LAPTOP DEMAM LAGI

January 16, 2011

LAPTOP DEMAM LAGI!

Ia demam di saat amat-amat diperlukan. Manuskrip Aduhai Remaja yang hampir sangat deadline. Notis dan persediaan mesyuarat agung PIBG sekolah yang sangat dekat tarikhnya.

Jadi, pesan untuk diri : beringat sebelum kena. Cepat-cepat bawa laptop ke klinik PC apabila sudah ada tanda-tanda mahu demam. Jangan sampai kronik.

Terima kasih kepada teman-teman yang membaca bingkisan manuskrip ADUHAI REMAJA, Cikgu Zarina dan Cikgu Mahyon yang sememangnya suka membaca. Terima kasih di atas teguran. Ada banyak perkara yang sudah menjadi tepu di mata penulis.

Kepada adik-adik ku, Norsabariah, Normazlina, NorAzidah serta Norsuzila , terima kasih kerana sudi membaca manuskrip dan memberi input dan cadangan. Moga kalian juga mampu succes menjadi penulis yang baik.

Ruzain Syukur Mansor


SERBA BARU

January 11, 2011

Entry pertama 2011 untuk akademipenulisbebas ini agak lambat bermula. Lambat bermula dengan memahami tugas webmasternya sebagai pendidik. Awal tahun yang amat mencabar bagi seorang guru kelas, Setiausaha PIBG dan Pengerusi Kelab Guru. Barisan portfolio yang mencabar tetapi banyak memberi pengalaman baru. Redah sahaja.

Apatah lagi dengan cabaran sebagai calon Sarjana di Universiti Malaya. Pagi mengajar, petang belajar. Meredah kesesakan jalan melalui Lebuhraya Persekutuan yang nyata sukar dijangka. Itu harga sebuah pengorbanan. Tiada siapa yang menyuruh. Saya pilih sendiri.

Melihat kesukaran teman-teman sekuliah yang ada jauhnya terbang daripada Sarawak setiap minggu sungguh menginsafkan diri. Ada nada malu kerana merintih walaupun hanya daripada Klang ke UM, berbanding sahabat tersebut yang kuat keazamannya terbang beribu batu dengan penerbangan MAS setiap minggu dari bumi Kenyalang.

Segala penat lelah hilang seketika disaat menadah curahan ilmu daripada ilmuwan yang sangat arif ilmunya. Prof Aziz Md Zain yang ilmu dakwahnya segar membuka minda. Bicara dan fikrah dakwah Dr Fakrul Adabi yang mudah dihadam. Kepetahan Prof Madya Dr Che Zarina yang mula mencurah ilmu kaedah kajian. Pengajian di peringkat pasca siswazah cabarannya cukup berat. Bergerak sendiri sampai tamat. Walaupun ramai yang kecundang di tengah jalan. Moga sejarah lalu menjadi pengajaran yang cukup membantu.

Maka, gaya penulisan santai perlu sedikit diubah. Jangan santai sangat. Bahasa perlu sedikit ilmiah, sesuai dengan kaedah penulisan ilmiah.

Cuma, ada berita gembira daripada saudari editor yang sedikit menceriakan. Moga manuskrip Aduhai Remaja akan menjadi buku tidak lama lagi.

Selebihnya, moga Allah permudahkan. Amin