BERTEMU GURU

January 28, 2012

Ini buku ustaz saya, Ustaz Azmi Ahmad terbitan Must Read. Beliau mengajar saya ketika di SMA Izzuddin Shah Ipoh Perak. Saya telah miliki dan siap resensinya sekali dalam blog ini. Setelah lama tidak berjumpa hari ini sangat bertuah sekali. Beliau sempat saya peluk. Malah makan bersama sambil menerima butiran mutiara nasihat darinya.

Beliau saya temui ketika sama-sama berbengkel di Wangsa Melawati tadi. Beliau adalah penulis MustRead terdahulunya.

Orangnya masih sama. Malah beliau masih mengingati nama saya. Malah teman-teman se batch masih melekat di ingatannya. Orang lama hebat kerana ilmunya. Beliau kini merupakan pensyarah di Kolej Islam Darul Ridzuan , Ipoh Perak.

Moga Ustaz Azmi Ahmad terus menulis dan berkarya sesuai dengan kepakarannya di bidang dakwah dan Bahasa Arab.

Ruzain Syukur Mansor


BERGURU DENGAN MENTOR

January 28, 2012

Setelah lama menanti, hari ini saya berjaya berguru dan melantik Tuan Zamri Mohamad sebagai mentor penulisan saya. Mengikuti Kursus Penulisan Buku Agama anjuran Mustread sangat mengujakan. Terima kasih orang kuat Must Read yang menyediakan wadah terbaik untuk mengembangkan sayap. Moga kita ada rezeki berkolaborasi nanti.

Dengan Tuan Zamri ini saya punya banyak sejarah. Facebok, sms, emel, sehinggalah detik berguru dengan beliau. Sangat hebat pengalaman penulis dan jurulatih penulisan muda ini.

Memang hidup kita ini perlukan mentor. Kita memerlukan contoh untuk diikuti. Apa yang docontohi? kejayaan mereka dan gaya mereka menguruskan sesuatu kejayaan. Lantas, belajar menulis ini juga perlu daripada gurunya.

Saya memilih mentor yang tepat. Selain beliau muda dan penuh dengan idea dan misi, tidak lokek pula berkongsi ilmu. Moga dengan adanya mentor ini memudahkan laluan mengurus penulisan. Malah saya pernah juga bergurukan guru penulisan yang jauh lebih garang. Tetapi kesan dari garangnya jurulatih itu menggerakkan minda untuk segera menulis.

Saya berbual dengan teman-teman. Blog akademipenulisbebas ini diwujudkan untuk berkongsi jatuh bangunnya seorang penulis bebas. Di bengkel penulisan seperti ini peluang untuk saya re-charge bateri minda yang sedikit lemah dengan semangat dan motivasi. Al-hamdulillah, tenaganya sangat luar biasa. Biasanya selepas berbengkel, blog akan cepat diisi dengan coretan motivasi dan semangat.

Akan ada lagi catatan bengkel nanti. Izinkan minda ini berehat dahulu sebelum datang idea baru nanti.

Ruzain Syukur Mansor


ARTIKEL PERTAMA 2012..

January 28, 2012

Al-hamdulillah, sebaik sampai daripada menghadiri kursus penulisan kendalian Tuan Zamri Muhammad, saya dihidangkan satu bungkusan daripada JAKIM. Saya pasti ia adalah majalah Cahaya.

Rupanya betul, artikel tulisan saya bertajuk Cintailah Alam Sekitar Kita: Dunia Semakin Nazak disiarkan di Majalah Cahaya JAKIM keluaran 2/2011. Tambah menarik ia adalah isu fokus yang dihighlight oleh editor. Ia artikel yang dihantar pada tahun lepas. Rezekinya ia tersiar tahun ini.

Baru sahaja bersembang-sembang dengan rakan -rakan penulis sewaktu berkursus bersama Tuan Zamri Mohammad beberapa jam sebelum menerima majalah tersebut.

Ia merupakan antara penyuntik semangat saya tahun ini. Sangat signifikan kerana ruang penulisan di JAKIM sudah saya perolehi sejak tahun 2008. Walaupun ia tidak sekerap mana namun saya membina pengalaman dan kredibiliti melaluinya.

“Seperti Tuan Ruzain, yang menulis dengan JAKIM sebelum ini” itu antara yang diucapkan sifu saya Tuan Zamri Mohammad siang tadi ketika berbengkel.

Itu tidak penting, apa yang lebih penting, tahun ini perancangan penulisan saya agak berbentuk serampang dua mata. Sambil menulis buku cuba-cuba juga menghantar artikel ke majalah. Dunia majalah membentuk jatidiri kepenulisan saya. Buku membentuk kesabaran. Kedua-duanya sama penting.

Apapun, ia permulaan yang baik untuk 2012. Moga ada sinarnya nanti

Ruzain Syukur Mansor


PENCARIAN PENA PERMATA ANA MUSLIM .I-PAD MENANTI PEMENANG

January 27, 2012


PELANCARAN BUKU KE 100 DR H.M. TUAH

January 27, 2012

“Tahniah Dr” ucapan ringkasku kepada penulis prolifik, Dr H.M. Tuah

Ia suatu kejayaan yang sangat cemerlang setelah beliau melancarkan buku yang ke 100 nya pada Majlis Perasmian Karnival Karangkraf 2012.

Amat menarik sekali apabila dapat melihat Dr H.M. Tuah membawa sekali ibu dan ayahnya ke booth pameran khas jualan buku-bukunya di Karangkraf . Sangat unik sekali. Detik kejayaan anak dikongsi oleh ayah dan ibu. Saya ingin merasai detik itu. Alangkah indahnya jika buku saya itu nanti dirasmikan sendiri oleh abah dan mak.

“Saya sempat cari buku Kewartawanan Islam: Mencabar dan tercabar tulisan Dr” tambahku lagu.
“Buku itu nadanya keras” balasnya sambil ketawa.

Memang ada benarnya. Buku yang sangat ikhlas penulisannya itu ditulis oleh Dr H.M. Tuah pada awal pembabitannya sebagai wartawan. Bagi saya ia bukan keras tetapi bernada tegas. Soal pembaca tidak mahu menerimanya itu soal ke 10.

Namun, ia detik yang saya kira istimewa juga. Bertemu seorang tokoh penulis dan pakar motivasi yang sangat terkenal menaikkan semangat saya sambil hati mula berkata “bolehkah aku menjadi sepertinya?”.

Moga Dr H.M. Tuah terus kekal memberikan inspirasi. Kejayaan seorang tokoh yang tidak melupakan ayah dan ibunya. Itu rahsia kejayaannya pasti

Ruzain Syukur Mansor


RE-CHARGE

January 27, 2012

Al-Hamdulillah, pulang daripda Karnival Karangkraf petang tadi bagaikan telah mendapat bekalan tenaga secukupnya. Bertemu rakan penulis dan editor memberikan semangat baru untuk memacu idea penulisan.

“Bila mahu hantar manuskrip?”
“Sedang tulis buku apa sekarang cikgu?”

Cukup dengan soalan-soalan maut yang begitu menyentap jiwa. Hasilnya pun sangat positif. Penulis memerlukan rakan. Penulis juga perlukan semangat dan dorongan. Lantas, di kala semangat menulis merudum, cari saja teman-teman sepenulisan dan salinglah memberi semangat antara satu sama lain.

Bertemu seorang teman Ustaz Shahrizal (UDM) yang selama ini hanya berkenalan di alam maya sangat mengujakan. Pensyarah muda keluaran UIAM tersebut meraikan kejayaan buku pertamanya bersama Karangkraf. Sangat mengkagumkan gayanya apabila pada usia semudanya sudah mendapat tempat di jurnal Scorpus. Syabas.

Menurutnya menulis memerlukan mentor. Tunjuk ajar mentor sangat membantu. Penulis muda harus copy sahaja rahsia kejayaan para pentor mereka. Baik ada dari tiada.

Tip hari ini mudah sahaja. Untuk re-charge semangat menulis, ketemu rakan penulis di Pesta Buku atau karnival yang dianjurkan oleh mana-mana penerbit. Berbuallah sepuasnya. Berikan semangat dan motivasi. InsyaAllah semangat anda akan kembali meningkat naik

Ruzain Syukur Mansor


RANCANG PENULISAN ANDA

January 23, 2012

Assalamualaikum
Lama juga blog ini tiada entry terbaru. Penulisnya sedang tunggang langgang bersilat memenuhi tuntutan kerjaya asasi. Al-hamdulillah segalanya beres. Kini dapat pula memulakan perancangan penulisan bagi tahun 2012.

2011 ditinggalkan dengan kejayaan yang biasa-biasa sahaja. 1 buku berjaya diterbitkan. Dakwah dan Teknologi Maklumat terbitan JAKIM. Manakala 1 lagi buku masih terkandas di bilik editor. Entah bila mahu diterbitkan.

2012, saya mengambil keputusan mengubah sedikit fokus penulisan. Ya, 2012 adalah tahun penulisan artikel majalah. Blue T Communication memberikan peluang. Manakala majalah e-Baca Karangkraf membuka ruang seluasnya. Akan diusahakan mengikut konsep majalah tersebut. Motivasi santai akan tetap menjadi pilihan.

Adakalanya, fokus penulisan berubah-rubah mengikut keperluan semasa. 2010, saya mengubah sedikit fokus daripada majalah kepada buku. Nyata, penulisan buku lebih memerlukan kesabaran. Terlalu banyak prosesnya. Hubungan antara penulis-editor perlu sentiasa akrab.

Lantas, rasanya keputusan kali ini tepat. Menulis untuk majalah kembali menjadi fokus. Kembali kepada fokus penulisan pada tahun 2009. Ketika itu JAKIM membuka pintu seluas-luasnya.

Buku? ya, masih dalam pembikinan. Manuskrip 50 Soal Jawab Remaja masih memerlukan berpuluh-puluh soalan untuk dijawab. Moga dipermudahkan.

Apapun, meletakkan misi penulisan di awal tahun ini suatu yang amat penting. Ia bagaikan menetapkan sasaran kerja tahun (SKT). Seterusnya, misi untuk mengusahakan apa yang dirancang.

Ruzain Syukur Mansor


CATATAN SARJANA: TAMAT 1 BAB

January 5, 2012

Tamat 1 bab? apa yang tamat?

Tamat 1 bab untuk kursus sarjana yang saya ikuti di Universiti Malaya. Saat keluar daripada dewan peperiksaan tadi tiba-tiba saja minda terbayangkan saat tamat kursus Matrikulasi di UIAM lewat 1999.

Mungkin kerana ia penamat suatu proses pembelajaran tetapi bermulanya sebuah lagi episod. Episod penulisan ilmiah yang pasti sangat mencabar.

Tidak sukar sebenarnya menamatkan kerja kursus bagi bagi program sarjana. Ini saya lakukan buat kali ke 2. kali pertama tahun 2005, tidak kesampaian. Percubaan kali ke 3 disusun. Kali ini agar tamat dalam masa setahun.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Itu antara kata-kata semangat yang sentiasa saya sematkan di minda anak-anak murid saya di sekolah. Tetapi kata-kata tidak semudah melaksanakannya.

Namun, tidak ada apa yang mustahil sekiranya minda kita ini sentiasa berkata-kata. InsyaAllah boleh.

Lantas, penyelidikan dalam mencapai tahap kesarjanaan sangat jauh bezanya berbanding penulisan buku dan artikel majalah. Disiplin diperlukan sangat tinggi. Komitmen yang dituntut memerlukan pengorbanan,

Apapun, hari ini secara rasminya akan dimulakan proses penyelidikan. Rahsia berdakwah menggunakan multimedia akan disingkap. Moga-moga idea inovasi untuk dakwah akan menjadikan ianya suatu usaha yang dapat menarik khalayak, insyaAllah.

Ruzain Syukur Mansor


RESENSI BUKU PANDUAN MENULIS NOVEL TEKNIK SURAH YUSUF

January 1, 2012

Saya menulis resensi buku Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf karya Puan Ainon Mohd ini dengan perasaan yang pelbagai. beliau merupakan sifu PTS dan mengasaskan sendiri kaedah ini berdasarkan kajian beliau sendiri. Buku ini saya baca sebagai persediaan untuk menulis novel remaja dakwah. Ia sedang diusahakan.

Membacanya seolah-olah membaca sebuah manual. Sangat praktikal bagi menghasilkan novel Islami yang disukai ramai dan Syariah Compliant. Ia juga adaptasi daripada penceritaan yang indah melalui kisah Nabi Yusuf alaihissalam. Terpulanglah kepada pembacanya. Apa yang penting ia suatu kaedah. tidak lebih daripada itu. Dibaca sebagai bukan kitab tafsir sebagaimana andaian sesetengah pihak. Bagi pengkritik yang negatif, mereka melihat teknik ini menghasilkan karya picisan , lihat catatan di http://pbaru.blogspot.com/2011/12/comic-relief-dalam-teknik-surah-yusuf.html

Puan Ainon tidak pula menjawab kritikan keras penulis blog tersebut. Tetapi jika saya diberi pilihan untuk menjawab kritikan tersebut, akan saya katakan, sekurang-kurangnya Puan Ainon sudah menjalankan inisiatifnya, Tuan bagaimana? sudah adakah mana-mana kaedah menulis novel yang tuan pernah cadangkan? jangan hanya pandai mengkritik, tetapi diri sendiri masih tidak buat apa-apa.

Agak sukar mencari titik keserasian dalam mencetuskan kaedah terbaik menghasilkan novel Islami yang baik malah tidak melanggar syariah. Puan Ainon dalam buku ini mencadangkan ciri-ciri berikut:

-Mengandungi kisah-kisah benar yang indah
-Tiada babak dating dan pergaulan bebas lelaki & perempuan bukan mahram
-Banyak dialog
-Banyak watak
-Tempoh penceritaan yang panjang
-Bahasa Melayu Tinggi
-Tiada babak asmara
-Tiada gambaran tubuh watak
-Watak utamanya berjaya.

Dan banyak lagi. Anda perlu dapatkan buku ini di pasaran dan jangan lupa untuk menghadiri kursus penulisan anjuran Puan Ainon Mohd untuk maklumat lanjut.

Tidak syak lagi, ia sebuah manual penulisan novel yang menggarap kaedah dan teknik penulisan yang mudah serta praktikal. Aspek teknikal penulisan novel seperti plot, tema, gaya penulisan digarap dengan baik.

Bukan untuk mengampu, secara ikhlas saya katakan bahawa ini antara buku yang boleh manjadi panduan untuk menulis novel yang kelak boleh difilemkan. Mengapa difilemkan? Supaya nilai-nilai murni di dalam novel dapat disebarluaskan. Sambil menulis , boleh juga berdakwah.

Jadi, dapatkan di pasaran. Karya Puan Ainon Mohd terbitan rumah penerbitannya sendiri PTS Publication & Distributors ini lahir dariapda kajian mendalam dan didasari minat suka untuk berkongsi ilmu. Tema daripada pembaca menjadi penulis ini terbukti melahirkan karya yang indah dan evergreen.

Diulas oleh: Ruzain Syukur b Mansor


Apa khabar 2012?

January 1, 2012

2011 selamat melabuhkan tirai. 2012 baru saja muncul.

Akademipenulisbebas mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada saudara saudari sidang pembaca yang dihormati. Terima kasih kerana sudi menjadi peneman di kala suka dan duka.

Bagi blog ini, catatan dan komen di site stat menjadi saksi samada ia memberikan sumbangan atau tidak. Dalam banyak-banyak entry, catatan mengenai panduan temuduga guru j-QAF mendapat komen dan lawatan tertinggi. Pernah pada 5 Disember 2011, catatan ini dilawati sebanyak 251 kali dalam satu hari. Moga-moga ia menjadi pencetus semangat teman-teman untuk menceburi dunia pendidikan.

Menarik juga apabila menerima komen daripada para ‘pengunjung’. Saya bersifat terbuka. Penulis harus menerima kritikan dengan positif. Ini antara komen terbaik yang pernah saya terima baru-baru ini:

“Saya pelik enta ni….mungkin macmni cara enta meluahkan isi hati (melalui tulisan)..maksud saya enta macam suka expose “sesuatu yang enta rasa hebat/mencabar ” pada diri enta dengan niat yang baik. bolehkan ada ramai pengikut melalui tulisan trvelog macam ni…??? atau enta kena submit or tulis satu perkara yang popular…baru enta ada pengikut… (iklas; ex uia ijat)”

Saya terkedu juga buat beberapa hari. Tetapi apabila mengenangkan sebaliknya, saya harus ucapkan terima kasih kepada pengunjung tersebut. Rasanya ianya suatu komen yang ikhlas.

Setiap pemilik blog memiliki objektif penulisannya tersendiri. Blog itu diasaskan atas sebab dan prinsip tersendiri. Ia mungkin disukai ramai atau sebaliknya. Saya memilih untuk mengekalkan catatan travelog penulisan kerana ianya diwujudkan memang untuk dijadikan wadah catatan kisah suka duka seorang penulis bebas. Mohon dijauhkan hati ini daripada sifat ujub dan takabbur. Tiada langsung soal expose diri atau sebaliknya. Blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan milik Prof Kamil mempunyai ramai pengikut walaupun hanya membentangkan kisah travelog biasa-biasa tetapi sangat menyentuh hati.

Penulis bebas seperti saya tiada ruang penerbitan yang luas kerana tidak memiliki rumah penerbitan sendiri. Lantas blog serba kekurangan ini menjadi tapak untuk menghimpun suka duka seorang penulis. Ruang ini suatu ruang bebas tetapi penuh kawalan. Al-hamdulillah setakat ini ianya bukan wadah untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak. Hakikat sebenarnya kehidupan kita ini harus ditulis. Ini skrip kehidupan yang adakalanya memberikan motivasi di kala hati berduka lara. Alangkah ruginya andainya catatan sisi hitam putih hidup kita ini tidak ditulis. Akhirnya ia hilang entah ke mana. Jadi kesimpulan bagi perenggan ini : lebih baik ada daripada tiada. Persoalan orang suka, alhamdulillah, ada yang tidak suka pun terima kasih diucapkan.

Ini juga bukan samada punya pengikut atau tidak. Setakat ini blog akademipenulisbebas tidak bersifat komersil. 1 klik 1 sen. Ia dipertahankan setakat ini bukan untuk mencari keuntungan. Jadi persoalan ada pengikut atau tidak bukanlah suatu isu yang besar. Dikata orang menulis atas sebab kepuasan. Samada dibaca atau tidak, bukanlah isu pokoknya. Berlainan dengan menulis buku. Buku yang kita tulis untuk diterbitkan penerbit harus ‘mampu’ dibeli pembaca. Penerbit akan sakit mata jika buku yang kita tulis tidak laku di pasaran. Menulis di blog dan buku punya perbezaan.

Lantas, apa khabar 2012? Dikata ramai orang, tahun ini antara tahun yang sangat kompetitif dengan hamburan pelbagai isu. Moga blog akademipenulisbebas ini bertambah matang selaras dengan kematangan penulisnya. Moga isunya lebih menyeluruh dan mampu menyumbang sesuatu kepada korpus ilmu. Namun gaya santai akan dikekalkan. Ini bukan suatu blog ilmiah. Jika ilmiah, medannya bukan di sini. Medannya di dalam jurnal.

Terima kasih semua. terima kasih diri. terima kasih Allah atas cuarahan idea daripadaMu.

Ruzain Syukur Mansor