MASIH BELUM KETEMU RENTAK

November 28, 2011

Bercuti tetapi masih belum bercuti.

Mungkin itu tepat buat seketika. Di saat ruang minda berkecamuk dengan 1001 idea, urusan dunia belum mahu berhenti berkira. Ada 1 lagi bengkel Penulisan Bahan Dakwah dan Tazkirah 3 minit Kementerian Pelajaran yang perlu dihadap sehari dua lagi.

“Tulis kitab apa sekarang syeikh?” terima kasih Syeikh Azarol yang kembali mengetuk kotak minda. Tulis, orang sedang menanti. Syukran atas ingatan syeikh. Syeikh Azarol merupakan sahabat baik saya ketika di SMA Izzuddin Shah. Beliau lulusan al-Azhar, kini guru j-QAF di Sungai Siput, negeri kelahiran beliau. Orang Perak la Yop. teman pun sama dengan mike.

Banyak memang banyak. Antaranya:
1.RNP menanti buku motivasi remaja.
2.JAKIM juga perlukan manuskrip 1001 motivasi remaja buat adikku
3.PTS pun perlukan kertas cadangan buku kedua. Motivasi buat remaja aktif
4.Manuskrip 31 Permainan Hebat Untuk Jurulatih bersama penulis saudara Fahmi pun lama sudah tidak diusik
5.Buku Motivasi Iman untuk remaja terbitan Sektor Pendidikan Islam, JPS pun perlu juga ditengok-tengok.
6.Karya Bestari-pun mohon 1 buku motivasi juga
7.DBP-jika mahu mencuba-pertandingan menulis skrip adaptasi novel.
8. Jangan lupa, 2 tugasan Prof Aziz Md Zin, ampun Prof., rujukan sudah ada.

Apa lagi ya…

Banyak, banyak. Sudah masuk minggu kedua cuti. Satu pun projek penulisan pun masih belum berjaya diusik. Belum bermula, sudah mula nanti …susah mahu berhenti.

Menulis perlukan ketenangan. selesaikan semua urusan dulu. Bila selesai, tiada gangguan, insyaAllah semuanya lancar. Namun, jika bijak, ruang akan jadi peluang. Siang tadi, terdampar menunggu kereta untuk dibaiki. Ber’uzlah sambil menunggu kereta dibaiki ini suatu peluang juga rupanya. Tidak kurang daripada enam buah buku dapat dihadam. Ia semuanya untuk tugasan subjek Pengantar Usuluddin. Tajuknya “Cabaran Penulisan Artikel Agama di Akhbar Harian”.

Jika tidak menulis, kita membaca. Itu sudah dikira suatu kejayaan. Untuk jadi penulis, membaca akan menjadi resepi utama. Sekurang-kurangnya 5 buah buku sebulan. Buku menjadi teman yang sangat akrab. Itu KPI setakat ini. Adakalanya lebih. Sebagai persediaan mungkin mahu bukak toko buku apabila pencen nanti.

Ya Allah, moga dikurniakan hambaMu ini kelapangan masa untukku menulis daripada ilmu Mu. Buat bekalan nanti bertemuMu. Amin.

Ruzain Syukur b Mansor


HIJRAHKAN DIRIMU

November 26, 2011

CATATAN SARJANA : PROPOSAL DEFENCE

November 26, 2011

Proposal Defence?

Bagi calon sarjana di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) yang sudah menamatkan bahagian 1 :kerja kursus, kini langkah diatur buat memulakan penulisan.

Sesudah tajuk diterima sebagai topik kajian. Kajian dimulakan untuk membentuk kertas cadangan penyelidikan. Antara yang perlu diberi perhatian adalah:

-Tajuk kajian.
-Pengenalan
-Masalah kajian
-Objektif
-Kajian literatur
-Methodologi kajian
-Sistematika kajian
-Rujukan

Singgah sebentar ke APIUM semalam untuk memberikan semangat kepada sahabat yang membentangkan cadangan penyelidikan nyata mengujakan. Di peringkat ini persediaan mental pun penting juga. Bukan setakat keperluan penyelidikan yang dinyatakan di atas sahaja.

Kajian sudah harus bermula di peringkat ini. Pembacaan harus menyeluruh. Disertasi, thesis, kajian ilmiah, buku, jurnal harus menjadi teman akrab. Pembacaan harus mencakupi bidang kajian.

Bagi teman-teman yang akan membentangkan cadangan penyelidikan, sila jawab soalan ini:

MENGAPA KAJIAN ANDA SANGAT PENTING? APAKAH KEPENTINGAN KAJIAN YANG MENDORONG KAMI MENDENGAR PEMBENTANGAN ANDA?

Jika masih kabur, cari aspek penting dalam kajian tersebut, timbulkan persoalan yang sangat kuat sebelum mula mengkaji.

Bukan mudah menjadi sarjana. Budaya mengkaji ada harga yang sangat mahal perlu dibayar. Bersedia menerima kritikan. Jangan malu menebalkan muka memohon komen pakar di bidangnya. Lebih baik menerima kritikan sebelum anda mula melayari penyelidikan. Biarlah semua panel berpuas hati barulah mulakan kajian. Hapuskan semua kemusykilan para panel sebelum meneruskan kajian.

Seterusnya. Jangan jadikan kajian anda perkara biasa-biasa. Khulasah daripada komen para panel penilai pembentangan semalam adalah, jangan menulis perkara klise. Jangan terlalu banyak pengulangan karya yang lain. Tajamkan penulisan dengan analisa terhadap karya. Jangan takut untuk mengkritik karya. Rasional dan berani mencipta penilaian.

Pembentangan cadangan penyelidikan ini suatu gerbang utama menuju penulisan dissertasi yang menarik. Saya? InsyaAllah, tahun hadapan. Tahun ini melihat dahulu bagaimana teman-teman menghasilkan karya. Tahun hadapan insyaAllah lebih terarah untuk penulisan.

Ruzain Syukur Mansor


CATATAN SARJANA: JANGAN KETINGGALAN KAPAL..

November 26, 2011

“Assalamualaikum sheikh” sapaku kepada rakan sekuliah.

“Waalaikumussalam, lama tak nampak enta sheikh, minggu lepas pun tak ada” jawabnya.

“Apa? minggu lepas ada kelas? Aduss” mindaku menerobos ingatan lama. Ohh, ada program di sekolah, terus pula petangnya menjadi juri suatu pertandingan . Terlepas pula kelas penting Prof Kamil Majid. Beliau gabungkan dua kuliah menjadi satu. Aduh ruginya.

Itulah antara cabaran calon sarjana separuh masa. Sentiasa perlu perihatin . Kelas, cuti, tugasan, pembentangan dan sebagainya. Jika tidak? Alamat tertinggal kapallah jawabnya. Perihatinnya harus luar biasa. Itu soal komitmen dan tanggungjawab.

P/S: Pengajaran kepada calon sarjana separuh masa seperti saya: Tulis segala cuti pengajian dan tarikh kuliah. Tampalkan di muka pintu. Supaya jangan lagi terlepas ‘kapal’. Kalendar semester harus dihadam. Hafal sebarang tarikh due penghantaran tugasan. Bersedia untuk menghadapi sebarang pertukaran tarikh.


MENANTI LAHIRNYA BAKAL PENULIS..

November 7, 2011

“Haziq, bawa saja buku tu, nanti hubungi Atuk, katakan Haziq pinjam buku tu” kataku kepada anak saudara yang sangat khusyu’ membaca karya agama milik datuknya.

Haziq, penggemar buku cilik. Umrnya baru 9 tahun. Dibaca sebagai (anak saudara seorang penulis). Minat membacanya sangat terserlah. Karya yang dibacanya selayaknya dibaca oleh orang dewasa. Kisah Yakjuj Makjuj dan kemunculan Imam Mahdi. Menajubkan apabila melihat seorang anak kecil membaca karya yang berat sebegitu. Buku tersebut tidak dilepaskannya. Terus dibaca sambil berjalan ke kenderaan ayahnya. Amirul Haziq bakal pembaca tegar dan tidak mustahil menjadi penulis suatu hari nanti. Itu doa saya.

Minat atau bakat?

Itu biasa ditanya oleh seorang sahabat saya, seorang penulis dan jurulatih penulisan.

Khalayak pasti menjawab ” minat lebih penting”.

Ada benarnya, tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya. Penulis yang sudah sedia ada berbakat lebih terserlah bintangnya. Suiz bakat itu hanya perlu di ‘on’ kan sahaja. Lantas terus mencipta karya.

Teringat saya kepada pesan seorang sasterawan negara apabila ditanya tentang resepi menjadi penulis hebat. Katanya ” Baca..baca..baca..baca..TULIS”.

Sangat jelas, kunci kepada kejayaan seseorang penulis adalah kepada usaha membaca karya untuk mendapat idea. Ketika waktu saya mula boleh membaca, ayah membelikan Majalah Mastika setiap bulan. Majalah Mastika menjadi bahan bacaan yang sangat popular untuk dihadam kami adik beradik. SETIAP BULAN TANPA GAGAL. Terima kasih abah. Abah membuka minat membaca di kalangan kami adik beradik. Saya memulakan langkah muncul sebagai penulis aktif dengan menulis beberapa buah buku. Yang lain sangat aktif membaca. Manakan tidak lihat saja rak buku abah di rumah , penuh dengan kitab dan karya untuk dibaca. Itu contoh yang baik. Al hamdulillah, kami warisi minat membaca abah.

Rupanya, minat membaca abah kini pula diwarisi cucunya Amirul Haziq b Saiful Hisham. Anak kepada abang sulung saya, Saiful Hisham yang kini dalam proses menamatkan pengajian PhD nya. Keluarga beliau juga nampak mewarisi minat membaca Abah. Samada novel, buku sejarah malah Haziq lebih terserlah , anak kecil yang berani membaca karya dewasa. Moga jadi penulis nanti!.

Saya tidak lagi keseorangan. Di dalam diri kita ini ada suiz bakat yang perlu diaktifkan. Tetapi saya sangat percaya 200%, pembaca tegar mampu menjadi seorang penulis. Minat menulis tetapi tidak minat membaca? Itu sangat mustahil…

Ruzain Syukur Mansor