APABILA GAMBAR BERBICARA

December 8, 2013

Image

Ia sangat jarang berlaku di blog akademipenulisbebas ini. Sangat jarang apabila gambar diberi tanggungjawab untuk berbicara. Ia bermula 4 bulan yang lalu saat saya melunasi suatu urusan kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Melewati aras 1 Menara DBP menemukan saya dengan institusi yang bernama Kota Buku. Saya sangat kenal dengan antara big bosnya, Puan Norhayati yang dahulunya antara orang kuat Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). Ia perancangan yang dipermudahkan Allah. 1 mesyuarat dan 3 kali bengkel. Ya, Bengkel Buku Bergambar Kanak-Kanak Berunsur Islam anjuran Kota Buku dan Bahagian Pendidikan Islam. Siapa ahli bengkelnya? Guru Pendidikan Islam..ustaz dan ustazah.

Image

Sangat bertuah kerana dapat  berguru dengan Pak Usop, karyawan dan pakar dalam bidang menghasilkan ilustrasi yang sangat menarik. Sangat bertuah juga apabila ustaz dan ustazah diberi peluang meneroka suatu bidang baru..sangat mencabar bagi yang jarang melukis.

 

Image

Kita tidak tahu yang kita ini tahu hanya selepas kita mencuba. Itu harus saya akui. Turun dan naik semangat para Daie Pena banyak dicetuskan oleh kiriman motivasi teman-teman di fb Daie Pena. Lakaran demi lakaran, jadi mahupun tidak, menerima komen daripada pembimbing menjadi rencah yang mematangkan.

Image

ia bukan lagi alasan. Ia bukan mencungkil kelemahan. Tetapi rupanya menyingkap kekuatan diri. Rupanya ada ruang dakwah di celah kesukaran para Daie Pena mengasah pena dan lukisannya. Rintihan penat dan lelah menjadi asam garam menuju cita bergelar penulis. Saya berani untuk mengatakan 30 Daie Pena yang dipilih merupakan penulis yang benar benar kuat fizikal dan mentalnya.

 

Image

Ia bermula dengan hanya melihat jauh ke hadapan. Khafizan merupakan graduan sarjana di UIAM dan kini mengejar impian bergelar seorang ilmuan PhD dalam bidang-bidang Pembangunan Pendidikan Islam Kanak-Kanak. Beliau GPI di Kuantan. Akhirnya idea awal berjaya ditukar menjadi kisah squirel yang disebut-sebut para pembimbing dan teman.

Image

Ia mungkinsekadar  suatu coretan idea, tetapi ia suatu lakaran idea yang mampu mencetak jutaan kegembiraan. Story board ataupun rentetan idea yang disusun akan mencetus gerak idea di atas kanvas.

 

Image

Kalau tidak kerana sabar dan kesungguhan, mana mungkin karya sebegini terpahat kemas di layar pameran. Ia tanda kepuasan. Ia bukti keikhlasan.

 

Image

Terlakar indah karya daie Pena. Sesudah melakar idea dalam manuskrip, ia pindah ke story board. Dummy memperkukuh idea. Akhirnya ditumpahkan rangkuman idea di atas kanvas. Diwarnai dengan penuh teliti.

Image

Ia terbukti dengan jelas. Bukan dibuat-buat tetapi dibuktikan sebagai tanda. bahawa ada sekelompok Guru Pendidikan Islam mempersembah karya buat dinilai sifu terkenal.

Image

Akhirnya, tiga siri kita bersama. 30 karya berjaya dihasilkan. Kota Buku merealisasikan impian daie Pena bergelar penulis. Apa yang lebih penting kita punya jawapan apabila ditanya Allah nanti tentang apa sumbanganmu pada ummat? Inilah sumbangan yang mungkin dikategorikan sebagai warisan ilmu yang berpanjangan.

Tahniah Daie Pena. Terima Kasih Perbadanan Kota Buku. Terima Kasih para pembimbing.

Hari ini kita menanam benih, esok lusa kita meraih hasil. Hari ini kita mencetak buku, esok lusa ia  memandaikan anak bangsa.

Ia antara program yang mencabar buat diri saya sejak mula berada di BPI. Tetapi ia mencapai KPI yang ditetapkan..membangunkan warga GPI jauh terbang ke persada antarabangsa insya-Allah. Maaf dihulur di atas kekurangan. Moga terus bergemerlapan wahai teman. Terbanglah dan capailah impian.

Ruzain Syukur b Mansor

Tok KetuaDaie Pena

 

 

Advertisements

Ketua Satu

October 29, 2013

Jarang saya bercakap soal kerja di dalam blog ini. Biasanya ia hanya berlegar persoalan dunia penulisan sahaja. namun apa salahnya sekali sekala berbicara soal kerja di sini.

Agak jarang saya berbicara tentang kepimpinan walaupun berada di bawah unit kepimpinan. Beberapa hari ini saya berpeluang untuk menziarahi beberapa buah sekolah di utara tanah air. Beberapa bulan terdahulu sempat pula mengunjungi dan bersembang panjang dengan beberapa orang ketua satu sekolah di negeri pantai timur.

Pemimpin nombor satu sebenarnya membentuk suasana organisasi. Ia tonggak yang menggerakkan pasukannya. Ia sangat jelas berdasarkan perbandingan. Bukan mahu membanding-bangkan kepimpinan yang pelbagai tetapi saya belajar untuk memimpin.

Dalam konteks sekolah, pengetua atau guru besar adalah tonggak kemenjadian pelajar. Ia suatu kepastian. Keupayaan membentuk budaya kecemerlangan akan menentukan hala tuju. Bercakap sahaaj tidak guna tetapi perlu menterjemahkan apa yang diungkapkan. Pemimpin yang berada di kerusi empuk nombor satu organisasi dengan misi yang jelas akan berjaya menterjemahkannya ke dalam bentuk kejayaan.

Manakala corak kepemimpinan pemimpin menjadi penentu sejauh mana pasukannya akan patuh dan tunduk hormat serta suka bekerja dengannya. Pemimpin autokrasi akan mudah menerima patuh tetapi belum tentu dihormati. Pemimpin turun padang akan lebih dihormati kerana sikap cakap serupa bikinnya. Pemimpin sebegitu  akan menerima respek dan mudah mempengaruhi khalayak.

Konflik bagi seorang pemimpin adalah untuk membina watak sebagai seorang ketua yang dihormati disamping menjiwai visi yang dimilikinya. Ia harus datang daripada hati setulus ikhlas.

 


HAMPIR HILANG

October 22, 2013

Saya hampir kehilangan. Hilang apa? Hilang ingatan terhadap kata laluan blog kesayangan saya ini. Tandanya pasti tuan puan sudah tahu. Itulah akibat sudah lama membiarkannya berhabuk.

Antara kekaguman saya terhadap seorang penulis adalah melihat bagaimana blognya sentiasa dikemaskini walaupun dalam keadaan sibuk. Sedikit tetapi konsisten.

Allah izinkan untuk saya bertanya kepadanya mengenai rahsia komitmennya terhadap blog. Rahsianya akan saya kongsikan nanti.

Memang benar, peristiwa dan pengalaman yang tidak ditulis akan hilang dimamah ufuk lupa. Justeru, pesan untuk diri ‘ tiada pilihan lain selain menulis’. Tulislah walaupun sedikit supaya ia berbekas nanti.

Ini komitmen saya, menulis walaupun sibuk. Menulis walaupun sedikit. Kerana apa? supaya ia kekal dalam lipatan sejarah.


Terbanglah..

September 21, 2013

Image

Tertera pada gambar di atas adalah Saudari Marini, Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau baru sahaja mendapat tiket gergasi untuk diterbangkan ke Kota London. Kota impian saya juga. Saudari Marini merupakan pemenang pertandingan yang dianjurkan oleh ITBM sempena Pesta Buku yang lalu.

Ironinya, saya hanya menepuk dahi kerana tidak menyertai pertandingan ini. Saya hadir di booth ITBM ketika pesta buku yang lalu. Malah tahu tentang pertandingan ini. Cuma silap sendiri tidak mahu mencuba.

Pada hari Saudari menerima Marini menerima tiket gergasi ke Kota London, saya pula menerima surat jemputan hadir ke majlis tersebut mewakili tuan Pengarah saya.

Oh! Pesanan untuk diri..”ingat sendiri”

Apapun tahniah diucapkan kepada Saudari Marini. Beliau merupakan antara pemenang Sayembara Penulisan Tazkirah anjuran Bahagian saya tahun ini. Syabas diucapkan. Semoga memperolehi pengalaman berguna di Kota London.

Saya? Masih sabar menanti, jika ada yang ingin sponsor untuk saya terbang ke sana.


Resensi Buku Semuanya Soal Hati Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

August 14, 2013

cvr soal hati.indd

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sentiasa tidak mengecewakan. Buku terbaru beliau pantas saya sambar setelah hanya melihat kaver dan tajuknya yang menarik.

Pantas pula saya telusuri mesej super di dalamnya. Antara kemahiran hebat Ustaz Pahrol adalah pemilihan dan penggunaan kata yang sangat indah dan jarang diguna orang. Ayat yang digunakan ringkas tetapi bisa memaku mata pada lembaran.
Antaranya:

“Tidak mengapa jika kakimu sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak mampu berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan.”

“Apabila saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. ”

“Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya.”

“Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut, sudah dibakar dalam relau mihnah Allah. Dan saat tulah kita layak menerima anugerah. Bingkisan ijazah daripada universiti mujahadah”

“Kita di sini untuk berpenat Di sana (akhirat) nanti barulah kita berehat.”

“Untuk memiliki hati emas, bayarlah dahulu harganya. Dunia diumpamakan tempat membayar. di akhirat nanti tempat bermain. Bayar di sini dan berseronoklah di sana.”

“Hati itu umpama magnet. Ia mempunyai daya tarikan. Apa yang dirasakan di dalamnya menentukan apa yang akan ditarik dari luarnya.”

Kehebatan tinta pena pemilik blog Genta-Rasa ini adalah pada perlambangan yang digunakannnya. Simboliknya cukup mendalam dan sangat menarik untuk diperhalusi.

Buku terbaru tulisan Ustaz Pahrol ini memfokuskan perihal hati. Mencari hati emas satu keperluan katanya. Bagaimana? Itulah letaknya mujahadah dalam melawan nafsu. Ingat mati selalu. Minta pertolongan Allah . Jika masih di takuk lama, minta sahaja hati yang baharu.

Sebetulnya, saya masih belum habis menghadam buku ini. Tetapi hati ini begitu kuat untuk berkongsi dengan khalayak tentang betapa ajaibnya kata yang digunakan oleh penulis ini.

Ia sangat sesuai untuk dijadikan buku teks membaiki hati yang sepi. Selamat membaca!.


sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunusr Islam) Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

August 6, 2013

poster sayembara penulisan cerpen kreatif


Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

July 19, 2013

Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H

Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H.

Ia terbuka kepada pegawai, guru dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Syarat pertandingan sayembara beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada link berikut:

http://www.bpi.edu.my/v1/index.php/component/content/article/2-uncategorised/249-sayembara-penulisan-kreatif

Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2013.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Urusetia Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia: Nombor telefon : 03-83217288 Email : sayembaracerpenislamkpm@gmail.com