini. Saya hadir di booth ITBM ketika pesta buku yang lalu. Malah tahu tentang pertandingan ini. Cuma silap sendiri tidak mahu mencuba.

Pada hari Saudari menerima Marini menerima tiket gergasi ke Kota London, saya pula menerima surat jemputan hadir ke majlis tersebut mewakili tuan Pengarah saya.

Oh! Pesanan untuk diri..”ingat sendiri”

Apapun tahniah diucapkan kepada Saudari Marini. Beliau merupakan antara pemenang Sayembara Penulisan Tazkirah anjuran Bahagian saya tahun ini. Syabas diucapkan. Semoga memperolehi pengalaman berguna di Kota London.

Saya? Masih sabar menanti, jika ada yang ingin sponsor untuk saya terbang ke sana.


Membaca Impian

May 18, 2013

Image

Ruzain Syukur,

Selamat Mengembara-Nisah Haron

Itu catatan daripada penulis buku Kembara Sastera Nisah Haron-United Kingdom dan Dublin. Saya kira sangat bertuah kerana berjaya menjejaki penulis ini ketika beliau melaksanakan bedah bukunya yang sangat unik ini di Pesta Buku Antarabangsa  2012 .

Ironinya, setahun sudah buku ini saya miliki, Mei 2013, ia berjaya saya khatamkan. Ia melalui beberapa proses yang panjang termasuk pernah ‘hilang’ daripada simpanan.

Sebetulnya saya peminat tegar buku-buku travelog. Apatah lagi buku-buku travelog perjalanan penulis ke kota London. Mengapa? Kerana saya juga punya impian yang sama, untuk menjejaki bumi London. Kalau boleh biarlah dengan tajaan penuh. Ditanggung penuh. Baru berbaloi! Ada yang mahu sponsor?

Buku Kembara Sastera Nisah Haron ini saya sifatkan sebagai catatan seorang pencinta buku. Masakan tidak, terlalu banyak diulang-ulang catatan menjejaki kedai buku dan muzium buku sepanjang pengembaraan solonya itu. Ia bukan pengembaraan mencari kasut dan jam import berjenama unggul dunia, tetapi sebuah perjalanan melunaskan impian menjejaki mekarnya kesusasteraan di bumi Inggeris.

Berbekalkan kamera, buku nota dan laptop disertai semangat yang dibayangi kecintaan terhadap buku dan sastera, Puan Nisah Haron berjaya menggarap keindahan kota yang dilawati. Sangat indah sekali kerana ia tidak membesarkan budaya barat yang kelihatan membarah, tetapi sangat konsisten mengupas keindahan ilmu dan buku serta keunikan toko buku yang dilawatinya.

Sangat menarik, catatan ikhlasnya diselitkan dengan frasa indah..di saat keseorangan , pastinya Allah dirasakan sangat rapat dan sumber utama untuk meminta pertolongan. Ia punya ibrah pelbagai khusus bagi yang berfikir. Berjalan, mengembara itu punya ruang dan peluang untuk mena’kul di balik hikmah kejadian manusia dan alam sekeliling. Lantas kembara sebegini langsung mendekatkan diri dengan pencipta.

Ia persoalan membuka minda. Walau kota  yang dilawati pernah melahirkan bangsa penjajah tanah Melayu, tetapi ia bukan suatu penghalang untuk ianya dilawati atas dasar mengutip butiran mutiara ilmu dan hikmah. Syabas Puan Nisah. Teruslah mengembara, catatlah ia agar menjadi penguat semangat buat pembaca mencapai cita.

Ia saya sifatkan sebagai karya yang tidak rugi untuk dibaca. Pada saya ia ibarat seperti membaca sebuah impian yang entahkan bila akan menjadi kenyataan. Selamat membaca buku ini.

Ruzain Syukur b Mansor

 


Angan ke impian?

April 1, 2013

Image

Saya akan tersenyum sendirian apabila melihat wajah ceria penulis muda di atas. Mereka ditaja untuk ke kota London. ITBM merealisasikan impian mereka. Itu pun bagi yang ada impian. Jika tidak, ia bagaikan tuah yang datang dengan tidak disangka-sangka. Mereka ke sana bukan untuk  bersiar-siar, tetapi dibimbing untuk meneroka dunia penulisan dan bakal menghasilkan buku masing-masing apabila pulang ke tanah air nanti. Bertuahnya badan!

Saya antara penulis yang seringkali juga terlepas program-program sebegini. Saya hanya mengetahui kewujudan MPR di kala usia sudah menjengah dewasa. Sudah lebih tahap umur penulis remaja.

Malah, terlepas pula peluang untuk menyertai segerompolan penulis muda ke kota London. Syarat kelayakan asas adalah berumur di bawah 30 tahun. Tidak mengapalah, kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai impian untuk menjejaki kota London suatu hari nanti (kalau boleh biarlah ditaja!)

Setiap angan-angan itu jika diulang-ulang di dalam minda menjadi doa. Setiap angan-angan jika diusahakan menjadi impian. Setiap impian diikuti dengan usaha ditambah dengan doa akan menjadi kenyataan. Daripada angan-angan akhirnya menjadi kenyataan.

Bila? Allah empunya perancangan. Aminkan saja. Mimpikan ia. Sampai tertunai hajat di hati.

Kepada penulis muda yang bertuah tersebut, saya nantikan hasil karya kalian. Syabas dan tahniah


menulis Idea untuk Bicara.. Meneroka bidang baru?

March 3, 2013

Menulis artikel di majalah sudah, menulis buku pun sudah.

2013, saya mengubah sedikit fokus. Menulis teks-teks ucapan yang akan dibacakan para pembesar pendidikan negara mungkin antara yang pernah menjadi salah satu impian suatu ketika dahulu.

Apabila kita berani membina impian, Allah akan membuka lorongnya apabila sampai masanya.

Benar, ia menjadi kenyataan. Rupanya menulis teks ucapan memerlukan ketajaman minda dan gaya berfikir luar biasa daripada biasa. Seninya berbeza.

Ada banyak perkara yang harus menjadi dasar sebelum menyediakan teks ucapan. Antaranya:

  1. Mengetahui latar belakang dan gaya berfikir tokoh tersebut.
  2. Mengetahui pola dan teks ucapan yang pernah disampaikan oleh tokoh tersebut.
  3. Mengetahui jumlah masa yang diberikan oleh penganjur terhadap panjang sesebuah teks.
  4. Mengetahui objektif majlis di mana teks itu akan disampaikan.
  5. Berunding dengan pegawai khas atau pegawai media tokoh berkenaan apabila draft pertama disiapkan.

Seninya sangat mahal. Di dalam teks yang disampaikan, mengandungi inspirasi dan suara seorang tokoh. Visi seorang pemimpin terangkum pada gaya dan lenggok kata teks yang lunak dibaca. 

Rahsianya? Ada pada senior dan pegawai berpengalaman. Tuntutlah ilmu daripada mereka. Selebihnya? Kebijakan membaca pemikiran dan kepintaran membaca visi seseorang pemimpin. Kuncinya ada pada diri mereka. Ilhamnya Allah yang beri.

Cuba dan terus mencuba. Menggarap ilham menjadi pemanis bicara. menyampaikan visi melalui kata rupanya antara seni yang tidak tertulis di dalam buku-buku teks.

Ruzain Syukur b Mansor


buku Tazkirah Kuliah Tiga Minit

February 5, 2013

buku Tazkirah Kuliah Tiga Minit

Sudah terbit! terbitan PEKDIS Pusat dan sedia menemui pembaca


Aura Mentor

December 28, 2012

ImageAura Mentor.

Tiada apa lagi yang mampu diungkapkan. syukur pada Allah, terima kasih dengan Mentor

Kedua-duanya saya anggap mentor di bidang pengurusan dakwah. Siapa sangka tahun pertama di BPI sudah meraih tiga anugerah inovasi.

Tn Haji Wan Jamaludin b Wan Bidin, sebenarnya ketua unit saya, pasti banyak bimbingannya malah gaya kepimpinannya menjadi ikutan.

Bersama Tn Hj Arifuddin (mentor rasmi program Mentor-Mentee Kementerian pelajaran Malaysia). Alhamdulillah, anugerah Mentor-mentee terbaik milik kami tahun ini.

Memang benar teori yang saya pegang selami ini. Untuk menjadi hebat dalam sepantas kilat, pilih mentor yang hebat, copy kepimpinan dan gaya kerja mereka. terbukti!

Dalam buku tulisan saya Tampil Positif Sejak Remaja, saya menulis versatilnya Prof Sidek Babab selaku seorang mentor persisnya. Baru-baru ini kami bertemu dan berbual. Memang punya karisma.

Yuk! Cari mentor dan copy sahaja imejnya.


ANUGERAH..TONIK BERHARGA

December 28, 2012

Image

Biarlah ia besar, tetapi bukan untuk membesar diri.

Bagi penulis, setiap penghargaan adalah tonik berharga. pada Majlis Inovasi Bahagian Pendidikan islam Kementerian Malaysia pada Disember, saya dianugerahi beberapa anugerah. Antara yang sangat bermakna pastilah Anugerah Inovasi Penulisan. bagi penulis yang sudah kepenatan, penghargaan ini memberikan kesegaran yang nyata luar biasa. Biarlah hanya sijil, nilainya di hati tempatnya.

Berkata seorang teman “bila kerja mula di hati, impaknya memang tidak disangka-sangka”

Image


Resensi Buku Diari Seorang Diplomat Hikmah yang Tersirat

December 25, 2012

 Image 

Kali pertama saya mendengar kisah buku ini daripada corong radio IKIM.fm sewaktu temuramah dengan orang kuat rumah penerbitan Toko Buku Galeri Ilmu. Menurut penerbitnya, penulis buku ini tidak sempat pun menatap dan membelek buku ini kerana terlebih dahulu dipanggil Allah.

Al-hamdulillah, buku tulisan allahyarham Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd pantas saya miliki. Allahyarham sebetulnya sempat setaman ilmu dan budi bersama saya dahulu. Bumi biru di pinggir Gombak itu memang tidak pernah sunyi daripada mencetak beberapa watak yang hebat menyumbang kepada ummah.

Allahyarham sebetulnya graduan Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sememangnya membuka peluang membawanya terbang ke bumi bergolak Pakistan.

Sebagai penggemar karya travelog, buku ini saya lihat ditulis i oleh seorang penulis yang sangat tinggi keyakinannya terhadap Allah. Hidup dipagari kawat besi walaupun menghuni hotel berbintang di tengah bandar yang tidak aman menyebabkan Allahyarham memilih untuk hidup bebas tanpa kawalan ketat askar. isu selamat atau tidak, Allah yang tentukan. Suratan tertulis Allahyarham dipanggil Pemiliknya akibat kemalangan jalanraya ketika bercuti di bumi sendiri, bukan bumi bergolak Pakistan yang diceritakan sentiasa digerunkan oleh pengebom berani mati.

Lantas, ini mendedahkan Allahyarham kepada susuk budaya kaum arab masyarakat tempatan. Pelbagai perkara krisis antara adat dan ibadat memeningkan kepalanya. Namun, sebagai PTD ia dapat diuruskan dengan penuh hikmah.

Alang bertandang ke tempat orang tidak sah rasanya tanpa meninjau keistimewaan dan persekitaran yang menarik. Ada nada kepuasan di balik tari penanya apabila dapat menggunakan ruang masa yang ada untuk menikmati bahagia yang sedikit cuma bersama isteri dan anak-anak ketika di perantauan. Itu dilakukan sebaiknya oleh allahyarham.

Maka benarlah dikatakan oleh Ustaz Shopuan, mentor saya : “buku kita menjadi batu nisan apabila kita mati nanti”

Maka ini suatu coretan seorang ayah yang akan dapat ditatap oleh puteri allahyarham apabila keduanya boleh membaca nanti. Saya pasti ia pasti menjadi antara buku terawal yang dibacakan oleh bonda puteri tersebut pastilah buku tulisan almarhum ayahandanya ini. terdapat satu bab dalam buku ini di mana allahyarham menulis catatan berupa pesanan kepada puteri sulungnya. Ia dilihat biasa sahaja sekiranya ia ditulis di blog. Tetapi barangkali kini ia menjadi suatu wasiat kepada anak-anak allahyarham. Alangkah indah Allah menyusun paksi minda penulisnya.

Sesungguhnya Diari Seorang Diplomat sememangnya suatu hikmah yang tersirat. Menyentuh hati, menjentik emosi..menginsafkan.

Moga Allah mencucuri ramat dan kasih sayang kepada Allahyarham penulis buku ini Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd. Terima kasih kerana meminjamkan curahan emosi dan minda melalui penamu.