DI SINI IMPIAN BERMULA

March 18, 2012

Tanpa dirancang, minda begitu pantas mengingati memori lampau. Pada tahun 1993-1997, bumi SMA Izzuddin Shah Ipoh mennjadi saksi segerombolan anak remaja meniti usia membina impian. Lewat tahun 2000, sebahagian daripada mereka bergelar peguam, guru, arkitek, engineer dan menjawat jawatan di pelbagai agensi seluruh tanah air. Ada yang lebih bertuah merasai kehangatan dan kesejukan di tanah orang.

Setelah bertahun meninggalkan bumi ini, hari ini diri ini kembali ke sini mengabadikan kenangan terindah , mengutip mutiara pengalaman selama berada di taman ilmu dan budi ini. Di sini, terakam pelbagai memori indah suka dan duka kehidupan seorang anak yang dihantar oleh ibu dan ayah untuk berjaya menjadi insan. Terima kasih abah dan mak yang tidak putus-putus mendoakan anakanda untuk berjaya.

Di bumi inilah, segala curahan ilmu menjadi benih yang menumbuhkan impian dan 1001 cita-cita. Sebahagiannya sudah pun menjadi kenyataan. Terima kasih cikgu. Segala doa dan curahan ilmu serta budi cikgu-cikgu akan tersemat kukuh di sanubari ini. Terima kasih yang tidak terhingga.

Teman-teman alumni SMA Izzuddin Shah Ipoh khususnya tahun 1993-1997, memori bersama kalian terpahat kukuh di dalam hati. Maaf lama tidak bertemu. InsyaAllah akan bertemu tidak lama lagi. Moga apa yang kalian rancang dapat kali inni kita sertai bersama. Itulah berkat benih ukhuwwah kasih sayang disemai atas dasar iman. walau dimana pun kalian berada, teruskan membina impian. Tumpang bangga melihat kalian berjaya di dalam kehidupan. Mari saling mendoakan sesama rakan.

Agak sukar mengungkap memori lama dengan kata-kata. Setelah lama bumi ini ditinggalkan , semakin kerinduan menggamit rasa. InsyaAllah akan dikunjungi lagi. Tetapi misinya lebih bermakna, mahu menjejak guru-guru, ustaz dan ustazah yang membenarkan saya membina impian di bumi bertuah ini.

Terima kasih abah dan mak, terima kasih cikgu, terima kasih teman-teman

Tribute untuk
Guru-guru
Teman-teman seangkatan
Alumni SMA Izzuddin Shah 1993-1997


MOTIVASI DIRI: TERIMA KASIHLAH KEPADA ANGIN YANG MENENTANG

March 7, 2012

OLEH RUZAIN SYUKUR B MANSOR

Lihatlah kepada layang-layang yang terbang jauh di udara. Siapa sangka kertas senipis itu boleh terbang setinggi itu. Malah, hanya dipandu dengan tali yang halus. Sangat halus. Layang-layang yang terbang gah di udara tadi mungkin akan terjunam apabila talinya putus. Keegoannya yang tinggi di udara akan secara tiba-tiba akan tergugat hanya kerana talinya tidak mampu mengawalnya lagi. Putus kerana sifatnya halus.

Apakah peranan angin dalam misi penerbangan tersebut? Ya, layang-layang tersebut terbang kerana angin yang menentang arus memberi tekanan yang hebat. Makin lama, semakin tinggi menerjah udara. Hebat bagaikan tiada tandingan. Asalnya lemah tetapi kuat setelah menghadapi rintangan angin yang sangat kuat.

Makin kuat angin yang menentangnya, makin tinggi naik layang-layang itu ke udara. Justeru, angin yang menentanglah sumber kekuatannya.Sama ada kita sedar atau tidak,  hidup kita ini melalui pelbagai proses. Gagal dan berjaya itu suatu proses kematangan.

Adakala kita ini dipuji dan adakalanya kita dikritik.

Adakalanya kita dikritik hebat oleh rakan-rakan dan majikan.
         
“ Saya tidak yakin dengan kemampuan kamu”
          “ Tugasan kamu tidak dilakukan dengan sempurna”
          “ Kamu tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya”

Jadi, apa pilihan yang ada pada kita. Melenting? Pasti pada mulanya kita berasa terhina dan marah kerana sindiran tersebut. Tetapi sedarkah kita bahawa sindiran dan kritikan tersebut sebenarnya telah membongkar kelemahan dan kekurangan kita. Kekurangan itulah harus dibaiki. Lantas, apabila kekurangan dan kelemahan itu dibaiki kita bakal menjadi seorang yang hebat.

Maka, kita harus mengucapkan terima kasih kepada orang yang mengkritik . Sama seperti kes layang-layang yang terbang kerana angin yang merintangi usahanya naik ke puncak. Layang-layang tersebut harus berterima kasih kepada angin yang menentangnya. Jika tiada angin yang menentang mana mungkin ia boleh berjaya menghasilkan  tekanan untuk naik ke atas.

            Tip terima kasih      
1. Ucapkan terima kasih kepada rakan atau majikan  yang mengkritik diri anda.
2. Analisa kelemahan diri melalui kritikan mereka dan bina semangat baru.
3. Perbaiki kesilapan lalu dan cuba lakukan penambahbaikan.
4. Berlapang dada dengan semua orang.
5. Jadilah pendengar yang setia.
6. Sudi untuk mendengar kritikan orang.

“Berterima kasihlah kepada angin yang menentang, kerana tanpanya layang-layang takkan naik ke udara”
“Berterima kasihlah kepada pengkritik, kerana tanpanya kita mungkin akan terus sombong dan tidak menyedari apakah kekurangan dan kesilapan diri”

Sumber cerita: Tn Hj Zailan b Wagiman
              Ketua Sektor
              Sektor Psikologi dan Kaunseling                        
Jabatan Pelajaran Selangor