MENULIS UNTUK ANUGERAH?

May 19, 2018

ATAS PENTAS TERIMA ANUGERAH BN

Dalam hidup saya sebagai penulis ini kali pertama menerima anugerah. Apatah lagi ia adalah Anugerah Buku Negara. bagi penulis kerdil seperti saya ia suatu tonik dan motivasi yang sangat kuat untuk terus berkarya. Terima kasih penganjur anugerah, Yayasan Pembangunan Buku Negara di atas inisiatif sebegini. Alhamdulillah, kepada Allah dikembalikan segala kesyukuran.

Cuma ada satu lagi hadiah kemenangan yang saya terima lewat 2014.

TIKET GERGASI

Ia berupa tiket gergasi tajaan ITBM kerana memenangi pertandingan cipta slogan buku. Diterbangkan saya ke Paris, maka bermusafirlah saya mencatat budaya orang.

Adakah anugerah dan hadiah yang dikejar seorang penulis? Isu mengangkat karya sendiri? Cuma jika difikirkan, apakah lagi hadiah dan motivasi yang boleh menyuntik semangat seorang penulis. Secara fitrahnya manusia memang sukakan penghargaan. Justeru sebarang penghargaan yang dikurniakan oleh penganjur anugerah adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis.

Isu pemilihan? Itu soalan yang hanya boleh dijawab oleh panel pemilih.

Tinggalkan kisah saya. Terus bincangkan topik anugerah untuk penulis. Agak jarang penulis di Malaysia diraikan atau diberikan penghormatan selain daripada Anugerah penulis negeri atau Anugerah Sasterawan Negara bagi penulis mapan. Jika mahu dibandingkan dengan industri seni, terlalu banyak penghargaan diberikan kepada insan seni. Rezeki mereka. Maka, adakah dengan banyaknya anugerah kepada insan seni menyebabkan anak seni berlumba-lumba menghasilkan karya serta melipatkaligandakan usaha mereka? Saya tiada data untuk menyokong persepsi ini. Namun, tidak mustahil.

Justeru, adakah dengan kurangnya penghargaan dan anugerah kepada penulis menyebabkan penulis tiada motivasi untuk menghasilkan karya? Juga saya tiada data tetapi tidak salah untuk melayan persepsi.Dengan agensi perbukuan sedang mengejar jumlah penghasilan buku sebagai salah satu petunjuk aras mencapai negara maju, ruang untuk memberi motivasi kepada penulis dilihat masih kurang.

Justeru, dengan lahirnya penulis-penulis baharu dilatih oleh penulis mapan, maka ruang-ruang pengiktirafan untuk menaikkan semangat mereka dikira sangat penting. Untuk itu, inisiatif Yayasan Pembangunan Buku Negara untuk terus mengiktiraf para penulis dengan penganjuran Anugerah Buku Negara suatu usaha yang perlu dipuji.

Saya percaya penulis menulis tidak kerana mengharapkan pengiktirafan. Mereka menulis mengejar kepuasan dan ingin menyumbang kepada ummah. Tetapi pengiktirafan kepada mereka menjadi penguat semangat dan motivasi.

Ini soal mengangkat martabat penulis. Malah menghargai karya dan idea mereka membangun minda anak bangsa. Kriteria penghasilan buku sebagai indikator negara maju merupakan suatu pemangkin yang kuat untuk menjulang penulis tanah air sebagai hero yang tidak didendang. Mereka sebenarnya penyumbang kepada kemajuan tanah air. Hargailah jasa mereka.

BUKU ATAS KERUSI


TRAVELOG DAKWAH UK: DARI JENDELA QUEENSBOROUGH TERRACE

May 19, 2018

travelog dakwah uk

Ia buku ke-7 saya, baru saja dilancarkan sempena Anugerah Buku Negara di PWTC bulan lepas. Ia dilancarkan setelah buku ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara kategori Travelog Dakwah.

Travelog Dakwah UK: Dari Jendela Queensborough Terrace diberi nama.

Buku ini lahir dari pemerhatian saya ketika bertugas sebagai Atase Pendidikan Bimbingan Agama di Education Malaysia United Kingdom dan Ireland. Malah sekurang-kurangnya menjadi panduan kepada atase pendidikan yang seterusnya.

Queensborough Terrace sangat sinonim dengan Malaysia Hall London. Dari jendela Malaysia Hall saya melihat bagaimana Islam dirai di bumi United Kingdom. Malah, dengan penganut agama Islam sebagai penganut agama kedua teramai di United Kingdom mennjadikan Islam sebagai agama yang kuat, dinamik dan progresif.

Justeru, pelbagai sisi dikupas serentak dengan tugas sebagai penyelaras hal ehwal agama dan kebajikan pelajar dan rakyat Malaysia di kota ratu.

Pengalaman yang tidak dibukukan akan hilang dimamah ufuk lupa. Justeru, apa pilihan yang ada? Tulis dan terbit. Malah, akan jadi bacaan anakanda kesayangan Nurul Insyirah nanti.

Saya terus kekal dengan kata azimat ini. Hanya orang yang sibuk sahaja punya masa masa untuk menulis. Kesibukan seseorang penulis akan membantu dirinya mengurus dan menghargai masa yang tinggal buat dirinya.

Malah, apa yang ditulis menjadi batu nisan di dunia, kelak di akhirat menjadi peneman.

Ruzain Syukur Mansor