PENULIS DAN BUDAYA BERKONVENSYEN

June 26, 2011

Sewaktu menghadiri Konvensyen Penulis siang tadi, sempat saya beramah mesra dengan seorang ahli akademik sebuah universiti di Bangi.

“Saya ini penulis muda yang bermula dengan gaya penulisan sendiri.Kurang mengikuti bengkel penulisan daripada penulis mapan. Tetapi mahu tidak mahu budaya mengikuti konvensyen sebegini harus menjadi agenda wajib seorang penulis” lontaran ikhlas kepadanya.

Hakikatnya, sehebat manapun seorang penulis, hdupnya tidak harus keseorangan. Bersosial dan bercampur gaul dengan teman-teman penulis harus menjadi agenda. Bersama dalam bengkel-bengkel mahupun wacana penulisan banyak manfaatnya.

Peluang meneladani idea dan wacana Sasterawan Negara Dato’ A.Samad Said sangat mengujakan. Buah fikiran secara ‘live’ yang sangat memberikan inspirasi.

“Apabila bahasa mula luput, dunia buku dan akhbar juga akan luput-Pak Samad Said”

“Menulis meninggalkan khazanah bangsa-Pak Samad Said”

Cukuplah dua lontaran idea yang meninggalkan kesan kepada saya. Menunjukkan ketinggian bahasa itu suatu perkara yang perlu dipertahankan. Tetapi setelah kita meninggikan martabat agama. Itu lebih utama.

Kata-kata penulis yang hebat akan menjadi suatu yang memberikan inspirasi. Kata-kata seorang Sasterawan Negara sememangnya akan dipasak kemas di dalam kotak minda para peminatnya. Sasterawan Negara tahapnya seorang pemikir negara.

Kumpulan penulis berperanan membangun negara. Membangun minda ummah. Membangun semangat. Sudah dibuktikan sepertimana para karyawan dan penulis menaikkan semangat warga Malaya menuntut kemerdekaan.

Moga Allah kurniakan minda yang mampu terus memberikan input terbaik buat ummah.

Ruzain Syukur Mansor


INGATAN UNTUK DIRI

June 14, 2011

Lewat petang tadi, seorang teman bersuara “buat kerja biar ikhlas, don’t show off”.

Sangat terkesan dengan kata-katanya. Apatah lagi beliau bukan seorang Muslim. Apa pun agama beliau, nyata teman ini punya hati dan nurani yang suci. Ia lantas memberi ingatan kepda saya bahawa apa yang penting di dalam kerja adalah keikhlasan. Jangan menunjuk-nunjuk. Moga-moga Allah pelihara diri ini daripada bahaya riya’ dan takabbur.

Lantas, apa kayu pengukur perbuatan yang dikira sebagai menunjuk-nunjuk? Adakah menulis kisah diri di blog itu menunjuk-nunjuk? Nauzubillah. Saya masih berpegang kepada matlamat asal akademipenulisbebas diwujudkan. Mememorikan abadi sebuah travelog kehidupan seorang penulis bebas. Jauh sekali menjadikan medan ini untuk memburuk-burukkan orang lain. Ini kisah saya, maaf jika ada yang tersinggung

Namun, menulis juga ada batasnya. Itulah sebabnya entry di blog ini jarang sekali memuatkan kisah peribadi penulisnya. Biarlah ia terhad kepada aktiviti penulisan. Berkarya untuk memartabatkan dunia penulisan. Yang lain-lain? Biarlah ia hanya termuat di memori yang lain.

Moga-moga Allah jauhkan saya daripada sifat menunjuk-nunjuk, riya’ dan takabbur. Terima kasih ya Allah kerana mengutuskan seorang teman yang memberikan sedikit ingatan tentang bahaya sakit riya’ dan takabbur. Moga Allah merahmati beliau.

Untuk itu,menulis itu perihal fokus. Jangan lari daripada fokus. Biar sedikit asalkan fokus. Tidak merapu dan merepek. Bergelar penulis blog juga ada cabarannya. Berterima kasihlah kepada pelawat yang sudi memberi komen.

Sekian dahulu

Ruzain Syukur Mansor
Catatan larut malam buat mengingatkan jiwa.


MENULIS ITU PUNYA RUANG ITU MOTIVASI

June 9, 2011

“Boleh tak ustaz terangkan prosedur untuk hantar manuskrip kepada penerbit buku serta syarat umum sebuah manuskrip buku yang diterima oleh penerbit. kalau tidak keberatan, boleh kah ustaz berikan ana contoh kertas cadangan penulisan buku.-Abu Imran”

Itu komen yang saya terima di ruangan komen blog akademipenulisbebas ini. Matlamat utama blog ini ditubuhkan pada tahun 2008 hanya sebagai ingin membukukan perjalanan suka dan duka seorang penulis bebas. Perkembangan demi perkembangan dicatatkan. Sedikit luahan hati juga menjadi rencah. Resensi buku menjadi perencah.

Namun tidak disangka entry pengalaman tersebut menjadi sumber motivasi kepada penulis baru yang ingin bergiat secara aktif di dalam dunia penulisan dakwah. Kalaulah saya punya sebuah buku untuk memandu perjalanan mereka alangkah indah dan mudahnya jalan ke puncak jaya. Ramai yang mendapat inspirasi daripada membaca entry di dalam blog ini. Ini akui mereka. Lantas menyedarkan saya bahawa menulis pun punya ruang untuk motivasi.

Setahun dua dahulu baru saya tersedar kemunculan Minggu Penulis Remaja (MPR). Apakan daya sudah melebihi tahap umur dibenarkan untuk menyertainya. Lantas berdikit-dikit membaca karya orang sambil mencuba menulis dengan kaedah dan gaya penulisan sendiri. Punya masa, mencuba pula berguru dengan Puan Ainon Sifu PTS di Melawati. Al-hamdulillah berkembang rasanya minda.

Sidang pengunjung, saya ini salah seorang penulis muda yang tidak banyak mengikuti kursus penulisan secara formal. Malu jadinya jika diminta untuk menjadi pembimbing. Tetapi pengalaman itu adalah guru terbaik. Saban hari menghadapi penolakan juga suatu pengalaman. Dikomen oleh editor itu juga pengalaman. Bertemu dengan teman penulis prolifik seperti Saudara Zamri Mohamad juga memberi inspirasi. Ringkasnya, jika anda mahu belajar menulis dan jadi penulis tidak semestinya sampai punya Ijazah dan Diploma dalam bidang Penulisan Kreatif. Pokoknya mesti berani mencuba. Banyak membaca.

Mesti rajin mengetuk pintu kotak email editor mana-mana majalah. Serlahkan kepada mereka gaya penulisanmu. Mana tahu ada yang berminat. Rezeki itu Allah yang tentukan. Bukan editor. Pedulikan apa kata orang. Apa yang penting perkenalkan diri dengan rendah diri. Hulurkan artikel yang menarik. Selebihnya, bersangka baiklah dengan mereka.

Harus ada konsistensi, jangan mudah meatah pada kritikan. Binalah imej diri.
Seorang sahabat pernah berkata ” ulama’ terdahulu dikenali bukan sahaja melalui ilmunya tetapi melalui penulisannya”

Mengapa tidak. Penulisan itulah warisan berharga yang ditinggalkan ulama’ terdahulu buat kita. Wariskanlah berjuta-juta harta kekayaan buat anak cucumu, nescaya akan habis juga dibelanjakan. Lantas? bagaimana jika ilmu dan buku sebagai warisan? Pasti tidak akan luput malah berkembang jika diamalkan kandungannya.

Lantas? jika motivasi yang anda inginkan untuk mula menulis. Saya sudi sediakan. Jika wang yang anda perlukan, silakan bertanya kepada pemilik toko penerbitan. Apapun, kita tidak akan tahu yang kita ini tahu selagi tidak mencuba. Silakan bertemu di persada penulisan. Membangun minda. Memperkasa ummah

Ruzain Syukur Mansor
Pengasas
Akademipenulisbebas


SYUKUR ALHAMDULILLAH

June 9, 2011

Assalamualaikum

Syukur Alhamdulillah.

Selalu saya sebut ketika berceramah “terima kasih kepada ayah yang menamakan saya Syukur”.

Ada benarnya, nama kita ini sebagai doa. “Syukur” panggil ayah. Itulah doa darinya bertahun-tahun. Ini mengingatkan saya kepada ingatan Allah:

” Jika kamu bersyukur nescaya aku tambah nikmat atasmu, jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”

“Teman-teman, hari ini keputusan peperiksaan sudah keluar, sila semak di laman web” itu bunyi sms seorang teman sekuliah di Universiti Malaya lewat petang semalam. Dengan tangan terketar-ketar jari mengetuk-ngetuk papan kekunci laptop.

Keputusannya? Alhamdulillah. Sangat berpuas hati. Syukur padamu. Dengan keadaan bekerja sambil belajar , ada banyak kekangan untuk mendapat keputusan sebegitu baik. Namun Allah melorongkan segalanya. Suatu semangat dan motivasi yang Allah kurniakan. Moga ia berterusan untuk semester akan datang.

Teman seperjuangan? Sheikh Ariffin, Jamit, Khusairi dan Wafiq (keduanya sudah bergelar warga kerja CITU UiTM) moga keputusannya juga begitu.

“Pengajian di peringkat sarjana biasa di atas inisiatif calon yang punya semangat dan keinginan untuk memajukan diri” itu kata seorang professor ketika pendaftaran kursus sarjana di Balai Ilmu Januari yang lalu. Memang tepat.

Selalu juga saya sebut di hadapan anak didik untuk memberi motivasi ” Ustaz sudah punya kerja, kereta, isteri..apa perlu lagi saya perlu susah-susah sambung belajar?”

Mereka sendiri yang menjawab ” nak tambah ilmu ustaz”.

Ya. Memberikan semangat dan motivasi kepada mereka bahawa menuntut ilmu ini tidak terhad hanya kepada mereka di usia kanak-kanak sahaja. Selagi ada daya dan kemampuan, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin.

Melihat teman-teman yang sangat gigih menuntut ilmu. Sheikh Hamidi di UKM yang juga JU j-QAF sangat menginsafkan. Kesibukan di sekolah, tugasan dengan PPD, JPS dan KPM pasti sangat menyesakkan. Tetapi redhalah dan insyaAllah Allah membantu. Begitu juga dengan Cikgu Azlina juga di UKM dengan anak kecil yang menuntut kasih sayang ibu. Namun semangat dan motivasi serta sokongan suami sentiasa di sisi.

Apapun, perjuangan belum berakhir, biar bersuusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Terima kasih ibu dan ayah yang sentiasa memberi sokongan. Isteri tercinta yang sentiasa menjadi pendorong yang setia. Teman-teman di sekolah juga begitu. Moga-moga Allah membalas segala jasa baik kalian.

Ketemu lagi. Bicara Motivasi Buat Diri!

Ruzain Syukur Mansor IGB 100059
Calon Sarjana Usuluddin
Dakawah dan Pembangunan Insan


PERJALANAN MENUJU PUNCAK

June 7, 2011

Ini percubaan ke 3.
kali pertama, kandas kerana komitmen kepada kerjaya
Kali ke 2, pun tidak kesampaian, tuntutan kerjaya lebih utama.
Kali ke 3 insyaAllah akan dipastikan bergelar Sarjana.

Seronok mendengar terpilihnya sahabat baik Ustaz Aminuddin Khalit mendapat Cuti Belajar Bergaji Penuh untuk Program Sarjana. Mungkin UPSI menjadi persinggahan beliau. Selamat berjuan sahabat.

“Biasanya calon sarjana tiada msalah untu menamatkan bahagian kerjakursus. Namun, ramai yang gugur ketika mula menulis” itu sangat biasa diungkapkan oleh Prof Aziz Md Zin, pensyarah Jabatan dakwah Akademi Pengajian ISlam Universiti Malaya yang sangat saya kagumi.

Suatu pesanan yang harus dilihat sebagai cabaraan dan pendorong. Tamat 1 semester bergelar calon sarjana Usuluddin di Universiti Malaya. Tinggal 1 matapelajaran lagi perlu dihabiskan untuk mula membentangkan kertas cadangan kajian disertasi.

Perjalanan semester pertama yang sangat mendebarkan. Dengan tugasan sebagai Setiausaha PIBG, Pengerusi Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan, Guru kelas, segalanya terasa amat berat sekali. Apa yang penting , sangat penting adalah pengurusan masa.

Cabaran mengajar pada sebelah pagi, belajar pada sebelah petang, hanya Allah sahaja yang tahu. Mujur ada teman sekuliah yang sentiasa memberikan semangat. Pak Arifin dan Pak Jamit nun jauh di seberang Laut China Selatan. Tinggalkan keluarga demi ilmu. Ustazah Nurul yang jauh berkelana dari Indonesia. Apatah lagi kekentalan semangat Sheikh Khusairi yang sanggup ‘terbang’ dari UiTm Sarawak ke UM setiap Khamis. subhanallah. Semangat kalian luar biasa hebat. Jadi malu rasanya jika tunduk kepada kemalasan sendiri jika mahu dibandingkan dengan jihad teman-teman sekuliah yang jauh lebih mencabar.

Ada beberapa kemahiran untuk bergelar Sarjana AKA menghabiskan kursus Sarjana:

1. Pengurusan Masa
Pentingkan kerjaya bagi yang bekeerja. Kedua bijak mencuri masa untuk menyelesaikan tugasan

2. Jangan suka bertangguh
Dapat sahaja tugasan, terus fikirkan tajuk, mulakan kajian di Perpustakaan. Cari rujukan bersesuaian dan mula menulis sedikit demi sedikit.

3. Penulisan ilmiah
Bukan santai-santai tetapi ilmiah. Harus ada sumber daripada jurnal, kajian dan buku-buku akademik. Jangan hanya guna idea sendiri.

4. Rapat dengan pensyarah
Sentiasa dapatkan tip penulisan dan pandangan para pensyarah sebelum memulakan sebuah kajian. Pastikan tajuk kajian jelas dengan objektif yang terarah.

5. Mula berfikir tentang tajuk disertasi seawal semester pertama
Ia penting kerana ia mungkin menjadi tajuk tugasan. Kaji ekor, badan, kepala. Apabila sudah lengkap, cantumkan sahaja.

6. Kaedah penulisan
Biasakan diri dengan kaedah penulisan ilmiah. Nota kaki, rujukan dan sebagainya. Ikut format yang ditentukan oleh Universiti. Lain padang lain belalang.

7. Mula merisik-risik penyelia
Cuba ambil tahu kepakaran pensyarah dan mula merisik mereka untuk menjadi penyelia disertasi anda. Biasakan mereka dengan tajuk yang anda ingin kaji. Minta pandangan. Sibuk? Email kan ada, risik-risiklah mereka.

8. Zaman ini zaman di atas talian.
Biasakan diri dengan sistem pembelajaran di atas talian. On line research based. On-line journal. Dan macam-macam lagi. jangan ditertawakan pensyarah hanya kerana terkial-kial mencari bahan di on-line journal.

9. Membaca dan terus mengkaji.
Pertama membaca kedua mengkaji. Kalau tidak berminat harap tinggalkan dunia penyelididkan. Untuk bergelar sarjana, ini antara syarat utama. hasilkan inovasi dan jawab segala kemusykilan. Masalah itu suatu peluang kajian.

Semoga ada lagi teman-teman yang sama menuju ke puncak. Sama-sama kita cuba kembangkan potensi diri.

Ruzain Syukur Mansor
Calon sarjana Usuluddin
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


KESERONOKAN MEMBIMBING MENTEE

June 7, 2011

Dengan ini saya melantik diri sendiri sebagai mentor penulisan untuk Penulis Muda. Suatu tugasan sukarela lantikan sendiri setelah melihat kesungguhan mentee saya Muhd Fahmi yang sangat luar biasa semangatnya. Beliau merupakan Guru Pelatih dan masih menuntut ilmu perguruan di sebuah institusi perguruan di Besut. Bakal guru yang sangat suka melatih orang. Sangat kreatif orangnya.

Pernah sebelum ini mencuba untuk menembusi tembok kebal editor sebuah syarikat penerbitan tersohor Malaya dengan buku Permainan Untuk Jurulatih. Mungkin belum rezeki beliau.

Percubaan kali kedua nampak lebih bersemangat dengan tajuk bukunya Thera Si Labah-Labah Ajaib. Kena benar dengan daya imaginasinya sebagai anak muda penuh inspirasi. Teruskan Fahmi. Tidak susah menyusun idea yang sudah lama terlekat di minda. Cuma perlu dicernakan ke atas lembaran kertas.

Diakui pasaran buku kanak-kanak seluas lautan biru. Ini peluang untuk mentee saya ini untuk menerobos pasaran buku kanak-kanak. Sekurang-kurang ada modal bercerita apabila beraksi di medan ceramah.

Membimbing penulis yang sudah berbakat tidak sesusah mana. Berikan semangat dan motivasi secukupnya. Sediakan jalan bertemu dengan editor. Berikan sedikit panduan tentang gaya penulisan. Seterusnya? Komitmen..komitmen yang harus 200%. Segalanya ada pada Fahmi. InsyaAllah saya doakan berjaya.

Jika projek mentor-mentee ini berjaya, akan terus pula nanti menjadikan bidang pembangunan penulis muda sebagai bidang baru. Moga-moga akan dibangunkan jiwa penulis harapan yang kental semangatnya. Ingat.. penolakan bukanlah penutup kepada ruang penulisan.

Hari ini juga saya menerima email motivasi daripada Dr Nor Rezan yang juga Ketua Pustakawan Pepustakaan Universiti Malaya. Ucapan tahniah darinya di atas usaha penulisan dan sumbangan artikel saya untuk Jurnal kendaliannya. Terima kasih Dr. Mungkin akan da peluang lagi untuk terus berkarya untuk jurnal PPM.

Menulis sudah, membimbing pula kini.

Ruzain Syukur Mansor
Pembimbing Penulis Muda


AKU & ABAH

June 6, 2011

Membaca blog http://norsabariahmansor.blogspot.com memberikan semangat untuk saya kembali menulis. Adakalanya kita ini tidak sedar yang kita ini berbakat. Syabas adik Sabariah yang sentiasa rajin menulis catatan hidup di UiTM Merbok. Teruskan dik. Tetapi menulis blog sajakah? Bila mahu mula tulis novel?

Apatah lagi melihat kepetahan anak buah (Syafik) membaca buku Tip 5A UPSR sangat mengujakan. Seorang lagi bakal penulis dalam keluarga Hj Mansor akan muncul tidak lama lagi.

Bercakap tentang membaca, rupa-rupanya usaha abah membeli majalah Mastika setiap bulan ketika saya masih kecil-kecil dulu berjaya memupuk minat membaca.

Lantas, apabila ada sedikit kuasa membeli, kedai buku antara premis jualan yang dituju hari pertama gaji masuk ke dalam kantung akaun. Membeli buku-buku terbaru di pasaran menjadi amalan memperkasakan minda. Benarlah dikatakan sarjana tentang Bibliohisme-Kegilaan membaca.

Memang ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ada kenangan menarik antara saya dan ayah. Kedua-duanya hampir lupa isteri sedang menanti di luar kedai buku . Khusyuk berjam-jam lamanya dari sebuah kedai buku ke kedai yang lain.

Membaca dan terus menulis. Memang penulis biasanya amat sinonim dengan amalan membaca. Tip Untuk menjadi penulis? Membaca dan terus membaca. Lantas, kesempatan mempersembahkan buku terbaru Dakwah dan Teknologi Maklumat kepada ayahanda tercinta baru-baru ini merupakan suatu kepuasan yang maksimum. Ayah tersenyum bangga. Ibu tumpang gembira. Mempotretkan nama Hj Mansor Hasbollah dan Hjh Sariyah Shahmiran dalam prakata kedua-dua buku saya sebelum ini membuatkan senyuman panjang mereka yang sangat bermakna.

Menulis artikel majalah sudah, menulis buku pun sudah. Menulis di jurnal pun sudah. Apa yang masih dinanti. Menanti buku Aduhai Remaja terbitan syarikat penerbitan………….? (penerbit masih dirahsiakan) diterbitkan November ini. Itu suatu lagi karya yang memuatkan nama ayah dan bonda. Kerana merekalah sumber inspirasi yang sentiasa memberikan semangat kepada saya untuk menulis.
Terima kasih mak. Terima kasih abah.

Ruzain Syukur Mansor
Penulis buku:
Tip Urus Kelab Remaja Masjid
Dakwah & Teknologi Maklumat


ARTIKEL SUDAH, BUKU PUN SUDAH, KINI JURNAL?

June 6, 2011

Assalamualaikum.
Al-hamdulillah, berjaya juga keluar daripada kepompong blog tanpa entri. Rindu sebenarnya ingin menulis tetapi masa dan kekangan kerja yang tidak boleh dikompromi sangat-sangat mendesak.

“Berilah 1001 alasan sekalipun. Hendak 1000 daya, tak mahu 1001 dalih” itu sempat dititipkan oleh Ustaz Fazli Manaf, sahabat yang juga Jurulatih Pembangunan Diri yang kini sedang meningkat naik.

Artikel majalah sudah, menulis buku pun sudah. 2010-2011 tahun buku. Di balik kekeringan idea dan artikel yang disiarkan di media mahupun majalah, ada satu tawaran yang diberikan oleh editor Jurnal Persatuan Pustakawan Malaysia yang sangat menarik. Peluang menulis di Jurnal PPM. Peluang yang ditawarkan oleh Dr Nor Rezan, Ketua Pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya bingkas di sambut kemas.

“Sudah terima Jurnal PPM yang saya kirim tempohari?” tanya Dr Nor Rezan ketika bertemu di Perpustakaan Universiti Malaya awal Mei.

Akhirnya, Jurnal PPM edisi 2010 sampai ke tangan saya awal pada awal Jun ini. Artikel Blog dan Media Baru kini menembusi Jurnal PPM 2010 . Alhamdulillah. Ia suatu kepuasan yang sangat bermakna. Percubaan pertama yang memberikan impak kepada semangat dan motivasi penulisan. Bagi para ahli akademik, penulisan artikel ilmiah di dalam mana-mana Jurnal tempatan mahupun antarabangsa pasti memberikan kredit di samping memberi peluang mencantikkan CV.

Namun demikian, penulisan artikel ilmiah di dalam jurnal mempunyai disiplin dan format tersendiri. Ia perlu berlandaskan kajian terperinci. Mengapa? Kerana tulisan di dalam jurnal akan menjadi rujukan yang berautoriti dan tinggi nilainya. Malah mungkin menjadi rujukan kepada thesis dan makalah ilmiah para sarjana. Maka ia perlu melalui proses penulisan dan penelitian pakar. Bagi yang berminat, rujukan di bidang kajian tersebut amat penting.

Sememangnya apabila sudah terlibat dengan dunia akademik dan penyelidikan, penulisan di jurnal seharusnya menjadi antara tumpuan. Moga percubaan pertama ini akan disusuli dengan beberapa peluang seterusnya. Menulis terus memperkasa minda. Sampai masanya, bukan setakat membaca karya orang tetapi membaca artikel sendiri.

Ruzain Syukur