EPILOG RAMADHAN

August 26, 2010

Sajak Epilog Ramadhan ini, saya ciptakan khusus untuk dibaca oleh adik Norasyakirin anak murid saya ketika Majlis Khatam Al-Qur’an SK Telok Menegon 26 Ogos 2010.

EPILOG RAMADHAN

Ramadhan datang lagi
Bersama sinar mentari pagi
Selama ini penuh sabar aku menanti
Bersama doa yang tidak putus-putus ke hadrat Ilahi

Syukur pada Mu Ya Allah
Pada bulan yang penuh barakah
Hamba yang kerdil ini memohon maghfirah
Mengharap keampunan dan hidayah

Tetapi…apakah masih ada ruang buat hamba
Yang dahulunya sibuk dengan dosa dan noda
Saban hari lupa kepada Pencipta
Hanya mengejar kemewahan dunia semata

Mujur Ramadhan datang menjelma
Hadir membawa ribuan rahmat dan ruang pahala
Buat kita yang ingin pahala berganda
Demi bergelar jutawan akhirat sebagai cita

Ramadhan hampir sampai ke penghujung
Sudahkah penuh pahala di kantung?
Apakah kita ini di kalangan hambaNya yang beruntung?
Atau hanya hamba yang rugi ….
Kerana membiarkan Ramadhan datang dan pergi
Bersilih ganti tanpa usaha membaiki diri

Ibn Mansor
Telok Menegon
7 Ramadhan 1431 Hijrah


SENI MEMPERSEMBAHKAN MANUSKRIP

August 17, 2010

Saya sedikit bersalah kerana bercakap tentang dunia di saat berada dalam bulan Ramadhan ini.Di dalam ruang sepatutnya kita memenuhkan blog dengan tazkirah dan peringatan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat .

Tetapi apabila memikirkan manuskrip KEMBARA MINDA itu juga suatu bahan dakwah dan tazkirah, saya gagahkan juga untuk menulis tentangnya.

Semalam, saya bertemu dengan editor sebuah syarikat penerbitan buku agama di Shah Alam.Setelah pagi itu saya menetapkan temujanji jam 3, seawal 2.30 sudah tercegat melilau buku-buku terbaru terbitan syarikat itu.

Saya belajar banyak perkara.Antara helaian utama yang dilihat seorang editor adalah profil penulis.Tidak dinafikan.Ia bagi editor menilai kredibiliti seorang penulis.Pengalaman penulis.Pengalaman menulis.Semuanya diambil kira.Saya lulus ujian pertama.Kerana aktif menulis.Secara individu dan untuk Jabatan.Suatu kredit dan bonus kerana terlibat dalam penulisan untuk jabatan pelajaran.

Kandungan?
“kami memerlukan sekurang-kurangnya 200 mukasurat.Mungkin perlu ada pemurnian” katanya ikhlas.

Kesilapan saya adalah tidak menghubungi editor tersebut untuk bertanyakan bilangan mukasurat minimum untuk satu-satu manuskrip.Amat penting.Kerana dasar penerbitan sesebuah syarikat buku itu berbeza.

Saya menerima dengan hati yang terbuka dan pengajaran untuk diri sendiri.Itulah sebabnya sesetengah syarikat penerbitan hanya membenarkan penulis mula menulis buku yang dicadangkan setelah kertas cadangan buku diluluskan.Maksudnya “clear” semua aspek teknikal.Bilangan muka surat, gaya penulisan, rujukan dan sebagainya.

Apapun ada dua minggu untuk menanti maklum balas daripada editor.Ada hasil perbincangan yang tidak dapat diceritakan di sini kerana biarlah ia menjadi rahsia buat seketika.

Proses menyerahkan manuskrip kali pertama kepada editor merupakan saat bermulanya sebuah kisah seorang penulis.Silap untuk mengatakan dan mengucapkan tahniah kepada seorang penulis yang hanya pertama kali menyerahkan manuskrip kepada editor.Masih banyak lagi ranjau dan cubaan yang perlu dilalui.Moga-moga dipermudahkan.

Ruzain Syukur Mansor


RAMADHAN DAN MASA…

August 17, 2010

“Kalau mahu tahu harga masa, bertanyalah kepada pesalah yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman gantung” itu sempat saya titipkan ketika memberi tazkirah kepada anak didik pagi tadi.

Kita yang sentiasa berlapang-lapang ini pasti tidak sangat berkisah dengan masa.Tetapi bagi mereka yang menghitung hari untuk ke tali gantung, setiap masa pasti begitu berharga.Setiap detik umpama butiran emas yang tidak mampu disentuh.Kerana masanya itu hanya nanti hanya tinggalan kenangan.

“Kalau nak tahu betapa pentingnya erti satu saat, tanyalah kepada pemenang pingat perak acara larian 100M, yang kalah kepada si johan dengan hanya selaan satu saat” tambah saya lagi.

Di dalam bulan Ramadhan ini, Allah hubung kaitkan masa dengan ibadah.Tidak percaya?.Sakah puasa kita jika bersahur pada jam 6.30 pagi?.Atau sahkah puasa jika kita berbuka pada jam 6.30 petang (sebelum masuknya waktu maghrib?).Walau seminit pun kita berbuka sebelum masuknya waktu Maghrib, maka batallah seluruh puasa kita itu.Mengapa?.Mudah sahaja jawapannya,Kerana kita tidak mengikut syarat dan rukun puasa yang ditetapkan.Apa ya?.Iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Begitulah Alllah mengajar kita peri pentingnya masa dan ada hubungkaitnya dengan ibadah puasa kita.

Persoalannya?.Mampukah kita menjaga masa sepertimana kita menjaganya kita di Bulan Ramadhan.Mengapa kita boleh menunggu sehingga terbenamnya matahari barulah berbuka?.Berdisiplinnya kita kerana mahu menjaga puasa kita itu.Berdisiplinnya kita dengan masa.

Lantas, didiplin tentang pengurusan masa itu harus kita teruskan selepas Ramadhan nanti.Cabaran kita adalah untuk menghadapi pasca Ramadhan.Mengurus masa yang sentiasa mencemburui kita.

Kepada anak didik saya yang akan menduduki peperiksaan UPSR berbangga kerana masih mempunyai 35 hari berbaki.Tetapi mereka terlopong tidak terkata apabila saya sama-sama kirakan berapa harikah lagi masa berkualiti yang mereka ada.Setelah tolak waktu tidur makan, menonton tv dan sebaginya.Mereka hanya ada kira-kira 11 hari lagi sahaja.

“Betulkah ustaz” tanya mereka.
“kamu yang kira bersama ustaz tadi bukan!.Setelah tolak semua waktu leka dan berehat-rehat diulit mimpi.

Jadi, jangan kita leka.Biar kita mengejar masa.Jangan dikejar masa dek kelalaian sendiri.

Ruzain Syukur Mansor


MANUSKRIP BUKU KEMBARA MINDA SEDIA MENEMUI EDITOR

August 15, 2010

Al-hamdulillah wa al-hamdulillah.Bagi seorang penulis, menyiapkan manuskrip buku untuk dihantar kepada editor syarikat penerbitan merupakan tugas yang berat.Manakan tidak, cetakan demi cetakan, semakan demi semakan, pemurnian demi pemurnian perlu dilakukan.

Al-hamdulillah, 4 Ramadhan 1431 tanggal yang indah.Tarikh ini manuskrip buku kedua saya bertajuk KEMBARA MINDA siap untuk dihantar ke editor esok hari.Sebuah syarikat penerbitan di Shah Alam akan saya kunjungi.Manuskrip ini sebenarnya merupakan kompilasi artikel yang disusun menjadi susunan buku.Diberi nafas baru agar lebih segar sesuai untuk tatapan semua.

Menghasilkan Manuskrip Kembara Minda tidaklah terlalu sukar prosesnya.Tetapi sebagai penulis separuh masa dan berkerjaya, saya terperangkap dengan percaturan pengurusan masa yang kurang effektif.Namun, saya masih berada di laluan yang masih betul.Tahun ini fokusnya lebih kepada penghasilan buku.Berehat seketika daripada menghasilkan artikel majalah.Al-hamdulillah.Buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid kini ditatap ramai.Manakala manuskrip DAKWAH & TEKNOLOGI MAKLUMAT kini tersangkut untuk proses penerbitan.Akhirnya manuskrip Buku KEMBARA MINDA akan memasuki senarai buku yang akan diterbitkan.Jika dua manuskrip ini berjaya diterbitkan, saya akan miliki 3 buku.Hampir kepada sasaran 10 buah buku.

Bagi seorang penulis, debaran menunggu manuskrip diterima untuk diteliti oleh editor merupakan suatu dugaan.Diterima dan ingin diterbitkan oleh penerbit pula suatu proses menunggu yang sangat mendebarkan.

Saya ada sedikit pengalaman untuk belajar bersabar.Menanti dengan penuh kesabaran.Apa yang penting hubungan antara penulis dan editor penerbitan harus berhikmah.

Buku KEMBARA MINDA merupakan antara paparan perjalanan saya dalam dunia penulisan.Ia membawa erti yang cukup besar.Garapan isu-isu pendidikan, dakwah , remaja dan sosial menjadi taruhan sejak bergelar penulis aktif lewat tahun 2006.Moga-moga ia menginspirasikan khalayak pembaca nanti.

Apapun , moga Allah pemudahkan perjalanan manuskrip KEMBARA MINDA menjadi buku.Ini perihal impian saya.Menginspirasikan dan berkongsi dengan khalayak.

Tutup 1 manuskrip KEMBARA MINDA , kini akan mengusahakan pula manuskrip buku terbaru “MENTOR HEBAT MENTEE SUKSES”.

Ruzain Syukur Mansor


TRANSFORMASI RAMADHAN

August 13, 2010

“Saya memang mudah tergoda dengan tajuk dan kulit buku” itu saya akui di hadapan murid-murid saya ketika memberi tazkirah baru-baru ini.

Ada beberapa penulis yang sentiasa saya tunggu produknya.Salah seorang daripada mereka adalah Ustaz Hasrizal Jamil.Beliau pendakwah yang hebat serta super duper senior saya ketika di SMA Izzuddin dahulu.

Buku TRANSFORMASI RAMADHAN ini sudah saya miliki.Dari segi tajuk ia amat berani.Tajuknya sahaja sudah memberi makna pelbagai.Biarlah Ramadhan ini menjadi medan tarbiah diri.Medan transformasi diri.Agar bergraduasi diri kita ini daripada Universiti Ramadhan dengan Ijazah kelas pertama.Menjadi insan yang baru.Segar.Minda Islami.

Ini buku tazkirah santai.Dihiasi dengan cerita ceriti yang menginspirasikan.Itu jugalah gaya penulis buku bestseller Aku Terima Nikahnya ini.Apa yang penting dalam santai itu ada mesej yang ingin disampaikan.

Dapatkan di pasaran.Promosi percuma ini saya ketengahkan buat insan yang suka membaca.Suka menambah ilmu.Ini pilihan buku yang hebat.Tak mampu nak sediakan buku sehebat ini.Cukup dahulu memberi sedikit promosi.Moga yang baik itu menjadi bahan bacaan minda.

Ruzain Syukur Mansor


SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

August 13, 2010

Di suatu pagi sempat saya memberi sedikit tazkirah kepada para pelajar tahun 6 setelah usai bacaan yasin di surau sekolah.

Ramadhan 2-3 tahun kebelakangan ini terlalu banyak memori yang saya lalui.Berulang alik dari Shah Alam ke Tanjung Karang, terlelap sewaktu memandu, akhirnya terlanggar pembahagi jalan di Kapar pada 2008 seingat saya.Kesan perlanggaran masih boleh dilihat pada pembahagi jalan yang saya langgar sekitar Sungai Serdang.Detiknya 7 Ramadhan pada tahun 2008.Dek kerana terlelap hanya beberapa saat.Kereta dipandu tanpa sedar menghala ke tengah jalan terus melanggar pembahagi jalan.

Al-hamdulillah, kita bersyukur kerana masih berpeluang berada dalam bulan Ramadhan tahun ini.Berpuasa dan beribadat sepuasnya.Berapa ramai dikalangan sahabat dan saudara mara kita yang pergi dahulu menemui Allah tanpa sempat menyahut seruan Ramadhan kali ini.

Lantas bersyukurlah.

Dalam hadis Nabi ada menceritakan bahawa bagi orang yang berpuasa ada dua detik kegembiraan.

Pertama:ketika berbuka.Kita gembira bukan kerana berjaya meratah seekor ikan pari mahupun terubuk semata-mata.Tetapi kita gembira kerana Allah masih beri kita nikmat makan dan minum.Sahabat-sahabat kita di Afghanistan dan Palestin entah apa yang dimakannya ketika berbuka.Entah makan atau tidak mereka itu.

Teringat kepada suatu jenaka sahabat.

Orang miskin akan berkata “apa yang akan kita nak makan hari ini”
Orang yang sederhana dan berwang pula akan berkata ” di mana kita mahu makan hari ini”
Orang yang kaya raya dan tidak sedar diri pula akan berkata “siapa yang kita mahu makan hari ini”
(Sekadar renungan dan jenaka sahaja.Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati)

Kedua:Kegembiraan kedua bagi orang orang yang berpuasa adalah ketika di akhirat nanti.Allah sediakan pintu syurga khusus untuk orang yang berpuasa.Masuklah orang-orang yang berpuasa ke dalam syurga melalui pintu yang dinamakan Ar-Rayyan.
Tak puasa nak masuk juga? NO WAY MAN!.

Justeru, berpuasalah ketika ini masih berkuasa untuk berpuasa.

Di atas katil, sedang terlantar seorang lelaki yang hanya mampu terbaring sambil berkata “kalau aku sihat mahu juga aku berpuasa.Menyesal rasanya waktu sihat dahulu tidak berpuasa”

Menyesal?.Tiada gunanya.Jangan menyesal disaat kita mensia-siakan nikmat sihat yang diberi Allah dahulu.

Ingat sahabat, diwaktu kita berkemampuan.Sihat diberi Allah berpuasalah dengan penuh keinsafan.Haraplah moga Allah terima puasa kita keseluruhannya.

Ruzain Syukur Mansor


INDAHNYA MENULIS BERSAMA TEAM PENULIS DAKWAH SPI

August 9, 2010

Awal pagi ini saya memasang niat “Ya Allah, jauhkanlah diriku ini dari sifat ego dan meninggi diri.Lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah hamba yang lemah ini menerima kritikan yang membina”.

Itu saya lafazkan kerana hari ini akan bersama dengan Team Penulis Dakwah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor meneruskan misi yang belum selesai.Memurnikan manuskrip Indahnya Islam.Siri 1.Ada lagi 4 siri sebelum manuskrip menjadi buku hujung tahun ini insyaAllah.

Sejenak bersama sahabat-sahabat penulis begitu mengujakan.Motivasi oleh Ustaz Shopuan Anuar , Penolong Pengarah Kanan Dakwah turut menjadi galakan yang amat membina.Seketika berbual bersama Ketua Sektor yang mesra bagaikan menghilangkan penat memerah otak seharian mencari idea.

Menulis secara bersama ada seninya.Saya belajar siang tadi.Tahun lepas terlepas menganggotai team penulis Guru Jutawan Akhirat.Hanya sempat 1 siri pemurnian di PD.

10 kepala memang lebih baik dari 1.Idea dari seorang penulis diberikan idea-idea tambahan.Al-hamdulillah semua redha ‘menadah telinga’.Menulis secara berkumpulan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.Bersyukur kerana diberikan suntikan idea tambahan daripada rakan-rakan penulis yang baik.Sesi sumbangsaran berjalan dengan baik.Idea semakin bercambah.

Akhirnya, manuskrip semakin mantap.Dengan idea yang semakin jelas.Sampai kepada sasaran.Inilah hasil muafakat.Dikata orang muafakat membawa berkat.Tepat sekali.Gabungan idea jelas mencerna hasil yang menakjubkan.

Ada 4 lagi siri pemurnian manuskrip Indahnya Islam.Moga buku motivasi dakwah santai ini akan menemui pembaca dikalangan remaja awal tahun depan.Terima kasih dan tahniah kepada team penulisnya

Ruzain Syukur Mansor