Ketua Satu

October 29, 2013

Jarang saya bercakap soal kerja di dalam blog ini. Biasanya ia hanya berlegar persoalan dunia penulisan sahaja. namun apa salahnya sekali sekala berbicara soal kerja di sini.

Agak jarang saya berbicara tentang kepimpinan walaupun berada di bawah unit kepimpinan. Beberapa hari ini saya berpeluang untuk menziarahi beberapa buah sekolah di utara tanah air. Beberapa bulan terdahulu sempat pula mengunjungi dan bersembang panjang dengan beberapa orang ketua satu sekolah di negeri pantai timur.

Pemimpin nombor satu sebenarnya membentuk suasana organisasi. Ia tonggak yang menggerakkan pasukannya. Ia sangat jelas berdasarkan perbandingan. Bukan mahu membanding-bangkan kepimpinan yang pelbagai tetapi saya belajar untuk memimpin.

Dalam konteks sekolah, pengetua atau guru besar adalah tonggak kemenjadian pelajar. Ia suatu kepastian. Keupayaan membentuk budaya kecemerlangan akan menentukan hala tuju. Bercakap sahaaj tidak guna tetapi perlu menterjemahkan apa yang diungkapkan. Pemimpin yang berada di kerusi empuk nombor satu organisasi dengan misi yang jelas akan berjaya menterjemahkannya ke dalam bentuk kejayaan.

Manakala corak kepemimpinan pemimpin menjadi penentu sejauh mana pasukannya akan patuh dan tunduk hormat serta suka bekerja dengannya. Pemimpin autokrasi akan mudah menerima patuh tetapi belum tentu dihormati. Pemimpin turun padang akan lebih dihormati kerana sikap cakap serupa bikinnya. Pemimpin sebegitu  akan menerima respek dan mudah mempengaruhi khalayak.

Konflik bagi seorang pemimpin adalah untuk membina watak sebagai seorang ketua yang dihormati disamping menjiwai visi yang dimilikinya. Ia harus datang daripada hati setulus ikhlas.

 


HAMPIR HILANG

October 22, 2013

Saya hampir kehilangan. Hilang apa? Hilang ingatan terhadap kata laluan blog kesayangan saya ini. Tandanya pasti tuan puan sudah tahu. Itulah akibat sudah lama membiarkannya berhabuk.

Antara kekaguman saya terhadap seorang penulis adalah melihat bagaimana blognya sentiasa dikemaskini walaupun dalam keadaan sibuk. Sedikit tetapi konsisten.

Allah izinkan untuk saya bertanya kepadanya mengenai rahsia komitmennya terhadap blog. Rahsianya akan saya kongsikan nanti.

Memang benar, peristiwa dan pengalaman yang tidak ditulis akan hilang dimamah ufuk lupa. Justeru, pesan untuk diri ‘ tiada pilihan lain selain menulis’. Tulislah walaupun sedikit supaya ia berbekas nanti.

Ini komitmen saya, menulis walaupun sibuk. Menulis walaupun sedikit. Kerana apa? supaya ia kekal dalam lipatan sejarah.