PASARAN LAUT BIRU UNTUK INDUSTRI BUKU KANAK-KANAK.

April 7, 2012

Tips agar kanak-kanak suka membaca

Industri buku kanak-kanak kini disifatkan suatu Pasaran laut biru . Pasaran dan peluangnya sangat luas.

Itu antara gambaran awal berdasarkan pengamatan para pegawai Dewan Bahasa Pustaka ketika mereka menjadi Panel Jurulatih Program Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan di Hotel Flamingo Ampang. Alhamdulillah, saya sempat menjadi peserta program tersebut. Dalam ucapan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan malam tersebut beliau menyentuh kembali kata-kata pimpinan negara iaitu usaha penghasilan buku sangat membantu malah menjadi salah satu daripada KPI/aras penanda sebuah negara maju.

Ia merupakan program mentoring penulisan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan DBP untuk menggilap bakat penulisan di kalangan guru-guru. 4 kali pertemuan diatur dan yang terbaik akan diterbitkan. Malah, penulis yang terbaik mungkin akan dibawa untuk ke Pesta Buku Bologna Itali jika masih diberi peluang seperti tahun lepas. Ia bagi mempromosikan karya buku kanak-kanak. Ia suatu peluang untuk melancarkan buku sendiri di tempat orang. Hebat!

Penulisan dunia kanak-kanak sangat rapat dengan jiwa guru. Ia kerana mereka berhadapan dengan pelbagai karenah kanak-kanak secara langsung di hadapan mata. Perkembangan minda dan fizikal kanak-kanak ditelusuri setiap hari. Ini menjadikan karya seorang guru hasil pengalaman sebenar. Jadi, nasihat saya kepada guru-guru, tulislah. Tinggalkan legasi untuk anak bangsa. Ia suatu peluang yang sangat besar.

Antara panduan untuk menulis buku kanak-kanak adalah:

SATU
kenal pasti pasaran semasa. Tulisan tersebut pastikan sesuai samada untuk kanak-kanak 7-12 tahun.

DUA
Gunakan bahasa yang mudah difahami.

TIGA
Sedikit ilustrasi bagi menarik perhatian.

EMPAT
Pastikan ada unsur nilai murni.

LIMA
Unsur kreatif jangan dilupakan. Lagu, pantun, sajak, syair dan sebagainya penyedap rasa buku anda.

Tanyalah mana-mana penerbit, antara pasaran yang paling luas adalah pasaran buku kanak-kanak. Mereka memang tiada kuasa membeli, tetapi punya kuasa keinginan yang tinggi. Akhirnya, ibbu dan ayah terpaksa mengalah. Buku dibeli menjadi peneman sebelum anak-anak mereka tidur.

Jadi, jangan berlengah lagi!. Mula menulis untuk masa hadapan anak-anak Malaysia

Ruzain Syukur Mansor


Mengapa kajian pasaran penting?

March 25, 2012

Assalamualaikum
Salam penulisan.

Mengapa kajian pasaran juga penting untuk majalah?
Baru-baru ini saya dihubungi oleh editor majalah baru untuk remaja “Muslim Teen”. Ia terbitan Blue T Communication. InsyaAllah, saya diberi peluang mengisi kolum bijak belajar dalam majalah tersebut edisi April.

“Warnanya agak tenggelam” itu komen ikhlas apabila diminta oleh editor. Memandangkan ia adalah majalah baru, ia perlu jauh lebih menyerlah daripada majalah sedia ada. Membaca fikiran remaja agak sukar sebenarnya. Minat mereka cepat timbul dan cepat pula berubah.

Ini memungkinkan editor untuk melakukan kajian terhadap minat remaja. Isu dan topiknya biasanya agak santai. Menyampaikan maklumat harus secara tepat dan tidak meleret. Unsur kegemaran mereka juga perlu. Animasi perlu menarik. Ilustrasi perlu up to date.Warna warni illustrasi perlu mengambil kira kecenderungan gender. Lelaki dengan warna garang. Perempuan dengan warna lembut seperti pink. Jangan diwarnakan baju remaja lelaki dengan warna pink. Boleh menimbulkan salah anggapan nanti.

Kepada penulis artikel remaja, perlu lakukan sedikit kajian. Bercampurlah dengan anak remaja untuk mengetahui isu terkini. Bahasa mereka bagaimana? Isu menulis untuk kepuasan diri sudah lama berlalu. Untuk diterima editor, penulisan anda perlu ke arah adakah ianya bersesuaian dengan kehendak pembaca? Itu yang perlu difikirkan.

Moga bermanfaat dan selamat menulis.

Ruzain Syukur Mansor
Pengasas Akademi Penulis Bebas