BERTEMU MENTOR

May 12, 2012

Bertemu mentor. Tuan Zamri Mohamad sudah saya anggap sebagai mentor di bidang penulisan. Beliau merupakan jurulatih penulisan disamping giat menghasilkan buku-buku motivasi, perhubungan dan media. Jejaknya saya cuba ikuti walaupun tidak terkejar.

Saya sedar satu perkara, untuk berjaya cepat dan luar biasa kita memerlukan mentor. Bagaimana? Ikuti jejak mentor dan jadilah klonnya. Minta nasihat sepanjang masa dan berlaku jujur kepada mereka.

Walaupun begitu, saya tidak pernah menghadkan jumlah mentor.Ada seorang lagi sifu PTS yang smepat saya berguru tempohari.

Ini pula Tn Fauzul Naim. Beliau Pengurus Penerbitan di PTS Publication. Ada sahaja idea dan ilmu baru dicurahkan kepada penulis muda seperti saya. Moga terus-terusan tuan mendidik dan memandaikan anak bangsa. Saya selesa berguru dengan beliau. Apapun, berguru dengan mentor memudahkan gerak kerja.

Moga ketemu lagi. Wassalam

 


APABILA DUA PENULIS BERTEMU

April 19, 2012

Allah sebaik-baik perancang. Setelah lama ingin bertemu, 2 orang penulis ditemukan Allah petang tadi. Alangkah baiknya pula ia dihostkan oleh editor e-Baca , Tuan Saharom. 2 orang penulis dalam kolum e-Baca bertemu , menghadap editor dan wartawannya. terima kasih Tuan Saharom dan Cik Puan Suhana.

Apabila penulis bertemu, akan terpercik api semangat yang sangat memotivasikan. Saling memotivasi sebagai rakan sepenulisan itu sudah tentu. Itu yang berlaku siang tadi. Cikgu Razali antara penulis muda yang sudah miliki brand penulisan buku bijak teknik belajar dengan buku 5A UPSR bersama karangkraf.

Moga pertemuan yanag tidak dirancang ini membuahkan idea baru.

Detik manis yang akan terpahat di kotak minda. Moga akan ada ruang kerjasama antara kami bertiga

Ruzain Syukur Mansor


“Writing is a struggle against silence. -Carlos Fuentes”

April 14, 2012

“Writing is a struggle against silence. -Carlos Fuentes”

Seorang teman mohon saya terus menulis . Menulis jambatan ukhuwwah katanya.

Saya bersetuju memandangkan ia juga janji saya kepada anak didik dan teman guru yang ditinggalkan sementara saya berhijrah ke Cyberjaya.

“Penjarakan jasad seorang penulis, tetapi minda dan tulisannya akan terus meronta.Ada betulnya juga kata Carlos Fuentes di atas. Writing is a struggle against silence. Memecahkan kebuntuan minda bukannya suatu perkara mudah. Ia suatu perjuangan. Kita mungkin punya banyak ilmu tetapi hanya berapa peratus sahaja yang mampu dicoret di atas kertas. Lantas, dengan menulis bagaikan memecah ketulan ais di minda.

Daripada tiada apa, tulisan mencorak sesuatu. Itu sebabnya, tulislah apa-apa idea sementara ia hadir. Apabila ia hilang, re-call lah bagaimana sekalipun, ia hanya menjadi sejarah.

Itu sebabnya ada teka-teki berbunyi:
“Dalam banyak-banyak air, air apa yang paling mahal?”Jawapannya: pastilah IDEA. Daripada kosong idea dicetuskan mencorak masa hadapan. Daripada angan-angan menjadi impian.

Dalam konteks tersebut saya ingin nyatakan :
“Orang yang mempunyai impian dan angan-angan yang tinggi berjaya lebih luar biasa cepat daripada orang yang langsung hidup tanpa impian”

Jadi, mari bina impian diri. Apabila punya impian, TULIS lah ia di mana-mana. Setkan di dalam minda aku mampu untuk mencapai impian. Ia pasti jadi realiti. Pasti. Beranilah membina impian.

Ruzain Syukur b Mansor


MERASAI FOKUS DALAM KEHIDUPAN

April 1, 2012

“Adakalanya kita akan kehilangan banyak perkara apabila kita mula fokus dalam kehidupan” itu antara yang sempat dilafazkan sebaik selesai bacaan Yasin murid tahun 6 sekolah saya tadi.

Selama beberapa tahun merasai betapa seronoknya berada di sekolah sebagai guru, saya memilih untuk berhijrah bermula 1 April 2012. Al-hamdulillah sudah mendaftar diri sebagai Penolong Pengarah Dakwah di Sektor Dakwah dan Kepimpinan , Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kita akan lebih menikmati hidup bekerjaya apabila mengetahui potensi dan kekuatan diri. Antara minat dan potensi diri saya adalah:

-Penulisan
-Latihan, pendidikan dan motivasi
-Membaca

Semuanya dilakukan pada satu masa. Sesuatu yang jika difikir-fikrkan sebagai perkara yang tidak masuk akal.

Lantas, beberapa pendangan mentor diambil kira. Hidup ini lebih bermakna jika ada fokus dalam hidup. Tidak akan puas hidup kita ini jika mendambakan diri pada semua perkara. Fokus dan bina impian. Maka, ia pilihan yang tepat.

Menulis dalam keadaan kepenatan menghasilkan idea yang separuh matang. Kesibukan pula ancaman terbesar seorang penulis.

“Makin taksiaplah thesis anta” suatu bingkisan ikhlas daripda seorang sahabat. Jika difikir-fikirkan dengan kesibukan yang bakal dilalui memang ada sedikit kebenarannya. Tapi bergerak harus dengan minda yang positif. InsyaAllah akan siap nanti.

“Anda baru sahaja mula hidup yang baru. Hati-hati melangkah” itu pesan seorang lagi teman. Beliau pernah melalui liku sebagai seorang pegawai di KPM. Itu pesanan yang moga-moga memandu saya. Selebihnya? Allah akan bersama-sama. Bersama hamba yang lemah ini.

Kemanapun hijrahnya, Akademi Penulis Bebas akan terus kukuh bertapak. Tidak akan hilang fokusnya. Menjadi medan pengalaman baru. Moga ia tidak terkesan dengan kesibukan tuannya.

Fokus. Fokus. Fokus.

Ruzain Syukur Mansor


MENULIS DARI HATI, IMPAKNYA MERUNTUN JIWA

March 25, 2012

“Ustaz, jom ke Majlis Pelancaran buku bekas pelajar kita” itu undangan seorang rakan guru.

Lantas, undangan dipenuhi. Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Nia Rissa diadakan gilang gemilang di Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam. Nia Rissa merupakan bekas pelajar SK Telok Menegon dan kini sedang bertungkus lumus membina menara kejayaan di SAMT Hishamuddin Kampung Jawa Klang. Penulis muda ini diuji beberapa kali dengan masalah kesihatan yang memaksanya menangguhkan pengajian buat beberapa ketika. Dengan kejayaan 5A dalam UPSR dan 8A PMR membuktikan Nia Rissa seorang yang tabah walau diuji dengan pelbagai dugaan.

Dalam kesibukan membina impian, bakat kurniaan Allah tidak dipersiakan. Garapan puisi lontaran idea anak muda remaja muslimah ini dijadikan azimat buat dirinya yang kini diuji. Betapa ujian baginya adalah ubat yang mujarab untuk diri.

Menjadikan tema ‘dugaan Allah’ sebagi tema utama, ternyata puisi Nia Rissa berjaya meruntun jiwa khalayak pendengar. Tulisannya lahir dari hati. Sangat ikhlas dan menyentuh jiwa. Bait perkataan diukir penuh hikmah dan cermat menggambarkan perasaan yang pelbagai hasil tarbiah ibu bapa dan guru.

Aku Redha.

Dengan kesucian Kalam-Mu ya Allah
Aku menghirup secangkir ketenangan
Pada setiap kalimah yang indah teratur
Dalam kalam yang tidak ditandingi
Walau dengan sejuta manusia cerdik

Aku pasrah dengan segala kehendak-Mu
Aku redha dengan setiap ketentuan-Mu
Kerana hidupku ini hanyalah
Satu pinjaman bagiku

…Petikan puisi bertajuk Aku Redha-Nia Rissa

Dalam diam, jiwa Nia Rissa harus mengundang pujian ramai. Betapa kekuatan dan ketabahan menjadi benteng yang kuat. Malah, tiada riak pun diwajahnya mengatakan bahawa dia adalah pesakit kanser. Syabas Nia.

Didoakan agar lahir Sasterawan Negara bertitik tolak daripada kejayaan membukukan antologi puisi yang pertama ini . Moga adik Nur Khairunnisa akan menjadi sebaik-baik wanita sama makna dengan namanya. Moga tabah ibu dan ayahnya. Moga tidak henti-henti doa guru-gurunya. Jadilah apapun, kerana di sisi-Mu ada Allah yang sudi memberikan pertolongan.


GURU JUTAWAN AKHIRAT-SEINDAH NAMANYA

March 7, 2012

Guru Jutawan Akhirat memang tajuk buku yang unik. Ia garapan sahabat-sahabat saya Panel Penulis Sektor Pendidikan Islam , Jabatan Pelajaran Selangor.

Dalam kata pengantarnya tertulis indah kata-kata ini:

” Buku ini bicara hati daripada guru kepada guru. Ditulis oleh guru kepada guru. Mengajak untuk kita merasa bahagia sebagai seorang guru , tenang dengan himpitan tugas, amanah dengan kerja, bertanggungjawab terhadap anak didik”.

Ia dicanai dengan begitu rapi. Pengalaman merasai kehangatannya ketika pemurnian akhir di Port Dickson sebelum buku ini lahir menemui pembacanya sangat mengujakan. Melihat betapa kegigihan penulisnya mencerna idea sangat menginsafkan. Ini bagi menyediakan khalayak teman seperjuangan suatu wadah motivasi yang sangat membangkitkan semangat.

Hanya guru yang lebih memahami profesion perguruan. Alangkah beruntungnya pasangan guru, samada suami atau isteri seorang guru yang tumpang sekaki mendengar segala macam keluhan dan peristiwa yang mewarnai kehidupan insan bernama guru. Tetapi hakikatnya hanya mendengar sahaja masih lebih jauh daripada memahami jerih payah profesion seorang guru. Suatu profesion yang dianggap unik dan istimewa, diingati orang walaupun sudah hanya bertemankan batu nisan di pusara . Bertuahnya menjadi guru.

“Ustaz, saya mencari buku yang boleh mengelakkan burn-out di kalangan guru” itu getus seorang teman guru tadi. Seorang guru muda yang sangat berinspirasi. Tetapi semangat tanpa penghargaan tidak cukup untuk mengekalkan semangat membara sama seperti bulan-bulan pertama ketika bergelar guru dahulu.

“SEtiap kesukaran harus ditukar menjadi peluang. Bacalah buku-buku jejak Guru Cemerlang menyusun strategi sebelum bergelar seorang GC. Mereka insan yang terpilih telah berjaya menukar suatu masalah di sekolah menjadi peluang untuk memajukan diri” ikhlas dari saya.

Dalam kata pengantar buku Guru Jutawan Akhirat jelas dengan kata-kata motivasi ini:

” Guru, katakanlah dengan berani dan yakin ” aku ingin masuk syurga dengan tiket seorang guru”

Itu antara laungan keramat yang harus dijadikan azimat bagi seorang guru. Ini bertepatan pula dengan catatan pada blurb buku ini yang menyatakan bahawa:

“Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74% jutawan di dunia adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita untuk menjadi seseorang yang berkuasa, guru bukan medannya. Jika bercita-cita menjadi jutawan di akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul”

Berikut dikongsikan beberapa bingkisan motivasi yang dicoretkan khusus untuk bakal Jutawan Akhirat:

” Sekali kita menjadi guru, selamanya akan dipanggil cikgu”

” Marilah kita menjadi guru yang pertama . Pertama dalam mengajar. Pertama menyentuh hati pelajar. Pertama di hati pelajar. Pertama menyeru kebaikan dan pertama dalam membuat kebaikan.”

” Ayuh kita semua bercita-cita menjadi sorang guru yang memiliki 5M: mudarris, muallim, muaddib, murabbi lagi mursyid”

Moga bingkisan mendidik jiwa seperti buku Guru Jutawan Akhirat menjadi penguat semangat dalam melalui ranjau bergelar guru yang diredhai Allah. Sekali bergelar cikgu, selamanya tetap menjadi guru!

Ruzain Syukur Mansor


MOTIVASI DIRI: TERIMA KASIHLAH KEPADA ANGIN YANG MENENTANG

March 7, 2012

OLEH RUZAIN SYUKUR B MANSOR

Lihatlah kepada layang-layang yang terbang jauh di udara. Siapa sangka kertas senipis itu boleh terbang setinggi itu. Malah, hanya dipandu dengan tali yang halus. Sangat halus. Layang-layang yang terbang gah di udara tadi mungkin akan terjunam apabila talinya putus. Keegoannya yang tinggi di udara akan secara tiba-tiba akan tergugat hanya kerana talinya tidak mampu mengawalnya lagi. Putus kerana sifatnya halus.

Apakah peranan angin dalam misi penerbangan tersebut? Ya, layang-layang tersebut terbang kerana angin yang menentang arus memberi tekanan yang hebat. Makin lama, semakin tinggi menerjah udara. Hebat bagaikan tiada tandingan. Asalnya lemah tetapi kuat setelah menghadapi rintangan angin yang sangat kuat.

Makin kuat angin yang menentangnya, makin tinggi naik layang-layang itu ke udara. Justeru, angin yang menentanglah sumber kekuatannya.Sama ada kita sedar atau tidak,  hidup kita ini melalui pelbagai proses. Gagal dan berjaya itu suatu proses kematangan.

Adakala kita ini dipuji dan adakalanya kita dikritik.

Adakalanya kita dikritik hebat oleh rakan-rakan dan majikan.
         
“ Saya tidak yakin dengan kemampuan kamu”
          “ Tugasan kamu tidak dilakukan dengan sempurna”
          “ Kamu tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya”

Jadi, apa pilihan yang ada pada kita. Melenting? Pasti pada mulanya kita berasa terhina dan marah kerana sindiran tersebut. Tetapi sedarkah kita bahawa sindiran dan kritikan tersebut sebenarnya telah membongkar kelemahan dan kekurangan kita. Kekurangan itulah harus dibaiki. Lantas, apabila kekurangan dan kelemahan itu dibaiki kita bakal menjadi seorang yang hebat.

Maka, kita harus mengucapkan terima kasih kepada orang yang mengkritik . Sama seperti kes layang-layang yang terbang kerana angin yang merintangi usahanya naik ke puncak. Layang-layang tersebut harus berterima kasih kepada angin yang menentangnya. Jika tiada angin yang menentang mana mungkin ia boleh berjaya menghasilkan  tekanan untuk naik ke atas.

            Tip terima kasih      
1. Ucapkan terima kasih kepada rakan atau majikan  yang mengkritik diri anda.
2. Analisa kelemahan diri melalui kritikan mereka dan bina semangat baru.
3. Perbaiki kesilapan lalu dan cuba lakukan penambahbaikan.
4. Berlapang dada dengan semua orang.
5. Jadilah pendengar yang setia.
6. Sudi untuk mendengar kritikan orang.

“Berterima kasihlah kepada angin yang menentang, kerana tanpanya layang-layang takkan naik ke udara”
“Berterima kasihlah kepada pengkritik, kerana tanpanya kita mungkin akan terus sombong dan tidak menyedari apakah kekurangan dan kesilapan diri”

Sumber cerita: Tn Hj Zailan b Wagiman
              Ketua Sektor
              Sektor Psikologi dan Kaunseling                        
Jabatan Pelajaran Selangor


MARI MENUKAR IMPIAN MENJADI KENYATAAN DENGAN MENULIS

February 16, 2012

Assalamualaikum.

Salam Penulisan.

Kita ini hanya akan seumur hidup membaca tulisan orang jika tiada impian untuk menulis. Kita mungkin juga menjadi pembaca blog orang seumur hidup sekiranya tidak memulakan tulisan di blog.

Saudara, sebanarnya, perbezaan antara orang yang berjaya dengan yang belum succes, adalah kebijaksanaan membina impian dan memenuhinya. Berjaya tanpa impian? Anda mungkin antara 1000 indvidu yang dikira bertuah di dunia. Anda mungkin sama ada anak seorang jutawan minyak yang sedang menanti harta tersebut dipindahkan kepada nama anda.

Selebihnya terletak kepada usaha yang menyempurnakan impian.

Kita mungkin meninggalkan anak cucu denganbeberapa bilion harta. Namun akhirnya akan habis juga. Tetapi meninggalkan legasi ilmu melalui tulisan dan karya harap-harapnya menjadi saham akhirat yang sangat bermanfaat.

Saya memulakan impian untuk mula menulis setelah acapkali melihat nama-nama penulis dengan buku-bukunya yang tersusun rapi di rak buku toko buku saban hari. Saat itu , minda mula mengimpikan “bila pula nama aku kelihatan di celah-celah buku di rak buku ini?”

2011, impian tersebut menjadi kenyataan. Terasa sangat puas apabila melihat buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid saya itu terselit di celah-celah ribuan buku di MPH SACC Mall Shah Alam. Ia antara impian yang sudah tercapai.

Impian harus dibina. Impian mennjadi penulis boleh dibina. Malah boleh direalisasikan tanpa perlu punya modal yang tinggi. Cukup dengan laptop dan buku rujukan. Selebihnya kuasa minda dan idea harus diaktifkan.

Tak pandai menulis? Baca sahaja buku kaedah penulisan. Masih buntu? Hadiri sahaja kursus penulisan seperti yang dikendalikan oleh mentor penulisan saya Tuan Zamri Mohammad.

Saya percaya ramai penulis buku tersohor memulakan usaha menjadi penulis dengan mengaktifkan kuasa membina impian. Apa beza angan-angan dan impian? Angan-angan adalah kehendak yang tidak diusahakan. Sedangkan impian adalah kehendak yang diusul dengan strategi yang disusun rapi.

Nah, pilihan di tangan anda. Tepuk dada tanya selera. Jangan hanya membina impian. Jadikan ia realiti. Mana tahu anda juga bakal penulis prolifik nanti.

Ruzain Syukur Mansor


CATATAN SARJANA: LULUS TETAPI BELUM LULUS

February 15, 2012

Jangan beralih! Ini benar-benar berlaku.

Lulus tetapi belum lulus.

Bagi calon sarjana, lulus bahagian kerja kursus, belum bermakna lulus dan sah bergelar sarjana. cabaran sebenar baru sahaja bermula. cabaran menyusun komitmen diri.

Pagi tadi saya saya sempat meninjau keputusan akhir bagi matapelajaran Kaedah Pengajian Usuluddin, subjek terakhir bagi mod kerja kursus sebelum memulakan penulisan. Alhamdulillah, berjaya juga akhirnya.

Sesudah itu memberanikan diri untuk mendaftar diri sebagai calon penyelidikan. Tajuk masih belum dihantar. Penyelia pula akan dirujuk tidak berapa lama lagi. Risau juga memandangkan literature masih belum mantap.

Jangan lagi menoleh ke belakang. Kenangan mengusahakan tugasan dan menjawab kertas peperiksaan sudah menjadi sejarah. Apa yang perlu di hadapan adalah kemahiran menjadi bacaan dan kajian serta pemerhatian sebagai suatu penyelidikan yang bermutu tinggi. Malah menyumbang sesuatu kepada corpus ilmu.

Kemahiran utama adalah kemahiran mengurus komitmen. Sesudah itu kemahiran mengenalpasti masalah utama yang ingin dikaji. Lantas strategi disusun untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat. Akhirnya maklumat dicanai sebaiknya untuk tujuan penulisan hasil kajian.

Melihat kepada teman-teman yang sudah memulakan rentak, rasanya saya tidak mahu ketinggalan. Impian bergelar sarjana nampaknya hanya bagaikan di seberang lautan. Kayuhan menuju seberang tidaklah sesusah mahu memulakan rentak.

Moga-moga Allah berikan keringanan dan semangat yang dicari-cari. InsyaAllah , jika kita mahu Allah tunjuk jalan yang harus dituju. Amin

Ruzain Syukur Mansor
IGB 100059