ARTIKEL MODAL INSAN 1 YANG DISIARKAN DI HARIAN METRO

May 25, 2008

Minda: Modal insan kelas pertama

Oleh Ruzain Syukur Mansor (Guru Siswazah Pendidikan Islam dan graduan Pengajian Ilmu Wahyu UIAM)
ruzainsyukur_mansor@yahoo.com

KEPERLUAN mewujudkan tenaga sumber manusia berdaya saing adalah usaha yang perlu diberi perhatian di abad ini. Baik di sektor swasta mahupun awam, pembentukan modal insan berkualiti mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama dan bertaraf dunia.

Memperkatakan modal insan, ia begitu relevan untuk dibincangkan. Modal merujuk kepada sesuatu yang menjadi bahan keperluan untuk menggapai sesuatu. Modal dalam perniagaan misalnya diperlukan bagi menjana keuntungan dan membangunkan syarikat. Tetapi modal bagi membangun insan bukannya berbentuk material tetapi kemampuan, kualiti diri, ilmu dan kemahiran yang wujud dalam diri individu.

Kita melihat agenda Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006-2010 amat mementingkan modal insan bertaraf kelas pertama. Sejumlah 21 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan RM33.4 bilion diumumkan Perdana Menteri khusus untuk memacu institusi pendidikan dan latihan dalam usaha memperkasa modal insan berteraskan ilmu pengetahuan.

Sementara Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menetapkan Teras Membangunkan Modal Insan sebagai tunjang utama pelaksanaannya. Ia bertujuan untuk memastikan bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan.

Di samping itu diharapkan pelajar dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat, komunikasi, kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai nilai yang tinggi serta mampu untuk menjadi pemimpin dalam keluarga dan masyarakat.

Ternyata perancangan dan dasar memihak kepada usaha menjana modal insan bertaraf antarabangsa. Namun apakah ramuan menjadikan modal insan bertaraf dunia? Adakah acuan sistem Barat menjadi taruhan?

Menurut Prof Madya Dr Hailani Muji Tahir, pakar Muamalat di Jabatan Muamalat di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, pembangunan modal insan berteraskan kefahaman Barat tidak mementingkan aspek kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras utama. Konsep modal insan Islam pula berteraskan kepada pegangan aqidah yang utuh.

Elemen itu pula diikat dengan keindahan syariat Islam sebagai panduan lantas dipandu oleh akhlak yang baik. Gabungan unsur aqidah, syariah dan akhlak akan melahirkan modal insan berkualiti yang dapat menghindarkan mereka daripada terbabit dengan salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain lagi.

Proses melahirkan modal insan kelas pertama harus didasari oleh perancangan strategik dan berkesan. Program latihan pembangunan sumber manusia harus membangunkan potensi insan lantas menjadikannya sebagai seorang pekerja yang berkebolehan menggunakan segala sumber untuk dijana menjadi sesuatu bermanfaat kepada organisasi dan negara.

Program kemahiran harus mengambil kira keperluan organisasi dengan kapasiti untuk memaksimumkan produktiviti. Ia harus merangkumi aspek latihan ICT, teknologi, komunikasi, pengurusan, motivasi, kepimpinan dengan tidak meminggirkan penerapan nilai dan kerohanian di dalam setiap program yang dianjurkan.

Selain itu, aspek pembangunan kerjaya modal insan juga tidak harus dilupakan. Modal insan berkualiti harus mampu untuk melonjakkan diri ke suatu tahap perkembangan dalam sesebuah organisasi.

Andainya seorang pekerja bermula dengan kerjaya dalam bidang pengeluaran, seharusnya mereka mempunyai ruang untuk meningkatkan akademik ke tahap diploma ataupun ijazah hingga dapat menguruskan sasaran pengeluaran.

Dalam bidang pentadbiran misalnya, biarlah individu itu bermula dengan mentadbir sesuatu unit, namun mempunyai akses kepada program latihan dan perkembangan kerjaya sehingga melayakkan mereka untuk mentadbir sebuah jabatan besar.

Maka proses itu tidak seharusnya diletakkan di bahu pengurus jabatan latihan saja. Titik tolak ke arah pembentukan modal insan kelas pertama bermula dari dalam diri seseorang pekerja itu sendiri.

Tanyalah diri sendiri sejauh mana diri mahu dilonjakkan menuju puncak kecemerlangan.

Kemajuan sesuatu sistem latihan dan perkembangan kerjaya sesuatu organisasi itu tidak dapat berjalan seandainya individu sumber manusia itu sendiri tiada usaha untuk melonjakkan dirinya sebagai modal insan terpilih dan berkualiti.


CABARAN DAN USAHA MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN

May 17, 2008

CABARAN DAN USAHA MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN

SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2008

 

OLEH:

RUZAIN SYUKUR B MANSOR

ruzainsyukur_mansor@yahoo.com

 wacanasyukur.wordpress.com

akademipenulisbebas.wordpress.com

B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

          

Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan hari istimewa buat semua warga guru.Bukannya mengejar dan mengharapkan pengiktirafan serta sanjungan melambung , namun sambutan Hari Guru biasanya dilaksanakan dengan penuh simbolik bagi menghargai jasa dan pengorbanan pendidik yang setia membangun jiwa memacu kecemerlangan modal insan.

 

Kita masing-masing pastinya mempunyai seribu satu nostalgia indah bagaimana insan guru diraikan dengan cara tersendiri.Menyingkap memori lama, pasti kita teringat bagaimana sajak-sajak dibacakan untuk mereka, bingkisan dan hadiah dititipkan untuknya walaupun ianya tidak dapat membalas segala pengorbanan yang telah ditaburkan.Bayangkan dunia ini tanpa guru yang mengajar kita membaca dan menulis? Mampukah kita menongkah arus membangun diri?

 

Cabaran

Ada relevannya mengapa guru Malaysia harus diberi pengiktirafan.Guru kini diasak dengan cabaran yang pelbagai memerlukan mereka terus kekal di dalam arus globalisasi.Konsep langit terbuka banyak mendedahkan pelajar masakini dengan pelbagai perkara samada yang membawa kebaikan ataupun keburukan.Rela atau tidak, guru bertindak sedaya upaya untuk menyeimbangkan keperluan perkembangan minda pelajar agar kekal mengamalkan nilai dan jatidiri serta mengamalkan tatasusila mulia adab ketimuran .

 

Di tengah-tengah kesibukan menjalankan tugas asasi merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran , janganlah dilupakan ada insan guru  yang bersengkang mata menelaah pelajaran demi mengejar segulung ijazah untuk meningkatkan kerjaya di bidang perguruan.Begitulah tabahnya guru-guru yang gigih berusaha menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah pendidikan , malah ada di kalangan mereka yang kini bergelar calon sarjana dan Phd.

 

Ini tidak termasuk dengan pengorbanan masa  guru menjalankan aktiviti pengembangan bakat dan potensi pelajar melalui pengendalian kejohanan sukan, syarahan, karnival pendidikan  di peringkat sekolah sehinggalah kebangsaan.Segalanya demi ingin melihat modal insan yang dilahirkan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sikap yang positif serta potensi yang mampu melonjak kecemerlangan diri.Pengorbanan tersebut menuntut komitmen masa, wang ringgit dan tenaga yang tidak ternilai di samping tidak meminggirkan tugas asasi mereka di bilik darjah.

 

Ketika berada di sekolah, merekalah ibu dan bapa kepada anak-anak kita.Mengajar, mengendalikan aktiviti, membawa  pelajar menyertai aktiviti kokurikulum ke sekolah berhampiran malah menghantar pelajar ke klinik apabila berhadapan dengan saat-saat kecemasan.Begitulah erti keperihatan seorang guru.

 

Apalagi berhadapan dengan seribu satu karenah anak murid yang kini tampil dengan pelbagai keadaan.Isu-isu disiplin dan salah laku pelajar seperti buli umpamanya membuatkan guru kini lebih tertekan dan sentiasa menghadapi risiko kecederaan murid akibat amarah remaja yang tidak ketentuan.Mampukah guru untuk memperhatikan setiap perlakuan anak-anak kita bagi setiap saat dan detik?.Itulah sebabnya timbul cadangan pemasangan CCTV di sekolah bagi memantau pergerakan para pelajar.Namun persoalannya selesakah kita berada di bawah pengawasan 24 jam CCTV? .Ia nyata menghilangkan privacy dan hak individu untuk bebas hidup tanpa dikawal dan diperhatikan.

 

Begitulah sedikit sebanyak daripada rentetan cabaran guru-guru di alaf baru.Adakalanya mereka mengeluh akibat pengorbanan yang sering disalah erti oleh pihak-pihak tertentu.Adakalanya juga mereka berdepan dengan risiko prasangka pihak tertentu.Justeru, tema Perayaan hari Guru kali ini ’Guru Cemerlang Negara Terbilang’ memberikan semangat baru dengan pengiktirafan jasa guru membangun modal insan ke tahap cemerlang lantas menyumbang kepada negara terbilang.

 

Memartabatkan Profesion Perguruan

 

Warga guru juga pasti berasa bertuah kerana agenda memartabatkan profesion perguruan menjadi salah satu dari teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010) Kementerian Pelajaran Malaysia.Usaha ini membawa kepada naik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) dimana institusi yang melahirkan guru berkualiti ini melahirkan guru berijazah melalui  Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Berkembar Praperkhidmatan (B.Ed TESL) dan Program Bahasa-Bahasa Antarabangsa.

 

Merujuk kepada PIPP, teras Memartabatkan Profesion Perguruan ini, menggariskan usaha pemantapan latihan perguruan, memantapkan kerjaya guru, penambahbaikan persekitaran kerja dan kebajikan serta pemantapan perancangan dan pengurusan sumber manusia   sebagai strategi memperkasakan kerjaya perguruan.

 

Di bidang latihan perguruan, pemantapan profesionalisme keguruan dengan memberi latihan dalam aspek pedagogi, kokurikulum, ICT, penyelidikan amat-amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan profesionalisme seorang guru cemerlang.

 

Manakala Menambah baik penjawatan guru serta peluasan kenaikan pangkat untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah  di Kementerian Pelajaran Malaysia / Jabatan Pendidikan Negeri / Pejabat Pelajaran Daerah merupakan strategi usaha mengembangkan kerjaya perguruan .Sekurang-kurangnya guru-guru mampu untuk melonjakkan kecemerlangan diri dengan peluang peluasan kerjaya yang disediakan.

 

Manakala bagi memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia, beberapa strategi dirancang melalui PIPP iaitu:

  • Mewujudkan kerjasama dengan IPT tentang latihan guru
  • Memantapkan mekanisme unjuran guru
  • Menambahbaik sistem maklumat guru

 

Kelancaran sistem pengurusan sumber manusia mampu melancarkan usaha memartabatkan profesion perguruan .Manakala pengurusan maklumat dan   sistem pengkalan data yang mesra pelanggan dan efektif akan memudahkan segala urusan pengurusan profil dan rekod serta pembangunan kerjaya guru-guru.

 

Namun, walau apapun usaha kementerian Pelajaran untuk memartabatkan profesion perguruan, individu insan gurulah terlebih dahulu yang harus melonjakkan dirinya menuju ke arah kecemerlangan .Perancangan pengembangan diri dan kerjaya yang dirancang mengikut kemampuan  mampu melonjakkan  insan guru ke arah kecemerlangan dan kerjaya seterusnya membangun masyarakat menuju ke arah  negara yang terbilang.

 

Selamat hari Guru

’Guru Cemerlang Negara Terbilang’

 

 

Penulis merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan kini bertugas sebagai Guru j-QAF di SK Sawah Sempadan Tg karang

 

Sebarang perkongsian ilmu boleh di email kepada ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau blog peribadi  di wacanasyukur.wordpress.com

 

 

 

 

 


Ayuh Guru Mari Menulis!

May 14, 2008

Berikut disiarkan artikel yang didapati daripada www.bharian.com.my khusus buat bakal-bakal penulis warga pendidik

 

Timur: Guru disaran terbit buku akademik

KUANTAN: Guru di negeri ini disaran berusaha menerbitkan buku bagi memberi lebih peluang kepada golongan pelajar mendalami apa juga ilmu akademik.

Buku yang dihasilkan oleh guru dianggap lebih tepat dan sesuai untuk digunakan golongan pelajar kerana hasil tulisan diperoleh daripada pengalaman sebenar.

Pengarah Pelajaran Negeri, Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata buku yang ditulis oleh guru mempunyai nilai tersendiri terutama dalam segi istilah digunakan serta kandungan.
Beliau berkata, untuk menerbitkan sebuah buku terutama membabitkan buku yang berkaitan peperiksaan, guru bukan saja berpengalaman tetapi juga perlu banyak membuat kajian.

“Apa yang tulis perlu tepat dan lengkap mengikut garis panduan ditetapkan pihak berwajib bukan hanya seperti melepas batuk di tangga sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.

“Buku yang bermutu akan memberi kesan yang mendalam dari segi pencapaian serta prestasi terutama kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

 

Saya yakin keputusan peperiksaan akan terus meningkat setiap tahun jika pelajar dibekalkan dengan buku yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perkampungan Penulis Muda Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan di De Rhu Resort, Balok, dekat sini, semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri, Amir Mohammad Abu Bakar.

Seramai 100 pelajar seluruh negara menyertai program selama lima hari itu, termasuk dua penulis terkenal Faizal Tehrani dan Saifulizan Yahya berkongsi pengalaman dengan peserta.

Pada majlis berkenaan, Abdul Aziz turut melancarkan dua antologi cerpen yang ditulis oleh guru, Mohd Azli Lee Abdullah dan Sharunizam Abdul Talib.

Abdul Aziz berharap perkampungan penulis muda yang diadakan setiap tahun ini berupaya melahirkan lebih ramai golongan penulis muda tanah air.

“Ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini diharap memberi kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam bidang penulisan yang diminati. Peluang keemasan menyertai program ini perlu direbut oleh pelajar,” katanya.


Berfikir gaya penulis bebas..

May 13, 2008

Assalamualaikum..

saudara penulis bebas..

Berfikir gaya penulis bebas..bagaimana ye?

1.Berfikir seperti seorang doktor

Seorang doktor melihat penyakit untuk mencari ubat yang sesuai.Seagalanya melalui proses diagnostic untuk mencari pakah penyakit pesakitnya .Maka tentulah selepas itu segala butiran ubat yang sesuai dapat diberi.

Berfikir gaya seorang doktor bagi seorang penulis diperlukan apabila kita melihat sesuatu masalah sebagai suatu idea untuk menulis.Penulis yang proaktif pasti melihat masalah masyarakat contohnya sebagai peluang untuk mencari penyelesaian.

Lantas ubat dicanang dan dicadangkan buat pengubat penyelesai kekusutan.Bagaimana? Contohnya kita melihat sampah sarap yang menjijikkan.Maka kita mula mencari idea apakah puncanya.Adakah disebabkan manusia yang alpa?sistem yang kurang berkesan?haiwan yang mencari makan?.cari sedikit fakta apakah ada virus dan penyakit yang boleh menyebabkan manusia terancam?bagaimana pula statistik penyakit berjangkit akibat sampah sarap?.Kemudian penyelesaiannya? apakah ubat yang sesuai? perlu menggunakan kuasa authoriti? khidmat sosial untuk pesalah jenayah? atau apa ya?.

Anda sudah berfikir gaya seorang doktor, apabila anda mencari  kenapakah wujud sesuatu penyakit dan masalah dan apakah ubat yang sesuai untuk mengubatinya.

…Bersambung..

Wacanasyukur


MEMPERKASA KERJAYA GRADUAN PENGAJIAN ISLAM

May 5, 2008

MEMPERKASA KERJAYA GRADUAN PENGAJIAN ISLAM

SIRI 1:KERJAYA DI BIDANG PENULISAN DAKWAH

OLEH:

RUZAIN SYUKUR B MANSOR

ruzainsyukur_mansor@yahoo.com

akademipenulisbebas.wordpress.com

B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

”Pengajian Islam?, tak susah dapat kerja ke nanti?, ada peluang kerjaya ke?”, begitulah beberapa rungutan segelintir masyarakat terhadap situasi semasa graduan Pengajian Islam menelusuri pasaran kerjaya.Ianya hanya suatu polemik sosial yang masih menjadi duri di dalam daging di dalam masyarakat di Malaysia.

Ada yang mengatakan graduan Pengajian Islam tiada daya penarik, kurang berkemahiran serta tidak mampu berdaya saing di dalam pasaran kerja.Sebenarnya andai ditelusuri dengan mendalam, graduan Pengajian Islam mampu maju sehingga ke peringkat membina peluang kerjaya sendiri.Cumanya halangan mental (blok mental) yang mendalangi minda mereka menyebabkan hanya kerjaya seperti pendidik dan pegawai agama menjadi pilihan.

Anda minat menulis? Kerjaya di bidang penulisan sebenarnya amat-amat memerlukan tenaga dan kepakaran graduan Pengajian Islam.Mengapa anda perlu menulis?.Kuasa penulisan mampu merubah sebuah kehidupan malah boleh mencetuskan suatu fenomena dan inovasi baru andainya dicorakkan dengan penuh rencah dan nilai tambah tersembunyi.Apalah erti ilmu yang tinggi menggunung andainya tidak dikongsi dengan ummah.

Peluang

Syarikat penerbitan buku memerlukan editor yang mempunyai kepakaran di dalam bidang berteraskan ilmu-ilmu Islam.Buku-buku agama di bidang usuluddin, tafsir, Fiqh memerlukan editor yang ternyata pakar di bidang tersebut.Kepakaran inilah diterjemahkan oleh editor agama bagi memastikan kesahihan fakta dan hukum termasuk nilaian dalil yang tepat .Dakwah melalui penulisan juga sebahagian daripada unsur penting penyebaran Islam.

Editor agama prolifik biasanya memulakan kerjaya sebagai penulis artikel bebas di majalah dan akhbar, sebelum terjun secara serius ke dalam bidang editorial dan penghasilan karya.Umum mengetahui ramai graduan Pengajian Islam seperti saudara Mohd Noor Tahir , Dr Tengku Ahmad Zaki Engku Alwi, Dr Juanda Jaya, Ustaz Maszlee Malik dan ramai lagi penulis buku dakwah berkaliber yang telah menghasilkan karya berunsur dakwah untuk tatapan umum.

Bagi yang ingin berjinak-jinak dengan dunia penulisan, buku karya Saudara Zamri Mohamad bertajuk Cari Duit Mudah Sebagai Penulis Bebas terbitan PTS Professional Publishing Sdn Bhd banyak memberikan idea untuk memulakan kerjaya berdakwah melalui dunia penulisan.Buku ini mengupas persoalan mengapa anda perlu menjadi penulis serta menceritakan secara ringkas tentang aspek penting pencarian idea, penulisan, penyuntingan dan penerbitan sesuatu artikel.

Manakala Buku karya Saudara Nazrul Samsudin terbitan MNS Infobiz Consultancy bertajuk Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri menyingkap proses penulisan , percetakan dan penerbitan secara sendiri tanpa melalui syarikat penerbitan.Graduan Pengajian Islam mampu untuk menerbitkan buku dan karya sendiri andai mempunyai sedikit modal serta perkongsian pintar dengan rakan kongsi yang turut sama mempunyai fikrah dakwah.

Bagi yang ingin memulakan gerak langkah sebagai penulis bebas di majalah dan akhbar, mulakan artikel anda mengenai isu semasa dan dakwah.Hantarkan artikel kepada editor majalah dan akhbar pilihan anda melalui ruangan komen pembaca, isu semasa, komentar, komen pembaca.Penerbitan majalah bagi isu-isu tertentu bergerak sebulan atau dua bulan awal daripada bulan sepatutnya.Contohnya penerbitan untuk isu Hari Guru di Bulan Mei mungkin telah dimulakan proses penerbitannya di Bulan April atau lebih awal dari itu.jadi persiapkan artikel anda dan di hantar kepada pihak editorial majalah untuk isu ini seawal Bulan Mac atau April.Manakala artikel dakwah di akhbar harian boleh dihantar mengikut perkembangan isu semasa.Contohnya di dalam kita meraikan hari pekerja, mungkin saudara boleh mengenegahkan artikel yang berkaitan dengan kerja sebagai ibadah, kepentingan niat dan pekerjaan dan lain-lain lagi. Untuk tujuan penghantaran artikel, sila semak alamat e-mail editor di ruangan editorial untuk mendapatkan komen editor majalah.Email atau poskan artikel anda kepada editor untuk dinilai.Mungkin ada editor yang sudi untuk mengenengahkan artikel anda untuk tatapan umum.

Rencah kehidupan Dunia penulisan sedikit sebanyak dicoretkan melalui blog peribadi penulis akademipenulisbebas.wordpress.com di mana catatan suka duka meneroka dunia penulisan dicoretkan sebagai perkongsian rakan-rakan yang lain.

Semoga perkongsian tersebut mempu membuka mata rakan-rakan graduan yang masih mencari arah di dalam dunia kerjaya bahawa dunia penulisan ini mampu menjadikan anda majikan dan pekerja kepada diri anda sendiri.Secara tidak langsung anda mampu berdakwah walaupun dengan mata pena.


PENGARANG POPULAR

May 5, 2008

POPULAR Book Co (M) Sdn Bhd (Popular) bersama-sama akhbar Berita Harian memberi peluang kepada pembaca untuk memilih pengarang pujaan mereka melalui Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian-Popular 2008.

Eksekutif Perdagangan Jabatan Bahasa Inggeris Popular, Azrina Azmi berkata, anugerah yang julung kali diadakan bertujuan mengiktiraf pengarang yang berkarya dalam bahasa Melayu sebagai tanda menghargai sumbangan mereka kerana menyediakan bahan bacaan untuk pembaca.

“Harapan kami sebagai penganjur, anugerah ini akan memberi lebih semangat untuk penulis kreatif dan bukan fiksyen menghasilkan karya bermutu di samping meningkatkan daya produktiviti pada masa depan,” katanya.

Pembaca yang ingin membuat pilihan pengarang mereka, perlu mengemukakan borang penyertaan daripada keratan akhbar Berita Harian dengan menandakan tiga buku paling digemari dan dilengkapi nama, nombor kad pengenalan serta telefon selain alamat.

Borang berkenaan perlu dikirim ke alamat Anugerah Pilihan Pembaca, Berita Harian-Popular 2008, Popular Book Co (M) Sdn Bhd, Lot 801, Level 8, Asmah Tower, Jalan Cerdas, Taman Connought, 56100 Kuala Lumpur, sebelum 17 Mei ini.

“Borang penyertaan yang difotostat, tidak akan diterima. Borang tidak lengkap atau melanggar peraturan akan terbatal secara automatik dan keputusan juri muktamad. Pemenang akan dihubungi melalui telefon dan diumumkan dalam Berita Harian pada 27 Mei ini,” katanya.

Sepuluh buku Kategori Bukan Cereka ialah Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains oleh Dr Danial Zainal Abidin, Rahsia Melabur dalam Unit Amanah (Suthara Segar), Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah (Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah & Ahmad Fadzli Yusof), Dato’ Dr Haron Din Menjawab Persoalan Fikrah Harian (Bersama Ishak Din & Abu Hassan Din), Motivasi Alihan Pelajar (Tengku Asmadi), Ada Bagus Bagusss (Dr HM Tuah Iskandar), Jangan Main-main (Dr HM Tuah Iskandar), 13 Mei Sebelum Dan Selepas (Tunku Abdul Rahman), Rahsia Bisnes Orang Cina – ‘The Bamboo Network’ (Ann Wan Seng) dan Rahsia Minda Jutawan (Amar Mahmood).

Dapatkan borang penyertaan daripada keratan akhbar Berita Harian.

http://www.bharian. com.my/Current_ News/BH/Saturday /Seni/2008042609 1809/Article/ index_html


Motivasi dan Dunia Penulisan

May 3, 2008

 

Assalamualaikum..

Hmm..Motivasi dan penulisan, ramai pakar motivasi sehebat Dato’ Dr fadzilah kamsah dan seangkatan dengannya yang juga menulis untuk ditatap khalayak umum.

 

Ada benarnya , dlam menulis kita perlu bermotivasi, untuk bermotivasi juga kita perlukan penulisan sebagai sokongan.

 

jadi, saksikan serba sedikit motivasi oleh Dato’ Dr Fadzilah Kamsah (Ihsan klip PTSTV) untuk menimbulkan semangat untuk terus konsisten menulis dan menulis demi perubahan diri dan masyarakat.

 

wacanasyukur

wacanasyukur.wordpress.com

akademipenulisbebas.wordpress.com

ruzainsyukur_mansor@yahoo.com