CATATAN PENULIS..

August 18, 2008

Assalamualaikum..

Saudara, kesibukan diri mengurus kerjaya mungkin sedikit sebanyak membataskan ruang untuk anda menulis.memang ianya mungkin sebahagian daripada halangan untuk terus berkarya melontar idea untuk ditatap.

Kini setelah beberapa artikel telah tersiar di beberapa akhbar termasuk Berita harian , Utusan Malaysia, Metro serta beberapa majalah seperti Al-Islam, Cahaya dan Sinar Rohani Jakim, e-siswa , saya dapat merasakan minat sebagai penulis bebas semakin dapat memberi makna kepada kehidupan .

Setiap kali artikel saya tersiar di akhbar dan majalah , saya akan menelusuri ruangan search di yahoo.com atau google.com dan melihat bagaimana ianya turut berkembang di blog rakan-rakan dan nyata dikongsi oleh pembaca di mana-mana sahaja .Wah? andainya ianya memberi manfaat maka apakah anda warga penulis tidak berasa teruja untuk menyumbang buah fikiran untuk dijadikan bahan perkongsian?

Keseronokan bagi penulis bebas bukanlah terletak pada ganjaran yang diberikan, namun kepuasan nyata segar di ingatan andainya bahan tulisan anda memberikan insan lain suatu yang bermakna sebagai makanan minda.

 

Anda adalah apa yang anda fikirkan?..ruang untuk berkongsi idea cukup terbuka luas.Blog, majalah, ruangan di akhbar, semuanya memerlukan luahan kritis berinformasi bagi memberikan wadah ilmu dan makanan minda untuk ditatap seluruh insan.

syukur

akademipenulisbebas.wordpress.com


MERDEKAKAN JIWAMU..

August 18, 2008

 

Merdekakan Jiwa mu…

 

Merdeka ! merdeka ! merdeka!…

Laungan keramat penuh  bermakna

Azimat pejuang bangsa

Atas nama mempertahankan agama dan bangsa

 

Merdeka ! merdeka ! merdeka!…

Adakah kau sedar

Adakah jiwa mu sudah merdeka?

Adakah jiwamu sudah melupakan segala ideologi sesat?

Adakah jiwamu masih sukar untuk kembali kepada fitrah

 

Aduhai anak bangsa tercinta

Mampukah kita melawan arus ciptaan bangsa penjajah ?

Mampukah kita mencorak kegemilangan sendiri?

Dimanakah nilai diri kita yang sepatutnya kita agungkan..

 

Bangsa ku tercinta

Berpeganglah kepada paksi agama

Jauhilah budaya songsang ciptaan penjajah

Tegakkan syiar Islam di bumi sendiri

Merdekakan jiwa mu..merdekakan lah

 

Andai merdeka yang kita impikan

Andai bahtera yang kita ingin layarkan

Andai negara yang ingin kita bangunkan

Bangunlah jiwa dan sanubarimu

Pasakkan jiwa Islami budaya timur

Berdoalah..agar bangsa merdeka ini

Akan terus bebas , aman dan makmur

 

KARYA :WACANA SYUKUR

                3 JULAI 2008


REMAJA DAN TARBIAH DI MASJID-ARTIKEL TERBARU DI BERITA HARIAN

August 11, 2008

Tarbiah remaja di masjid perlu lebih efektif

Oleh Ruzain Syukur Mansor

REMAJA dan tarbiah tidak dapat dipisahkan dan kerana itulah proses pembangunan jati diri serta usaha menjadikan mereka pemimpin masa hadapan harus dijadikan keutamaan aktivis remaja serta pendakwah.

Justeru, program latihan dan tarbiah remaja di masjid perlu digerakkan dengan lebih aktif dan efektif.

Masjid turut boleh berfungsi sebagai institusi sosial dan medan tarbiah kepada masyarakat terutama golongan remaja.

Pengalaman aktivis remaja Kelab Remaja Jamaah Islah Malaysia (JIM) Petaling Jaya yang bergerak aktif mengendalikan program motivasi dan latihan di sekitar daerah ini banyak memberikan pendedahan kepada masyarakat pentingnya menjadikan masjid sebagai medan penyubur minda dan iman remaja. Remaja sepatutnya disediakan ruang dan peluang untuk memupuk jatidiri sebelum mereka mencari aktiviti yang dirasakan boleh memupuk identiti diri. Jangan hanya mencemuh remaja tetapi tidak menyediakan peluang untuk mereka terbabit aktiviti sihat.

Bentuk program latihan remaja yang boleh dilaksanakan di masjid termasuk program motivasi dan jatidiri, kem ibadah, pemantapan solat, program pengurusan diri , kewangan, teknologi maklumat (ICT), latihan pembinaan sahsiah juga sukan antara masjid seperti kejohanan futsal daerah.

Prasyarat merealisasikan masjid sebagai pusat pembangunan remaja ialah mewujudkan suasana yang mesra remaja seperti mewujudkan ruang yang lebih terbuka untuk menganjurkan program turut membabitkan pengurusan masjid.

Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan memperkasakan jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan remaja.

Ketiadaan kepakaran mengurus aktiviti remaja di masjid bukanlah alasan untuk meminggirkan aspek pembangunan remaja kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama dengan pengurusan masjid membangunkan program memperkasa remaja.

Aspek kemudahan asas seperti kawasan aktiviti dan rekreasi boleh membantu keperluan program latihan remaja di masjid. Dewan serba guna yang boleh dijadikan lokasi aktiviti, manakala pusat sumber sebagai pusat perkembangan ilmu.

Bagi memantapkan institusi ini, aspek pengurusan latihan kepada penggerak remaja juga tidak harus dipandang ringan. Sebaliknya mereka perlu didedahkan dengan ilmu untuk berdakwah supaya dapat menarik rakan sebaya.

Firman Allah yang bermaksud: “Hanya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang diharapkan termasuk golongan orang mendapat petunjuk.” – (Surah at-Taubah, ayat 18)


PENGURUSAN MASA BANTU CAPAI HIDUP BERKUALITI-ARTIKEL TERBARU SAYA DI BERITA HARIAN

August 1, 2008

Oleh Ruzain Syukur Mansor

“SAYA rasa mahu sambung pelajaran ke peringkat ijazah, cikgu!” kata Cikgu Ramlah ketika berbual dengan pengetuanya. “Baguslah, saya sokong, selagi mampu dan mempunyai semangat, teruskan,” balas pengetua.

Dialog sedemikian biasa kita dengar pada zaman yang begitu banyak peluang untuk mengembangkan kerjaya dan potensi diri. Ia juga bertepatan dengan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat.

Budaya menuntut ilmu walaupun sudah berkerjaya adalah perkara yang tidak begitu asing. Keperluan hidup terutama bagi remaja yang mempunyai tanggungjawab besar membantu keluarga menyebabkan sesetengah mereka terpaksa melupakan sementara impian ke menara gading. Lebih-lebih lagi bagi anak sulung apabila keadaan sosioekonomi memaksa mereka untuk hanya mendapatkan kelayakan asas seperti Sijil Pelajaran Malaysia untuk bekerja demi melihat kelangsungan hidup adik beradik yang lain.

Bagi yang mempunyai semangat juang tinggi, pastilah timbul keinginan ini, apatah lagi melihat adik serta rakan sudah berjaya menggenggam segulung ijazah. Bagi yang sudah berkerja, anda masih mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda melalui program luar kampus dan program jarak jauh yang ditawarkan banyak universiti awam dan swasta.

Pengalaman penulis yang pernah menjadi pensyarah di institut pengajian swasta di ibu kota banyak menyaksikan kesungguhan mahasiswa yang sudah berkerja namun gigih meningkatkan taraf pendidikan demi peningkatan kerjaya mahupun kepuasan diri. Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di antara universiti yang banyak menyediakan program luar kampus bagi mereka yang sudah berkerja. Layari laman web universiti pilihan anda serta hubungilah penasihat akademik dan berbincanglah mengenai peluang yang ada.

Bagi yang berminat dengan dunia kemahiran, banyak institut latihan berteraskan kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian mahupun Pusat Giat Mara yang banyak menyediakan kursus kemahiran jangka pendek terutama bagi golongan remaja dan belia yang ingin mengembangkan bakat dan peluang kerjaya.

Dunia perguruan juga menyaksikan ramai pendidik yang sanggup berkorban ketika cuti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pendidikan. Pengorbanan mereka di sekolah pada siang hari, sanggup pula bersengkang mata pada waktu malam untuk menelaah pelajaran, melayani pula kerenah anak menjadikan mereka insan yang tabah. Pun begitu, untuk mengalah tidak sama sekali sehingga titisan air mata membasahi pipi ketika menerima skrol ijazah pada hari konvokesyen nanti.

Begitulah perjuangan pada masa yang sama membuktikan bahawa budaya menuntut ilmu sepanjang hayat hidup subur di negara kita ini.

Selain itu, peluang Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) bagi Kursus Dalam Cuti (KDC) atau kursus Kursus Perguruan j-QAF juga terbuka kepada guru berijazah untuk mendapatkan Diploma Pendidikan.

Guru akan berkursus di institut perguruan pada waktu cuti. Terlalu banyak cabaran yang dilalui guru pelatih namun ketabahan terbalas apabila segala-galanya dapat dilalui dengan semangat juang yang tinggi demi kemajuan anak bangsa.

Cabaran bagi mahasiswa separuh masa yang sedang bekerja memang besar. Mana tidaknya, dengan tugasan dan tanggungjawab di tempat kerja, bebanan tugas oleh pensyarah, nota kuliah yang perlu dibaca, ini tidak termasuk tugasan sebagai seorang suami, isteri, ibu dan ayah bagi yang sudah berumahtangga.

Namun, ia tidak sepatutnya menjadi alasan memandangkan ada di kalangan graduan yang berjaya menamatkan pengajian ketika mereka sudah bergelar datuk dan nenek. Semuanya memerlukan pengorbanan dan pengurusan masa yang teratur.

Jadi, bagi memastikan kelangsungan kerjaya dan impian anda sebagai mahasiswa separuh masa, faktor pengurusan masa harus diletakkan di tempat teratas. Setiap tugasan yang diberikan jangan sekali-kali ditangguhkan. Pastikan tugasan pertama disiapkan sebelum tugasan kedua diberikan. Ini bagi mengelak anda tertekan apabila melihat lambakan kerja dan tugasan yang perlu disiapkan dalam satu tempoh masa yang sama. Bagi tugasan berkumpulan pastikan pembahagian kerja dibuat dengan teratur dan diketuai seseorang yang sangat efektif.

Selain itu, komunikasi yang amat baik dengan pihak majikan bagi mahasiswa yang sudah bekerja amat perlu. Setiap perkembangan dan keperluan akademik anda seharusnya juga berada dalam pengetahuan majikan. Ini termasuklah urusan cuti ketika menghadiri peperiksaan serta pelepasan menghadiri kuliah.

Pastikan bahawa usaha anda menuntut ilmu tidak menjejaskan organisasi tempat anda mencari rezeki.

Bagi menjamin kelangsungan kemantapan akademik anda, pastikan nota kecil sentiasa berada di dalam poket anda atau ditampal di meja peribadi supaya mengelakkan anda menggelabah bagi menghadapi peperiksaan.

Pengalaman penulis sebagai guru j-QAF ketika berkursus untuk mendapatkan diploma pendidikan banyak mengajar erti persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan atau pembentangan kertas kerja banyak membantu menghadapi saat getir.

Justeru, belia harus sentiasa menanam tekad untuk meningkatkan kerjaya dan diri selaras dengan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat. Laut mana yang tidak dilambung gelora, bumi mana yang tidak ditimpa gempa, begitu jugalah kehidupan yang sering diasak dengan seribu satu cabaran. Jika anda mempunyai semangat yang kuat, iltizam tinggi dan komitmen tidak berbelah bahagi sudah pasti menemui sinar kegemilangan.

Penulis ialah graduan Pengajian Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian  5 Julai 2008