MENJELANG MAULIDUR RASUL 1430

February 28, 2009

Assalamualaikum…

Menjelang sambutan ulangtahun kelahiran nabi Muhammad SAW 1430.

Di dalam hambatan tugasan yang pelbagai ini, terutamanya di dalam menyiapkan beberapa artikel dan risalah , masih sempat lagi untuk kutitipkan ungkapan dan nasyid untuk tatapan pelawat blog akademi penulis bebas ini.

 

Bahan selanjutnya akan diupdate seketika lagi.

Terimalah sedikit bingkisan nasyid dariku sebagai kita menelusuri sedkit sebanyak kehidupan Junjungan Mulia , Tokoh sepanjang zaman

 

akademipenulisbebas.


ARTIKEL SAYA SEMPENA BULAN DAKWAH DI BERITA HARIAN

February 28, 2009

Assalamualaikum..
Berikut artikel saya berkenaan dengan BuLan Dakwah yang disiarkan di Berita Harian Februari 2009.

Amar makruf nahi mungkar teras kesatuan ummah
Oleh Ruzain Syukur Mansor

Konsep wahdah harus dihayati Muslim dalam cabaran mendepani maruah, martabat Islam

PERUBAHAN zaman dan keadaan sosial yang mencabar sememangnya menuntut daya ketabahan iman yang jitu. Malah, dalam mendepani maruah umat Islam dicabar dan menghadapi ‘imperialisme alaf baru’ di Palestin misalnya, istilah kesatuan ummah wajar diberi perhatian.

Bukan mudah mengangkat martabat agama Islam seandainya umatnya sendiri belum menghayati apa erti kesatuan ummah. Malah usaha untuk menjadi umat terbaik atau khaira ummah pasti menjadi omong kosong.

Wahdah merujuk kepada kesatuan atau bersatu padu. Kesatuan dilihat daripada sudut kesatuan hati dan fikrah terhadap sesuatu perkara. Kesatuan hati melahirkan kesepaduan fikrah. Kesatuan fikrah pula memungkinkan kesepaduan minda. Kesepaduan minda akhirnya memantapkan kesatuan hujah. Kesatuan hujah menghasilkan kesepaduan tindakan.

Semangat bersatu padu atau konsep wahdah ini harus dihayati setiap Muslim yang mengaku berada dalam sebuah jemaah yang berpaksikan iman dan Islam. Bayangkan sepasukan bala tentera yang tidak sepakat dalam mengatur strategi peperangan? Apakah kemenangan akan menjadi milik mereka?

Bagaimana pula seandainya pasukan pengendali kapal tidak sehaluan mengendalikan haluan perjalanannya? Mungkinkah mereka selamat sampai ke perhentian? Begitulah jika konsep kesatuan itu tidak menjadi teras.

Umat Islam masa kini diasak pelbagai isu yang menghimpit jiwa. Isu Muslim di Gaza yang dihimpit serangan dan kekalutan hidup angkara Zionis seolah-olah barah semakin merebak. Kesukaran penyaluran bantuan kerana penutupan sempadan pula semakin menyukarkan misi membantu.

Tidak kurang hebatnya Muslim dituduh sebagai pengganas dan mengancam keamanan. Semua isu itu memerlukan pembelaan daripada umat Islam sendiri tetapi mana mungkin ia diatasi tanpa wujudnya wahdatul ummah atau kesatuan ummah.

Tiadanya kesatuan fikrah memungkinkan tiadanya kesatuan dalam tindakan. Isu Palestin masih belum dijuarai umat Islam jika masih wujud prasangka sesama sendiri. Malah sikap saling menyalahkan dan mengharapkan orang lain terlebih dulu bertindak lebih memburukkan keadaan.

Jelaslah, dalam mendepani isu global umat Islam, kesatuan umat adalah objektif utama perlu disepakati dengan nada sekata. Ummah terbaik pastinya didasari iman dan takwa yang jitu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan jika ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti mana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah ali-‘Imran, ayat 110)

Yang pasti konsep amar makruf nahi mungkar itu menjadi teras ke arah melahirkan khaira ummah kerana insan berkualiti bukan saja baik hati budinya tetapi peka terhadap keperluan ummah. Malah, sentiasa ke hadapan dalam misi dakwah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Muhammad Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup, bagi menyingkap jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dunia dakwah adalah cabang ilmu yang cukup luas dan praktikal . Pelaksanaannya tidak lagi terhad kepada pegawai penguatkuasa jabatan agama dan pencegah maksiat, tetapi dikongsi semua daripada penulis, pendidik, penggubal dasar ekonomi dan undang-undang, penjawat awam, sehinggalah golongan pengendali latihan motivasi, semuanya tidak lagi terlepas daripada memikul tanggungjawab dakwah.

Kesedaran seluruh anggota masyarakat mewakili golongan pendakwah, pendidik, ibu bapa, ahli pasukan keselamatan beruniform, pentadbir masjid, NGO Islam, warga industri, pakar motivasi serta penulis perlu dijana untuk melahirkan ummah terbaik.

Program Forum Perdana Perpaduan Ummah, Seminar Penghayatan, Ceramah Keibubapaan, Kempen Cintai Masjid, Kem Cintai Rasul, Muzakarah Pendakwah serta lain-lain program dakwah pasti memberikan impak kesedaran yang tinggi.

Usaha memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah wajar diberi perhatian dan semoga pelaksanaan Bulan Dakwah 2009 memberi manfaat kepada semua lantas menyemarakkan semangat kesatuan ummah. Semoga khaira ummah yang dicita-citakan menjadi realiti.


MENANTI PENUH DEBARAN..

February 16, 2009

assalamualaikum.. Hari ini aku menulis lagi.Tiada erti putus asa akhirnya menerbitkan kegembiraan.Baru usai aku menanamkan motivasi kepada seorang bakal penulis bebas yang sukar untuk menembusi minda editor.Menjadi penulis bebas ada tekniknya.Berikut diperturunkan beberapa tips berguna untuk menjadi penulis bebas.

 

Penulisan artikel dikenalpasti ada dua bentuk utama iaitu:

1.Penulisan umum untuk sekadar perkongsian dengan massa
2.Penulisan untuk menambah pendapatan

Penulisan di akhbar lebih kepada jenis penulisan perkongsian.Adakalanya pihak akhbar memberi honorarium ada sesetengahnya tidak memberi sebarang bayaran.

Tetapi artikel yang tersiar di majalah biasanya dibayar honorarium diantara RM 120-RM 200 mengikut penilaian editor.

Untuk memudahkan saudara-saudari memahami proses yang panjang ini , elok saya berikan sedikit tips.

1.kenalpasti genre dan area penulisan anda.Artikel saya fokus kepada bidang  Pendidikan, Pendidikan Islam, dakwah, teknologi maklumat

2.Fokus kepada satu atau dua bidang penulisan sahaja buat sementara waktu.

3.Baca beberapa majalah yang bersesuaian dengan bidang penulisan anda.Katakan anda minat berkenaan sains, bacalah majalah kosmik DBP.Sekiranya bidang penulisan anda berkenaan dengan pendidikan bacalah majalah Pendidik.

4.Bina hubungan yang baik dengan editor majalah. Dapatkan e-mail editor di ruangan editorial majalah dan cubalah menghantar e-mail memperkenalkan diri dan bertanyakan apakah isu untuk bulan-bulan akan datang untuk anda tulis.

5.Namun sesetengah editor memang mempunyai kolumnis atau penulis tetap untuk ruangan di dalam majalah,namun teruskan mencuba.

6.Cuba kenalpasti isu semasa dan tulis seberapa banyak mungkin artikel tentang isu tersebut.katakan isu hari guru, tulis seberapa banyak artikel yang boleh dan e-mail kepada  editor majalah berkaitan.

7.Dapatkan seberapa banyak e-mail editor majalah.Dan e-mail artikel anda kepada editor tersebut.

8.Jangan hantar artikel yang sama kepada editor berlainan.Anda akan diblack list kerana menyalahi etika.

9.Peringatan.Penerbitan majalah bergerak dua bulan lebih awal daripada bulan majalah dikeluarkan.Contohnya Edisi Bulan Mei sudah dimulakan penulisan dan susun atur artikel seawal bulan Mac lagi.Seandainya anda ingin menghantar artikel berkenaan hari guru (Bulan Mei), pastikan artikel anda sampai ke meja editor seawal bulan Mac.

10.Hantarkan bersama profil diri anda mengandungi kelayakan anda , minat dan senarai penulisan yang pernah tersiar jika ada.Email artikel anda ke e-mail editor bersama dengan profil diri anda untuk editor mengenali diri anda.

11.Saya sarankan anda menghantar artikel yang pelbagai tetapi berfokus kepada satu-dua isu kepada editor majalah yang bersesuaian .dapatkan e-mail mereka daripada ruangan editorial majalah.

12.Bersabar menghadapi penolakan.Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menembusi saringan editor.Tetapi bila sudah dikenali, editor menghubungi kita kerana inginkan artikel .

Teruskan berhubung untuk saling berbincang

Ruzain Syukur Mansor
akademipenulisbebas.wordpress.com