January 9, 2010

 

j-QAF 2005-2010

Agak lama saya tidak menulis tentang j-QAF.Seingat saya ada satu artikel di Utusan Malaysia tersiar sekitar 2008..Satu dua artikel juga sempat di tulis di blog ini.Manakala satu artikel tentang penggabungan j-QAF dan KAFA.Itu pun atas permintaan Saudara Zul, editor Millenia Muslim.Pelawaannya untuk menulis artikel berkenaan hal itu terpaksa saya lepaskan kerana penulisan itu menyentuh hal-hal dasar.Risau juga mencetuskan polemik yang tidak diingini.Malah entry j-QAF dan Kafa masih dibaca pengunjung blog ini melalui maklumat di blogstat.

2010 merupakan tahun keenam pelaksanaan j-QAF.Sebelum ini saya mungkin tidak sangat mengambil kira hal ini.Berada di sekolah yang memulakan kohort j-QAF 2007 mungkin baru menghasilkan murid j-QAF tahun empat tahun ini.Tetapi dengan beradanya saya di sekolah baru yang juga merupakan sekolah program j-QAF kohort pertama 2005 menyebabkan hati saya sedikit berdebar.Tahun ini merupakan tahun penilaian.

Pelaksanaan sesuatu program adalah berdasarkan objektif dan matlamat.Matlamat program j-QAF adalah untuk memastikan murid sekolah rendah khatam Al-Qur’an selewatnya di tahun enam.Itu matlamat utama.Selain itu, murid dipastikan mahir tulisan dan membaca tulisan jawi.Malah aspek fardhu ain terutamanya solat sudah beres.

Saya masih ingat ketika diinterview ketika permohonan pengesahan jawatan.Antara soalannya adalah apakah modul-modul j-QAF?.Soalan itu berjaya saya jawab memandangkan itu tugas rasmi.Core busines.Malu rasanya juka guru-guru j-QAF belum mahir bercerita tentang j-QAF.Bagi saya, seminimum-minimum tahap pengetahuan guru j-QAF adalah mereka tahu apakah modul-modul terlibat di dalam P&P j-QAF.

Apa yang pasti, bagi sekolah program j-QAF kohort pertama (2005), pasti sudah berkira-kira, lagi berapa ramai murid tahun enam yang masih belum khatam Al-Qur’an.Seorang sahabat, guru j-QAF di Gombak sudah memulakan program intensifnya bagi menghapuskan keciciran jawi di kalangan murid tahun enam.Manakala murid mana pula yang masih belum sempurna solatnya.

Memanglah, jauh di sudut hati mungkin terdetik, “aah, solat dan khatam Al-Qur’an bukan tugas guru j-QAF sahaja, ibu bapa pun ada saham”..Betul, tetapi kena ingat juga seboleh-bolehnya biar kita puas dapat melaksanakan tugas.Biar kita mampu tersenyum usaha kita selama 4-5 tahun kebelakangan ini membuahkan hasil.Ini tahun kita menuai hasil.Setelah ‘penat’ bertungkus lumus menghapuskan segala kejahilan.

Penilaian?.Kita memang dinilai.Ketua Panitia, Pentadbir Sekolah, PPD, JPS, Kementerian malah masyarakat juga.Bukan markah tertinggi menjadi matlamat.Bukan juga pujian melambung juga diharap-harapkan.Tapi yang penting bagaimana dengan penilaian Allah yang jauh lebih adil. Ini perihal muhasabah.Itu wajar kita fikirkan.Agar tenang minda dan fikiran.Mudah jalani pekerjaan.Tidaklah nanti stress berantakan.

Inovasi.Tahun 2010 di war-warkan sebagai tahun inovasi.Membaca buku bertajuk “Selagi Masih Muda-Kelok-Kelok Guru Cemerlang” begitu mengujakan saya.Ia sebuah antalogi mengenai kisah guru-guru cemerlang.Kecemerlangan mereka menghasilkan inovasi dalam pengajaran merupakan antara kriteria utama jejak menjawat anugerah Guru Cemerlang.Bukan APC.Guru Cemerlang..laluan terus ke JUSA C.Hanya ada beberapa orang guru sahaja di Malaysia yang sudah berjaya menjawat jawatan Guru Cemerlang JuSA C.Seingat saya, tahun ke 5 berada di gred DG41, sudah boleh memohon Guru Cemerlang terus ke DG 44 tanpa menunggu laluan Time-Based.Anda berani?.Saya menanti guru-guru j-QAF yang berjaya menggapai kerusi Guru Cemerlang.

Jadi sudah sampai dan detiknya inovasi dijadikan elemen penambahbaikan Program j-QAF.Berapa ramai dari kalangan guru-guru j-QAF yang berjaya menghasilkan kaedah-kaedah pengajaran inovasi terutama dalam aspek Bahasa Arab?.Bagaimana pula aktiviti dalam Kem Bestari Solat dapat lebih menarik minat murid-murid keluar daripada lingkungan ‘amali solat’ semata-mata.Apa juga agaknya modul-modul motivasi celik jawi tambahan yang sudah dapat di hasilkan?.Ini peluang inovasi.

j-QAF dan Penulisan.Baru-baru ini saya di pelawa oleh seorang editor buku teks Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tawaran menulis buku-buku sokongan j-QAF dengan DBP.Saya memerlukan sebuah pasukan yang berminat untuk bersama memulakan projek-projek penulisan.Peluang sudah ada, cuma tenaganya belum ada.

Saya belajar daripada Ustaz Shopuan Anuar Ahmad, Penolong Pengarah Kanan SPI, Operasi Dakwah Jabatan Pelajaran Selangor.Beliau berjaya mengumpul sejumlah guru-guru Pendidikan Islam yang meminati dunia penulisan.Guru-guru ini di kumpul dalam beberapa siri brain storming dan bengkel penulisan.Idea penulisan itu di canai akhirnya dijelmakan melalui penghasilan buku.Buku itu di bekalkan ke sekolah-sekolah di Selangor.Malah ada negeri lain turut mendapatkan buku itu.Buku Mutiara Budi misalnya.Tazkirah santai konsepnya.Terbaru pula..Buku Guru Jutawan Akhirat telah sampai ke sekolah-sekolah.Saya berkesempatan menjadi salah seorang panel pemurnian buku tersebut.

Guru-guru j-QAF kebanyakannya IT savvy.Malah ada rakan-rakan j-QAF yang dilantik sekolah menjadi Guru Media, dan makmal.Malah memiliki blog bagi kebanyakan guru j-QAF merupakan perkara biasa.Ia sudah menjadi budaya.Jadinya, minat menulis itu sudah ada.Cuma perlu diketengahkan.Mungkin perlu diwujudkan kumpulan penulis daripada kalangan guru j-QAF yang boleh menghasilkan buku-buku panduan guru ataupun tazkirah santai.Lantas ia sebagai sumbangan kita ke arah memberi inovasi kepada program j-QAF.Dan merangkap sumbangan kreatif kepada masyarakat.

Memperkasakan Pendidikan Islam menjadi teras program j-QAF.Itu ruang untuk kita fikir-fikirkan.Moga-moga dengan perkasanya Pendidikan Islam kelak menghasilkan modal insan yang beriman dan bertaqwa.

 

Artikel di atas merupakan pandangan peribadi penulis semata-mata.Sila email sebarang maklum balas ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com

 


January 6, 2010

MEMUGAR SEMANGAT MENULIS DI TAHUN BARU..MOTIVASI UNTUK PENULIS BEBAS..

Akaun yang dikhaskan untuk pembayaran artikel rupanya berisi baru-baru ini.Alhamdulillah.Tapi masalahnya pembayaran bagi artikel yang mana satu ni..

Itulah masalahnya.Bukan juga masalah, rahmat juga.Yalah, menulis ni sebagai memenuhi minat.Tapi jika ada yang sudi memberikan sedikit penghargaan..honorarium kata orang sekarang, apa salahnya.

Ada penerbit artikel samada akhbar atau majalah yang memaklumkan sebarang pembayaran kepada penulis.Tetapi ada juga yang lebih suka membuat pembayaran terus ke dalam akaun penulis.Dalam soal ini, kena pandai-pandailah penulis mengagak, artikel yang mana satu yang sudah tersiar.Cari-carilah mana-mana majalah yang mungkin artikel anda tersiar.Ingat-ingatlah kembali editor majalah mana yang anda kirimkan artikel sebelum ini.

Itu mungkin sedikit motivasi kepada para penulis bebas yang mula ingin mencuba nasib.Baru-baru ini saya dihubungi seorang rakan lama ingin mendapatkan beberapa tips memulakan langkah untuk muncul sebagai penulis bebas.Untuk tambah pendapatan katanya.

Samada minat atau atas apa juga tujuan, tiada salahnya.Tiada salahnya menerima honorarium pemberian penerbit artikel atau buku kita.Ada penulis sepenuh masa yang menjadikan penulisan sebagai sumber rezekinya.Bagi yang menghargai hasil minda seseorang, sesebuah artikel itu dipandang tinggi nilainya.Ia hasil daripada cetusan minda yang bersungguh-sungguh.

Ada entry di blog yang menjadi polemik.Ada juga nota yang menjadi bahan bukti di mahkamah.Itu penangan sebuah penulisan.Penulisan yang pastinya tajam hasil daripada pemikiran yang memberi makna.

Ini perihal meletakkan nilai kepada penulisan.Menulis bukan sekadar melepaskan perasaan, tetapi menjadikan penulisan itu sesuatu yang bernilai untuk di baca.Penulisan yang di kira ‘bernilai’ oleh seorang editor melayakkan seorang penulis di beri hak untuk berkongsi kolum di majalah kendaliannya.

Apa yang pasti, memugar semangat penulisan itu suatu kepastian.Adakalanya semangat rakan-rakan yang sudi menilai karya kita menjadi cetusan semangat.Adakalanya kita sendiri yang mencari titik permulaan ke arah mencerna minda.Memugar semangat dan minda bukan perkara enteng.Memang adakalanya kebuntuan minda tidak dapat dielakkan.Itu sebabnya penulis perlukan rakan sebagai teman yang setia.Teman yang memotivasikan.

Memugar minda , memugar semangat demi penulisan yang kreatif , segar dan bermanfaat.

 

Ruzain Syukur Mansor

-akademipenulisbebas-