Motivasi pagi: Jadilah orang yang kaya kasih sayang

April 10, 2012

“Jadilah orang yang kaya kasih sayang”
“Kasih sayang itu suatu tenaga”
“Kasih sayang itu bagaikan akaun bank yang penuh dengan wang ringgit”

Hakikatnya begitulah. Dalam ruangan motivasi pagi radio ikim.fm yang saya dengar pagi ini mengandungi falsafah tentang kasih sayang yang sangat tinggi nilai. Terus dikongsi kepada rakan taulan supaya memberikan aura positif kepada mereka.

Hakikat kasih sayang ini suatu tenaga dan aura positif. Datangnya dari dalam hati diterjemahkan melalui senyuman dan tindakan. Akhirnya akan menghasilkan tenaga kerja yang sangat mengujakan. Bekerja dari dalam hati hasil dari aura tenaga kasih dan sayang.

Di pejabat, kita bagaikan terbiasa dengan budaya menyalahkan orang. Fikiran sentiasa negatif hanya disebabkan salah tanggapan.

Ada suatu cerita:

Pada suatu hari, masuklah seorang bapa dan 2 orang anak ke dalam sebuah tren komuter. Ayah duduk dalam keadaan sugul membiarkan anaknya berlari ke sana-sini. Karenah anaknya itu sangat menimbulkan rasa kurang puas hati pengguna yang lain. Sudahlah berlari, malah diganggu pula orang yang lain. Habis tumpah air kopi yang sedang diminum seorang penumpang.

Akhirnya, seorang lelaki sudah tidak dapat menahan sabar. Lalu, lelaki itu menghampiri bapa kepada anak-anak itu.

“Saudara, anak saudara sangat mengganggu kami. Mengapa dibiarkan sahaja”” katanya.

“Oh..maafkan saya. Saya sebenarnya baru pulang dari kampung” katanya.

Dalam nada sebak lelaki itu terus cuba bersuara ” Saya baru pulang dari kampung menguruskan kematian isteri tercinta. Anak saya yang dua orang itu sebenarnya baru sahaja kematian ibunya yang tercinta. Maafkan saya”.

Lelaki tersebut terkedu. Tidak terkata. Sedih dan rasa bersalah kerana membuat anggapan buruk terhadap bapa tersebut.

“Maafkan saya. Saya minta maaf” hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan.

Saudara, adakalanya kita terlalu mudah untuk membuat andaian, tanpa mengetahui keadaan sebenarnya. Mudah sangat kita membuat kesimpulan tanpa bertanya dan menyelidiki sebab musababnya. Jadi, tiada kasih sayang dihambur malah, kritikan pedas menjadi peluru yang tidak bermata.

Jadi, mari kita betulkan sikap kita. Mari tanam benih kasih dan sayang. Kita bajai dengan senyuman dan pertolongan selayaknya.

Ruzain Syukur Mansor


MERASAI FOKUS DALAM KEHIDUPAN

April 1, 2012

“Adakalanya kita akan kehilangan banyak perkara apabila kita mula fokus dalam kehidupan” itu antara yang sempat dilafazkan sebaik selesai bacaan Yasin murid tahun 6 sekolah saya tadi.

Selama beberapa tahun merasai betapa seronoknya berada di sekolah sebagai guru, saya memilih untuk berhijrah bermula 1 April 2012. Al-hamdulillah sudah mendaftar diri sebagai Penolong Pengarah Dakwah di Sektor Dakwah dan Kepimpinan , Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kita akan lebih menikmati hidup bekerjaya apabila mengetahui potensi dan kekuatan diri. Antara minat dan potensi diri saya adalah:

-Penulisan
-Latihan, pendidikan dan motivasi
-Membaca

Semuanya dilakukan pada satu masa. Sesuatu yang jika difikir-fikrkan sebagai perkara yang tidak masuk akal.

Lantas, beberapa pendangan mentor diambil kira. Hidup ini lebih bermakna jika ada fokus dalam hidup. Tidak akan puas hidup kita ini jika mendambakan diri pada semua perkara. Fokus dan bina impian. Maka, ia pilihan yang tepat.

Menulis dalam keadaan kepenatan menghasilkan idea yang separuh matang. Kesibukan pula ancaman terbesar seorang penulis.

“Makin taksiaplah thesis anta” suatu bingkisan ikhlas daripda seorang sahabat. Jika difikir-fikirkan dengan kesibukan yang bakal dilalui memang ada sedikit kebenarannya. Tapi bergerak harus dengan minda yang positif. InsyaAllah akan siap nanti.

“Anda baru sahaja mula hidup yang baru. Hati-hati melangkah” itu pesan seorang lagi teman. Beliau pernah melalui liku sebagai seorang pegawai di KPM. Itu pesanan yang moga-moga memandu saya. Selebihnya? Allah akan bersama-sama. Bersama hamba yang lemah ini.

Kemanapun hijrahnya, Akademi Penulis Bebas akan terus kukuh bertapak. Tidak akan hilang fokusnya. Menjadi medan pengalaman baru. Moga ia tidak terkesan dengan kesibukan tuannya.

Fokus. Fokus. Fokus.

Ruzain Syukur Mansor


GURU JUTAWAN AKHIRAT-SEINDAH NAMANYA

March 7, 2012

Guru Jutawan Akhirat memang tajuk buku yang unik. Ia garapan sahabat-sahabat saya Panel Penulis Sektor Pendidikan Islam , Jabatan Pelajaran Selangor.

Dalam kata pengantarnya tertulis indah kata-kata ini:

” Buku ini bicara hati daripada guru kepada guru. Ditulis oleh guru kepada guru. Mengajak untuk kita merasa bahagia sebagai seorang guru , tenang dengan himpitan tugas, amanah dengan kerja, bertanggungjawab terhadap anak didik”.

Ia dicanai dengan begitu rapi. Pengalaman merasai kehangatannya ketika pemurnian akhir di Port Dickson sebelum buku ini lahir menemui pembacanya sangat mengujakan. Melihat betapa kegigihan penulisnya mencerna idea sangat menginsafkan. Ini bagi menyediakan khalayak teman seperjuangan suatu wadah motivasi yang sangat membangkitkan semangat.

Hanya guru yang lebih memahami profesion perguruan. Alangkah beruntungnya pasangan guru, samada suami atau isteri seorang guru yang tumpang sekaki mendengar segala macam keluhan dan peristiwa yang mewarnai kehidupan insan bernama guru. Tetapi hakikatnya hanya mendengar sahaja masih lebih jauh daripada memahami jerih payah profesion seorang guru. Suatu profesion yang dianggap unik dan istimewa, diingati orang walaupun sudah hanya bertemankan batu nisan di pusara . Bertuahnya menjadi guru.

“Ustaz, saya mencari buku yang boleh mengelakkan burn-out di kalangan guru” itu getus seorang teman guru tadi. Seorang guru muda yang sangat berinspirasi. Tetapi semangat tanpa penghargaan tidak cukup untuk mengekalkan semangat membara sama seperti bulan-bulan pertama ketika bergelar guru dahulu.

“SEtiap kesukaran harus ditukar menjadi peluang. Bacalah buku-buku jejak Guru Cemerlang menyusun strategi sebelum bergelar seorang GC. Mereka insan yang terpilih telah berjaya menukar suatu masalah di sekolah menjadi peluang untuk memajukan diri” ikhlas dari saya.

Dalam kata pengantar buku Guru Jutawan Akhirat jelas dengan kata-kata motivasi ini:

” Guru, katakanlah dengan berani dan yakin ” aku ingin masuk syurga dengan tiket seorang guru”

Itu antara laungan keramat yang harus dijadikan azimat bagi seorang guru. Ini bertepatan pula dengan catatan pada blurb buku ini yang menyatakan bahawa:

“Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74% jutawan di dunia adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita untuk menjadi seseorang yang berkuasa, guru bukan medannya. Jika bercita-cita menjadi jutawan di akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul”

Berikut dikongsikan beberapa bingkisan motivasi yang dicoretkan khusus untuk bakal Jutawan Akhirat:

” Sekali kita menjadi guru, selamanya akan dipanggil cikgu”

” Marilah kita menjadi guru yang pertama . Pertama dalam mengajar. Pertama menyentuh hati pelajar. Pertama di hati pelajar. Pertama menyeru kebaikan dan pertama dalam membuat kebaikan.”

” Ayuh kita semua bercita-cita menjadi sorang guru yang memiliki 5M: mudarris, muallim, muaddib, murabbi lagi mursyid”

Moga bingkisan mendidik jiwa seperti buku Guru Jutawan Akhirat menjadi penguat semangat dalam melalui ranjau bergelar guru yang diredhai Allah. Sekali bergelar cikgu, selamanya tetap menjadi guru!

Ruzain Syukur Mansor


ANDAI AKU MEMAHAMI

February 16, 2012