APA BENAR MENULIS ITU TERAPI?

April 24, 2011

Apa benar menulis itu terapi? Membaca al-Qur’an itu jua sebenarnya ubat jiwa yang resah. Saya nyatakan kepada peserta Program Remaja Masjid ar-Rahimin siang tadi, bahawa zikir itu menenangkan. Malah, solat dan membaca al-Qur’an juga menenangkan.

Tetapi, seorang penulis sifatnya expressive (maaf jika tersalah menggunakan istilah tersebut). Hakikatnya begitu. Minda penulis yang tersimpan segala macam idea harus diluahkan samada pada blog atau kertasnya. Memendam sesuatu di dalam hati dan minda bagaikan menyimpan bom jangka yang bakal meletup pada bila-bila masa.

Kesibukan tugasan harian juga adakalanya begitu menghimpit. Itu harus saya akui. Jika tidak dikawal akan terus mengganggu minda. Apa yang ditulis akan pula nanti menggambarkan jiwa yang berceramuk. Tidak jelas.

Di dalam memulihkan semangat, sempat saya telusuri blog Pn Ainon sifu Universiti PTS yang rajin menulis tentang peluang dan ruang penulisan. Kesibukan tugasan kerjaya dan menghadapi peperiksaan akhir sarjana memerlukan fokus yang luar biasa. Kurang masa menulis. Kemudian, blog Prof Kamil UiTM yang sarat dengan mesej dakwah turut menjadi inspirasi. Sempat dijengah sepintas lalu. Kisah motivasi santainya memberikan sedikit semangat untuk saya. Buku pasca Travelog dakwah dan Hajinya sentiasa diulang beberapa kali. Sukar sekali mencari penulis dakwah santai sehebat beliau. Apatah lagi seorang Profesor Akaun yang mampu menterjemahkan kisah kehidupan harian dengan cukup bersahaja tetapi memberi kesan.

“Ada cubaan membunuh diri di sekolah saya ustaz, pelajar bukan Islam” luah seorang peserta kumpulan LDK saya ketika berprogram di Masjid ar-Rahimin Klang siang tadi.

“Ya, mungkin sebab di dalam hatinya tiada siapa lagi. Ingat, walau sesukar mana pun kita diuji, kita masih punya Alllah untuk mengadu” tambah saya.

Ya, mengapa mudah mengungkap tetapi sukar untuk dipraktikkan? Moga saya tidak tergolong daripada golongan yang hanya mampu berkata-kata tetapi tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dikata. Biar ungkapan ini menjadi semangat “sesukar manapun cubaan dan dugaan, Allah masih ada bersama kita”. Biar sehebat manapun dugaan itu, ingatlah ia sebagai hanya medan ujian buatmu. Agar terus tabah dan bijak mengurus hidup. Kata-kata ini harus menjadi ingatan “orang yang paling sibuk adalah orang yang paling cekap mengurus masa”.


DEMAM PESTA BUKU 2011

April 24, 2011

Pesta buku datang lagi. Pesta yang sifatnya sebagai hari Raya bagi penulis. Saya tidak terkecuali. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 paling manis setakat ini. Siapa sangka, karya sulung Tip Urus Kelab Remaja Masjid dilancarkan di pentas utama Pesta Buku PWTC. Bagaikan semalam ia berlalu. Impaknya sudah dirasai oleh beberapa buah masjid di sekitar lembah Klang.

Tahun 2011, buku kedua (Dakwah dan Teknologi Maklumat) siap dicetak sehari dua sebelum Pesta Buku PWTC. Walaubagaimanapun, jualannya terpaksa ditangguhkan dahulu di atas sebab teknikal. Sabar ya!.

Namun, sehingga hari ke 3, saya masih tidak mampu menjengah PWTC untuk merasai kehangatan Pesta Buku kali ini. Hati yang meronta tidak tertahan melihat buku teman-teman penulis diperaga dan dilancarkan. Tahun-tahun yang lalu PWTC saya kunjungi 2-3 kali sepanjang tempoh Pesta Buku berlangsung. Itu lumrah. Bertemu dengan penerbit mahupun penulis. Mencari peluang atau buat penguat semangat. Bayangan buku buku baru sudah terbayang-bayang untuk dimiliki. Apapun niat itu terpaksa ditangguhkan buat seketika demi suatu misi yang jauh lebih penting, Ada ujian akhir pengajian Sarjana di Universiti Malaya yang harus diselesaikan 25 dan 26 April ini.

Apapun, moga kemeriahan Pesta Buku kali ini akan memberikan erti yang bermakna kepada semua pihak.

Ruzain


CATATAN BUKU BARU: DAKWAH DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

April 24, 2011

Sehari setelah mendapat 10 buah buku hadiah daripada JAKIM, cover buku ini terus dimuat naik ke facebook untuk mendapat maklum balas teman-teman. Ada yang mengatakan ia tajuk yang segar dan sesuai untuk dibaca masyarakat awam. “Kulitnya kurang menyerlah” pula komen seorang teman.

Perjalanan daripada Shah Alam ke Putrajaya bertemu dengan editor buku kedua saya ini pada 22 April yang lalu dirasakan begitu jauh. Jauhnya bagaikan mengikuti laluan yang tidak pernah dilalui. Apatah lagi dengan perut yang mula berkeroncong. Maklumlah hanya sempat dialas dengan bubur sahaja sewaktu di sekolah.

Segalanya berubah apabila editor menghulurkan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat (edisi hadiah untuk penulis) kepada saya. Subhanallah. Hilang segala lapar dan mengantuk. Kulit buku ditatap penuh minat. Penulisannya amat mengambil masa yang panjang. Akhirnya terbit juga walaupun melalui proses suntingan yang sangat teliti.

Buku Dakwah dan Teknologi Maklumat ini sebagai suatu panduan untuk pendakwah dan masyarakat umum untuk berdakwah menggunakan ICT. Penggunaan media yang tepat dan kontemporari sifatnya mampu menarik minat sasaran. Itu apa yang saya pelajari bersama Prof Dr Ab Aziz Md Zin ketika kuliah Isu-Isu Fiqh dakwah di Universiti Malaya.

Apapun, moga-moga lahirnya buku ini memberikan idea baru kepada peminat dunia dakwah. 2010 1 buku, 2011 buku baru. Bukan untuk berbangga, tetapi dalam misi meninggalkan ummah dengan warisan ilmu untuk dibaca.

Terima kasih kepada bahagian Penerbitan JAKIM Putrajaya terutamanya Ustazah Nik Norliza sebagai editor yang berkredibiliti. Juga kepada teman dan saudara yang sudi memberikan buah fikiran terbaik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ayah dan Bonda, Isteri, abang dan kakak serta adinda ku sekelian yang banyak memberikan sumber inspirasi untuk diri ini terus berkarya. Moga bermanfaat untuk semua.

Ruzain Syukur Mansor
Penulis buku Tip Urus Kelab Remaja masjid
Penulis buku Dakwah dan Teknologi Maklumat


BUKU KEDUA SAYA: DAKWAH DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT AKHIRNYA TERBIT

April 17, 2011

Alhamdulillah. Ini penguat semangat setelah agak kurang menulis pada 2011

Buku kedua saya ini Dakwah dan Teknologi Maklumat diterbitkan oleh JAKIM. Ia sebenarnya bertitik tolak daripada kajian terhadap dakwah dan teknologi maklumat semenjak 2005. Ia melalui proses pemurnian yang teliti oleh editor JAKIM, Ustazah Nik Norliza. Perbincangan demi perbincangan dilakukan sejak beberapa bulan yang lau. Ada tokok tambah dan ada yang dikurangkan sesuai dengan hubungkait JAKIM sebagai institusi dakwah di Malaysia. Malah, buku ini juga memuatkan peranan dan usaha JAKIM menggunakan ICT sebagai media dakwah. Ucapan tahniah dan penghargaan kepada Bahagian Penerbitan JAKIM yang sudi menjadi wadah penerbitan bagi buku ini.

ICT sebagai medium metodologi dakwah merupakan suatu usaha inovasi. Kemajuan teknologi maklumat diaplikasi untuk mengajak manusia kearah kebaikan. Peranan teknodaie, dakwah melalui internet, malah menggunakan IRC untuk usrah di dalam talian turut dikupas di dalam buku ini.

Ini sebagai buah tangan sulung saya di dalam bidang penulisan. Tetapi diterbitkan sebagai buku ke dua. Bukan mudah untuk mencari penerbit yang berani menerbitkan suatu penulisan ilmiah. Namun, untuk tujuan dakwah, JAKIM mengambil inisiatif ini. Saya menjangkakan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat ini sekurang-kurangnya dibaca oleh ketua-ketua jabatan dan akhirnya mengaplikasikan konsep dakwah menggunakan ICT di jabatan masing-masing.

Bagi masyarakat umum, ia suatu bacaan yang tidaklah susah untuk dihadam. Bahasanya mudah dan turut disertakan aplikasi penggunaan media untuk berdakwah. Contohnya kaedah menggunakan powerpoint dan movie maker untuk tujuan dakwah.

Tunggukan kehadirannya

RUZAIN SYUKUR B MANSOR
Penulis Buku :
Tip Urus Kelab Remaja Masjid terbitan JIM Media (2010)
Dakwah dan teknologi Maklumat terbitan JAKIM (2011)


DAKWAH DAN PENULISAN BIAR SELARI

April 2, 2011

“Jangan sibuk buat assignment je kawan, masalah ummah pun kena ambil tahu juga”-Amin

Bulp!, satu ingatan daripada sahabat karib di Teluk Intan , Ustaz Aminuddin Khalit. teman sekuliah yang pernah susah dan senang sekali sewaktu di Kusza dan UIAM dahulu. Ingatan melalui sms nya memang patut diperhalusi setelah lama rasanya tidak ketemu.

Kesibukan kerjaya dan mengejar ilmu nampaknya sedikit mengkesampingkan ukhuwwah yang selama ini dibajai. Kerinduan kepada sahabat sang Dai’e yang akan sentiasa mengingatkan peranan kepada ummah.

Dalam kesibukan menyiapkan tugasan sarjana juga menyebabkan blog akademipenulis ini bersawang tidak diupdate. Ingatan oleh Profesor dan para pensyarah tentang keperluan konsisten di dalam penulisan pasti menjadi azimat yang kukuh terpasak di dalam minda. Bagaimana mahu konsisten menulis disertasi jika blog pun tidak ter update sekian lama?

Setidak-tidaknya penulisan dakwah menjadi teman yang rapat kepada seorang Da’ie. Walau tidak sempat bersemuka dengan madu’ tetapi alam maya melalui blognya terus menjadi wasilah perhubungan. Kesinambungan dakwah itu seharusnya tidak terputus dek kesibukan.

“Lembaga Zakat ada Pegawai Pena, bolehlah pegawai tersebut sepenuh masa menulis dan berdakwah”, getus saya kepada seorang teman.
Itu suatu kelebihan. Tetapi ada juga doktor dan jurutera yang aktif menulis walaupun bidang kerjayanya tidak ada sangkut paut dengan bidang penulisan. Inilah kuasa kehendak dan kekuatan diri. Segalanya terletak di dalam hati. Dakwah jangan terputus di atas sebab kerjaya atau seumpamanya. Sibuk bukan alasan.

Lantas, pengalaman perlu ditulis.
“Ustaz, saya mahu tempah buku Tip Urus Kelab Remaja masjid”
“Ustaz, boleh beri sedikit pengisian untuk aktivis remaja masjid di tempat kami?”

Itu penangan buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid. Saya mungkin tidak mengimpikan apakah ganjaran akhirat yang mampu dijana dengan penat lelah mengumpul bahan dan menulis buku manual pelaksanaan program remaja masjid. Tetapi terbukti bidang ini turut punya peminat dan aktivisnya. Al-hamdulillah, moga sumbangan kerdil melalui penulisan tersebut membantu ajk masjid mencetak kader dakwah di alaf baru ini.

Lantas? Megngapa memilih untuk tidak menulis. menulis dan menyumbanglah kepakaran anda buat masyarakat. Biar ia menjadi legasi tinggalan buat anak cucu. Biar ia menjadi salah satu daripada amal jariah dan ilmu yang bermanfaat sepertimana hadis Rasulullah saw:
“Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh”-hadis

RUZAIN SYUKUR MANSOR