AMANAH BARU

September 28, 2010


Alhamdulillah, selesai memugar minda menggerakkan Biro R&D, Penerbitan dan Dokumentasi PEKDIS di Jabatan Pelajaran Selangor siang tadi. Bertemu teman-teman pendakwah yang datang dari pelusuk Negeri Selangor seolah-olah mengecas bateri untuk terus kekal aktif dalam dakwah.

Bertemu dengan Ustaz Shopuan Anuar, Penolong Pengarah Kanan Dakwah SPI, JPS mengingatkan kembali tentang urusan penulisan buku INDAHNYA ISLAM yang akan digerakkan sedikit masa lagi. Ia suatu misi yang belum selesai.

Misi ini misi dakwah. Ini amanah baru. Menggerakkan satu biro khusus tentang penyebaran informasi dan siaran dakwah. Bunyinya memang besar. Tetapi itulah dakwah. Harus berani menerima amanah.

”Jangan takut menerima amanah dan menonjolkan diri. Mungkin dengan tanggungjawab dan jawatan yang diamanahkan menjadi platform untuk berdakwah” itu lebih kurang mafhum amanat Tuan Ketua Sektor.

PEKDIS adalah singkatan Pertubuhan Kegiatan Dakwah Sekolah-Sekolah bernaung Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia Suatu pertubuhan NGO yang menggerakkan usaha dakwah di sekolah, mahupun di peringkat negeri atau Kebangsaan

”Adakah kita ini sebagai Guru Pendidikan Islam dijamin terus masuk ke syurga?” itu tanya mentor biro kami , Ustaz Rahman Amran yang juga merupakan seorang Ketua Unit Pendidikan Islam di PPD.

Analisa kepada soalan beliau adalah, dengan mengajar dan memandaikan bangsa belum tentu ustaz dan ustazah terus masuk ke syurga. Lantas bagaimana?. Berdakwahlah jawapannya. Menjadi guru agama bukan sahaja memandaikan anak didik mengaji Al-Qur’an , tetapi harus berperanan di dalam masyarakat. Maksudnya terlibat secara langsung dalam bidang dakwah.

Lantas, hatta di bidang penulisan dakwah pun ruangnya cukup terbuka luas. Buletin bicara kalbu bak kata Ustaz Ashapul, sehinggalah kepada penghasilan buku-buku dakwah santai yang sesuai dibaca sewaktu perhimpunan pagi. Ruang dakwahnya cukup besar.

InsyaAllah, di peringkat sekolah-sekolah Klang, melalui sekretariat PEKDIS Klang yang bernaung di bawah PEKDIS Cawangan Selangor ruang penulisan dakwah akan semakin luas. Penulisan dakwah akan semakin mendapat tempat. Ini bermakna dakwah penulisan di Daerah Klang ini akan distruktur dan digerakkan secara aktif. Ini kerana ia adalah peluang dakwah yang diberi secara mandat.

Akan dirancang nanti wacana, sayembara dan bengkel penulisan dakwah. Mungkin juga dibentuk team penulis dakwah Klang. Ia diinspirasikan melalui penglibatan dengan Team penulis buku Indahnya Islam bersama mentor dakwah ustaz Shopuan Anuar. Moga ia menjadi realiti.


MENULIS BUKAN HANYA UNTUK KEPUASAN

September 23, 2010


MENULIS BUKAN HANYA UNTUK KEPUASAN

Seorang sifu penulisan menulis di dalam akaun facebooknya baru-baru ini:

“Zaman menulis hanya kerana kepuasan sudah berlalu.Penulis juga harus memikirkan persoalan buku yang ditulisnya, adakah laku di pasaran.
Penerbit melaburkan beribu-ribu ringgit untuk buku yang ingin diterbitkan. Terpaksa meminjam dana daripada bank-bank komersil. Lantas buku yang ingin ditulis harus juga difikirkan apakah boleh dijual dan memenuhi citarasa pembaca.”

Kenyataan di atas tidaklah relevan kepada penulis yang menerbitkan bukunya sendiri. Ia juga tidaklah relevan kepada penerbit yang kaya raya dan sentiasa mempunyai pulangan modal yang berjuta-juta setiap bulan. Tetapi ia menjadi relevan kepada penerbit kecil yang banyak bergantung kepada hasil jualan buku.

Lantas, adakalanya penulis perlu memikirkan aspek kebolehjualan buku yang ingin ditulisnya. Ada beberapa soalan yang harus difikirkan sebelum berjumpa dengan pihak penerbit iaitu:

•Adakah buku yang ingin ditulis kelak akan dibaca orang?
•Adakah buku yang ingin anda tulis mempunyai pasaran yang luas?
•Kemanakah agaknya buku anda itu akan dipasarkan selain daripada dijual di kedai-kedai buku?
•Adakah anda sekurang-kurangnya mampu membantu penerbit untuk memasarkan buku yang ingin anda tulis itu?

Kebanyakan penulis-penulis yang bukunya laris terjual di pasaran adalah individu yang rajin memasarkan bukunya sendiri. Mereka rajin membantu penerbit memasarkan mahupun mempromosikan buku yang ditulis. Mereka mungkin penceramah yang rajin mengadakan sesi-sesi bedah buku. Mereka membawa bersama-sama buku tulisan mereka dan menjualnya kepada pembaca di akhir ceramah.

Ataupun mereka itu penulis yang rajin membuka kaunter-kaunter jualan buku di ekspo, pameran dan sebagainya. Maknanya mempunyai perancangan pemasaran buku tersendiri.

Kedua-dua jenis penulis ini akan menggembirakan penerbit. Ini kerana penulis membantu untuk menghabiskan buku tulisan mereka daripada simpanan di stor penerbit.

Itulah sebabnya bukan mudah untuk meyakinkan pihak penerbit untuk menerbitkan buku-buku terutamanya penulis muda. Risikonya besar. Penerbit berhadapan dengan risiko buku tidak terjual kerana kurangnya nilai komersil. Dalam bahasa yang mudah, buku yang ditulis kurang diminati pembaca.

Lantas, itulah sebabnya kertas cadangan itu amat penting. Kertas cadangan buku merupakan ibu kepada buku yang ingin dilahirkan. Ada penerbit yang meletakkan syarat bahawa sesebuah buku tidak boleh mula ditulis selagi kertas cadangan buku tersebut belum diluluskan oleh editor. Maksudnya, buku mula ditulis setelah semua aspek dan isi kandungan serta pelan pemasaran dipersetujui oleh penerbit.

Akhirnya, kedua-dua pihak nanti (penulis dan penerbit) tidak bermasam-masam muka. Ini kerana kedua-dua pihak saling bantu membantu dalam memasarkan buku. Penulis juga mempunyai tanggungjawab dari segi moralnya untuk membantu penerbit menjual buku yang ditulis. Penerbit pastinya mempunyai strategi melalui pengedar atau medan promosi buku.


MENULIS JANGAN SYOK SENDIRI

September 23, 2010


MENULIS.. JANGAN SYOK SENDIRI

Ramadhan 1431 Hijrah mencetuskan beberapa kegembiraan kepada saya. Kegembiraan pertama kerana masih berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Kegembiraan kedua kerana manuskrip Aduhai Remaja dapat juga disiapkan. Terus menemui penerbit, Al-Hamdulillah.

Sempat saya titipkan kepada Cikgu Azmi, mentor dakwah saya “ cikgu, mohon cikgu bacakan manuskrip Aduhai Remaja saya itu. Moga-moga dijauhkan saya ini daripada sifat syok sendiri.”

Setelah siap sahaja manuskrip Aduhai Remaja, sempat pula ia diserahkan kepada beberapa orang pembaca. Teman atau saudara. Apa yang pasti , mereka yang dipilih untuk ‘menikmati’ buah tangan saya itu adalah individu yang suka membaca. Setelah membaca, sempat pula memberikan komen kepada kandungan mansukrip tersebut.

Proses menyerahkan manuskrip untuk bacaan orang lain amat penting. Ia penting supaya kita mendapatkan maklum balas. Ini termasuk kesalahan bahasa mahupun fakta yang kita sendiri terlepas pandang. Membaca karya sendiri berkali-kali membuatkan mata menjadi seolah tepu. Sukar untuk melihat kesalahan sendiri. Ada frasa ayat mahupun fakta yang kita rasakan benar di mata sendiri. Tetapi mungkin fakta yang sama dirasakan tidak bersesuaian di mata orang lain. Itulah sebabnya pentingnya manuskrip kita itu diserahkan kepada individu yang lain untuk bacaan dan ulasan.

Jangan silap!. Mereka bukan editor yang anda lantik. Tetapi lebih kepada individu yang memberikan komen dan maklumbalas. Editor buku yang ingin diterbitkan oleh penerbit akan ditentukan oleh syarikat penerbitan itu sendiri. Jadi, ada komen pembaca manuskrip yang diletakkan di ruangan belakang buku sebagai testimoni.

“Suatu karya yang segar dan menepati citarasa pembaca.
Cetusan rasa yang ikhlas dan menarik. Tahniah kepada penulis.”
Aida Muhammad, Pengurus Sumber Manusia.

Itu mungkin contoh testimoni pembaca yang dimuatkan ke dalam buku seorang penulis. Ia sebagai menghargai usaha pembaca tersebut yang sudi membaca manuskrip buku tersebut.

Selain itu , testimoni pembaca yang dimuatkan ke dalam sesebuah buku boleh dijadikan sebagai daya penarik. Namun , pastikanlah testimoni pembaca itu merupakan suatu yang ikhlas dan tidak direka-reka. Ini supaya pembaca tidak terasa tertipu setelah membaca keseluruhan buku.

Apa yang paling penting, proses menyerahkan manuskrip untuk bacaan pembaca terpilih dilakukan bagi mengelakkan penulis syok sendiri. Penulis yang syok sendiri mungkin berasa bahawa manuskripnya itu amat bagus. Tetapi rupanya ‘bermasalah’ apabila berhadapan dengan semakan editor. Ini kerana manuskrip tersebut dibaca tanpa semakan dan bacaan pembaca yang lain. Diserahkan kepada editor tanpa mendapatkan komen dan maklumbalas orang lain.

Produk yang baik pastinya dihasilkan setelah melalui proses pengujian yang berulang-ulang kali. Jika berlaku kesilapan, akan diperbetulkan. Barulah dipasarkan. Begitulah juga proses menulis buku. Dapatkanlah maklumbalas daripada teman, ataupun tokoh di bidang yang anda ingin tulis. Jika buku berkenaan tentang motivasi, dapatkanlah pandangan dan maklumbalas daripada pakar motivasi. Jika berkenaan pendidikan, dapatkanlah maklumbalas daripada pakar di bidang pendidikan. Jangan lupa, ucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi membaca manuskrip anda. Alangkah bagusnya jika komen dan maklumbalas mereka itu diletakkan sebagai testimoni pembaca di dalam buku anda itu nanti.


SKRIP INDAH DI AIDILFITRI

September 10, 2010

Kenangan lalu di zaman kanak-kanak semakin kuat mengimbau di memori. Aidilfitri di zaman kanak-kanak yang pastinya sukar dicari ganti. Perubahan masa, hidup berkeluarga pastinya menambah rencah suasana Aidilfitri.

Suatu ketika ketika lewat 90 an, saya masih berkesempatan merasai suasana Aidilfitri yang amat klasik. Berkejaran menangkap ayam sehari sebelum Aidilfitri pastinya. Habis sepelusuk inci tanah keliling rumah ayam dikejar untuk dijadikan juadah hidangan di pagi raya. Ia antara aktiviti yang amat dirindui. Sebenarnya aktiviti yang amat merapatkan hubungan kami adik beradik. Setiap orang dengan peranan masing-masing. Memegang torch light, jaring, dan ..kejar!!!!!!..

Aidilfitri tahun ini saya hampir mengulang kembali skrip nostalgia lama. Tetapi imbauan itu adalah untuk zaman anak buah saya. Zaman mereka untuk merasai zaman kami. Tetapi skripnya sedikit berbeza. Tiada lagi aktiviti kejar mengejar ayam, tetapi hanya aksi abah dengan jaring penangguk menangkap ayam dari dalam reban. Spesis ayam kampung menjadi santapan kami Aidilfitri ini. Spesis yang mungkin akan menjadi tontonan pelawat di zoo-zoo sahaja 10 tahun akan datang barangkali.

berakhirnya tirai 30 Ramadhan kali ini berbuka bersama-sama di ‘teratak’ baru sesudah sama-sama membaca tahlil. Mengingati roh datok dan nenek yang pergi dahulu meninggalkan kami. Lantas sesudah usai solat Maghrib, maka pastinya seperti biasa kami berkumpul di halaman rumah menyaksikan anak-anak bermain bunga api di susuli bunyi-bunyi mercun yang membingitkan dan menguji kekuatan gegendang telinga masing-masing.

Pagi Aidilfitri kali ini terus sahaja menunaikan Solat sunat Aidilfitri sesudah selesai makan rendang dan ketupat. Mendengar suara parau abah membaca takbir dan berkhutbah membuatkan diri ini terasa diselubungi rasa sayu yang mendalam.

Bermaafaan dan bersalaman dengan ayah dan ibu serta adik beradik yang lain pastinya pula tidak dilepaskan. Kali ini bilangan anak buah yang semakin bertambah semakin menggegarkan teratak kesayangan ayah dan bonda kami itu.

Menaikkan orang. Hanya keluarga kami sahaja yang mengguna pakai istilah ini. Menjamu tetamu dan jiran-jiran menemukan juga dengan teman-teman lama yang sudah lama tidak ketemu. Roh ukhuwwah benar-benar dijana di Aidilfitri ini. Syukur padaMu ya Allah.

Skrip ini diulangpakai berkali-kali. Ada sedikit penambahbaikan. Tetapi tidak akan sama dengan skrip Aidilfitri di zaman kanak-kanak dahulu. Memang benar di kata orang, Aidilfitri di zaman kanak-kanak 10 tahun yang lalu tidak sama kemeriahannya di zaman ini. Bertuahnya kita ini golongan 60 hingga 80 an yang sempat merasai kehidupan beraya di kampung yang penuh dengan nostalgia.

Apapun, hidup ini memang begitu. Biarlah skrip kehidupan yang lalu tersimpan kukuh di arkib minda dan akan diceritakan kembali kepada anak cucu.

Ruzain Syukur
aku anak 80 an


SELAMAT HARI RAYA..MAAF ZAHIR DAN BATIN

September 8, 2010

Saya Ruzain Syukur b Mansor mengucapkan selamat hari raya , maaf zahir dan batin kepada semua teman-teman tamu yang sudi berkunjung ke blog akademipenulis bebas ini.

Maafkan saya jika ada kandungan blog ini mengguris hati tuan-tuan dan puan-puan.Saya akn bercuti selama hampir dua minggu di Perak dan insyaAllah bertemu nanti.

Ruzain Syukur Mansor


SELAMAT BERGRADUASI

September 8, 2010

Selamat Bergraduasi!
Jemputan untuk menghadiri Majlis Graduasi bagi Graduan yang telah melepasi segala ujian yang ditempuh sepanjang di dalam Universiti Ramadhan.

Memasuki Universiti Ramadhan yang sebulan sahaja tempohnya dilihat mudah sahaja pada pandangan mata kasar. Tetapi nampak mudah jika benar-benar ditelusuri dengan mata hati. Perkara menjaga hati bukan suatu yang mudah. Apatah lagi memelihara mata dan pandangan. Menjaga telinga dari melihat perkara pelik-pelik. Ini termasuk perihal menjaga perut yang menjadi saksi kepada kegelojohan ketika berbuka puasa.

Lantas di Universiti Ramadhan kita diuji hebat. Dugaan datang dan pergi. Malah panas membahang saban hari di bulan Ramadhan tahun ini anggapkanlah sebagai membakar dosa. Ada yang rebah tanpa sempat berubah. Ada yang putus asa dengan dugaan. Baru sebulan menjalani latihan. Ini perihal istiqomah dan konsisten dalam ibadah. Menempuh latihan dan tarbiah di Universiti Ramadhan ini bukan perkara enteng.

Melaksanakan tugasan bak assignment di Universiti Ramadhan ini benar-benar menguji. Berpuasa sahaja tidak cukup. Tugasan membaca Al-Qur’an sudahkah terlaksana. Bertarawih cukupkah setiap malam. Bersedekah bagaimana?. Itu kan tugasan mini yang menampung amalan puasa.

Saat berada di ambang graduasi ini amat menginsafkan kita. Alhamdulillah, saban hari merebut pahala di Masjid Negeri Shah Alam memperlihatkan saya berbondong-bondong jemaah memenuhi setiap inci ruang solat mengerjakan solat Tarawih. Ini menghapuskan teori penceramah-penceramah bahawa sof-sof di masjid akan menyusut di akhir-akhir Ramadhan. Ini tidak lagi relevan.

Umat di sekitar Shah Alam ini masih bernafsu untuk menyemarakkan malam-malam terakhir Ramadhan. Mungkin biah atau suasana yang diterapkan oleh pentadbir negeri adalah biah solehah. Tiada lagi hiburan terlampau. Masjid dipenuhi oleh majlis-majlis ilmu. Forum dan pengajian agama berada di mana-mana. Di pasar ada majlis ilmu malah dimana-mana ada ruang majlis ilmu. Mungkin ia pemangkin akan kesedaran beragama yang tinggi. Bersyukurlah orang-orang Selangor mendapat pentadbir negeri yang sedar akan ilmu dan menjadikan masjid sebagai tonggak menyebarkan ilmu.

Moga-moga tarbiah di Bulan Ramadhan ini menyediakan kita ini sebagai graduan yang tidak melupakan tentang istiqomah dalam beribadah. Moga-moga latihan yang kita perolehi sepanjang Ramadhan itulah kelak berpanjangan sampai Ramadhan tahun hadapan.

Ruzain Syukur b Mansor


TIP BERURUSAN DENGAN EDITOR PEROLEHAN MANUSKRIP 2

September 8, 2010

Entry ini merupakan sambungan kepada entry sebelum. Kali ini setelah saya menemui editor perolehan buk sebuah syarikat penerbitan buku di……………. (biarlah rahsia dahulu buat masa ini). Alhamdulillah nampaknya lancar, moga-moga diterima untuk diterbitkan.

Berikut tip-tip tambahan bagi sahabat-sahabat penulis amatur seperti saya. Bagi penulis mapan yang sudah dikenali ramai editor, serah saja manuskrip, bulan hadapan pasti terus menjadi buku.

1. Mula menulis atau berbincang dengan editor sebelum menulis?
Ada yang selesa untuk terus menulis. Siap manuskrip baru bertemu editor. Banyak risikonya. Setiap penerbit mempunyai dasar penerbitannya yang perlu diketahui oleh penulis. Jika tidak memenuhi kehendak mereka, jawablah kelabu asaplah jadinya. Jadi sebaik-baiknya, berbincang dengan editor sebelum menulis. Bentangkan kertas cadangan buku.

2.Fahami format manuskrip.
Ini amat penting dan memudahkan urusan penyerahan manuskrip. Berhubunglah dengan editor sebelum menulis. Format penulisan yang perlu diambil kira bagi sesebuah manuskrip adalah seperti berikut:

-Jumlah muka surat
-Bilangan patah perkataan (ada penerbit lebih mementingkan word count berbanding bilangan muka surat
-Jenis dan saiz font yang digunakan
-Spacing (single, atau double spacing)
-Gaya bahasa

3.Bacalah buku-buku yang telah diterbitkan oleh penerbit tersebut.
Bacalah buku-buku yang mempunyai genre yang sama dengan apa yang ingin anda tulis. Jika genre motivasi, dapatkan buku-buku daripada penerbit tersebut untuk melihat bagaimana gaya persembahan bahasa dan olahan kandungan.

Gaya bahasa mungkin berbeza di kalangan penulis berbeza. tetapi lihatlah mana-mana titk persamaan yang mungkin boleh diterapkan.

4.Wujudkan hubungan yang baik dengan editor
Bersangka baiklah dengan editor.Mereka juga manusia. Permudahkan urusan mereka. Minimukan sebarang kesalahan tatabahasa. Bermanis muka dengan mereka. Wujudkan suasana positif. Jangan terlalu memaksa mereka.

5.Bertanyalah tentang peluang-peluang penulisan.
Menulis berdasarkan ruang yang ingin diteroka adalah lebih bagus. Ini kerana kita memudahkan penerbit mendapatkan manuskrip berdasarkan bidang baru yang ingin diterokai.
Contohnya ada syarikat penerbitan bidang buku-buku novel dan masakan kini mula menerokai bidang pasaran buku-buku agama adan motivasi. Lantas bantulah mereka untuk memenuhi sasaran tersebut.

Jadi, selamat menulis manuskrip buku yang bagus-bagus dan memenuhi citarasa penerbit. Menulis ini bukan hanya melibatkan penulis seorang sahaja. Buku yang bagus adalah hasil kerjasama penulis, editor, pereka grafik dan pegawai pemasaran. Jadi jagalah hati mereka.
Selamat menulis

Ruzain Syukur b Mansor


TIP BERURUSAN DENGAN EDITOR PEROLEHAN MANUSKRIP

September 5, 2010

Hari ini hari yang mendebarkan. Bakal bertemu dengan editor perolehan manuskrip di sebuah syarikat penerbitan. Nama syarikatnya saya rahsiakan buat waktu ini. Hari ini juga manuskrip buku Aduhai Remaja akan diserahkan secara rasmi untuk penilaian.

Manuskrip Aduhai Remaja mempunyai 1001 kisah pembikinannya. Ianya diinspirasikan setelah selesai menulis buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid pada 2008. Sekarang tahun 2010. Terlalu panjang masa yang diambil. Malah tanpa disangka-sangka manuskrip buku Kembara Minda yang dahulu menemui editor untuk penilaian sebelum diterbitkan.

Beberapa kali saya menemui bos besar syarikat penerbitan yang ingin saya temui hari ini dan menyatakan hasrat untuk menulis dengan syarikat beliau. Seingat saya sudah beberapa kali berakhirnya Pesta Buku di PWTC saban tahun bertemu dengannya.

Beberapa kali juga menyatakan hasrat ktersebut epada Ustaz SahrulAzmi Sidek , penulis buku terbarunya Berani Berubah serta sahabat saya itu, untuk menghantar manuskrip Aduhai Remaja ini kepada penerbit. Ia suatu proses yang amat panjang.

Al-hamdulillah, Ramadhan 1431@September 2010, manuskrip Aduhai Remaja dapat juga dicetak untuk bacaan pertama. Dibaca untuk pemurnian selama dua hari sahaja. Dari siang membawa ke malam. Saya menulis di laman facebook saya , indahnya menulis di Bulan Ramadhan. Sungguh bermakna.

Cuma ada satu tembok saja yang perlu dibolosi. Tembok seorang editor. Adakah karya saya ini sudah cukup elok pada kacamatanya. Atau perlukan sebarang penambah baikan. Saya sudah tidak sanggup lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Sebolehnya karya ini mahu diterbitkan secepat mungkin. Sudah terlalu lama.

Justeru, saya berdoa, agar ianya diterima tanpa banyak ‘hisab’. Terbaru manuskrip Kembara Minda memerlukan tambahan 70 mukasurat. Saya sudah sesak nafas dibuatnya. Lelah kerana mahu memikirkan tambahan. Apapun itu antara antara cerita ceriti bagi seorang penulis yang berkira-kira mahu menghantar manuskrip kepada penerbit. Perlu banyak bersabar dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan malah juga risiko penolakan.

Buku pertama saya bersama Cikgu Azmi Musa dilahirkan tanpa banyak sangat penambahbaikan. Hantar saja kepada penerbit. “Oklah ni kata penerbit”. Lulus ketika saat penghantaran manuskrip kali pertama.

Justeru, beriku saya nyatakan beberapa tip untuk berurusan dengan editor perolehan manuskrip syarikat penerbitan secara umum. Berlainan penerbit mungkin berlainan ngaya berurusan.

1. Sila buat temujanji dengan editor perolehan seawal 1-2 hari sebelum pertemuan

2. Tanyakan kepada editor tentang keperluan manuskrip yang dihantar (soft copy atau hardcopy)

3.Burnkan cd yang mengandungi manuskrip yang akan dihantar. Standby sahaja. Serahkan jika dikehendaki oleh editor

4. Sediakan profil diri yang lengkap mengandungi butiran peribadi, pengalaman kerja, pengalaman di bidang penulisan, senarai penulisan dan penglibatan profesional yang menyokong manuskrip anda itu.

5.Sediakan juga kertas cadangan buku mengandungi sinopsis buku, kandungan buku, watak jika novel. Serta nyatakan manuskrip anda itu wajar diterbitkan.

6.Berpakaian kemas dan berkeyakinan ketika membentangkan kertas cadangan buku anda.

7. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Anda sebenarnya baru sahaja memasuki gear pertama.

8.Ucapkan terima kasih kepada editor berkenaan di atas sebarang pertolongan yang diberikan.

Jadi, hari ini saya berkobar-kobar. Menyerahkan manuskrip kedua bulan ini. Moga-moga dipermudahkan. Amin

Ruzain Syukur b Mansor


ADUHAI REMAJA KINI BERSTATUS MANUSKRIP

September 4, 2010

Aduhai Remaja.Sejak beberapa bulan yang lalu, saya banyak berteka-teki dengan pembaca blog akademipenulis bebas. Kalau saya ini hanya pembaca blog akademipenulisbebas, pasti bosan memikirkan bila ADUHAI REMAJA menjadi manuskrip dan diterbitkan.

Alhamdulillah, minggu-minggu terakhir Ramadhan 1431 H, manuskrip buku Aduhai Remaja berjaya disiapkan untuk bacaan pertama. Perlu saya baca untuk melihat mana-mana typing error dan kesalahan tatabahasa. Manuskrip ini juga akan saya serahkan kepada mentor saya Cikgu Azmi Musa. Cikgu Azmi insan yang bertanggungjawab membawa saya mengembara dalam dunia dakwah remaja beberapa tahun yang lalu.

Ketika bermula, saya hanya berani menjadi co-faci. Baru mula mencuba. Kemudian, naik pangkat, menjadi fasilitator. Kemudian naik lagi, menjadi pelaksana. Ada peluang jadi penceramah pula. Itu proses saya belajar . Belajar membimbing remaja.

Begitu banyak pengalaman bersama remaja. Berprogram, tidur di masjid, sesi LDK bersama, makan bersama, rehlah ke tepi sungai, bercamping. Banyak sekali.

Buku pertama saya bersama Cikgu Azmi Musa bertajuk Tip Urus Kelab Remaja Masjid dihasilkan setelah banyak bahan-bahan hilang akibat laptop di format. Bahan-bahan mengurus program itu akhirnya kami bukukan. Senang adik-adik pelapis mengurus program remaja. Malah AJK pemuda masjid sudah punya panduan dan manual mengurus remaja.

Tetapi kali ini, manuskrip Aduhai remaja banyak bermain dengan perasaan. Saya menulis dalam keadaan yang payah. Payah kerana sukar menyelami perasaan remaja. Menyedari umur sendiri yang mula menginjak 30-an. Semakin sukar rasanya memahami dunia remaja yang penuh konflik dan sensasi. Jadi sebelum memori bersama itu hilang di bawa arus, elok dibukukan cetusan rasa itu.

Sebagai penulis separuh masa, saya tersepit dengan pengurusan masa yang kurang efektif. Manuskrip buku Kembara Minda pula yang tidak semena-mena didahulukan penghantarannya kepada penerbit baru-baru ini.

Mujurlah, tugas sebagai pendidik yang ditugaskan untuk mengajar murid awal remaja mendedahkan saya dengan alam baru sisi remaja. Malah menjadi jurulatih Kokurikulum Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor juga mendedahkan saya dengan pengendalian emosi remaja melalui program yang dihadiri. Menjadi jurulatih dan fasilitator untuk Kem Nadwah kepimpinan dan Kem Jatidiri Pelajar sekolah menengah membawa saya menerobos dunia remaja yang jauh bezanya dengan alam muda saya dahulu.

Manuskrip buku Aduhai Remaja merupakan manuskrip yang keempat saya hasilkan. manuskrip pertama Tip Urus Kelab Remaja Masjid alhamdulillah menjadi buku. Manuskrip kedua Dakwah dan teknologi Maklumat tersangkut untuk diterbitkan. Masalah bajet kata penerbit. Manuskrip Kembara Minda menanti pemurnian, telah dihantar ke penerbit baru-baru ini. Manuskrip ke empat adalah Aduhai Remaja.

Manuskrip yang keempat berjudul Aduhai Remaja ini mengangkat citra remaja secara santai. Saya tujukan untuk remaja yang mencari diri. Tidak terlalu berat. sesuai juga dibaca oleh aktivis remaja dan guru-guru. Jadi nantikan…

Saya berhasrat untuk menghantar manuskrip Aduhai Remaja ini sebelum Aidilfitri. Penerbitnya sudah dikenal pasti. Kini saya tidak menoleh kebelakang lagi. Selepas ini ada novel remaja pula menanti disiapkan. Idea datang terus menerus. Lepas satu ..satu.

Ya Allah, moga suburkan minda hambamu ini untuk tujuan dakwah. Biar tegar minat menulisnya. Moga target 10 buah buku akan tercapai. Saya up kan target itu, akan menghasilkan 20 buah buku sebelum meninggalkan dunia.Moga tercapai.Amin

Ruzain Syukur Mansor