Inovasi nomik dalam dakwah remaja

May 21, 2012

Kalau dianggap mengajak kepada yang baik itu dakwah, mari kita usahakan. JIka perkara yang baik dan tidak menyalahi syariah boleh dijadikan kaedah berdakwah silakan. JIka itu kaaedahnya, tak salah saya mengajak remaja berbuat baik dengan menggunakan komik.

Ia suatu yang tidak dijangka. Dua bulan lepas, editor Majalah Muslim Teen Blue T Communication datang melamar. Walaupun dalam keadaan super sibuk saya usahakan juga pabila melihat hasil kepada dialog yang saya kirimkan kepada editor sangat SUPER!. Menarik!. Dengar-dengarnya Majalah Muslim Teen ini laku keras ketika Pesta Buku tempohari.

Dalam email yang saya hantarkan kepada mentor dakwah saya Ustaz Shopuan Anuar Ahmad, saya katakan kepadanya ini suatu inovasi dalam dakwah. Konsep nomik. Ia kesukaan remaja zaman sekarang. Kenapa tidak kita selitkan unsur dakwah di hujungnya?

Ini persoalan tahu dan mahu. Apabila kita tahu dan mahu pula, maka senanglah jadinya. Masalahnya apabila kita tahu tetapi tidak mahu. Apatah lagi jika kita  tidak tahu dan terus tidak mahu. Tepuk dada tanyalah iman.

Yuk! Dapatkan majalah Muslim Teen di pasaran. Ia majalah remaja santai yang islamik. Moga apa yang sedikit itu mberim impak yang besar.

 

Ruaszin Syukur Mansor


KEMBARA MENCARI ASAL

May 18, 2012

Detiknya sangat hampir. Perjalanan dari Shah Alam menuju ke zaman persekolahan sangat mengujakan. Di Pekan ini abah sempat bermotosikal dari kampung semata-mata ingin menjenguk anaknya di SMA Izzuddin Shah. Di Pekan ini juga banyak terlakarnya sejarah seorang anak kampung mencari ilmu

Di hadapan kawasan ini, kami warga SIS berhimpun menasyidkan lagu asmaul husna dan lagu sekolah ilal ghatul quswa. Bagaikan baru semalam ia belalu.

Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, memori indah. Lahirnya ilmuwan di sini. P/S: saya terlepas untuk naik pentas pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPm 1997 di sini hanya kerana ….

Mohd Naim Dawam dahulunya kawan sepermainan , kelas 5Pi 1 menjadi tempat kami sama-sama menuntut ilmu. Saya ke UIAM Kusza, beliau ke Kusza juga. Kami bertemu di sana. Saya ke UIAM Gombak,beliau ke al-Azhar Mesir. Akhirnya di bumi Izzuddin ini, Ustaz Naim kembali menabur bakti. Seronoknya beremu kawan lama. Ustaz Naim kini berdarah manis, bukan sebab beliau mengidap penyakit kencing manis, tetapi beliau akan menamatkan zaman bujang pada 3 Jun ini.

Cikgu Dasuki..Warga Izzuddinian sebaya dengan saya pasti mengenali beliau. Tahun ini adalah tahun ke 30+ beliau berkhidmat di sini. Sangat berdedikasi dan tegas. Ketua Warden tugasnya ketika saya di sini dahulu. Masih maintain

Ustaz yusof , guru Syariah dan al-Qur’an sunnah. Seronok dapat bertemu kembali

Buminya masih hijau. Walau sudah lama ditinggal, memori taman permainan mengubat lelah sangat sukar dilupakan.

Bumi ini pernah subur dan terus subur buat menghasilkan para daie. telah lahir hasil didikan guru-gurunya para doktor, guru, usahawan, peguam hebat dan terkemuka.

Akan terus djejaki para guru dan teman yang pernah dan masih setia di bumi yang indah ini. Al-fatihah buat teman dan guru kami yang pergi dahulu meninggalkan kami.

SMA Izzuddin Shah. Akan terus ku kenang. Terima kasih cikgu. terima kasih rakan.


BERTEMU MENTOR

May 12, 2012

Bertemu mentor. Tuan Zamri Mohamad sudah saya anggap sebagai mentor di bidang penulisan. Beliau merupakan jurulatih penulisan disamping giat menghasilkan buku-buku motivasi, perhubungan dan media. Jejaknya saya cuba ikuti walaupun tidak terkejar.

Saya sedar satu perkara, untuk berjaya cepat dan luar biasa kita memerlukan mentor. Bagaimana? Ikuti jejak mentor dan jadilah klonnya. Minta nasihat sepanjang masa dan berlaku jujur kepada mereka.

Walaupun begitu, saya tidak pernah menghadkan jumlah mentor.Ada seorang lagi sifu PTS yang smepat saya berguru tempohari.

Ini pula Tn Fauzul Naim. Beliau Pengurus Penerbitan di PTS Publication. Ada sahaja idea dan ilmu baru dicurahkan kepada penulis muda seperti saya. Moga terus-terusan tuan mendidik dan memandaikan anak bangsa. Saya selesa berguru dengan beliau. Apapun, berguru dengan mentor memudahkan gerak kerja.

Moga ketemu lagi. Wassalam

 


Penulis dan Buku

May 12, 2012

Sampai ternganga mulut penulis. Itulah kegembiraan seorang penulis apabila melihat buku tulisannya dijual di booth penerbit. Foto ini diambil ketika penulis sedang melawat booth JAKIM iaitu penerbit buku kedua saya , Dakwah dan Teknologi Maklumat.

Berada di sebelah, adalah Ustaz Hairon, teman setugas, Penolong Pengarah Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga peserta Pengkarya Guru 2012.

Alangkah menariknya, apabila ada sticker tertulis “bestseller’ tertulis pada kulit buku tersebut. Jadi senyumannya jadi lebih lebar. Suatu kepuasan yang sukar mahu digambarkan. Sesudah menulis, berkongsi pula dengan khalayak.

Buku ini selain menjadi panduan umum, sudah dimodulkan oleh salah sebuah jabatan agama dan bakal dibentangkan untuk tujuan pembangunan pendakwah. Ia juga bakal dilancarkan sewaktu jamuan negeri sempena Sambutan hari Guru Peringkat Kebangsaan di Perak 15 Mei ini. Al-hamdulillah.

Moga inovasi dalam dakwah terus berkembang. Buku ini hanya menccetus semangat kepada yang lain. Ayuh ..tulislah!

Ruzain Syukur Mansor

 


TIP URUS KELAB REMAJA MASJID DI BOOTH READ NETWORK

May 12, 2012

Di tengah-tengah lautan buku-buku penulis tersohor, buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid tulisan saya dan Cikgu Azmi Musa masih dijual di Booth Read Network ketikaPesta Buku tempoh hari. Setelah pelancarannya pada 2010, ia masih menemui pembaca. Sebenarnya ia pencetus semangat yang paling tinggi untuk saya berkarya.

Terlalu banyak memori indah mengusahakan karya ini. Ramai juga kenalan diperolehi hasil daripada perkongsian kandungannya. Memang benar, buku adalah duta kita. Selagi hidup harus terus berkarya. Tinggalkan legasi untuk anak dan cucu.

Ruzain Syukur Mansor


MEREKA LAPAR BUKU…

May 12, 2012

Suatu keadaan yang sukar digambarkan. Sangat sesak. Penuh. Sukar untuk bergerak.

Itulah pemandangan ketika hari-hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Peluang berkampung di PWTC sempena Program Pengkarya Buku digunakan sepenuhnya. Selain sibuk berkarya dapat juga meninjau senario pencinta buku.

Menurut laporan, kehadiran keseluruhan pengunjung Pesta Buku 2012 menjangkau angka 1 juta+++. Nampaknya bagaikan mereka kelaparan buku. Antara faktor yang membantu kebanjiran ini adalah faktor promosi serta pelbagai diskaun buku adakalanya sehingga 70%. Ini ditambah dengan kehadiran public figure pelbagai bidang yang memeriahkan suasana.

Apa yang penting, mereka tidak dipaksa untuk hadir. Bagi ulat buku seperti saya, hadir 3-4 kali ke Pesta Buku dalam tempoh 2 minggu itu perkara lumrah. Ini petanda industri buku masih hidup. Datanglah teknologi apa sekalipun, industri perbukuan masih mantap. Itulah sifat buku. Samada ia menjadi hadiah atau untuk dibaca, buku tetap buku. Pembacanya sangat setia.

Jadi, mitos rakyat Malaysia malas membaca hanya tinggal sejarah. Kita adalah apa yang kita baca. Bangsa membaca , bangsa bertamadun.

Tahniah kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. tahun hadapan kita ketemu lagi.

 

Ruzain Syukur Mansor


SESI BEDAH CERPEN..

May 11, 2012

Ini foto mentor kami, Puan Fatimah, mantan editor kanan Bahagian Buku Kanak-kanak DBP. Beliau kelihatan sedang membedah karya para peserta kumpulan Cerpen moden.

Ini nasihat saya, jika tidak berani dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika tidak berani dikritik, berhenti jadi penulis!

Menerima kritikan daripada seorang editor adalah perkara biasa. Hanya penulis yang benar-benar tebal muka sahaja yang sanggup menerima kritikan membina. Biarlah artikel kita itu dibedah ketika kita mula menulis. Pahit memang pahit, tetapi dalam kepahitan kita ada manisnya.


Pesta Buku PWTC 2012 . APA YANG MENARIK?

May 4, 2012

Assalamualaikum.

Pesta buku mengingatkan saya dengan 1001 memori indah. 2010, buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid dilancarkan di pentas utama. Saya hanya tersenyum ketika melewati kumpulan penulis yang menggayakan buku masing-masing di majlis pelancaran bukutadi. Suatu perasaan yang sukar digambarkan.

2011, buku Dakwah dan Teknologi Maklumat saya sempat terbit beberapa hari sebelum Pesta Buku berlangsung. Tetapi ia tidak sempat memasuki booth penerbitnya, JAKIM.

2012, saya sempat singgah ke booth JAKIM yang menjual buku Dakwah dan Teknologi Maklumat saya itu.Ia menanti untuk dibeli para pencinta buku. Tambah menarik, ia akan dilancarkan sempena Sambutan Hari Guru 2012 di rumah kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh 15-16 Mei ini. Al-hamdulillah.

Mungkin gambar di atas memebrikan semangat baru kepada saya. Moderator cilik tersebut adalah anak murid saya ketika mengajar di SK Telok Menegon. Seronok melihat semangatnya ketiba menemubual Dr Faiz. Moga bakatnya terus gemilang.

Peringkat preview sahaja, sudah penuh 1 beg dengan buku kegemaran. Jom saya kongsikan

Ini buku paling awal yang saya cari, karya Prof Kamil Universiti Tayyiba. Ia menjadi buku pertama yang saya hadam sekembali dari PBAKL 2012. Sangat menginspirasikan. Buku yang lain akan saya kongsikan nanti. Akan dilaporkan secara live dari PBAKL 2012


AURA PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC 2012

May 4, 2012

Ada beberapa fakta menarik yang sohih daripada Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ketika beliau menyampaikan ucapan mengalu-alukan peserta Pengkarya Guku siri ke 2 tadi.

Antaranya aura Pesta Buku PWTC 2012. Antara yang sempat dikongsi adalah:

1. Pertama kali Pesta Buku Antarabangsa KL 2012 tercatat dalam senarai Pesta Buku terbesar peringkat antarabangsa
2. Jumlah kehadiran terkini ke Pesta Buku menjangkau angka 1.19 Juta orang .
3.Pasaran buku kini berubah. Terma Croos Media-silang Media menjadi tumpuan utama terutamanya generasi Y
4.Pasaran Blook (Blog become book ) dan Khalayak Awan (Cloud Technology) menjadi kuasa baru perbukuan.

Tambah menarik apabila beliau mengumumkan baucer buku kepada para peserta Pengkarya Buku yang mendapat tepukan gemuruh para peserta.Terima kasih Tuan. Moga dapat pula sponsor kami ke Bologna Book Festival ya!

Perjalanan ke puncak bermula dengan langkahan pertama.

Saya terpaksa megubah gaya penceritaan blog ini dengan tambahan gambar-gambar menarik untuk dikongsi sama. Bukannya apa supaya dilihat lebih segar.


PENGKARYA GURU SIRI 2

May 4, 2012

Untuk kali kedua, siri Pengkarya Guru berlangsung di Hotel Grand Pasific Kuala Lumpur. Misi kali ini dilihat sangat rapat untuk menggempur Pesta Buku Kuala Lumpur. Sangat istimewa apabila peserta siri kali ini diberi peluang berkampung di tingkat lima bangunan PWTC untuk berkarya.

Nampaknya, para pengkarya terpaksa mengurut dada beberapa kali. Adat menjadi penulis harus tahan telinga dengan kritikan pedas daripada mentor.

Ini karya saya yang terpaksa dilupakan buat seketika. cari saja yang lain dan yang lebih menyengat.

Perjalanan Pengkarya Guru Siri 2 masih jauh lagi. Kami merasai pengalaman sebenar berdepan dengan editor. Apatah lagi editor yang sangat berpengalaman.