Resensi Buku Semuanya Soal Hati Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

August 14, 2013

cvr soal hati.indd

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sentiasa tidak mengecewakan. Buku terbaru beliau pantas saya sambar setelah hanya melihat kaver dan tajuknya yang menarik.

Pantas pula saya telusuri mesej super di dalamnya. Antara kemahiran hebat Ustaz Pahrol adalah pemilihan dan penggunaan kata yang sangat indah dan jarang diguna orang. Ayat yang digunakan ringkas tetapi bisa memaku mata pada lembaran.
Antaranya:

“Tidak mengapa jika kakimu sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak mampu berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan.”

“Apabila saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. ”

“Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya.”

“Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut, sudah dibakar dalam relau mihnah Allah. Dan saat tulah kita layak menerima anugerah. Bingkisan ijazah daripada universiti mujahadah”

“Kita di sini untuk berpenat Di sana (akhirat) nanti barulah kita berehat.”

“Untuk memiliki hati emas, bayarlah dahulu harganya. Dunia diumpamakan tempat membayar. di akhirat nanti tempat bermain. Bayar di sini dan berseronoklah di sana.”

“Hati itu umpama magnet. Ia mempunyai daya tarikan. Apa yang dirasakan di dalamnya menentukan apa yang akan ditarik dari luarnya.”

Kehebatan tinta pena pemilik blog Genta-Rasa ini adalah pada perlambangan yang digunakannnya. Simboliknya cukup mendalam dan sangat menarik untuk diperhalusi.

Buku terbaru tulisan Ustaz Pahrol ini memfokuskan perihal hati. Mencari hati emas satu keperluan katanya. Bagaimana? Itulah letaknya mujahadah dalam melawan nafsu. Ingat mati selalu. Minta pertolongan Allah . Jika masih di takuk lama, minta sahaja hati yang baharu.

Sebetulnya, saya masih belum habis menghadam buku ini. Tetapi hati ini begitu kuat untuk berkongsi dengan khalayak tentang betapa ajaibnya kata yang digunakan oleh penulis ini.

Ia sangat sesuai untuk dijadikan buku teks membaiki hati yang sepi. Selamat membaca!.