December 30, 2009

GURU JUTAWAN AKHIRAT

 

Ada satu entry dalam tahun 2009 di mana saya bercerita tentang buku Guru Jutawan Akhirat.Ia hasil daripada peluang yang di berikan oleh Ustaz Shopuan BPI, Jabatan Pelajaran Selangor kepada saya untuk menjadi salah seorang panel pemurnian manuskrip buku tersebut.

Ia satu manuskrip yang telah dicanai amat baik oleh panel penulis terdahulu.Ia garapan motivasi yang menarik buat guru.Ditulis dengan gaya santai.Sekalung tahniah diucapkan kepada panel penulis buku Guru Jutawan Akhirat.

Hari ini saya mendapat berita buku itu sudah sampai ke meja pentadbir sekolah.Seronok membacanya kata guru tersebut.

Ia disahkan oleh Ustaz Shopuan Anuar BPI, Jabatan Pelajaran Selangor sendiri.Buku Guru Jutawan Akhirat akan di tatap oleh guru-guru.Moga ada sinar motivasi dan semangat untuk yang membacanya.

Itu nada keseronokan apabila sesuatu idea dapat dikongsi bersama dengan yang lain.Itu nada kegembiraan bagi penulis apabila karyanya di baca orang.Itu lonjakan kegembiraan apabila manuskrip sudah bertukar menjadi sebuah buku.Saya tidak berada di dalam senarai barisan ‘pemain’ utama Guru Jutawan Akhirat.Hanya di panggil sewaktu salah satu siri pemurnian manuskrip.Tetapi tidak salah saya berkongsi kegembiraan.Ia suatu usaha dakwah penulisan.

Memang penulisan memerlukan semangat.Walaupun bukan sesuatu yang mudah untuk menulis di dalam kumpulan penulis yang ramai.Tetapi hanya penulis yang memahami jiwa rakan penulisnya yang lain.Itu sebabnya hadirnya penulis ke bengkel penulisan bukan sahaja untuk ilmu, tetapi untuk ‘recharge’ jiwa dan semangatnya.Berjumpa rakan-rakan penulis merupakan peluang untuk saling memberikan semangat dan motivasi.

Moga 2010, lebih memberikan sinar kepada diri ini untuk terus menulis.Terima kasih kepada pihak editor majalah Cahaya dan Sinar Rohani JAKIM, Millenia Muslim yang banyak memberikan ruang penulisan buat saya sepanjang 2009.Moga ada ruang lagi di tahun 2010.

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-


December 27, 2009

BENARKAH AZAM TAHUN BARU PENYEBAB STRESS?

Benarkah begitu? tapi ia adalah satu tajuk daripada artikel akhbar yang sempat saya baca.Menurut sumber itu lagi, memikirkan azam baru akan membuatkan seseorang itu asyik sibuk memikirkan kelemahan dan kekurangan diri demi mencari ruang untuk menuju ke arah penambahbaikan diri.Ini memungkinkan minda seseorang itu akan tertekan.

Betulkah begitu?.Memang mempunyai azam di tahun baru menjadikan hidup ini lebih fokus dan terarah.Namun, tidak semestinya ia memerlukan kita memerah otak , menyeksa diri, kembali mengingati kegagalan lalu.Lebih teruk daripada itu, mengaku kalah dan kecewa kerana gagal memenuhi azam tahun lalu.

Bukanlah menjadi kewajipan menyambut kehadiran tahun baru dengan azam yang tinggi menggunung.Bukanlah juga kejayaan memenuhi azam seperti yang disasarkan merupakan penanda aras atau KPI berjayanya seseorang itu atau tidak.

Apa yang lebih penting adalah bermuhasabah.Awal tahun 2009, ada 1 artikel saya tentang muhasabah diri tersiar di majalah Millenia Muslim .Itu suatu kejayaan.Erti muhasabah dikongsi bersama.Menjelang akhir 2009, momentum penulisan saya sedikit malap.Hanya peluang untuk menjadi kolumnis portal Malaysia Harmoni menjadi wadah terbaru untuk berkarya.Rupanya momentum kekuatan untuk menulis itu tidak sampai ke hujung tahun.Ini peranan muhasabah.Keadaan ini  juga akibat tidak meletakkan target dan sasaran kepada apa yang ingin kita lakukan.

Musim-musim ini, pemimpin meletakkan KPI kepada sasaran kerja mereka mula menampakkan arah kepada gerak kerja mereka.Memang mudah meletakkan KPI, tetapi azab jika tidak dilaksanakan mengikut apa yang disasarkan.Lantas, KPI yang diletakkan kelak dipersoalkan.Apakah hanya mengikut orang..malu jika tertinggal ke belakang..justeru, KPI diletakkan sebarang.Tak tahu pun apa yang nak ditimbang.Akhirnya diri sendiri yang tumbang.KPI hanya menjadi perkara sumbang.

Justeru, entry kali ini merupakan pembuka minda buat saya sendiri.Tahun 2009, angka 10 000 hit telah berjaya di capai.Suatu jumlah hit yang tidak pernah pun di jangka dengan kelembapan pemilik blog -akademi penulis bebas ini-.Terasa amat jauh sekali jika dibandingkan dengan pencapaian  blog Akademi Penulis saudara Fauzul Naim yang telah amat jauh mengorak langkah dengan program-program latihan penulis super yang hebat itu.

Blog akademi penulis bebas ini harus mula menggerakkan sasarannya sendiri.Tahun ketiga perjalanan blog ini seharusnya menggerakkan sesuatu.Tidak hanya mengulas sesuatu isu dan hanya tempat berkongsi artikel.Saudara Zamri Muhammad contoh penulis bebas sepenuh masa yang patut dicontohi.Penuh kreatif dan pantas dengan penulisan yang bertambah-tambah.Aktif memasarkan idea penulisan di youtube, facebook dan pelbagai media.Beliau contoh penulis bebas bervisi dan berjaya.Daripada bergerak di alam maya kini sudah pun berpejabat.Sudah selangkah ke hadapan.

Cabaran bagi penulis bebas berkerjaya adalah cabaran mengurus masa.Di kalangan orang yang sibuk mengatakan, masa itu hanya ada pada orang yang sibuk.Individu yang paling bijak mengurus masa juga adalah di kalangan orang yang sibuk.Itu memang diakui ramai.Sejauh mana seorang penulis dengan apa jua gagasan ilmu dilihat melalui hasil penulisannya.Tidak guna hanya melaung-laungkan dirinya adalah seorang penulis , tetapi hasil penulisannya hanya mampu terperuk di blog peribadi, tidak di publish kepada khalayak.

Justeru, moga 2010, menjanjikan sesuatu yang lebih baik.Usaha penulisan kreatif di majalah-majalah oleh penulis bebas memerlukan penulis itu rajin mencuba nasib.Membina brand kepada penulisannya adalah antara perkara utama.Bukan mudah untuk karya anda dinilai dan di baca oleh seorang editor.Tetapi itu adalah rencah kehidupan penulis bebas.Mencuba dan terus mencuba .Tanpa rasa putus asa.Menulis bukan kerana harta.Tetapi untuk kepuasan.Berkongsi dan terus berkongsi.Demi ilmu.Hidup biar terus memberi.

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas- 

 


December 7, 2009

TIP PENULISAN.

TULIS, SIMPAN, BACA SEMULA, TAMBAH APA YANG PERLU

Anda faham ke tajuk di atas tu?.Tulis, simpan, baca semula dan tambah apa yang perlu.Itu ilmu untuk mengedit dan menokok tambah pada penulisan.Tidak kiralah samada novel, cerpen, mahupun karya kreatif.Ia saya perolehi ketika mengikuti bengkel penulisan pertengahan tahun ini.

Begini, Kita tulis beberapa perenggan, berhenti setelah penat.Save fail tersebut.Simpan.Pergilah berehat seketika.Minum kopi, menonton TV, mahupun mendengar radio.Biar minda anda berehat buat seketika waktu.Setelah beberapa ketika, buka kembali fail mengandungi tulisan anda tadi, dan saya pasti anda mempunyai idea baru malah nampak akan kesalahan yang telah dilakukan pada teks asal tersebut.

Adakalanya menulis terlalu lama menjadikan minda kita ini tepu.Akibatnya kita seolah-olah ‘buta’ dan tidak nampak pada kesalahan yang dilakukan.Itu sebabnya anda perlu rehat seketika, dan lihat kembali penulisan tersebut.Ini memang saya praktikkan kepada penulisan manuskrip Aduhai Remaja ini.Adakalanya minda ini tidak dapat mengeluarkan pa-apa idea.Penat berfikir agaknya.Itu petanda perlu berehat dahulu.Segarkan minda.Sambung kembali.InsyaAllah pasti datang idea kembali.

Begitu juga penulisan di blog.Saya akui saya bukanlah penulis yang konsisten.Sebulan hanya mampu menulis dua-tiga entry.Kecuali ketika cuti sekolah, adakalanya sampai 8-9 entry sempat menjadi paparan.

Menulis melibatkan komitmen dan semangat yang tinggi.Blog bukan untuk dibangga-banggakan tetapi perlu diisi.Mungkin ada yang menajdikan penulisan kita itu sebagai penguat semangat malah motivasi.Anda perlu motivasi? cuba layari blog Prof kamil Uitm http://muhdkamil.net/kehidupan/  Beliau merupakan penulis Buku Travelog Dakwah dan Travelog Haji yang saya minati.Gaya penulisannya amat santai.Sukar sekali kita dapat mencari seorang Professor Perakaunan sepertinya yang boleh menulis dan berdakwah dalam keadaan santai.Untuk rekod, saya penggemar buku motivasi dakwah kontemporari.

Pertimbangkan juga blog www.saifulislam.com Ustaz Hasrizal sebetulnya super duper senior saya ketika di SMA Izzuddin suatu ketika dahulu.Saya mengagumi hasil tulisan dan dakwahnya.Keberaniannya jelas ketika masih di sekolah lagi.Yang penting corak penulisan santainya menjadi motivasi kepada saya.Memang dalam menulis kita perlu ada sedikit contoh dan panduan.Akhirnya kita serlahkan kekuatan diri.Jangan pula terikut-ikut sampai tiada jati diri

Cukup dahulu.Ia pendapat peribadi saya sahaja.Shukran

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-

 


December 5, 2009

ADUHAI REMAJA

Hujung tahun 2008, saya sempat menyiapkan 1 manuskrip buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid bersama Cikgu Azmi Musa.Diterbitkan oleh I Media sepatutnya.Sudah pun sampai ke peringkat DTP, lepas segala urusan edit, hampir di cetak tetapi ia masih belum berada di pasaran.Allah lebih mengetahui..

Itu ujian bagi penulis separuh masa seperti saya.Itu perkara biasa.Tahun 2009  juga alhamdulillah ditakdirkan saya mendapat di tempat di kolum IT dan dakwah majalah Cahaya JAKIM , hampir setiap keluaran.Al-hamdulillah.Itu ruang dakwah buat saya.Baru-baru ini, dengan tidak disangka-sangka dianugerahkan anugerah khas Tokoh Guru bidang penghasilan karya kreatif .Sumbangan Parlimen Tg Karang.Itu untuk motivasi, tidak lebih dari itu.

Jadi ada satu projek penulisan yang hampir setahun tertangguh.Cuti kali ini misi terakhir untuk menyudahkannya.Kali ini percubaan pertama menulis buku secara solo.Ada ruang yang dipertimbangkan oleh syarikat penerbitan KarnaDya Solution untuk buku motivasi dakwah.

ADUHAI REMAJA.

Itu tajuk pilihan saya.1 buku motivasi santai khusus membicarakan isu remaja.1 penulisan dakwah untuk remaja, aktivis remaja, ibu-bapa, guru dan sesiapa sahaja yang berminat untuk kembali melihat kepada perkara asas remaja.Berdakwah untuk remaja masakini merupakan cabaran besar.Justeru saya titipkan beberapa perkara penting tentang remaja yang perlu diketahui.

Untuk remaja? ia pasti sebagai panduan untuk menghadapi hari-hari mendatang menuju hari dewasa.Ada tips tentang diri, hubungan dengan ibu-bapa, dan tidak lupa hubungan dengan guru.jangan lupa tentang isu remaja..Remaja dan muzik, cinta, IT, impian, ibadat dan motivasi.Semuanya dikupas dengan gaya bahasa santai.

Saya ada kira-kira tiga minggu untuk menyudahkan manuskrip ADUHAI REMAJA.Jika ada rezeki kita sama-sama tunggu kemunculannya.Moga-moga Allah berikan bantuan untuk saya sudahkan penantian ini.Ini kisah impian hidup.Setiap insan mempunyai impian hidup.Dan saya mempunyai impian sekurang-kurangnya 1 buku terbit setiap tahun.InsyaAllah.Dimana ada impian di situ ada jalan.

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-


BEREHAT SEBENTAR UNTUK MUHASABAH DIRI..

December 1, 2009

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar, blog akademipenulisbebas kini sudah mencecah 10 000 hit.Kali pertama berblog dahulu, hati bertanya, ada ke pembaca yang sudi membaca blog saya ni?.Tetapi alhamdulillah, ianya diterima baik dengan komen-komen yang membina daripada rakan-rakan bloggers.

Ada guru, ada bloggers, ada rakan lama, buat kalian, terima kasih kerana terus mendorongku untuk terus berkarya.Peranan blogstat juga banyak mengajar saya mendapat respon mengenai siapakah pelayar entry-entry, dan entry yang manakah menjadi ikutan terbanyak para pelawat.

Itu penting bagi mengelakkan bloggers hanya syok sendiri.Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa antara carian terbanyak pelawat yang singgah ke blog saya berlegar dalam isu pendidikan, perguruan, penulisan bebas, j-QAF, artikel, majalah, guru, dakwah, berdakwah di sekolah dan sekategori dengannya.

Lantas, entry berkaitan dengannya akan terus mendapat tempat di blog ini.Adakalanya feedback rakan-rakan juga dijadikan bahan untuk menulis.

Tahun berganti tahun, azam mungkin berganti, umur pastinya meningkat, bagaimana pula dengan prestasi blog?.Apakah kandungannya semakin berkualiti?.Adakah sama sahaja macam tahun-tahun sebelumnya.Ia juga perlu muhasabah.Orang menilai apa yang kita tulis dan laporkan.Jadi, perbaiki mutu entry, satu peringatan untuk saya .

Apatah lagi apabila ada yang memohon bahan penulisan dan sebahagian entry dimasukkan senagai rujukan assignment mereka.Itu tanggungjawab sosial untuk memberikan buah fikiran dan disumbangkan untuk pembangunan minda.

Ini perihal muhasabah.Jangan hanya berblog untuk kepuasan sendiri.Jadinya nanti syok sendiri.Lebih baik guna diari sahaja!.Itu ingatan untuk diri sendiri.Moga-moga ada peningkatan.Yang baik dipersilakan komen.Yang kurang enak, lagi perlu anda komen.Terima kasih kerana sudi bertamu dan jangan lupa coretkan komen ya!

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-