AKU MENULIS LAGI

December 26, 2008

Assalamualaikum..

Sebagai guru, cuti sekolah ini bagaikan tiada beza dengan waktu kerja.Alhamdulilah Allah gerakkan hati untuk menulis lagi.Kali ini lantaran permintaan Cikgu Azmi, rakan aktivis remaja JIM yang memintaku untuk menulis buku coretan pengalaman tentang membimbing remaja di masjid.Ianya suatu buku yang membantu aktivis remaja untuk merancang aktiviti remaj dan akhirnya dapat menubuhkan kelab remaja masjid.

Selalunya kita hanya buat program remaja di masjid, tetapi dengan terbitnya buku in nanti, satu lagi pakej bantuan diberi kepada pihak pengurusan masjid iaitu “PANDUAN MENGURUS KELAB REMAJA MASJID’

Menulis memerlukan fokus rupanya.Teringat aku sewaktu mengajar di Limkokwing universiti, ada raka yang mengambil masa hampir 5 tahun untuk menyiapkan tesis masternya .Akhirnya Ustaz tersebut mengambil unpaid leave selama sebulan untuk menyiapakn tesisnya.Sekembalinya dari bercuti panjang, dengan senyumnya dia menyapaku, katanya “rupa-rupanya menulis perlukan fokus”.fahamlah aku mengapa fokus dan tanpa gangguan luar mampu menyebabkan kita leka dengan penulisan.

Kini buku tersebut dalam peringkat akhir penulisan.Cuma perlukan perkongsian daripada rakan-rakan aktivis remaja.daripada hanya menulis artikel di majalah dan akhbar dunia penulis bebas mahu dikembangkan seluasnya demi melihat dakwah ISlamiah berkembang tanpa batasan.

Ketajaman idea amat diperlukan bagi seorang penulis.Buku panduan Mengurus Kelab Remaja Masjid …dlam pembikinan tidak banyak merujuk buku dan kitab lain sebagai pandua.Ia banyak berdasarkan pengalaman ku sejak di UIAM membimbing remaja dan melaksanakan program dakwah.Harap-harapnya ia bakal menjadi panduan kepada guru-guru, pendakwah, ajk masjid dan juga para aktivis  remaja yang berminat dengan dakwah untuk golongan muda.

jadi, doakan kejayaan saya..impian bakal menjadi kenyataan, InsyaAllah.

Ruzain Syukur

akademipenulisbebas


1430.. RUANG MUHASABAH DIRI..ARTIKEL SAYA DISIARKAN DI MAJALAH MILLENNIA MUSLIM JANUARI 2009

December 26, 2008

TAJUK:2009..MUHASABAH DIRI
OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR
(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)
http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

2009…MUHASABAH DIRI

Tahun baru muncul lagi, kali ini 2009 diberi namanya.Hanya 11 tahun sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun 2020.Saya teringat ketika sewaktu saya berada di bangku sekolah rendah sekitar 1980 an, di mana guru Pendidikan Seni mengarahkan kami seisi kelas untuk melukis gambaran kehidupan rakyat Malaysia pada tahun 2000. Saya menggambarkan kehidupan serba moden dengan manusia hanya makan makanan lazat berbentuk kapsul.Perhubungan begitu canggih dengan manusia berkenderaankan pesawat terbang melata untuk ke tempat kerja.Robot pintar menjalankan tugasan pejabat dan banyak lagi imaginasi yang amat tidak terbatas.Namun, sehingga kini tahun 2009, imaginasi tersebut masih jauh untuk digapai.Masih penuh berliku jalan ke tahun 2020.

Namun ranjau sehebat itu walaupun tidak kesemuanya dapat dicapai, usaha ke arah itu kini sedang berjalan lancar.Apa yang penting di awal-awal tahun ini seharusnya kita memikirkan di manakah tahap pencapaian diri kita?Apa pula sumbangan peribadi untuk kemajuan negara?Apakah sasaran dan perancangan 2008 lalu dapat dipenuhi dengan jayanya?.Sesetengah kita memandang enteng tentang erti muhasabah diri.Saban tahun dilalui sama seperti tiada apa pun yang berlaku.Sedangkan kita melihat di sekeliling kita , kalau dahulu bujang kini sudah berkahwin.Dahulu hidup berdua kini punyai zuriat.Dulu rambut masih hitam pekat , kini uban mula menjalar memberi petanda umur yang sudah meningkat.Bagi yang tidak menyedari semua itu, mereka termasuk di dalam golongan yang tidak peka kepada perubahan.Sedangkan pakar psikologi sudah pun memulakan disiplin pengurusan perubahan sebagai suatu ilmu.Ini menunjukkan peri penting untuk kita bermuhasabah kepada setiap perubahan yang berlaku.

Seharusnya kita berteleku adakah sebahagian daripada sasaran kerjaya misalnya sudah dipenuhi?.Di dalam sistem perjawatan sektor kerajaan, apakah sasaran kerja tahunan sudah dapat dipenuhi seratus peratus?ataupun ianya hanya bermakna sebagai pelengkap kepada proses mendapatkan markah prestasi kerja tahunan?.Apa yang dicanang di dalam perancangan kerjaya merupakan janji yang harus ditunaikan.Lantas setiap janji itu amanah untuk diselesaikan.Setiap amanah nanti tentunya akan dipersoalkan nasibnya.Itulah perjalanan ketentuan andai dilihat sebagai seorang muslim.

Sebagai suami, adakah setahun yang lalu anda mampu untuk membawa perubahan positif terhadap isteri ?.Berapa ramai suami yang berjaya membuka pintu hati isteri untuk bertudung dan mementingkan aurat di dalam pergaulan?.Berapa ramai pula suami yang berjaya menanamkan rasa kecintaan isteri kepada majlis ilmu?.Segalanya amanah yang juga pasti dipersoalkan pelaksanaannya.Mungkin itu juga tujuan dijadikan tahun baru samada Masihi atau Hijrah, iaitu untuk umatNya menilai tentang amanah dan tanggungjawab diri.

Sebagai ibu dan bapa pula adakah tanggung jawab tersebut masih dipikul dengan rasa tanggungjawab?.Berjayakah anak tercinta melahirkan rasa kehambaan kepada Allah?, atau masih lalai dengan budaya hiburan terlampau.Berjayakah anda mendahului tugas guru di dalam membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak?, ataupun masih tegar meletakkan seratus peratus tanggungjawab kepada guru untuk membentuk mereka.Sejauh mana kualiti masa yang diberikan untuk menjenguk kamar hati anak-anak , melihat perkembangan minda dan emosi mereka.Sudah tertunaikah malah apakah cukup amalan ibadah yang menjadi amalan anak-anak?, atau mereka gembira kerana tiada yang mengambil tahu perihal bilangan solat fardhu yang ditunaikan sehari semalam.

Sebagai anak, lupakah anda tentang ayah dan ibu kini menambah bilangan umurnya?.Apakah cukup kita mendambakan diri memberikan kasih sayang untuk keduanya?.Tepuk dada tanyalah diri.Mereka bukan menginginkan harta semata malahan curahan kasih sayang yang nyata tiada nilaiannya jika ingin diberi nilai.Bagi yang ibu-bapanya sudah dijemput Allah, maka ingatlah sabda Rasulullah S.A.W. , bahawa doa anak soleh dirintih dan dipohon buat menemani mereka di sana.Apa cukupkah sudah iringan doa buat keduanya? Atau kita yang alpa untuk mengisahkannya?.Tiadalah berguna andai sehebat mana pun kita , segah sangat nama di puncak namun restu ayah dan ibu jauh dari sepatutnya.Lantas ingatlah tanggungjawab kita sebagai anak .

Buat saudaraku, bernafaslah setelah segenap diri dan jantungmu bergoncang hebat menjawab soalan yang dimajukan.Jawablah dengan ikhlas sebagai muhasabah diri.Pastinya debaran ketika menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir jauh lebih hebat dari memikirkan persoalan tanggungkawab sebagai seorang hamba yang pasti dijemputNya suatu hari nanti.Itulah kehidupan namanya yang harus dilalui dengan berani dan tabah sebelum bertemu denganNya untuk di hisab di hari perhitungan.


PROFIL DIRI

December 4, 2008

PROFIL PENULIS

syukur-photo

RUZAIN SYUKUR B MANSOR

204, Blok 12, Seksyen 8, 40000 Shah Alam Selangor

019-2103267

Ruzain Syukur B Mansor berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pengajian Ilmu Wahyu, pengkhususan Fiqh & Usul al-Fiqh dan minor Sains Politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak pada awal tahun 2003.

Sepanjang berada di kampus aktif dengan program kemasyarakatan dan dakwah remaja terutama bersama Unit Khidmat Masyarakat UIAM serta diantara penggerak program bersama remaja anak-anak qariah Masjid As-Syarif, Simpang 3 Gombak.

Selain itu , turut juga aktif sebagai ahli Unit Bimbingan Kerjaya , Jabatan Kaunseling dan Bimbingan kerjaya.banyak membantu jabatan  dalam mengendalikan ceramah kerjaya serta pengendalian minggu kerjaya peringkat universiti.

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pelatih di Syarikat DNJ Consultant Sdn Bhd , Shah Alam pada 2003, sebuah perunding latihan korporat menyediakan latihan dan seminar motivasi kepada pegawai kerajaan dan swasta.Bidang tugas meliputi penyediaan modul, keperluan latihan, pemasaran, pengendalian seminar serta penilaian selepas program.dalam masa yang sama turut diberi amanah untuk menjadi tenaga pengajar dan mentadbir di Sekolah Rendah Islam dan Pusat Tuisyen  Seri Utama, dan mengendalikan kelas pendidikan Islam silibus Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) Jabatan Agama Islam Selangor.

 Bermula 2004, memulakan kerjaya di Kolej Universiti Limkokwing Cyberjaya sebagai pensyarah Pendidikan Islam dan Moral.Turut diberi amanah mengendalikan kelas bahasa kebangsaan kepada pelajar dan pensyarah antarabangsa.Disamping itu, turut menjadi pensyarah sambilan di beberapa kolej iaitu Advance Learning Centre, Klang, centre For Advance Design (CENFAD), Kuala Lumpur dan Sepang Institut Technology (SIT) Klang.

 Bermula 2007, bertugas sebagai guru Pendidikan Islam Siswazah, KPLI j-QAF Institut Perguruan Teknik  (mengendalikan program j-QAF Kementerian Pelajaran Malaysia) di Sekolah Kebangsaan Sawah Sempadan Tanjung Karang, Selangor.

  Penglibatan di bidang sosial banyak terlibat sebagai fasilitator dan penceramah bagi beberapa perunding latihan program motivasi remaja bersama masjid sekitar Petaling Jaya dan Damansara bersama KRJPJ.Selain itu turut menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta berdaftar dengan Yayasan Salam Malaysia (SALAM) sebagai sukarelawan.Turut berkesempatan menghadiri program dan latihan seperti – Latihan Sukarelawan Kebangsaan  anjuran ABIM,Kursus Training of Trainer (TOT) anjuran Jamaah Islah Malaysia, Effective Lecturing Skills Workshop, International House, Malaysia dan lain-lain lagi.

PENULISAN

2008

 

Guru j-QAF Pikul Tanggungjawab besar               

Disiarkan di Majalah Pendidik November 2008

Golongan Belia dan Masjid

Disiarkan di Majalah Millenia Muslim Oktober 2008

Remaja dan Dakwah

Disiarkan di Majalah Millenia Muslim Oktober

Memperkasakan Program Tarbiah Remaja di Masjid

Disiarkan di Majalah Sinar Rohani Oktober 2008

Mengenali Golongan Teknodaie

Disiarkan di Majalah Cahaya Oktober 2008

Dakwah dan Teknologi Maklumat

Disiarkan di Majalah Cahaya Jakim Ogos 2008

Amalan membaca Menyubur Budaya Ilmu

Disiarkan di Majala Milenia Muslim Ogos 2008

Tarbiah Remaja di Masjid Perlu Lebih Efektif

Disiarkan di Berita Harian 6 Ogos 2008

Pengurusan Masa Bantu Capai Hidup Kualiti

Diterbitkan di Berita Harian 5 Julai 2008

Pembentukan Insan Cemerlang Melalui Program j-QAF

Diterbitkan di Majalah Al-Islam Julai 2008

Islam dan Teknologi maklumat

Diterbitkan di Majalah Cahaya JAKIM Mei – Jun 2008

j-QAF Lahirkan Insan Cemerlang

Diterbitkan di Majalah Sinar Rohani JAKIM Mei-Jun 2008

Cerpen Terima kasih Cikgu

Diterbitkan di Majalah Cahaya JAKIM Mei-Jun 2008

Insan Cemerlang Pekerja Gemilang

Diterbitkan di Utusan Malaysia 28 April 2008

j-QAF Program Menyeluruh Bentuk Peribadi

Diterbitkan di Berita Harian 2 April 2008

Kepimpinan Rasulullah Contoh Untuk Remaja

Di Diterbitkan Utusan Melayu 31 Mac 2008

Artikel Ketokohan Rasulullah SAW Renungan Buat Remaja

Diterbitkan di Buletin An-Nur –Buletin masjid Negeri Selangor Jan-Apr 2008

Artikel’Rasulullah ikutan terbaik pemimpin muda laksana tanggung jawab’, Diterbitkan di Berita Harian 24.3.2008

Menyertai Pertandingan menulis Cerpen Hari Guru Kementerian Pelajaran Malaysia.Tajuk ‘Terima Kasih Cikgu’ .

 Ditawarkan oleh Tn Hj Omar Parkan (Ketua Pusat Sumber Institut PerguruanTeknik) untuk menulis di Jurnal BPG.Jurnal tersebut sudah disiapkan  adalah berdasarkan kajian pelaksanaan Model-Model jQAF

Menyumbang sejumlah artikel untuk Pusat Pembangunan Sosial Masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Selangor) 

 

 

2007

 Terlibat di dalam dunia penulisan artikel untuk akhbar Utusan Melayu .Di antaranya ialah:

 

·      Terap program masjid melalui IT (Utusan Melayu 8 Januari 2007)

·      Kepentingan Dakwah Melalui Internet (Utusan Melayu 13th  November  2006)

·      Konsep asas latihan dalam Islam ( Utusan Melayu, 31 Julai 2006.)

 

 

 

AKTIVITI DAN SUMBANGAN KEMASYARAKATAN

2008

  1. Penceramah untuk Program Pemantapan Pemimpin Kokurikulum SMK Puteri Wilayah-1.3.2008
  2. Penceramah untuk Kem Anak Soleh anjuran Waziera Centre Batu Caves, Januari 2008
  3. Mengadakan kelas bimbingan Al-Qur’an dan Fardhu ain untuk anak-anak sekitar Blok 12 Seksyen 8, Shah Alam.
  4. Penceramah dan fasilitator untuk aktiviti dakwah dan motivasi remaja
  5. Sukarelawan berdaftar dengan Yayasan Salam Malaysia
  6. Sudah mendapat kelulusan dan tauliah mengajar Al-Qur’an daripada Jabatan Agama Islam Selangor .Kelulusan bertarikh :4 Mac 2008

 

LATIHAN DAN KURSUS SEPANJANG 2007 DAN 2008

 2008

 

  1. Program Pengukuhan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor
  2. Forum Perdana Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia

 

2007

  1. Seminar Pemerkasaan Guru-Guru Pendidikan Islam

(Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor)-Nov 2007

  1. Seminar Pengajaran Nyanyian Menggunakan Kaedah Solfa dan Isyarat Tangan

(Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor)-Nov 2007

  1. Seminar Pemantapan Jawi Bersama Pak Matlob

(Institut Perguruan Teknik Cheras)-Oktober 2007

 

 


PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM DI SEKOLAH

December 4, 2008

                                         Peranan Guru Pendidikan Islam di sekolah

Oleh:

Ruzain Syukur B Mansor

B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

KPLI j-QAF IPTeknik

Guru j-QAF SK Sawah Sempadan Tanjung Karang

akademipenulisbebas.wordpress.com

wacanasyukur.wordpress.com

 

Apabila menyebut sahaja soal dakwah maka ia merupakan bicara tanggungjawab terhadap ummat Muhammad ke arah mengembangkan Islam.Sebagai seorang guru, nyata ia bukan merupakan perkara enteng yang dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi seorang guru Pendidikan Islam.

 

Umum mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu terus kepada anak muridnya .Menghapuskan kejahilan, memperkukuhkan amalan , menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah?.Begitulah bertuahnya guru Pendidikan Islam yang sudah tersedia jalan menuju redha Allah di samping menjalankan tugas sebagai pendidik.Sudah tersedia jalan dan ruang berdakwah yang nyata berjalan seiring dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa.Selain itu mereka merupakan pakar rujuk terutama di dalam selok belok agama bagi warga guru dan kakitangan sekolah.Inilah peluang-peluang yang dilihat seharusnya dimanfaatkan oleh Guru Pendidikan Islam di dalam meneruskan kesinambungan misi dakwah junjungan Besar nabi Muhammad S.A.W.

 

Allah telah menceritakan kepada kita bahawa Ummat Muhammad SAW adalah ummat yang terbaik yang diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan didalam Surah Al-Imran ayat 110:

 

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Al-Imran ayat 110)

 

 

Dimanakah Ruangnya?

Ada yang bertanya di manakah ruangnya guru Pendidikan Islam ini berdakwah ketika berada di sekolah?.Mereka adalah pakar rujuk yang diakui kredibiliti dari sudut ilmu dan kepakaran di dalam bidang agama.Maka di sinilah mereka harus menggunakan kemampuan ilmu yang ada untuk menjernihkan kekeliruan apabila diajukan tentang persoalan berkait dengan aqidah, syariah, hukum-hakam serta akhlaq.Itulah ruangnya untuk mengemukakan panduan dan jawapan berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan Sunnah.Tidak salah untuk kita mengatakan guru pendidikan Islam ini sebagai pakar rujuk kepada guru-guru, kakitangan pentadbiran serta murid-murid.memang begitulah hakikat berdasarkan pengalaman penulis yang sentiasa diajukan permasalahan agama daripada rakan-rakan guru yang inginkan kepastian.Cabaran kepada pendakwah di sekolah ini ialah usaha untuk memastikan ilmu sentiasa cukup di dada bagi memberikan jawapan kepada permasalahan tersebut.

 

Selain itu, gerak laku Guru Pendidikan Islam sentiasa menjadi perhatian warga sekolah ataupun murid-murid.Maka disinilah peranan mereka untuk cuba menonjolkan akhlaq Rasulullah S.A.W. baik dari sudut percakapan, berpakaian, pergaulan malah gaya berjalan pun sentiasa menjadi buah mulut orang.Inilah yang dikatakan sebagai dakwah dengan contoh tauladan.Umum memang mengetahui andai Ustaz dan Ustazah ini berperilaku dengan akhlaq yang sopan, baik tingkah laku, mudah didekati , tidak mustahillah mereka akan sentiasa menjadi guru yang cukup dihormati rakan dan lawan.Kehadiran mereka ke kelas pasti dinanti oleh murid, malah terleka lima minit datang kelas pun akan diingatkan oleh murid-murid .Bukankan menjadi pendakwah ini juga memerlukan kita menarik minat dan mempengaruhi orang lain?.Seandainya anda mempunyai perwatakan seindah Rasulullah S.A.W. pasti anak murid menjadikan anda contoh dan tauladan untuk diikuti.Bahkan gaya rambut, berpakaian serta cara bercakap pun akan ditiru oleh mereka.

 

Guru Pendidikan Islam boleh mencegah kemungkaran?.Anda tidak perlu menunggu untuk dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa baru mencegah kemungkaran.Sebagai Guru Pendidikan Islam  , anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk membetulkan segala kesilapan.Menegur untuk memperbetulkan keadaan tidak salah, asalkan kena dengan caranya.Itulah sebabnya Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:

 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

 

Kalaulah Guru Pendidikan Islam hanya mengajar hukum-hakam agama tetapi tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekolah adakah mereka ini sudah menjalankan tugas dan amanah yang diberi?.Memberi nasihat , menegur salah laku murid, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik rakan sekerja, meleraikan pergaduhan di antara murid, itu semua tugas seorang pendakwah di sekolah.Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh hikmah agar tiada seorangpun yang terguris dan hati dan perasaannya .Hikmah dengan di dalam menegur, menasihati, bijaksana di dalam berhujah akan menjadikan guru Pendidikan Islam ini sebagai insan yang dihormati oleh semua warga sekolah.

 

Bagaimana caranya

Jika anda merupakan guru Pendidikan Islam yang sudah agak senior dan dihormati, anda merupakan orang yang tepat untuk melaksanakan sesi tazkirah dan ceramah kepada warga pendidik dan murid-murid.Gunakanlah peluang yang diberikan sebagai pendakwah ini di dalam perhimpunan, majis-majlis rasmi atau di mana-mana dan ketika yang dirasakan perlu.

 

Bagi guru Pendidikan Islam yang masih muda terutamanya guru-guru j-QAF yang masih baru di sekolah dan sedang membina hubungan yang baik dengan warga sekolah, anda mempunyai beberapa piihan untuk berdakwah.

Pilihan pertama bagi yang mempunyai kekuatan , peluang dan daya penarik yang baik, anda boleh terus berdakwah melalui sesi tazkirah , ceramah, sesi perbualan dan lain-lain lagi secara langsung.

 

Namun , bagi yang belum mempunyai kekuatan dan ruang, anda boleh menjadikan ruang penulisan sebagai platform untuk berdakwah.Penulis menggunakan kaedah ini dengan menulis artikel dakwah di suratkhabar, buletin panitia, serta di mana-mana ruang penulisan yang ada.Topik penulisan berkisar tentang peranan dan tugas guru, kepimpinan, amanah dan lain-lain lagi.Ini merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung tetapi berkesan menembusi dan menyentuh hati .Ia juga sedikit demi sedikit membina kredibiliti dan keyakinan kepada pendakwah muda untuk memulakan rentak dakwah.Di sekolah , wujudkan buletin Panitia Agama dan j-QAF untuk menerapkan artikel dan nasihat ringkas serta hadis dengan kata-kata hukama’ buat renungan warga sekolah.Jangan lupa untuk memuatkan ruangan uji minda dan sediakan hadiah kepada pemenang.Ia merupakan strategi supaya pembaca (madu’) akan setia dan tertunggu-tunggu siri-siri buletin dakwah yang akan datang .

 

Berdasarkan pengalaman penulis, anak-anak di sekolah sukakan aktiviti kesenian.Lihat sahaja andai diadakan pertandingan nasyid ketika perayaan Awal Muharam contohnya, pasti mereka sanggup berlatih dan bernasyid dengan bersungguh-sungguh.Di sinilah peluang Guru Pendidikan Islam untuk berdakwah.Rangkalah pendekatan dakwah yang menerapkan unsur kesenian dan aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak dan remaja.Tidak salah untuk menukar dan meniru format rancangan kesukaan remaja seperti Explorace, Cari Menantu, Akademi Al-Qur’an kepada yang relevan dalam konteks kita di sekolah.Akademi Nasyid boleh ditubuhkan di sekolah di dalam usaha pencarian bakat pelajar di dalam bidang nasyid.Rancangan  Akademi Al-Qur’an juga boleh diadakan di sekolah di dalam memncari bakat Qari dan Qariah muda serta peluang untuk menerapkan ilmu tarannum buat persedian menghadapi Majlis Tilawah Al-Qur’an (MTQ).Penjenamaan semula aktiviti Islam dengan menamakan program tersebut seperti ‘Karnival Jom Cintai Rasul’, ‘Kempen Smart Salam’, ‘Mencari Cinta Rasul’, ‘Kem Bestari Solat’, ‘Perkampungan Bestari’, ‘Perkampungan Ilmu’, ‘Perkampungan Dakwah’, ‘Bersamamu Guru’, Minggu Semarak Pendidikan Islam’, dirasakan perlu di dalam memberikan nafas baru untuk  menarik minat murid-murid menyertai aktiviti yang diadakan.

 

Kesimpulannya, ruang dakwah untuk Guru Pendidikan Islam amat terbuka luas , tepuk dada tanyalah iman .Samada anda adalah guru pendidikan Islam yang hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran tahunan, atau guru yang bertindak sebagai pendakwah di sekolah mengajak kepada kebaikan, menghapus kejahlan dan menentang kemungkaran.Sesungguhnya tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam menuntut seribu satu pengorbanan dan tauladan bagi insan yang mengimpikan suatu kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

 


GOLONGAN MUDA DAN MASJID.Pernah disiarkan di Majalah Millenia Muslim MMP Communication

December 4, 2008

SIRI TARBIAH DAN REMAJA

GENERASI MUDA DAN  MASJID

OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR

(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)

http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

Proses tarbiah golongan belia dan remaja di zaman yang penuh mencabar ini sepatutnya bermula di masjid .Sepatutnya proses tarbiah rohani golongan pelapis kepimpinan negara ini dilaksanakan dengan penuh bersistem dengan berlandaskan methodologi dakwah yang bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk mengimarahkan masjid.Namun adakah masjid-masjid dan surau-surau komuniti kita dikunjungi oleh golongan belia dan remaja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan golongan ini sedikit meminggirkan diri dari menjadikan surau dan masjid sebagai pusat kegiatan ibadah dan sosial.?

 

Trend ini sebenarnya tidak hanya boleh dilihat di kawasan bandar, tetapi fenomena ini semakin hari mula meresapi corak pemikiran golongan belia di kawasan luar dan pinggir bandar.Penulis sempat mengadakan temubual dengan masyarakat dan ahli qariah setempat di sekitar kawasan Tanjung Karang dan kawasan sekitarnya di dalam melihat isu ini termasuk persoalan mengapakah sesetengah golongan belia semakin menjauhkan diri untuk ke masjid dan surau.Kawasan kecil ini merupakan kawasan yang terletak di dalam daerah Kuala Selangor dengan dihuni masyarakat melayu dan popular dengan aktiviti pertanian tanaman padi.

 

Berdasarkan temubual penulis bersama En Adanan B Daud, seorang ahli qariah sebuah surau di kawasan Sungai Burong, kawasan perkampungan di antara Tanjung Karang dan Sekincan baru-baru ini memberikan sedikit idea kepada permasalahan ini.Beliau yang juga merupakan guru bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah di Tanjung Karang mengatakan trend penolakan sebahagian daripada golongan belia dan remaja terhadap masjid mungkin disebabkan tiga faktor utama.Pertama disebabkan faktor ibu bapa yang kurang memberikan galakan untuk anak-anak mereka bagi mengimarahkan surau dan masjid.Kedua disebabkan kelekaan golongan muda tersebut diasak dengan budaya hiburan di bantu dengan keseronokan teknologi maklumat seperti internet dan telekomunikasi.Faktor ketiga mungkin disebabkan kekurangan berkenaan dengan  ilmu fardhu ain dan solat dan akhirnya menyebabkan kelompok ini berasa segan untuk ke masjid.Faktor keempat beliau menyentuh tentang kemungkinan gaya pentadbiran masjid yang tidak menitik beratkan isu bagaimana untuk menarik minat golongan muda untuk ke masjid.

 

Faktor utama diulas dengan keadaan dunia yang begitu menitik beratkan kepada keperluan material menyebabkan sesetengah ibu-bapa lupa untuk memberikan penekanan kepada usaha menggalakkan anak-anak bagi mengimarahkan masjid.Ini termasuk faktor  ibu-bapa yang kurang menunjukkan contoh terlebih dahulu dalam menjadi ahli qariah masjid dan surau yang aktif mengimarahkannya.Anak-anak muda ini sebenarnya akan lebih bersemangat untuk ke surau andainya ayahnya terlebih dahulu seorang ahli yang aktif ke masjid dan surau.

 

Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya mengapa anak-anak muda di sesetengah kawasan kurang mengimarahkan surau dan masjid kerana kelekaan mereka sendiri dikaburi dengan budaya bersosial dan berhibur.Sesetengahnya asyik bersembang dengan rakan-rakan dan kurang mengendahkan panggilan azan untuk ke surau.Ini termasuk unsur teknologi maklumat seperti kewujudan pusat siber kafe berinternet di pinggir desa dan pekan berdekatan yang semakin menarik minat golongan muda bermain permainan on-line  sehingga leka dari menjalankan tugas mereka sebagai ahli surau dan masjid yang aktif.Apa yang membimbangkan ialah budaya ini semakin mengasak golongan muda di kawasan luar bandar yang kebetulan hampir dengan bandar dan pinggirannya.

 

Penulis sempat menemubual segolongan remaja di kawasan setempat dan bertanyakan mengapakah golongan muda sebahagiannya kurang mengunjungi masjid?jawapannya mudah mereka lebih teruja dengan hingar bingar di pusat siber berinternet yang kebetulan berhampiran dengan masjid tersebut.Ini memungkinkan penulis terfikir mungkin diperlukan akta yang memastikan tiada pusat siber berinternet boleh dibenarkan beroperasi di dalam jarak satu kilometer dari masjid dan surau bagi mengelakkan golongan muda lebih berkunjung ke  pusat hiburan tersebut dari mengunjungi rumah Allah.

 

Faktor ketiga yang disentuh ialah faktor kekurangan dan kecetekan ilmu di kalangan golongan remaja dan belia .Ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan solat berjemaah umpamanya memerlukan latihan amali yang nyata boleh dipertingkatkan penguasaannya dengan bersolat berjemaah di masjid dan surau.Seandainya kelompok ini meminggirkan diri daripada masjid dan surau, ilmu-ilmu yang tidak diamalkan tersebut akhirnya semakin hilang daripada ingatan dan timbullah perasaan malu untuk solat berjemaah .Perkara ini diakui oleh Ustaz Mohd Nor, seorang pendakwah dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor yang ditemui baru-baru ini.Beliau berkongsi kerisauan dengan penulis apabila melihat  ramai di kalangan bakal pengantin lelaki menunjukkan ketidaksediaan mereka dari sudut ilmu-ilmu fardhu ain ketika menghadiri kursus pra perkahwinan anjurannya.Ini diakui melalui sesi soal jawab fardhu ain tidak rasmi ketika kursus dijalankan.

 

Selain itu, golongan belia dan remaja juga dilihat semakin menjauhi masjid dan surau kerana pihak jawatankuasanya yang belum bersedia melakukan anjakan paradigma .Ini termasuk kurangnya usaha menarik minat golongan belia ke masjid.Pihak Jawatankuasa Belia masjid dan surau harus lebih terbuka melalui kepelbagaian aktiviti dakwah kontemporari.Rungutan diutarakan kepada penulis oleh Ustaz Abdul Rashid b Samad, seorang guru agama muda di daerah Ijok yang mengatakan adakalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ianya tidak bersalahan dengan methodologi dakwah.Usaha Masjid Ar-Rahmah di Seksyen 8, Shah Alam baru-baru ini contohnya  harus dipuji.Jawatankuasa belianya menganjurkan aktiviti luar bersama belia setempat melibatkan aktiviti ’paint ball’ dan permainan ekstrem di Pusat Ekstrem Seksyen 13, Shah Alam.Aktiviti sebegini merupakan satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan merupakan ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani disamping beriadhah.

 

PENYELESAIAN

 

Allah berfirman tentang kepentingan menyuruh kepada kebajikan sepertimana ayat di bawah:

 

”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

 

Surah An nahl:ayat 90

 

Ayat di atas menunjukkan perintah Allah untuk menyuruh manusia kepada kebajikan dan larangan Allah kepada perkara kejahatan.Maka kita boleh mengambil pengajaran bahawa ibu-bapa juga harus mengambil tanggung jawab untuk memberi galakan kepada anak-anak belia mereka untuk mengimarahkan surau dan masjid di dalam erti kata lain menggalakkan amalan solat berjamaah di rumah Allah .Mereka harus terlebih dahulu menjadi contoh dan tauladan dengan menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan.

 

Namun demikian usaha dakwah ini bukan hanya terletak di tangan ibu-bapa sahaja.Malah ianya patut dikongsi dengan ahli masyarakat yang lain.Para mahasiswa Pengajian Islam di Universiti awam misalnya sepatutnya diberi peluang untuk menjalani latihan praktikal dakwah dengan melibatkan mereka di dalam pengurusan masjid dan dakwah belia.Ini kerana inilah medan dakwah sebenar yang akan mereka lalui selepas menamatkan pelajaran di menara gading nanti.Penulis teringat kepada pengalaman rakan-rakan yang pernah menjalani latihan dakwah di Penjara Sungai Buloh kepada banduan dan tahanan sewaktu mereka menuntut di Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) suatu ketika dahulu.Pendedahan seperti ini akan menyediakan mereka apabila berdepan dengan usaha dakwah di dalam masyarakat yang pelbagai.

 

Selain itu, guru pelatih di Institut Perguruan terutamanya bakal guru Pendidikan Islam juga patut di beri beberapa jam kredit latihan praktikum bersama jawatankuasa masjid dan surau di dalam usaha menyediakan mereka berhadapan dengan usaha dakwah .Biarlah kelompok ini berhadapan dengan golongan belia memandangkan peringkat umur pun tidak jauh beza .Diharapkan budaya belia yang terlalu suka berhibur dapat diseimbangkan dengan perbincangan ilmiah dan perkongsian menarik dibimbing oleh  para pendakwah muda profesional ini lantas kembali memeriah dan memakmurkan masjid seperti di zaman Rasulullah SAW .

 

Sementara itu, kekurangan ilmu fardhu ain di kalangan belia dan remaja harus diberi perhatian khusus. Allah berfirman :

 

”Tetapi orang-orang yang mendalam ilmunya di antara mereka dan orang-orang mukmin, mereka beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al Quran), dan apa yang telah diturunkan sebelummu dan orang-orang yang mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan yang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Orang-orang itulah yang akan Kami berikan kepada mereka pahala yang besar.”

Surah An-Nisa’ :ayat 162

Ayat tersebut menjelaskan kepada kepada kita tentang keadaan orang yang berilmu dan beriman yang kelak akan dikurniakan ganjaran yang besar.Maka bagi memenuhi keperluan ilmu di kalangan belia, sepatutnya pihak pengurusan masjid mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas bimbingan khusus bagi golongan ini dengan bimbingan guru-guru agama yang memahami keperluan kelompok ini.

 

Dari bentuk pengisian ilmu yang sesuai dengan belia dan remaja, dicadangkan dilaksanakan pengisian mingguan secara ringkas tetapi berterusan di masjid.Cukup hanya pengisian ringkas selama sejam bagi satu sesi dengan pengisian merangkumi ibadah, motivasi, akademik, pembangunan diri melalui slot Latihan Dalam Kumpulan, tayangan multimedia mahupun ceramah interaktif.

 

Bagi tujuan perhubungan , menarik juga diwujudkan portal interaktif serta blog yang akan menarik minat remaja dan belia untuk terus berhubung melalui internet.Ini bagi mengekalkan ukhuwah yang terbina walaupun dipisahkan oleh jarak serta ruang untuk mereka menyampaikan cadangan .

 

Paling penting bagi mewujudkan pengurusan masjid mesra belia , maka sudah pastilah pihak pengurusan masjid dan surau harus melakukan anjakan paradigma dan minda serta membuka ruang perbincangan untuk menjadikan masjid sebagai sebahagian daripada pusat latihan dan tarbiah remaja serta belia.Mereka harus memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda di masjid.Maka sudah pasti keterbukaan ini memerlukan lebih ramai lagi ahli jawatankuasa masjid di lantik dari kalangan pemuda dan remaja bagi memudahkan penyaluran idea dan maklumat.

 

Ini selaras dengan firman Allah berbunyi:

 

”Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(At-Taubah:18)

 

Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan pemerkasaan  jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan modal insan kelompok bakal pemimpin negara ini.

 

Baru-baru ini sekolah tempat penulis bertugas menerima kunjungan dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor diketuai oleh Ketua Jabatan Dakwahnya Ustaz Ashraf B Suarin yang melaksanakan program motivasi dan muhasabah diri kepada para pelajar.Pendekatan ceramah multimedia dan interaktif di susun dengan kesan bunyi yang hebat  pembawaan imam muda Masjid Daerah Sultan Ibrahim Kuala Selangor  ini menimbulkan kesan dan kesedaran yang tinggi di kalangan peserta program.Pendekatan sebeginilah sebenarnya dituntut di dalam usaha dakwah belia dan remaja kontemporari di mana segala teknologi yang bersesuaian dengan diri remaja dan belia diguna pakai untuk usaha dakwah.

 

Jelasnya hubungkait di antara usaha dakwah yang berkesan dan menyeluruh dengan tanggungjawab ahli masyarakat secara total merupakan kunci untuk menarik minat golongan muda memakmurkan masjid.Apa yang dibincangkan melalui penulisan ringkas merupakan lontaran idea yang perlu disambut oleh pihak pemerintah serta pendakwah bersama dengan segenap ahli masyarakat bagi mengelakkan ianya menjadi omongan kosong semata-mata.Segala usaha sepatutnya tidak hanya bersifat retorik tetapi memerlukan strategi dan pelaksanaan yang efektif.

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan terlibat sebagai aktivis  dakwah remaja dan belia , kini bertugas sebagai Guru Siswazah Pendidikan Islam di Tanjung Karang Selangor

Sebarang perkongsian dan maklumbalas  boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog peribadi di     https://akademipenulisbebas.wordpress.com

 


MEMBUDAYAKAN BUDAYA MENUNTUT ILMU SEPANJANG HAYAT

December 4, 2008

SIRI MOTIVASI

MEMBUDAYAKAN BUDAYA MENUNTUT ILMU SEPANJANG HAYAT

OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR

(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)

http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

” Saya rasa nak sambung pelajaran ke peringkat Ijazah cikgu”, kata Cikgu Ramlah ketika berbual dengan guru besarnya.”Bagus, saya sokong, selagi mampu dan mempunyai semangat , teruskan” balas guru besarnya.Dialog sedemikian biasa kita dengar pada zaman yang begitu banyak peluang untuk kita mengembangkan kerjaya dan potensi diri.Ia juga bertepatan dengan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat.

 

Budaya menuntut ilmu walaupun sudah berkerjaya ini merupakan perkara yang tidaklah begitu asing .Keperluan hidup terutamanya bagi remaja dan belia yang mempunyai tanggungjawab besar membantu keluarga menyebabkan mereka terpaksa melupakan sementara impian untuk berada di menara gading.Lebih-lebih lagi bagi anak sulung di mana keadaan sosio ekonomi memaksa mereka untuk hanya mendapatkan kelayakan asas seperti Sijil Pelajaran Malaysia sahaja demi melihat kelangsungan hidup adik beradik yang lain.

 

PELUANG

Bagi yang mempunyai semangat juang yang tinggi, pastilah timbul keinginan ini, apatah lagi melihat adik-adik serta rakan-rakan sudah berjaya menggenggam segulung ijazah.bagi yang sudah berkerja, anda masih mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda melalui program luar kampus dan program jarak jauh yang ditawarkan oleh banyak universiti awam dan swasta.Pengalaman penulis yang pernah menjadi pensyarah di institut pengajian swasta di ibu kota banyak menyaksikan kesungguhan mahasiswa yang sudah berkerja namun gigih meningkatkan taraf pendidikan demi peningkatan kerjaya mahupun kepuasan diri.Universiti Terbuka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di antara universiti yang banyak menyediakan program luar kampus bagi mereka yang sudah berkerja .Layarilah laman web universiti pilihan anda serta hubungilah penasihat akademik dan berbincanglah tentang peluang yang ada.

 

Bagi yang berminat dengan dunia kemahiran, banyak institut latihan berteraskan kemahiran seperti Institut Kemahiran belia negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian mahupun Pusat Giat Mara yang banyak menyediakan kursus kemahiran jangka pendek terutamanya bagi golongan remaja dan belia yang ingin mengembangkan bakat dan peluang kerjaya.

 

Dunia perguruan juga menyaksikan ramai pendidik yang sanggup berkorban ketika cuti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pendidikan di Universiti.Pengorbanan mereka di sekolah  di siang hari, sanggup pula bersengkang mata di waktu malam menelaah pelajaran , melayani pula karenah anak menjadikan mereka insan yang tabah.Pun begitu, untuk mengalah tidak sama sekali sehinggalah titisan air mata membasahi pipi ketika menerima skrol ijazah di hari Konvokesyen nanti.Begitulah perjuangan dalam masa yang sama membuktikan bahawa budaya menuntut ilmu sepanjang hayat begitu hidup subur di negara kita ini.

 

Begitulah juga peluang Latihan perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) samada bagi Kursus pengijazahan Guru dalam Cuti (KDC) atau pun kursus Kursus perguruan j-QAF yang juga banyak memberikan peluang kepada guru berijazah untuk mendapatkan Diploma Pendidikan.Guru-guru tersebut akan berkursus di Institut Perguruan Guru di waktu cuti .Terlalu banyak cabaran yang dilalui oleh guru pelatih namun ketabahan terbalas apabila segalanya dapat dilalui dengan semangat juang yang tinggi demi kemajuan anak bangsa.

 

CABARAN DAN CARA MENGATASI

Pastilah cabaran bagi mahasiswa separuh masa yang sedang bekerja begitu hebat sekali.Mana tidak nya dengan tugasan dan tanggungjawab di tempat kerja , bebanan tugasan oleh pensyarah, nota-nota kuliah yang perlu di baca,Ini tidak termasuk tugasan sebagai seorang suami, isteri , ibu dan ayah bagi yang sudah berumah tangga.namun ianya tidak sepatutnya menjadi alasan memandangkan ada di kalangan graduan yang berjaya menamatkan pengajian ketika mereka sudah bergelar datuk dan nenek. Semuanya memerlukan pengorbanan dan pengurusan masa yang sangat teratur.

 

Maka bagi memastikan kelangsungan kerjaya dan impian anda sebagai mahasiswa separuh masa, faktor pengurusan masa harus diletakkan di tempat teratas,

 

Setiap tugasan yang diberikan jangan sekali-kali dilengahkan.Pastikan tugasan pertama disiapkan sebelum tugasan kedua diberikan.Ini bagi mengelakkan anda tertekan apabila melihat lambakan kerja dan tugasan yang perlu disiapkan dalam satu-satu tempoh masa yang sama.Bagi tugasan berkumpulan pastikan pembahagian kerja di buat dengan teratur dan diketuai oleh seorang ketua kumpulan yang sangat effektif.

 

Selain itu , komunikasi yang amat baik dengan pihak majikan bagi mahasiswa yang sudah bekerja amat perlu.Setiap perkembangan dan keperluan akademik anda seharusnya juga berada di dalam pengetahuan majikan.Ini termasuklah urusan cuti ketika menghadiri peperiksaan serta pelepasan menghadiri kuliah.Pastikan bahawa usaha anda menuntut ilmu tidak menjejaskan organisasi tempat anda mencari rezeki.

Bagi menjamin kelangsungan kemantapan akademik anda, pastikan nota-nota kecil sentiasa berada di dalam poket anda atau ditampal di meja peribadi supaya mengelakkan anda menggelabah bagi menghadapi peperiksaan.Pengalaman penulis yang merupakan guru j-QAF ketika berkursus untuk mendapatkan diploma pendidikan banyak mengajar erti persediaan awal .Persediaan awal samada bagi menghadapi peperiksaan ataupun pembentangan banyak membantu anda menghadapi saat-saat getir tersebut.

 

Begitulah sedikit sebanyak curahan motivasi terutamanya bagi belia yang sentiasa ingin meningkatkan kerjaya dan diri selaras dengan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat.Laut mana yang  tidak dilambung gelora, bumi mana yang tidak ditimpa gempa, begitu jugalah kehidupan yang sering diasak dengan seribu satu cabaran..Jika anda mempunyai semangat yang kuat , iltizam yang tinggi, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi,  semoga berjumpa di puncak kegemilangan nanti , insyaAllah.

 

 

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM

Sebarang perkongsian boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog     akademipenulisbebas.wordpress.com

 

 

 

 


BUDAYA BERKELANA DAN MENULIS…

December 4, 2008

Assalamualaikum..

 

Biasanya di hujung-hujung tahun ini ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti dan melancong merehatkan minda.Di kalangan penulis juga ianya peluang untuk mencari idea baru agar terus segar.Tidak mustahil juga program retreat diadakan di pusat peranginan dengan harapan kesegaran udara dan keindahan persekitaran mampu merangsang minda.

 

Budaya berkelana dan menulis cerita dan pengalaman yang dilalui memang suatu hasil karya yang menyeronokkan untuk di baca.Apatah lagi perjalanan sehebat perjalanan mengerjakan haji misalnya dapat ditatap oleh rakan-rakan yang lain.Pengalaman yang dicatat apatah lagi dibukukan pasti sehebat potret yang diletakkan cantik di dalam album.Diambil , dilayari untuk mengenang kembali detik-detik manis ketika bermusafir di tempat orang.

 

Saya pernah mendengar suatu temuramah di rancangan Duniaku Buku terbitan Radio ikim yang ketika itu membicarakan Buku Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman Karya indah Muhd kamil Ibrahim.Ceritanya penuh minat, daripada seolah-olah belum sampai seru untuk ketanah suci, tetapi apabila dijemput Allah ke Tanah Suci makkah dan Madinah segalanya berubah katanya.

 

Pengalaman suka duka ketika dan sebelum menunaikan haji diceritakan dengan penuh minat.Pengalaman seronok sedih perjalanan haji dihebahkan kepada ramai sehingga buku ini menjadi laris untuk dibaca.Semua yang telah mengerjakan haji pasti punyai pengalaman tersendiri.Tetapi tidak semua yang sanggup mencoretkan pengalaman hebat untuk dikongsi bersama.

 

Sewaktu saya mengajar Al-Qur’an kepada anak-anak sebuah keluarga tahun lepas, saya juga menjadikan buku cerita perjalanan haji untuk diceritakan kepada anak-anak murid saya selepas habis pengajaran al-Qur’an.Sengaja saya memilih buku tersebut sebagai bahan mengisi minda kami dan nyata ia memotivasikan.catatan pengalaman menjadikan anak-anak mendengar penuh minat.

 

Saya sempat berkelana ke Langkawi baru-baru ini.Rupanya bagi penulis, sekali sekala harus merehatkan minda buat seketika, memulihkan semangat di samping mencari idea baru.Hasilnya kesegaran minda   lalu, dalam masa sehari pulang dari bercuti, saya sempat menyiapkan 4 arrtikel ekspress berkenaan dengan Hijrah , telah saya kirimkan untuk pertimbangan editor majalah untuk disiarkan.Kesesakan minda adakalanya memeningkan.benarlah minda yang lemah akan menghasilkan fizikal yang lesu.Segalanya memerlukan makanan.Makanan minda iman dan rehat yang cukup. Bacaan yang hebat lantas mencerna minda untuk penghasilan penulisan yang bermutu.

 

Budaya kelana dan menulis ini bagus juga untuk kita wujudkan .Terutamanya perjalanan agung , berliku sesuai untuk paparan kepada umum.